Khamis, 9 Februari 2012

Bahagia


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukrillah atas keizinan nafas dan nadi yang masih berdenyut ini, moga masa yang masih berbaki memberi kesempatan untuk hamba ini bertaubat dari dosa lalu dan mengutip bekalan untuk ke sana. Selawat dan salam buat cinta keduaku, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Salam Maulidur Rasul….(^^,)

Fuh! terasa berhabuk sangat diari maya nie sebab hati terasa lama sangat tak menulis. Sudah duduk di depan laptop dan mencoret sedikit tetapi ada sahaja hal lain yang perlu dibuat. Maka, coretan itu terhenti setakat itu tanpa ada sambungannya.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari keempat ana menjalani praktikal di tempat yang telah ana pilih. Datang ketika matahari baru sahaja memancarkan sinarnya dan pulang pada petang hari. 

Dalam beberapa hari ini juga sudah ada lambakan kerja yang perlu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Menghadap buku yang perlu disemak beratus-ratus buah, tumpuan pada laptop untuk menyaipkan kertas kerja dan poster disamping memikirkan program atau projek yang perlu dilaksanakan.

Minda dan tenaga dikerahkan untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan. Mungkin ada yang tidak sanggup dan dikatakan otak tidak berkembang sebab berada dan membuat kerja yang sama.

Tapi ana bahagia, teramat bahagia. Agak-agak kenapa ya? (^^,)

Sebab ana berada dalam biah solehah. Berdamping dengan para ustaz dan ustazah yang soleh dan solehah disamping dapat berjumpa dengan alim ulama’ ketika mereka dijemput untuk memberikan ceramah.

Dapat menambahkan ilmu dan mempelajari kitab-kitab para ulama’ terdahulu sebab tempat ana praktikal sentiasa dipenuhi dengan majlis ilmu. Paling bahagia, masjid begitu dekat dan dapat solat berjemaah selalu. Maka, apa lagi yang dimahukan ketika berada di dunia melainkan sentiasa dalam barakah dan redha Allah s.w.t?  Inilah syurga dunia bagi ana.

Ana memilih untuk membuat praktikal di Pusat Islam UUM. Atas beberapa sebab dan perancangan yang cuba diatur sebaiknya, ana memilih untuk membuat praktikal disitu sebagai langkah seterusnya selain cuba memenuhi komitmen sebagai aktivis Pertubuhan UNGGAS Malaysia yang berpusat di Penang.

Masa. Ana cuba memaksimumkan masa yang bersangkut paut dengan umur, nyawa dan nafas di dunia sebab ana tidak tahu bilakah nafas terakhir ana menyedut udara di bumi milik Allah. Cuba juga mengatur perancangan sebaiknya dan berusaha mengejar cita-cita yang diimpikan. insyaAllah.

Hari pertama sebaik sahaja melaporkan diri, Pusat Islam UUM telah menjemput Ulama’ dari Indonesia iaitu Syeikh Nuruddin al-Banjari untuk memberikan ceramah berkaitan peribadi Rasulullah s.a.w. Itulah ‘hadiah’ yang mengalukan kedatangan ana ke Pusat Islam UUM secara tidak langsung.

Apatah lagi dapat berbual dan berkenalan dengan zaujah (isteri) Syeikh Nuruddin kerana ana diminta untuk mengiringi zaujahnya sepanjang program. Akhlak dan peribadinya seindah wajahnya yang terselindung disebalik kain yang dipakai dimukanya...(^^,)


Ada sedikit pesanan dan tips yang diberikan oleh Syeikh Nuruddin kepada hadirin yang hadir iaitu sentiasa berwuduk. Umat Islam kini begitu terdedah dengan pelbagai hal-hal yang syubhah dan melalaikan secara tidak sengaja. Bagaimana?

Ketika kita menonton rancangan television yang sudah ikut landasan syariat, tetapi apabila iklan disiarkan. Mata kita terpandang manusia yang tidak menutup aurat dengan aksi yang tidak senonoh.

Ketika kita keluar untuk memenuhi keperluan diluar rumah seperti keluar bekerja, membeli peralatan atau barangan rumah, membayar bil-bil utiliti yang telah digunakan dan banyak lagi.

Mata kita melihat lambakan manusia yang pelbagai ragam dengan pakaian yang tidak menutup aurat dan pergaulan bebas yang bercampur lelaki dan perempuan. Telinga mendengar kata-kata kesat dan umpatan orang lain. Mulut dan hati yang kadang-kala mencaci dan memaki orang tatkala ada yang silap dan tidak kena menurut pandangan Islam atau pemikiran kita.

Maka, cara yang bagaimana untuk ‘mencuci’ semula pancaindera yang telah digunakan dalam kehidupan seharian yang secara tidak sengaja terjebak dengan hal-hal syubah seperti itu? Solusinya adalah dengan berwuduk secara sempurna.

Daripada Uthman bin Affan r.a. dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “sesiapa yang mengambil wuduk dan dia menyempurnakannya dengan baik, digugurkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar daripada jari-jarinya” (Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Apabila berwuduk seorang mukmin, maka dia membasuh mukanya, keluar dosa daripada wajahnya setiap kesalahan yang dilihat dengan matanya bersama air basuhan atau titisan air, maka apabila dia dia membasuh kedua-dua tangannya, keluar dosa daripada kedua tangannya setiap kesalahan yang dilakukan dengan tangannya bersama air basuhan atau titisan air sehinggalah bersih dan suci daripada dosa-dosa (kecil)”
(Riwayat Muslim (23) dalam bab Taharoh)

Itulah hikmah dan sunnah yang telah diamalkan oleh Baginda s.a.w. iaitu sentiasa berada dalam keadaan berwuduk supaya anggota pancaindera dan hati kita terutamanya sentiasa dalam keadaan bersih dan suci dari hal-hal yang boleh merosakkan iman kita.

Ketika sedang menyemak buku-buku yang telah dikeluarkan oleh unit penyelidikan dan penerbitan Pusat Islam UUM, ana ternampak beberapa buku dan kitab yang tersusun rapi dalam rak almari. Sempat juga meminta untuk ustaz mengajar beberapa kitab dan beliau sendiri syorkan untuk membuat kuliah pengajian kitab bagi warga kampus.

Tatkala sedang membuat kerja, makan, berbual, menyemak kertas kerja dan macam-macam lagi. Pasti ada terselit isu-isu berkaitan umat masakini, kata-kata nasihat dan ‘sindiran’ mahupun teguran membina jika tersilap kata dan langkah dari para ustaz dan ustazah. Indahkan hidup bersyariat? (^^,)

Ada yang cemburu ke membaca coretan ana kali ini? hehe! Kalau punya perasaan itu,  itu tandanya cemburu yang dibolehkan dalam Islam. Maka, ayuh kita sama-sama berusaha untuk menambahkan bekalan untuk ke sana dan mengapai redha Allah.

Kita memang boleh memilih suasana yang bagaimana untuk kita jalani tetapi jangan pernah rasa selesa dengan suasana sebegini kerana individu yang bekerja di medan ini sering menjadi tumpuan masyarakat setempat.

“Usah rasa penat atau letih untuk mengajak kearah kebaikan kerana syaitan tidak pernah merasa penat atau letih untuk menyesatkan manusia”

Amat rugi buat insan yang berpeluang untuk mendampingi para alim ulama’ dan orang soleh sekiranya tidak mengambil nasihat dan ibrah dari mereka. Amat rugi buat insan yang berpeluang untuk menghadiri majlis ilmu tetapi tidak mengambil manfaat dan beramal dengannya.

Moga-moga ana tidak termasuk dalam golongan yang merugikan dan mengaut segala ‘keuntungan’ dan saham yang sudah terbentang luas di depan mata. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus