“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Iman, Islam dan Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat kekasih hati yang menjadi ikutan sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Dua minggu yang lepas, ana dan beberapa orang sahabat lagi keluar untuk membeli sedikit barang keperluan untuk mengisi ‘kekosongan’ yang ada. Tidak menyangka Allah s.w.t. pertemukan ana dengan sesuatu yang benar-benar terkesan dihati tatkala pertama kali memandangnya...
Mahu tahu apa dia? Inilah dia…
Sebelum ana nekad untuk menjadikan buku ini sebagai koleksi ana yang seterusnya, ana sudah memegang beberapa buah buku dan sudah bersedia untuk membayarnya. Tetapi Allah gerakkan hati untuk ‘tawaf’ sekali lagi untuk melihat buku-buku yang tersusun rapi diatas rak.
Lantas, mata terpandang sebuah buku dengan tajuk yang membuatkan ana terpaku seketika iaitu ‘Cinta Di Langit Gaza’. Ana melihat nama penulis dibawah kulit hadapan buku tersebut dan tertulis nama ‘Riduan Mohamad Nor’.
Ana tidak tahu latar belakang penulis ini secara mendalam. Beliau bekerja sebagai apa, berasal daripada mana, siapa ahli keluarganya, latar belakang pendidikannya dan banyak lagi. Yang ana tahu cuma satu sahaja, iaitu beliau seorang aktivis kemanusiaan!
Tanpa berfikir panjang, ana terus ambil buku tersebut dan pergi meletakkan buku lain di tempat asalnya bagi mencukupkan nilai baucer buku RM50 yang telah diberikan oleh ‘rakyat’.
Sebaik sahaja sampai di rumah dan menguruskan diri, ana terus membelek satu persatu dan membaca setiap baris ayat yang tertulis. Hanya Allah yang tahu betapa terujanya ana untuk membaca travelog yang telah beliau lalui sepanjang menyertai misi kemanusiaan.
Masakan tidak begitu, jiwa ana sepertinya! Teringin sekali untuk mengikut jejak langkahnya dan beberapa lagi aktivis yang lain. Tapi ana sedar siapa ana. Ana tidak akan mampu untuk menyertai misi seperti ini sekiranya tahajud masih tidak istiqomah!
Sedangkan Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri langsung tidak membenarkan khemah tenteranya yang bergelap tanpa cahaya lampu turut serta dalam medan peperangan sewaktu pembukaan Kota Konstantinopel. Kenapa? kerana tentera yang berada dalam khemah yang gelap gelita itu tidak melaksanakan solat malam.
Apa mungkin Allah memilih insan yang biasa-biasa sahaja untuk pergi mendapatkan syurga Allah yang begitu mahal dan bernilai ini melalui tiket dan peluang mati syahid tatkala memberi bantuan kepada saudara seIslam kita di Gaza? wallahua’lam.
Muhasabah…muhasabah…
Rupanya dalam buku ini, bukan setakat memuatkan travelog penulis dalam menyertai misi kemanusiaan bersama NGO Muslim Care ke Gaza tetapi juga ke negara lain seperti misi kemanusian kepada mangsa tsunami di Aceh dan Jawa Barat, korban di Kemboja dan Bangladesh, perang di Palestin, gempa bumi di wilayah perbukitan Pakistan dan Kashmir serta banyak lagi.
Tidak kurang dengan itu, buku ini juga sarat dengan pelbagai sejarah dan latar belakang negera yang telah penulis dan sahabat seperjuangan pergi ketika melaksanakan misi kemanusiaan. Penuh dengan fakta dan kisah benar yang dirasainya sendiri.
Kadang-kala, hati ini turut merasai perasaan sedih sebaik sahaja membaca bait-bait ayat yang menceritakan penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh saudara seIslam kita dalam meneruskan kehidupan.
Muhasabah sendiri. Tatkala bangun dari tidur, terdengar suara tangisan bayi dari sebelah rumah. Mata yang memandu arah untuk ke bilik air bagi persiapkan diri. Kaki yang masih berupaya untuk melangkah. Tangan yang masih ada untuk melakukan banyak perkara.
Bersyukur kerana masih punya anggota dan pancaindera yang masih lengkap ditubuh. Masih punya rumah untuk berteduh dan rezeki untuk mengisi perut berbanding dengan saudara seIslam kita yang mungkin tidak ‘semewah’ kita.
Makin kita selesa dengan hidup kita, makin kita lupa diri. Makin kita mengejar kemewahan dunia, makin kita lupa asal usul kita. Itulah beza rakyat Malaysia dan rakyat Gaza. Mereka bergelut dan berjuang untuk Islam. Tetapi kita pula?
Membaca buku ‘Cinta Di Langit Gaza’, seolah-olah ana berada bersama para aktivis yang melaksanakan misi kemanusiaan. Itulah beza penulisan antara pengalaman yang dilalui dengan mata kepala sendiri dengan hanya mendengar dan melihat dari jauh.
Membaca buku ini juga membuatkan ana terpanggil untuk turut serta dalam menulis pengalaman sendiri tatkala turun ke lapangan dakwah seperti di pusat hiburan, karaoke, sarang penghidu gam dan penghisap dadah, operasi ketika malam kemuncak dan banyak lagi. Moga Allah izin.
Jadi, kepada para pembaca yang mahu mengetahui dan merasai sendiri pengalaman yang dilalui oleh penulis, bolehlah mencarinya di kedai buku berdekatan ya. Selamat membaca dan mengambil ibrah darinya. Wallahua’lam.
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)