Sabtu, 9 Jun 2012

Luar Biasa…^^


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat), maka pahalanya dari Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang zalim.”
(Surah Asy-Syura, ayat 40)

 
Beruntunglah insan yang memiliki hati yang sihat dan hidup, kan? Sebab hati itu akan sentiasa disaluti dengan rasa bahagia dan ingin membahagiakan orang lain. Nak tak jadi insan yang luar biasa? Jom ikut akhlak Rasulullah s.aw…^^

Mungkin ada pembaca ingat kisah ini. Ada seorang wanita Yahudi begitu suka dan puas hati sekiranya dapat menyakiti Rasulullah s.a.w.. Setiap hari, ada saja cara yang akan wanita Yahudi ini lakukan untuk membuatkan Rasulullah s.a.w. sakit hati dan terluka.

Hari ini, wanita Yahudi letakkan duri yang tajam di laluan jalan yang sering Rasulullah s.a.w guna menyebabkan kaki Rasulullah s.a.w. terluka. Tetapi tidak sedikit pun Baginda s.a.w. membalas kembali perbuatan wanita Yahudi tersebut.

Esoknya pula, Wanita Yahudi campakkan najis ke arah Rasulullah s.a.w. ketika Baginda s.a.w. melalui jalan yang sama seperti semalam. Tetapi tidak sedikit pun Baginda s.a.w. membalas kembali perbuatan wanita Yahudi tersebut.

Begitulah yang dilakukan oleh wanita Yahudi tersebut sehari-hari, namun tidak sedikit pun perbuatannya itu dibalas oleh Baginda s.a.w. Allahu Allah…

Suatu hari, wanita Yahudi tersebut tidak melakukan hal yang sama sepertimana kebiasaan yang akan dia lakukan. Rasulullah s.a.w. tertanya-tanya ke mana perginya wanita Yahudi ini. Lalu Baginda s.a.w ke rumah wanita Yahudi tersebut untuk mengetahui keadaan sebenar. Rupa-rupanya wanita Yahudi ini jatuh sakit. 

Seringkali ana dengar ada sahabat akan berkata, “kalau ana berada di tempat Rasulullah s.a.w., mesti ana dah cakap ‘padan muka kau, inilah balasan sebab selalu buat jahat dekat aku’…”.

Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak berkata sedemikian, malah menziarahi wanita Yahudi tersebut yang jatuh sakit. Akhirnya, wanita Yahudi tersebut memeluk Islam kerana tertarik dengan peribadi dan akhlak Baginda s.a.w.

Mungkin ada juga yang teringat kisah ini. Ada seorang lelaki tua yang buta dan cacat, dia selalu mencaci Baginda s.a.w. “kamu, jangan percaya dan ikut cakap Muhammad bin Abdullah, dia seorang penipu dan kata-katanya tidak boleh dipercayai langsung…”.

Adakah Rasulullah s.a.w. membalas kata-katanya? Tidak sama sekali. Malah Baginda s.a.w. akan hancurkan sedikit nasi supaya menjadi halus untuk memudahkan lelaki tua itu makan dan barulah Baginda s.a.w. menyuapkan nasi tersebut ke dalam mulutnya. Baginda s.a.w langsung tidak memperkenalkan diri dan menyatakan Baginda s.a.w adalah lelaki yang dicaci itu hinggalah Baginda s.a.w. wafat. Allahu Allah.

Selepas Baginda s.a.w. wafat. Abu Bakar as-siddiq cuba melakukan semua perkara yang telah Baginda s.a.w lakukan, lalu Abu Bakar as-siddiq bertanya kepada anaknya iaitu Saidatina Aishah r.a. “wahai anakku, apakah masih ada perkara yang belum ku lakukan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.?”.

“Masih ada satu perkara yang belum ayah lakukan. Rasulullah s.a.w. selalu suapkan nasi kepada seorang lelaki tua yang cacat dan buta…”. ucap anaknya.

Lalu, Abu Bakar as-siddiq membawa nasi dan menyuapkan ke mulut lelaki tua tersebut. Tetapi lelaki tua itu terasa pelik dan hairan lalu bertanya, “kamu bukan lelaki yang selalu suapkan nasi kepadaku, dimana lelaki yang selalu suapkan nasi kepadaku sebelum ini?”. 

Abu Bakar as-siddiq menjadi sebak dan berkata, “akulah lelaki yang selalu suapkan nasi kepadamu sebelum ini…”.

“Tidak! kamu bukan lelaki itu. Dia akan hancurkan nasi ini terlebih dahulu sebelum menyuapnya ke dalam mulutku. Tetapi kamu tidak melakukan sepertimana dia lakukan…”.

Dengan nada yang hampir menangis, Abu Bakar as-siddiq berkata “lelaki tua itu sudah tiada lagi di dunia ini. Lelaki yang sering kamu kata sebagai seorang penipu dan jangan ikuti ajarannya itu sebenarnya adalah Rasulullah s.a.w.. Dan lelaki itulah yang sering menyuapkan nasi kepadamu…”.

Lelaki tua itu lalu menangis dan meraung serta menyesal dengan kata-katanya. Akhirnya, lelaki tua tersebut memeluk agama Islam kerana tertarik dengan akhlak dan peribadi Rasulullah s.a.w.

Allah……. (air mataku mengalir saat menulis kisah ini. Teringin sekali untuk bertemu dengan mu, wahai kekasih Allah).

--------------------------------------------------------------------

Jika tidak mampu untuk menahan amarah dan rasa geram dihati, cukuplah dengan kita diamkan diri dan kunci mulut dari berkata apa-apa. Ana teringat perkongsian yang dilakukan ketika berada di Penjara Pokok Sena.

“saya masuk sini sebab ada orang menganaiya saya. Dia letak dadah dalam rumah saya. Saya tidak tahu itu dadah, saya ambil untuk lihat apa benda. Tetapi sebaik sahaja pegang, polis sampai ke rumah saya. Maka saya dituduh dan masuk penjara kerana didakwa memiliki dadah…” 

Ana nampak dia selalu menangis sejak dari mula ana dan sahabat yang lain sampai disitu. Ana tahu ada yang tidak kena.

“Lepaskanlah rasa dendam dihati. Itu lebih baik dari menyimpan perasaan ‘sakit’ itu kerana dendam yang paling baik adalah dengan memaafkan insan tersebut.”  

Dia kembali menangis teresak-esak.

“memang saya berniat nak balas balik perbuatan orang yang anaiya saya tu sebab saya tahu siapa yang buat…”.

Ana senyum.

“Mungkin itulah ‘hijabnya’ kenapa Allah belum makbulkan doamu untuk keluar dari sini. Maafkanlah dia, lupakan apa yang telah dia lakukan dan mohonlah kepada Allah moga urusan di mahkamah nanti dipermudahkan. Manalah tahu Allah ‘hadiahkan’ rasa kemaafan dihati itu dengan melepaskan kamu keluar dari sini dengan cepat…”, ana memujuk. Dia masih direman dan menunggu perbicaraan seterusnya untuk menentukan samaada dia bersalah atau tidak. Moga Allah bantu.

Mungkin ada pembaca yang berkata, “mudahlah ukhty cakap, bukan ukhty yang lalui…”.

Ana hanya akan membalas dengan senyuman dan hati akan berkata, “hati yang merasai, pasti memahami dan tetap akan ku katakan, dendam yang paling indah adalah dengan memaafkan…”

Tak percaya? kisah Rasulullah s.a.w. buktinya…^^

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”
(Surah As-syura, ayat 43)


Wallahua’lam……

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus