Isnin, 25 Jun 2012

Kesedaran


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Kisah Benar.

Satu pesanan masuk dalam kotak inbox telefon.

“Assalamualaikum kak. Saya nak minta nasihat akak. Sejak semester 2 result saya jatuh, semester 3 pun sama. Semester 4 nie pun macam takde harapan boleh naik pointer. Orang kata, kalau semester 4 masih pointer tak okey, bila semester 5 takde harapan dah nak naik pointer. Salah saya juga main-main. Semester 5 lepas nie, memang tertutup ke peluang saya?”.

Saya senyum membaca bait-bait kata yang tertulis.

“Wa’alaikummussalam. Tidak ada erti kekalahan sebelum perjuangan tamat…:) ”

“Entahlah kak. Rasa tersentap terus dengan keadaan sekarang”.

“Eloklah. Syukurlah sedar sekarang dari sedar bila sudah last semester”.

Dia mula senyum. Semangatnya mula kembali.

“Alhamdulillah. Saya pegang kata-kata akak…:) ”

*******************

Saat menerima pesanan tersebut, ana seolah-olah melihat perjalanan hidup ana yang lalu berputar kembali. 

Sudahlah duduk dalam kelas paling hujung. Dapat kedudukan keputusan dalam kelas juga hampir-hampir hujung. Malah keputusan peperiksaan sering bertanda merah. Jika ana ceritakan ini, ada yang percaya ana bekas pelajar matrikulasi yang sering masyarakat anggap sebagai ‘budak pandai’ bila dapat sambung ke matrikulasi?

Masih ana ingat perbualan abah dan ummi selepas ana selesai temuduga untuk masuk ke sekolah agama berasrama ketika darjah 6. 

“Erm..kalau angah tak dapat masuk ke sekolah tu. Kita buat rayuan dekat pihak sekolahlah untuk terima angah sambung belajar kat situ ya…”.

Apa persepsi kalian bila baca kata-kata tu? Ana dapat agak, mesti ada yang berkata keputusan peperiksaan ana teruk dan mungkin juga pelajar paling bodoh….:) 

Alhamdulillah, ana lulus temuduga dan diterima masuk ke sekolah tersebut. Kejadian sama kembali berulang apabila keputusan PMR diumumkan dan abah minta ana tukar ke sekolah menengah biasa kerana bimbang ana tidak mampu untuk kuasai puluhan subjek jika berada di Maahad.

Kata-kata yang keluar dari mulut ana ketika ummi sampaikan hasrat abah untuk ana pindah sekolah, “angah nie bodoh sangat ke sampai nak angah tukar sekolah?”.

Apa yang berlaku setelah ana bertukar sekolah ketika itu? Ana melihat betapa ramai manusia yang lalai dan jauh dari Allah. Budaya couple, gangster, vandalism, ponteng kelas dan banyak lagi. Semua ini berlaku depan mata ana. Hari-hari ana lalui selama dua tahun sepanjang berada disekolah tersebut.

Saat itu ana mula sedar akan sesuatu. Apa dia? Amanah sebagai seorang Muslim untuk ummah. Ana juga sedar, ketika itu Allah s.w.t. mengambil kembali ilmu agama yang ana pelajari hingga hafazan tidak lekat dalam ingatan.

Apabila sudah sedar akan kekhilafan diri dan mula sedar akan tanggungjawab untuk ummah. Ana mula mengatur langkah dan matlamat hidup untuk menjadi mukmin professional. Kuasai pelbagai bidang ilmu walaupun tampak kecil dimata insan lain. 

Saat itu, ana sudah faham maksud dan pesanan para ustaz dan ustazah ketika di Maahad. “Belajarlah kerana Allah, belajarlah demi ummah!”. Ana belajar dan terus belajar.

Satu hari, keputusan SPM diumumkan. Terasa tidak percaya dengan keputusan yang ana terima. Ummi dan abah tersenyum bangga saat ditunjukkan keputusan tersebut. Lagi terasa bersyukur kepada Allah apabila dikhabarkan ana diterima masuk ke matrikulasi. Allahu akbar!

Ini luahan hati ana sendiri tatkala dijemput untuk memberikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah. Ana lebih gemar untuk memilih bersama dengan insan yang dari kelas tercorot atau hujung kerana ana juga dari kalangan mereka dahulunya…:)

Mereka ponteng sekolah, mereka rosakkan harta benda sekolah, mereka kurang ajar kepada para guru, malah ada yang berhenti sekolah kerana salah satu sebabnya mereka merasakan diri sudah tidak berguna dan tidak punya masa depan. 

Pergi sekolah, cikgu asyik marah-marah kerana tidak reti membaca dan menulis serta kerja sekolah tidak disiapkan. Balik rumah, parents asyik membebel itu dan ini. Maka, siapa yang mahu mendengar luahan hati mereka?

Tidak mudah untuk mengawalnya. Tapi bila mereka sedar? Rasailah momentum kejayaannya. Boleh baca kisah yang ana nukilkan disini ya,"Detik Permulaan Langkahku"

Ana teringat kata-kata seorang sahabat ketika ana sedang sibuk mengatur tentatif program, “Untungkan ukhty, muda-muda lagi sudah buat kerja dakwah. Ana terlambat, masa ana belajar sebelum nie, tak sedar pun. Bila dah tua baru sedar…”.

Ana senyum. “ana punya kisah hidup tersendiri. Tidak ada istilah terlambat, anggap sahaja  Allah pilih ana untuk ‘lahir’ dahulu. Itu lebih baik dari tak sedar langsung…”.

*******************

Pernah tak dengar atau baca ayat nie dalam hidup kita atau masyarakat sekeliling?

“Awak sedar tak apa yang awak buat nie boleh bahayakan nyawa sendiri?”
“awak sedar tak apa yang awak buat nie salah disisi undang-undang?”
“Saya dah insaf. Saya sedar saya banyak buat dosa kepada kalian”.

Sedar. Kesedaran.

Samaada diri kita sendiri yang sedar. Atau kita yang sedarkan orang lain. Tidak mudah untuk kita sedar akan kekhilafan diri dan tidak mudah juga untuk kita sedarkan orang lain tentang kesalahannya.

“Apabila seorang wanita sedar dirinya belum menutup aurat dengan sempurna, pasti dia akan cepat-cepat mencari kain untuk menutup bahagian yang terdedah. Apabila seseorang sedar dirinya sering bergelumang dengan dosa, pasti dia akan segera bertaubat kepada Allah s.w.t. Apabila diri sendiri sedar akan amanah dan tanggungjawab terhadap ummah, apakah dia akan bergoyang kaki dan berpeluk tubuh sahaja?”

Cuma satu pesan ana. Sedarlah, kita semua akan mati dan akan diadili di mahkamah Allah. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus