Ahad, 13 Januari 2013

Sandarkan Pada Allah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh Alam, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para muslimin dan muslimat, moga dalam jagaan dan rahmat Allah selalu.

Minggu lepas, ada seorang sahabat menghantar pesanan dalam telefon bimbit dan bertanya bagaimana untuk mendapatkan keikhlasan dalam hidup. Mesej itu ana biarkan tanpa apa-apa balasan.

Entah mengapa, ana terasa seperti tiada jawapan yang sesuai dan tepat untuk jelaskan padanya. Seringkali kita dengar, ikhlas itu adalah rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu apakah hati kita benar-benar ikhlas atau sebaliknya.

Namun, akal ana mula fikirkan sesuatu. Hari kiamat tidak ada seorang manusia pun yang mengetahui bila tiba hari tersebut hatta Nabi Muhammad s.a.w sendiri kerana perkara itu juga adalah termasuk dalam rahsia Allah

Tetapi, kita dapat mengagak bila kedatangannya yang mana kebanyakan ulama’ banyak menyebut bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat (tarikhnya, hanya Allah yang tahu).

Rasulullah s.a.w juga memberikan tanda-tanda kiamat. Tanda itu sering dibicarakan dalam ceramah atau tazkirah rohani. Tanda-tanda ini ‘membantu’ kita untuk sentiasa beringat bahawa dunia sudah semakin ‘tua’.

Begitu juga soal ikhlas. Walaupun ianya merupakan rahsia Allah, namun ada tanda atau langkah untuk memperolehi keikhlasan apabila melakukan sesuatu perbuatan atau amal. 

Maka, ana belek satu kitab dan menjumpai kata-kata ini:


ketika itu, ana terus teringat perkongsian ilmu semasa menonton rancangan Tanyalah Ustaz di Tv9. Ustaz tersebut menceritakan betapa liciknya syaitan laknatullah dalam mengoda dan menghasut manusia supaya jauh dari Allah s.w.t.

Katanya, “Kita mahu buat amal kebaikan. Contohnya kita mahu membaca al-quran. Syaitan pun bisik pada kita, “ala…awal lagi nie. Mainlah facebook dulu, kejap lagi pun boleh baca”. Kita pun tangguh dulu untuk baca al-quran. Selang beberapa jam, kita teringat belum baca al-quran. Syaitan pun bisik pada kita, “penat dah mengadap facebook tu, esoklah baca al-quran. Tidurlah dulu”. Kita pun tidur.

Esoknya ketika bangun dan selesai subuh. Kita nekad nak baca al-quran sebab semalam tidak sentuh langsung al-Quran. Syaitan pun bisik pada kita, “yelah..bacalah kalau nak baca. Tapi bacalah kat tempat ramai orang, biar orang tahu suara kau tu merdu bila baca al-quran”. Lihatlah, pada mulanya kita mahu buat kerana Allah, tetapi akhirnya buat kerana mahu mendapat pujian manusia.”



Dua minggu lepas. Ana pergi ke kuliah pengajian hadis Shahih Al-Bukhari sendirian. Ada kisah disebaliknya. Dan ianya benar-benar memberi peringatan dan tarbiyah buat hati ana.

Selalunya ana pergi dengan seorang sahabat, tetapi hari itu beliau ada hal yang perlu diuruskan. Hati ana berkata, “takpa, perlu pergi juga sebab dah janji nak jumpa orang lain”.

Semasa sedang bersiap memakai hijab, sahabat yang mahu berjumpa dengan ana ketika di kuliah nanti menghantar pesanan dan mengatakan beliau tidak dapat hadir kerana ada urusan keluarga yang mustahak.

Allahu Allah. Ketika itu hati berbelah bagi mahu pergi ataupun tidak. Berat untuk pergi sendirian walaupun dekat saja kuliahnya. Berat juga untuk tinggalkan kuliah ilmu yang amat ana perlukan.

Akhirnya ana buat keputusan untuk pergi juga kerana sudah siap memakai hijab. Ana panaskan enjin kereta dan terus berlalu pergi.

Dalam perjalanan, baru ana tersedar akan sesuatu. Terus istighfar. “Ya Allah…sebelum ini hamba pergi kerana ada teman. Jika tidak punya teman, ada sahabat yang menunggu di sana. Kali ini Engkau takdirkan keduanya punya hal yang mustahak kerana Engkau mahu hamba ini mengerti supaya lakukan sesuatu hanya kerana Mu dan bukan kerana manusia. Allahu Allah. Maafkan hamba atas kekhilafan diri yang dilakukan tanpa disedari”.

Ketika itu, hati terasa tenang sangat. Tiada apa yang mengusarkan hati walaupun memandu sendirian kerana dalam hati tiada niat yang lain melainkan mahu menuntut ilmu kerana Allah dan ummah.

Mahu tahu? Dalam kuliah tersebut, tidak disangka-sangka ana bertemu dengan sepupu ana dan sangat teruja apabila beliau mengatakan bahawa beliau mempunyai kitab-kitab yang diajarkan sebelum ini. Ana tercari-cari siapa yang ada kitab yang diajarkan sebelumnya, tidak menyangka Allah pertemukan kami pada hari itu. Allahu Allah.

Indahnya apabila melakukan sesuatu kerana Allah.

Ada yang berikan tips kepada ana agar hati sentiasa ikhlas dan tidak fikirkan pandangan manusia. Iaitu, terus laksanakan apabila hati terdetik tentangnya. Bagaimana? 

Apabila hati terdetik mahu bagi derma atau sedekah, terus ambil duit dan bagi. Usah tangguh dan cakap kat hati, “ish…macam mana kalau orang kata aku riak”. Kerana apa? Apabila kita tangguh dan tidak segera melakukannya, syaitan akan mendahului amal kita. Maka, terpesonglah niat di awalnya.

Keduanya, hati yang ikhlas tidak akan terkesan dengan kritikan mahupun pujian. Individu sebegini akan sentiasa senyum dan tenang saja tidak kira saat dia dicaci atau dihina, atau di puji setinggi langit.

Susahkan nak ikhlas?
Mestilah…Kerana susah itu tarbiyah, sabar itu indah…(^^,)

Wallahu’lam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus