Isnin, 21 Januari 2013

Berilah peluang



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Moga umur yang telah berlalu dan bakal berlalu sentiasa berada dalam jagaan dan rahmat Allah s.w.t.. Selawat dan salam buat kekasih yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda s.a.w. Jua buat para muslimin dan muslimat.

“Geram ana tengok dia tadi. Nada bercakap nampak ego dan riak. Rasa nak bagi penampar je!”, marah seorang sahabat. Wajahnya berubah menjadi kemerah-merahan.

Ana senyum. Tidak diakui, ana juga setuju dengan kata-katanya. 

“Sabarlah sahabat. Kita juga sepertinya dulu ketika diawal memegang jawatan dalam organisasi. Darah muda kan cepat panas. hehe…”, pujuk ana.

Dia diam.

Begitulah juga dengan ana diawal permulaan memasuki dunia kepimpinan. Ada saja yang mahu dikritik, cepat saja mulut membantah jika ada yang tidak kena, emosi juga turun naik.

“Bergaul dengan masyarakat membuatkan kita cepat matang”.

Lama-kelamaan, ana mampu mengukir senyuman dan tanganinya dengan rasional apabila timbul masalah. Tidak lagi membalas hujah dengan menyalahkan orang itu atau ini. Hanya tunjukkan jalan solusi dan berikan pesanan tanpa sindiran.

Memang ada insan yang hadir dengan sikap yang begitu cerewet dan merumitkan keadaan. Tidak kurang juga perwatakannya yang serba tidak tahu dan ‘malas’ bagi komitmen, semuanya mahu disuap depan mata.

Apabila bertemu dengan insan sebegini, terus pujuk hati, “sabarlah…aku juga seperti ini diawalnya. Bermula dari kosong hinggalah mampu menguruskan program sendiri”.


Begitu juga dengan mereka yang jauh dari fitrah Islam sebenar dan yang baru sahaja berhijrah. Berilah mereka peluang untuk perbaiki diri sepertimana Allah s.w.t. berikan peluang kepada kita saban waktu untuk bertaubat dari dosa lalu.

Belajarlah untuk memaafkan dan senyum. Mereka ibarat anak-anak kecil yang masih cuba untuk bertatih dan belajar untuk terokai dunia baru. Sedarlah, kita berurusan dengan manusia yang mempunyai pelbagai sikap dan perwatakan yang unik.

Hadis daripada Ibnu Umar r.a. menyebut, "Seorang Mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu".
[Riwayat Tirmizi dan Majah]

Ana teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat ketika mana ana merasa lelah dan letih dengan pelbagai mehnah dan ragam manusia yang langsung tidak di duga kehadirannya. Ketika itu, terasa mahu lari jauh dari bertemu dengan banyak orang.

“Ada sebuah kampung. Penduduknya begitu jauh dari fitrah Islam yang sebenar. Minum arak, berjudi, berzina, merompak, membunuh dan sebagainya dianggap juara dan menjadi lumrah hidup. Bagi mereka yang tidak melakukan itu dianggap lemah dan ketinggalan zaman.

Satu hari, Allah s.w.t. perintahkan para Malaikat untuk turunkan bala dan musnahkan kampung tersebut diatas perbuatan maksiat yang mereka lakukan. Malaikat berkata, “Dihujung kampung, tinggal seorang alim yang tekun melakukan ibadat, mengikuti perintah dan menjauhi larangan Mu. Jika kampung itu dimusnahkan, dia turut akan terkena balanya.

“Jika begitu, hempapkan dahulu gunung diatas kepalanya kerana dia tidak melakukan amar makruf nahi mungkar”.

Allahu Allah.

Pengajaran dari kisah ini, perlu ada dalam golongan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Usah pentingkan diri sendiri dengan menjalani kehidupan seolah-olah kita seorang diatas muka bumi ini tanpa bergaul dengan masyarakat.

Ana diam sambil muhasabah diri sebaik sahaja mendengar kisah ini. Mampu memotivasikan diri sendiri untuk tetap teguh pada jalan dakwah dan sabar dalam menghadapi manusia yang pelbagai ragam.

Manusia dan dunia ini
pasti mempunyai kekurangan
yang tidak sedap dipandang mata
atau kelemahan yang mencemari kemulusannya.
Tidaklah adil jika engkau
menginginkan teman yang bersih di dunia ini
sedang engkau sendiri tidak bersih.
[Akhawat Medic]

Berilah peluang, belajarlah untuk memaafkan dan sudilah untuk membimbang dengan hikmah kerana kita juga seperti mereka dahulunya dan masih dalam proses untuk belajar. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus