“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau anugerahkan ini, moga hamba ini menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia dan akhirat, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan untuk menulis sesuatu dalam ‘diari maya’ ini. Seperti hilang rentak untuk menulis setelah dihimpat oleh kesibukan yang tidak pernah surut. Mencuri sedikit masa untuk menulis supaya terus istiqomah. Doakan ana ye sahabat….(^^,)
Semalam, disapa satu soalan oleh adik junior “ Assalamualaikum akak, macam mana kita nak memotivasikan diri kita supaya setiap hari kita bersemangat untuk jalani kehidupan ini?”.
Sejujurnya ana agak terkejut dengan soalan nie kerna setiap kali ana jumpa dia, seolah-olah dirinya tiada masalah. Sentiasa tersenyum dan sabar melayan kerenah rakan-rakan dan teman sekelilingnya. Namun itulah fitrah manusia yang semenangnya tidak terlepas dari diuji dengan pelbagai masalah dan dugaan.
Mungkin orang lain melihat kita ini ‘kebal’ dari pelbagai masalah yang sentiasa mengejar dan menunggu peluang untuk jatuhkan kita. Tetapi hakikatnya tidak begitu kerna kadang-kala kita akan jatuh hingga terduduk dan air mata menjadi peneman setia untuk melegakan apa yang terpendam di lubuk hati.
Bagi ana sendiri, saat motivasi hilang dari dalam diri adalah permulaan ‘kejayaan’ syaitan laknatullah untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t. Kerna apa ana katakan sedemikian? Kerna ketika itu iman kita lemah hingga tidak mampu menangkis rasa hati. Dan kita dengan mudahnya mendengar bisikan halus dari Syaitan Laknatullah.
“Saat kekalahan itu bermula apabila kamu berasa lemah dalam perjuangan dan saat kemenangan itu bermula apabila kamu melawan rasa lemah itu”
(Syed Qutb)
Jadi, persoalannya disini adalah bagaimana kita mahu terus bermotivasi dan bersemangat hatta diuji dengan pelbagai dugaan, masalah, tomahan, tekanan dan kritikan?
Bagi ana sendiri, semua itu terpulang pada diri sendiri. Ayuh kita renung seketika manusia Agung iaitu Rasulullah s.a.w…
Perjalanan hidupnya cukup-cukup penuh dengan pelbagai dugaan. Ketika masih dalam kandungan bondanya, Baginda s.a.w. sudah menjadi anak yatim. Ketika usia masih terlalu muda, kehilangan pula bonda dan datuk tercinta. Sejak kecil belajar berdikari dan bekerja sebagai pengembala kambing.
Seterusnya berkahwin dengan Khadijah dan diangkat menjadi Nabi. Sebelum itu Baginda s.a.w. disayangi oleh masyarakat sekeliling dan kaum kerabat Baginda s.aw… namun sebaik sahaja Baginda s.a.w diangkat menjadi Nabi, dirinya dipulau, disakiti, dihina, dicerca, malah mahu dibunuh.
Saat dalam tekanan, kehilangan pula isteri tercinta dan bapa saudaranya. Tekanan yang dialami semakin hebat ketka itu. Walaupun Baginda s.a.w. adalah kekasih Allah s.w.t., Baginda s.a.w. tetap menerima ujian hidup seperti manusia lain malah dugaan yang dilalui lebih hebat dari kita.
Namun kerna keyakinan Baginda s.a.w. terhadap Allah s.w.t. bahawa semua itu ada hikmahnya dan sentiasa bersangka baik dengan setiap aturanNya, Baginda s.a.w. tetap berlapang dada menerima semua itu.
Lihat….betapa besarnya pengorbanan Baginda s.a.w. kepada umat Islam hingga kita sendiri tidak mampu untuk membalasnya. Namun, kenapa kita masih tidak mahu menghargai Islam yang kita anuti kini dan membalasnya dengan maksiat kepada Allah s.w.t…? (T__T)
Apa yang dapat ana simpulkan dari perjalanan hidup Baginda s.a.w. adalah, Baginda s.a.w sentiasa positif dan optimis dalam setiap dugaan hidup yang dilaluinya dan sentiasa bersangka baik dengan orang lain hatta orang tersebut mahu membunuhnya.
Hidup adalah perjuangan
Perjuangan dalam hidup tidak akan selesai selagi denyutan nadi dan nafas tidak terhenti. Perjuangan hidup yang menentukan dimanakah kedudukan kita, samaada disyurga Allah (alhamdulillah) atau pun dineraka Allah (Nauzubillah).
Bohonglah kalau ana katakan ana tidak pernah merasa lemah tatkala menghadapi dugaan hidup yang tiada noktahnya. Hidup sebagai kak ngah yang punya adik beradik ramai, pelajar di sebuah universiti tempatan, pemimpin dalam organisasi, aktivis dalam pertubuhan luar, usahawan perniagaan online dan juga tempat luahan sahabat-sahabat dan masyarakat sekeliling.
Tekanan itu pasti akan sentiasa hadir, pasti akan ada. Apatah lagi melayan kerenah manusia yang punya berjuta ragam dan langsung tidak mahu memahami orang lain. Hinggakan tidak punya waktu yang cukup untuk diri sendiri.
Namun kerna ana yang memilih jalan ini, ana cuba ‘mengharamkan’ mulut ini untuk merungut dengan segala dugaan dan tekanan yang hadir. Jadi, apa yang ana lakukan supaya sentiasa bermotivasi?
Pertama, ikatan hati dengan Allah s.w.t. Kalau yang nie tak selesai, yang lain-lain pun akan ada masalah. Allah akan tolong atau bantu ke orang yang buat maksiat kepadaNya? Mungkin ada sesetengah orang cakap “ala…yang tak cukup solat dan tak tutup aurat pun boleh berjaya, nampak relax je hidup”.
Baik…kalau macam tu, pergi tanya kat dia sendiri. Tenang tak dengan hidup yang dilalui sekarang? kerna pandangan kita yang melihat dan orang yang melalui adalah berbeza. Dan tengok setakat mana dia boleh nampak relax dalam keadaan bergelumang dengan dosa.
Sedangkan orang mukmin akan sentiasa tenang dan tersenyum dalam segenap keadaan kerna hatinya sudah dipegang oleh Allah s.w.t…Dia tidak akan sesekali gentar dengan sesiapa pun kecuali Allah s.w.t…kerna apa? Kerna pemilik dunia dan akhirat serta tentera-tenteranya ada disisi kita dan membantu tanpa kita sedari.
Pengalaman ana sendiri, ada satu program yang susah sangat nak dapat kelulusan. Ketika itu azan zohor berkumandang, ana ambik wuduk dan solat. Hati terus merintih.. “Ya Allah…terima kasih atas teguran ini. Jika Engkau izin projek ini dilaksanakan, permudahkanlah urusankan ku. Namun jika sebaliknya, Engkau tabahkan hati ini untuk melaluinya”. Air mata mengalir deras kerna terasa seperti putus asa.
Namun, sebaik sahaja selesai solat, ana pergi sekali lagi untuk dapatkan kelulusan. Subhanallah, tidak sampai 10 minit projek itu akhirnya diluluskan. Ibrahnya, yakinlah Dia ada untuk membantu orang mukmin.
Keduanya adalah syukur dan sabar. Tatkala usrah dengan adik-adik ana, mereka menceritakan pengalaman yang dilalui. Dan ternyata setiap orang punya kisah hidup dan dugaan yang berbeza tetapi tetap ada masalah.
Ketiganya adalah positif, bersangka baik dan berhenti merungut. Semua itu ada kaitan dengan hati. Positif dengan masalah yang melanda, bersangka baik dengan orang yang berikan masalah dan mencari solusi masalah tersebut dan bukan merungut.
Kita seringkali menyalahkan keadaan atau orang lain sekiranya masalah melanda tetapi sayangnya jarang sekali muhasabah diri sendiri. Jari kita yang satu menuding jari kepada orang lain tetapi sedarkah kita bahawa lagi 9 jari menuding ke arah kita?
Hikmahnya apa? semak diri kita dulu sebelum menuduh orang lain. Adik usrah ana ada berkata, “akak…saya rasa saya jadi macam nie sebab saya pernah buat kat orang lain kot dulu…tapi saya tidak sedar benda tu…”
Dan ana mengangguk tanda mengiayakan apa yang dikatakan. Dunia ini adil kerna hakimnya adalah Allah s.w.t dan orang mukmin sentiasa percaya bahawa setiap perbuatan akan ada balasannya.
Jika kamu mengaibkan atau prasangka buruk dengan orang lain, suatu hari nanti kamu juga akan kena. Jika kamu sumpah seranah orang lain, kamu juga akan kena suatu hari nanti…tak percaya? cubalah buat..hee~
Tidak kiralah apa yang orang buat, mengata, kritik atau fitnah kita. Tetapi sekiranya kita tenang, memandang masalah dari sudut positif, bersangka baik bahawa orang itu tidak tahu keadaan sebenar dan berhenti merungut dengan itu ini dengan orang yang mengutuk kita. InsyaAllah….hidup kita akan sentiasa dalam senyuman.
Sekiranya kita marah atau sakit hati. Ia hanya membuatkan hidup kita pada hari itu akan dalam kemurungan kerna kita sentiasa fikirkan kata-katanya. Maka, usirlah semua itu dengan cepat dan gantikan dengan minda yang positif. Usah bazirkan hari-hari indah kita dengan kata-kata ‘busuk’ itu…(^^,)
“Carilah satu dunia asing..untuk kamu keluar dari diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah s.w.t., samaada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan Zikrullah…”
“carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya buat anak muda berjiwa da’ie, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi…”
-Ustaz Hasrizal Abdul Jamil-
XXXXXXXXXXXX
Tatkala berhadapan dengan manusia yang penuh dengan pelbagai ragam, hati sentiasa memujuk, “sabar itu indah…kamu berurusan dengan manusia dan bukan dengan para malaikat…tenanglah…”
Tatkala hati terasa sakit dengan pelbagai kritikan dan tomahan, hati sentiasa memujuk, “Alhamdulillah…kritikan lebih baik dari pujian kerna jika diuji aku boleh bersabar, jika dipuji aku takut akan riak.”
Tatkala dilanda masalah, hati sentiasa memujuk “alhamdulillah, Allah s.w.t. hadirkan masalah ini supaya aku lebih kuat dan kenal erti kehidupan serta lebih berdikari…”
Tatkala terasa lemah dan mahu berundur, hati sentiasa memujuk “aku sudah bertahan hingga ke saat ini, jadi aku mahu tetap dijalan ini hingga nafas dan denyut nadi yang terakhir…”
Dan tatkala ana perolehi sesuatu nikmat, sujud syukur dilakukan sebagai tanda berterima kasih kepadaNya. Dan tatkala ana lulus ujian kehidupan, pasti akan ada penghargaan buat sendiri seperti belanja diri sendiri makan ais-krim..hee~
Kata-kata yang sering ana katakan pada diri… “Tidak ada sesuatu apa pun yang dapat kalahkanku melainkan diriku sendiri dan tanpa izin dari Allah s.w.t… trust Allah and trust your self….I THINK I CAN…”
Wallahua’lam…