Rabu, 14 September 2011

Penapis Iman


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabagt Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih mengizinkan hamba ini untuk terus istiqomah dalam menulis. Catatan pertama ana setelah tiba di kampus. Ya Allah….teramat sibuk walaupun baru empat hari kuliah bermula. Mencuri masa sedikit untuk berkongsi sesuatu buat para pembaca.

Ana sujud syukur setelah urusan kelas, kuliah dan tempat praktikal dipermudahkan olehNya. Masih berada dalam biah solehah kerna hampir kesemua pensyarah punya fikrah Islam dan hati seringkali dimuhasabah. Terasa tidak sabar pula untuk mula belajar ilmu baru yang bakal ana pelajari…(^^,)

Ketika masuk dalam satu kelas, hati jadi sebak sangat. Apatah lagi pensyarah tersebut seringkali menceritakan tentang Rasulullah s.a.w… Beliau juga menceritakan pengalaman sendiri berhadapan dengan masyarakat kini yang jauh sekali dari fikrah Islam yang sebenar.

Apa yang buat ana terkesan adalah disaat dia menyebut, “apakah nikmat yang kalian perolehi sepanjang bergelar muslim?”.

Allah….tak terhitung dek jari kerna terlalu banyak. Tetapi mengapa masih ramai yang kufur nikmat, tak reti bersyukur dan tidak mahu sujud kepada yang Maha Pemberi Nikmat?

Beliau juga ada menyebut tentang betapa hebatnya tentangan yang diterima oleh umat Islam diluar Malaysia jika dibandingkan dengan kita. Kita merasakan seolah-olah bergelar Muslim itu adalah suatu yang biasa.

Tidak menutup aurat, tidak menunaikan solat, bergaul bebas tanpa batasan dan banyak lagi, semua itu sudah menjadi kebiasaan dan tidak pelik. Tetapi apabila melihat orang yang berkopiah dan berserban, bertudung labuh dan berniqob serta menjaga batasan, orang menganggap semua itu pelik dan janggal.

Mengapa semua ini terjadi? Adakah kita mahu negara kita ini menjadi seperti negara Arab di Palestin, baru kita mahu mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya? Atau adakah kita mahu negara kita menguatkan akta pengharaman memakai tudung seperti di negara Eropah, baru kita mahu mula bertudung?

Apabila kita sudah selesa dengan kedudukan yang ada, pasti sukar untuk mengubahnya…hanya insan terpilih sahaja yang akan melakukan perubahan tersebut. Dan mahukan kita menjadi insan yang biasa-biasa sahaja sedangkan syurga itu tinggi martabatnya dan mahal nilainya?

Semalam, ana sempat membuat sedikit survey di facebook untuk melihat setakat mana pemikiran dan pandangan masyarakat dengan bertanya soalan yang sama yang ditanya oleh pensyarah ana.

Dan ramai sekali yang menjawab, “nikmat paling besar adalah nikmat Iman dan Islam”.

Lalu ana bertanya, “Dimanakah nikmat Ihsan? adakah ditolak tepi?”

Dan tidak ramai yang mampu menjawab. Ana tertarik dengan komen dari seorang sahabat tentang ini. Katanya…

Ihsan adalah sebahagian dari Nikmat Islam, sama seperti Nikmat Iman itu sendiri adalah sebahagian dari nikmat Islam. Merujuk kepada hadis 40 (imam An-Nawawi) (hadis no2) Jibril minta Nabi saw jelaskan tentang Islam, Iman dan Ihsan. Ini kerana ketiga nikmat ini adalah dalam satu nikmat yang besar iaitu Islam. Yg membezakan ketiga nikmat ini ialah level/tahap/ kedudukan seseorang hamba di sisi Allah swt”

“Huraian ana : (seseorang/sesiapa sahaja yang ingin mencapai tahap ihsan mesti beriman kepada rukun iman dan rukun Islam atau dengan lebh mudah perlu mengimani semua rukun iman dan Islam. manakala untuk memperolehi nikmat Iman, mereka perlu kepada nikmat Islam. seseorng yang dikatakan beriman semestinya dia Islam dan belum pasti orang yang beriman, dia bersifat Ihsan.”

“Manakala, seseorang yang Islam, belum pasti dia beriman dan mustahil dia bersifat ihsan. Adapun seseorang yang ihsan, wajib dan mesti dia Islam dan Beriman..Kerana level inilah yg membezakan kedudukan seseorang hamba di sisi Allah swt.”

 “sebagai contoh, seseorang yang beriman kepada Allah swt sbg Tuhan seluruh alam, tidak semestinya dia beriman kepada Nabi Muhammad saw. Tetapi jika dia beriman kepada Nabi Muhammad saw, wajib dia juga beriman kepada Allah swt. Begitu juga dengan tahap ubudiyyah seorang hamba..ada hamba yang beribadah kerana balasan pahala dan syurga, ada juga yang beribadah kepada Allah swt mengharapkan keredhaannya”

untuk mudah faham...Ihsan terkumpul dalam Iman dan Iman terkumpul dalam Islam. Jika dia orang Islam, belum pasti dia beriman (sebab itulah banyak maksiat yang berlaku). Jika dia Islam dan beriman, belum pasti dia Ihsan (sebab tu banyak ibadah yang tidak ikhlas) Dan jika dia seorang yang ihsan, mesti dia Islam dan beriman.

Mungkin ada yang bertanya, apakah itu Ihsan? Baiklah, Ihsan dari segi bahasanya adalah membuat sesuatu yang baik. Tetapi dari segi syara’ pula adalah peribadatan insan terhadap Allah  seolah-olah dia melihat Allah. Seandainya dia tidak melihat Allah, maka yakinlah bahawa Allah melihat dirinya, peribadatannya dan mengetahui isi hatinya.

“Ihsan itu apabila engkau beribadat kepada Allah, seakan-seakan engkau melihat Allah. Jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”
(Riwayat Muslim)

Nah….inilah solusinya kepada masalah riak, bangga diri, kufur nikmat, dengki, prasangka buruk, mengumpat, mencuri, merompak, dan banyak lagi gejala sosial yang melanda dalam masyarakat Islam kini.

Kerna apa ana katakan ini solusinya? Kerna dia tahu Allah melihat apa yang dia lakukan tidak kira dimana dia duduk. Malah ada dua malaikat penjaga yang mencatit segala perbuatan yang dilakukannya setiap detik dan saat…Allahuakbar.

Seperti kisah yang seringkali kita dengar ini. Ada seorang guru yang mahu menguji anak muridnya. Lalu beliau berikan setiap seorang seekor ayam dan sebilik pisau untuk disembelih. Dan tuan guru tadi berkata, “sembelihlah ayam ini ditempat orang yang tidak melihat kamu”.

Maka berjalanlah setiap anak muridnya mencari tempat tersorok supaya tidak dilihat oleh orang lain. Dan masing-masing pulang dengan tangan yang berlumuran darah serta ayam yang sudah disembelih di tangan masing-masing kecuali seorang dalam kalangan mereka yang tidak menyembelih ayam tersebut.

Lalu, tuan guru tersebut bertanya kepada anak murinya, “mengapa kamu tidak menyembelih ayam tersebut seperti sahabat-sahabatmu yang lain?”

Maka anak murinya itu menjawab, “wahai tuan guruku, bagaimana saya mahu menyembelih ayam ini sedangkan semua tempat yang saya pergi dilihat oleh Allah. Saya menyorok di bawah rumah, Allah juga melihat. Saya menyorok dalam semak, Allah juga melihat. dan Saya menyorok dalam perigi lama juga, Allah melihat.” 

“Sudah banyak tempat saya pergi, tetapi Allah tetap melihat apa yang saya lakukan sedangkan tuan guru memberitahu supaya menyembelih ayam ini ditempat yang orang yang tidak nampak apa yang kita lakukan….”

Maka benarlah tekaan tuan guru tersebut bahawa anak muridnya ini bakal menjadi ulama’ yang terkemuka suatu hari nanti kerna peribadinya sentiasa takut kepada Allah s.w.t…

Jadi, terjawablah teka teki tajuk artikel kali ini. Ihsan adalah penapis Iman yang cukup-cukup hebat dan berkualiti. Mampu menapis tudung-tudung yang tidak ikut syariat, mampu menapis filem-filem atau cerita yang tidak senonoh dipandang mata, mampu menapis kata-kata yang lagha dan sia-sia, mampu menapis hati dari ego, buruk sangka dan dengki terhadap orang lain. Dan banyak lagi.

Tetapi bagaiman untuk mendapatkan penapis Iman ini? Ana ada cara, setiap hari dan setiap detik, katakan pada diri…

“Allah sentiasa bersamaku, Allah sentiasa melihatku, Allah sentiasa menjadi saksiku”

Buat para da’ie, para murobbi, para ibu bapa, para kaunselor dan kesemuanya. Didiklah masyarakat kita supaya takut dengan Allah s.w.t…dan pasti masalah gelaja sosial yang semakin rumit ini dapat diatasi sedikit demi sediki…insyaAllah… wallahua’lam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

blog comments powered by Disqus