Ahad, 1 Ogos 2010

Ya Allah…aku malu sendiri…



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba yang hina lagi kerdil ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah…akhirnya punya ruang dan kesempatan untuk menulis. Beberapa hari yang lalu, Pusat Islam menganjurkan Kursus Pendakwah Muda kepada Fasilitator Pusat Islam sesi 2010/2011 serta penyertaannya dibuka kepada umum yang berminat untuk menyertainya.
Banyak perkara yang bermain di minda sebaik sahaja Kursus siri 1 ini melabuhkan tirainya…hati ini berbisik lagi… “aahh..terkena lagi, malunya aku Ya Allah…”
Jiwa, Iman, hati juga mindaku dibasuh bukan sahaja dengan “sabun” malah juga dibasuh dengan “pembasmi kuman”. Terasa makin tenang saat meneruskan pengembaraan. Malah air mata ini juga hampir-hampir mengalir di pipi di kala itu. Bergetar hati ini saat coretan sejarah perjalanan kekasih hati yang amat ku rindui keluar dari mulut yang memberi ceramah.
Mahu sahaja ku tutup telinga dan bangun melangkah keluar dari dewan. Tidak sanggup untuk ku mendengar lagi kisah kekasih yang amat ku cintai ini dicaci, dimaki dan dihina. Benar…ku sudah tidak sanggup lagi mendengarnya…
XXXXXXXXXXXXX
Pesanan dari penceramah masih terngiang di telinga ini, “berpegang teguhlah pada jalan mu, seandainya kamu yakin bahawa jalan yang kamu pilih ini adalah jalan yang diredhai Allah…teguhkan pendirian dan teruskan langkah mu walau sesukar mana sekalipun…”
Beliau juga menceritakan kisah perjalanan Baginda s.a.w. yang tetap teguh menyampaikan da’wah walaupun diugut oleh kaumnya sendiri. Peringatan itu diberikan kepada bapa saudara Baginda s.a.w. iaitu Abu Talib untuk disampaikan kepada Baginda s.a.w.
Wahai Abu Talib ! kau mempunyai kedudukan dan martabat di sisi kami, sebelum ini kami meminta tuan melarang usaha-usaha anak saudara tuan, namun tuan tidak melarangnya. Kini, kami tidak boleh lagi bersabar dengan tindakan anak saudara tuan mencaci nenek moyang kami, memperkecilkan pemikiran kami, mempersendakan tuhan-tuhan kami, kau mesti jahanamkannya atau biar kau dan anak saudara kau bertarung dengan kami, hingga binasa salah satu pihak.

Abu Talib terasa berat dengan ugutan tersebut lalu memberitahu Baginda. Rasulullah saw berkata; Wahai bapa saudaraku! Sekiranya mereka sanggup meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, supaya aku tinggalkan urusan ini, tak akan ku tinggalkannya sehinggalah Allah memenangkannya atau aku musnah kerananya, lalu Baginda pun pergi.

Abu Talib memanggil Baginda dan berkata,“ Wahai anak ku! Ayuh serukanlah sekehendakmu, demi Allah aku tidak akan menyerahkan kau kepada sesuatu apa pun”

Ya Allah….aku malu untuk bertemu Baginda s.a.w. kiranya aku “berundur” dari dunia da’wah ini hanya kerna mendapat ancaman yang sedikit berbanding Baginda s.a.w.

XXXXXXXXXXXXX
Penceramah juga menceritakan betapa Rasulullah s.a.w. tetap teruskan pendiriannya untuk menyampaikan risalah walaupun dirinya dihina, dicaci, dimaki malah dilukai. Tetap Baginda berdoa moga mereka diberi hidayah.
Ini dapat dilihat sebagaimana yang berlaku tatkala baginda berdakwah kepada penduduk Taif untuk mengembangkan agama Islam, dakwah baginda telah ditolak. Tidak cukup dengan itu, orang-orang yang berkuasa dan berpengaruh di situ telah mengarahkan kepada penduduk Bani Tsaqif yang ada di Kota Taif untuk mencaci-maki dan mencerca serta mendustakan diri Nabi Muhammad S.A.W..
Mereka juga melemparkan batu dan pasir kepada baginda dan sahabat yang bersamanya, iaitu Zaid bin Harithah. Meskipun baginda mengalami kecederaan, penganiayaan kaum Bani Tsaqif dan penduduk Taif terhadap baginda tetap diteruskan tanpa balas kasihan.
Sekembalinya Nabi Muhammad s.a.w. ke Mekah, datanglah Malaikat Jibril dengan diiringi Malaikat penjaga gunung berjumpa baginda. Malaikat penjaga gunung menawarkan diri jika Rasulullah s.a.w. berkehendak, untuk memusnahkan kaum Bani Tsaqif yang derhaka kepada perintah Allah itu. Tetapi baginda hanya menjawab Tidak! Bahkan saya mengharap mudah-mudahan Allah mengeluarkan dari keturunan mereka orang yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan dengan sesuatu pun’.
Begitulah mulianya akhlak baginda Rasulullah s.a.w. yang tidak mahu membalas dendam walaupun ditawarkan oleh Malaikat penjaga gunung untuk memusnahkan kaum Bani Tsaqif yang derhaka, tetapi sebaliknya Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah supaya melahirkan keturunan dari mereka orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan baginda yakin Allah akan membalas kepada orang-orang yang melakukan penganiayaan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“………………Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
(Surah At-Taubah, ayat 61)
Ya Allah…lagi sekali aku malu untuk bertemu dengan Insan mulia ini di akhirat nanti sekiranya aku berundur dari dunia da’wah ini hanya kerna dihina, dicaci, dimaki dan dilukai yang sedikit berbanding Baginda s.a.w…
Penceramah juga bertanya kepada kami semua, “sekiranya kalian berada di tempat Baginda s.a.w., adakah kalian terima tawaran Malaikat penjaga gunung tadi?”
Penceramah tadi lantas berkata tanpa sempat kami respon pertanyaannya“kalau ustaz pun, ustaz terima tawaran tu. Ustaz akan kata kepada Malaikat, hancurkan semua yang sakiti aku tadi bagi lumat macam cabai yang dihancur atas batu pengasah”
Kami semua ketawa…ketawa yang dalam masa yang sama mengakui kebenaran kata-kata sang murobbi kami.
Ya Allah…aku malu sendiri………….
XXXXXXXXXXXXX
Aku berjalan sendirian saat kursus tersebut tamat. Memuhasabah diri sendiri, merenung jalan tar yang ku pijak lantas berfikir. “jalan ini juga ada bengkang bengkoknya, tidak semuanya lurus. Tapi punya peraturannya, jika tersasar ke laluan sebelah. Boleh tercedera dan bawa maut.”
“Begitu juga dengan pengembaraan ini, di setiap jalan ada sahaja ujian di pertengahan perjalanan. Jika terjatuh ke lembah nafsu, cedera dan terlukalah hati dan Iman. Namun jika dihadapannya hanyalah Allah s.w.t…selamatlah di dunia dan akhirat”
Walau sehebat mana ujian yang melanda. Aku benar-benar berharap akan tetap istiqomah di jalan ini supaya aku tidak malu tika menghadap pemilik nyawa dan hati ini…


Hasbunallah Wani’mal Wakil
(Cukuplah Allah bagiku dan Dialah sebaik-baik pelindung)
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus