“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi kesempatan kepada Hamba ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah, akhirnya punya kesempatan jua. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi lebih namun mata ini tidak mahu lelap. Mungkin kerna sudah banyak tidur dan rest hari ini. Agak kurang sihat, badan tidak berapa selesa. Mungkin juga untuk menghapus dosa-dosa ku dan memberi badan ini rehat selepas dikerah tenaga sehabisnya.
Waktu yang agak kritikal, maklumlah minggu depan hampir kesemua kampus akan bercuti. Jadi, tugasan, kuiz dan exam pertengahan semester mula datang bertalu-talu menunggu giliran untuk disiapkan. Diri ini juga tidak terkecuali menghadapinya.
Apa pun, niat untuk menyambung semula pengalaman ana bersama dengan anak-anak yatim mahu juga diteruskan selepas tertangguh beberapa kali untuk menulisnya. insyaAllah…
XXXXXXXXXXXXXXXX
Hari kedua ini agak mencabar bagi ana. Paling bestnya….hehehe.. slide untuk slot motivasi dan muhasabah diri tak siap lagi. Bukan sengaja untuk tidak menyiapkannya tetapi idea datang dan pergi. Tidak semudah slot yang pernah ana berikan dalam program yang lain.
Kali ini agak berbeza, dari satu blog ke blog ana lawati, dari satu modul ke satu modul ana baca, tidak kurang juga gambar untuk menarik perhatian adik-adik ini. Namun, semua itu tidak banyak yang menarik minat ana.
Mungkin juga kerna analisis dan maklumat yang ana terima belum mencukupi. Apa pun, ana cuba yang terbaik. Slide untuk motivasi dan muhasabah diri lebih banyak kepada gambar berbanding kata-kata. Ana cuba menukar pemikiran dan identiti diri supaya berfikir dan menjadi seperti kanak-kanak sebaya mereka. Ana juga punya hero dan heroin sebaya mereka… jadi kanak-kanak rebena sekejap…hehe..
Seperti yang dijangka, slide yang ana buat kurang menarik perhatian adik-adik. Tidak mahu mengalah, ana cuba cara lain. Kali ini, ana dapat mengorek sedikit kisah hidup anak-anak yatim ini. Benar apa yang rakan dalam facebook bagitahu, anak-anak yatim ini punya cita-cita dan impian yang tinggi menjulang.
Masing-masing mahu berjaya, malah cita-cita yang diimpikan adalah profesyen yang professional. Ada seorang adik lelaki nie, cita-citanya mahu jadi doctor haiwan. Bila ditanya sebab apa, “ada hemstar, jadi nak jaga dan rawat dia baik-baik”. Yang lain, mahu jadi doctor gigi, pensyarah, guru, askar, dan polis.
Ana minta mereka tulis 10 matlamat yang mesti dilakukan sekiranya mahu berjaya mencapai cita-cita tersebut. Macam-macam aksi boleh lihat dengan tulisan “doctor” yang amat cantik…hehe.. selepas itu, setiap adik-adik perlu membaca matlamat yang mereka tulis tersebut.
XXXXXXXXXXXXXXXX
Di sebelah petang pula, sesi Ice Breaking dijalankan. Kali ini, ana ajar mereka membuat satu origami. Amat simple, ana ambilnya dalam blog Ummu Husna. Yang menarik perhatian ana adalah ianya menunjukkan kasih sayang kita kepada orang yang kita beri.
Tepat pilihan ana, adik-adik ini punya imaginasi yang tinggi. Setiap kali lipatan beralih ke lipatan yang lain. Ana bertanya kepada mereka, “adik-adik, sekarang jadi apa nie?”. ada yang jawab, “segi tiga”, “sandwich”, “apam balik”, macam-macam..hehe.
Selepas itu, beralih pula pada lipatan yang lain. Ana tanya lagi, “sekarang jadi apa adik-adik?”…… “Jadi arnab kak”, ana pun terkejut dengan jawapan adik sorang nie. bila ana renung lipatan yang ana buat, memang betul…macam arnab..ana pun kata kat adik tu, “tinggi betul imiginasi kamu ye..” dia tersengih je…
Selepas siap, lipatan tersebut menjadi bentuk love. Ana pun cakap, “baik, sekarang dah jadi bentuk macam nie…sekarang, akak nak adik-adik tulis kat kertas nie siapa yang paling kamu sayang kat dunia nie. Dan kenapa adik-adik sayang dia..”
Masing-masing ada yang jawab, “mak”, “ayah”, “atok”, “abang”, “kakak”. Ana pun tanyalah kat adik yang duduk sebelah ana, “kenapa adik sayang mak je, tak cakap sayang ayah jugak?”. Adik tu pun jawab, “mak dan ayah saya bercerai, ayah dah meninggal, mak pula kahwin lain. Jadi, saya ditinggalkan kat sini”. Terus adik tu nangis. Ana pun tergamam seketika.
Ana pun tanya adik lelaki yang juga duduk disebelah ana, “adik pulak kenapa sayang mak?” adik tu pun jawab, “sebab ayah dah meninggal, mak lahirkan saya, mak susah payah kerja untuk saya…” nasib baik yang nie tak menangis.
Dah seorang menangis, ana pun mulakan analisis dan kajian. Cuba untuk mengorek kisah perjalanan hidup adik-adik nie. Ana bagitahu kat fasilitator supaya duduk dengan adik-adik dan tanya kisah hidup mereka masing-masing.
Adik-adik menangis ketika menceritakannya. Fasilitator yang mendengar kisah hidup mereka juga menangis. Ada seorang adik lelaki nie, dia sedih sebab tak dapat duduk dengan mak dia kerna mak dia tak mampu untuk menyaranya. Ayah dia sudah meninggal. Umur adik nie dalam lingkungan 10tahun. Terlalu muda untuk mengerti semua ini.
Ada seorang adik perempuan ini pula. Mak dan ayahnya masih hidup tetapi dia dihantar ke asrama kerna mak dan ayahnya tidak sempat untuk menjaganya. Ana tanya, dia anak keberapa dan mana abang dan kakaknya. Dia bagitahu, dia anak bongsu, manakala abang dan kakaknya tinggal bersama mak dan ayahnya. Adik ini paling muda antara semua.
Terlalu banyak kisah hidup mereka yang membuatkan ana hampir menitiskan air mata. Namun, ana dah janji pada diri sendiri untuk tidak menangis dihadapan mereka. Terlalu muda untuk diuji dengan sebegini hebat Ya Allah….
Selepas itu, ana pujuk mereka semua. “lap lah air mata adik-adik, kejap lagi kita nak pergi tengok rusa kan…nanti rusa lari pulak tengok mata adik-adik bengkak…hehehe…” diorang pun gelak.
Sahabat ana pun membuka lagu tema program supaya adik-adik ceria dan tersenyum kembali iaitu lagu senyum seindah suria….^_^… Alhamdulillah…adik-adik kembali tenang dan happy. Termasuk juga faslitator yang menangis..hehehe
Ini gambar dihadapan Masjid Sultan Badlishah. Sebelum bertolak ke Taman Rusa. Sayangnya ana tak dapat turut serta kerna kerja.
Dan ini pula ditepi taman rusa. Kata sahabat ana diaorang frust sebab rusa tak mau main dengan adik-adik…rusa tu letih, puasa agaknya…hehehe