Ahad, 20 November 2011

Luahan Hati Seorang Adik

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Ku simpan memori ini disini, untuk tatapan insan yang lain dengan harapan ada doa buatnya. Kisah benar, luahan hati seorang adik....

Sebagaimana yang kalian tahu awal bulan ini saya menerima berita yang mengejutkan iaitu kematian abang tersayang. Masih dikira muda usianya. Meninggalkan dua orang anak masih kecil dan perjalanan seakan masih jauh. 

Bayangkan tiba-tiba teman luahan jiwa suka duka saya “hilang” sekelip mata. Tidak sempat saya menatap serauk wajah abang  dan menghadiahkan kucupan terakhir di dahinya. Rindunya pada wajah itu.

Bukan berat untuk melepaskan abang “pergi” tapi semuanya terjadi bagai satu mimpi. Air mata ini masih belum bisa terhenti, bila saja mengingati bahawa kini abang tiada lagi. Namun saya gagahi juga untuk menulis coretan ini… 

Abang adalah anugerah terindah oleh Allah kepada kami empat orang adik-adiknya. Zaman remajanya, abang sia-siakan untuk kami, mungkin jarak usia yang membezakan kami dengan abang menyebabkan semua itu terjadi.

Selain Allah, abang adalah insan yang paling dekat dengan saya. Apa jua kesedihan pada jiwa ini hanya pada abang tempat saya meluahkan rasa. Pernah saya utarakan kepada ibu tentang kebimbangan saya jika abang “pergi”. 

Setelah hospital menjadi rumah keduanya sejak empat tahun lalu. Saya sudah siap menghadapi detik-detik ini kerana saya tahu abang “tidak akan lama bersama kami”. Tidak sangka pula ia berlaku secepat ini....

Inilah luahan hati saya. Berat mata memandang berat lagi bahu saya yang memikul. Sesungguhnya berat ujian yang saya lalui tetapi berat lagi ujian kematian yang dihadapi oleh Rasulullah SAW. Mudah-mudahan dengan catatan ringkas ini ada pengajaran untuk saya dan teman-teman tatapi dalam ratapan hati ini…

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. 

Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, saya akan belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. 

Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib. Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi.

Abu Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Tinggallah Rasulullah SAW dengan kekasih hatinya, Khadijah. Namun, tidak berapa lama Khadijah pula mengikut jejak bapa saudaranya. Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan.Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. 

Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin yang sangat dimanjakan.

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”

Dalam “kamus” kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya.

 Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa. Namun begitu, di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya: “Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya”. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” begitu juga sebaliknya. Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” begitu jua sebaliknya.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”

Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Tulisan ini cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki itu. Mudah-mudahan teman-teman dan saya sendiri akan dapat menghayati kata kunci di sebalik kisah hidup insan yang paling bahagia ini. Setiap insan yang tidak pernah melalui tidak akan merasa berat ujianNya kematian insan yang amat disayangi. 

“Perginya” tidak akan pernah ada gantinya. Bukan niat membuka pekung di dada tapi sekadar luahan rasa, semoga luahan ini dapat meringankan beban yang ada. Al- Fatihan buat satu-satunya abang tersayang arwah Mohd Marzuki Bin Che Soh... amin....

~Terima kasih sayang yang tidak terhingga untuk kalian......~


blog comments powered by Disqus