“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Puji-pujian hanya layak buatMu, moga hamba ini menjadi sebaik-baik hamba buatMu. Selawat dan salam buat Manusia Agung yang membawa rahmat buat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan Mu untuk hamba ini menukilkan sesuatu untuk dikongsi bersama dengan para pembaca diari maya ini. Moga ianya sentiasa memberi manfaat, ameen ya robb.
Baru sahaja selesai membaca sebuah buku, alhamdulillah Ya Allah. Setelah ‘diaudit’, rasanya 2 bulan yang lepas tidak ada 1 buku pun yang ana siarkan dalam catatan diari maya ini.
Jujur ana katakan, dalam tempoh tersebut. Ana terasa kekurangan sesuatu. Terasa kekurangan ilmu, seolah-olah ianya ditarik oleh Allah s.w.t. sedikit demi sedikit. Sibuk memberi, tapi lupa untuk tadah ilmu untuk diri sendiri.
Baiklah, buku yang mahu ana kongsikan bersama pembaca sekalian untuk artikel kali ini adalah ‘Ketika Hatiku Ingin Berhijrah’. Dan ini pula adalah cover depan buku tersebut.
Sebelum ana ulas lebih lanjut tentang buku ini, ayuh kita berkenalan terlebih dahulu dengan penulis buku ini iaitu Ustaz Azmi Ahmad. Ana sempat search dalam google untuk mengetahui sedikit latar belakang penulis dan ternyata ramai yang mengenali beliau. Bak kata murobbi ana, “kenalilah penulisnya terlebih dahulu sebelum kenal bukunya”.
Bidang penulis lebih kepada bahasa dan kesusasteraan Bahasa Arab. Jadi, tidak hairanlah sekiranya dalam buku ini dimuatkan kata-kata dari pujangga Arab. Dan kata-katanya juga agak ‘sinis’ dan membuka minda disamping ‘mengetuk’ pintu Iman kita berhijrah.
Bagi pendapat ana sendiri setelah khatam buku ini, tulisannya begitu ringan dan santai untuk dibaca walaupun isinya sentiasa disusuli dengan hujah daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis. Lebih menarik, penerangan ayat-ayat al-Quran dan hadis tersebut disertakan dengan tafsir-tafsir dari pelbagai kitab yang dikarang dari pelbagai ulama’.
Tidak kurang juga penulisan ini dimuatkan dengan ‘teguran’ dan solusi berkaitan isu semasa, gelaja sosial, masalah umat dan banyak lagi. Kata-kata yang digunakan dalam buku ini agak sempoi tapi sinis dan tajam…hehe.
"seandainya ada orang secara sinis menyebut bahawa kandungan al-Quran tidak lagi sesuai dan relevan dengan zaman moden, maka bukannya al-Quran itu yang patut disemak semula, tetapi kewarasan orang yang berkata demikian yang patut dipersoalkan..."
"logiknya, kain yang mahu dipotong atau disukat mestilah mengikut kayu pengukur, bukan kayu pengukur yang mesti mengikut kain. Akal yang mengikut al-Qu...ran, bukan al-Quran yang mengikut akal..."
"logiknya, kain yang mahu dipotong atau disukat mestilah mengikut kayu pengukur, bukan kayu pengukur yang mesti mengikut kain. Akal yang mengikut al-Qu...ran, bukan al-Quran yang mengikut akal..."
(Ustaz Azmi Bin Ahmad)
Ini pula sinopsis buku yang tertulis dibelakang buku tersebut.
“buku ini secara keseluruhannya membicarakan betapa perlunya manusia berhijrah dan berubah. Manusia perlu berhijrah dan berubah kepada kehidupan yang lebih baik di bawah naungan keredhaan Allah s.w.t. Jika tidak, mereka sebenarnya menempah kebinasaan. Setiap bab dalam buku ini mengandungi renungan dan peringatan yang bertujuan menyuntik kesedaran dan keinsafan di kalangan pembaca tentang hakikat kehidupan.”
“Apabila kesedaran berputik, maka disitulah langkah perubahan akan bermula. Pelbagai persoalan dikemukakan dalam lima belas bab yang terdapat dalam buku ini. Persoalan-persoalan yang dikupas dan diulas merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak. Di sebalik kepelbagaian isu dan persoalan yang diutarakan, matlamat penulisan ini tetap sama iaitu mengajak pembaca berfikir, bermuhasabah dan seterusnya bertindak untuk membuat perubahan dan penghijrahan.”
Saranan ana, bagi yang masih tercari-cari kekuatan atau solusi untuk berhijrah. Mungkin isi yang tertulis dalam buku ini jawapannya. Baca, faham dan hadamlah betul-betul tulisan dalam buku nie. Serta hayatilah maksud tersirat disebalik apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Selamat membaca…(^^,)
XXXXXXXXXXXXXX
Ana akhiri catatan artikel ini dengan kata-kata yang termuat dalam
buku ‘Ketika Hatiku Ingin Berhijrah”
“Buang jahiliah ambil Islam,
Buang syirik ambil Tauhid
Buang kufur ambil Iman
Buang dosa ambil pahala
Buang maksiat ambil Ibadat
Buang keraguan ambil keyakinan
Buang kesesatan ambil Kebenaran
Buang yang haram ambil yang Halal
Buang kelalaian ambil Keinsafan
Buang sifat yang buruk ambil akhlak yang baik
Buang perpecahan ambil perpaduan
Buang kezaliman ambil Keadilan
Baru teguh peribadi”