Isnin, 21 Februari 2011

Sabun Zikrullah

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman & Islam yang tidak terbanding dengan segala isi dunia. Moga Engkau redha diri ini menjadi hamba Mu. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerna masih memberikan keizinan kepada hamba ini untuk terus menulis, moga segala nukilan yang dipaparkan dalam diari ini memberi manfaat buat kita bersama…insyaAllah…

Mungkin ada dikalangan pembaca sudah dapat mengagak apa yang mahu ana kongsikan setelah membaca tajuk yang disiarkan. Sekadar untuk muhasabah bersama, semoga dengan apa yang ana nukilkan ini, mampu mendekatkan kita kepada Yang Maha Agung.

 “usah berlagak hebat sekiranya nafsu mu sendiri tidak mampu ditundukkan”

Kata-kata yang terbit dari lubuk hati untuk muhasabah dan koreksi diri. Nafsu itu ada pada setiap manusia. Tidak mampu dilihat, di dengar, di pegang…namun dapat dirasai kehadirannya.

Takkala melihat insan lain berada lebih kehadapan dari kita. Hati dilanda cemburu, maka mulalah nafsu memulakan langkahnya. Bisikan demi bisikan kedengaran di cuping telinga kita, mencuba sedayanya untuk menimbulkan rasa dengki dan iri hati kepada insan tersebut.

Lalu, berlakulah sesuatu yang membuatkan syaitan laknatullah bertepuk tangan dan bersorak riang. Ukhuwah yang dibina atas dasar akidah dicemari dengan mengumpat dan mencaci maki antara satu sama lain. Hanya dengan membasuh dan mencuci hati dengan sabun zikrullah mampu membersihkan “kotoran” bisikan nafsu tersebut.

“mata yang tidak ditunduk pandangannya, hatinya tiada nilai”

Mata yang tidak dijaga penglihatannya dari melihat perkara-perkara maksiat akan membuatkan hatinya tidak keruan. Hal ini kerna bayangan perkara-perkara itu disukai oleh nafsu. Maka dengan mudah, nafsu menjalankan misinya untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t….

Takkala memejam mata, bayangan tersebut datang menjelma hingga membuatkan diri kita tidak senang duduk. Namun, kotoran-kotoran bayangan tersebut dapat dibasuh dan dicuci dengan sabun zikrullah.

“Dengan mengingati Allah, hati itu akan menjadi tenang…”

Hati yang sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t. akan sentiasa dalam keadaan tenang. Takkala ditimpa musibah, bencana, ujian dan dugaan hidup, zikrullah adalah penenangnya. Itulah hebatnya Islam, sentiasa ada solusi dan jalan buat umatnya.

XXXXXXXXXXXXXXX

Itu adalah sedikit perumpamaan yang dapat ana kupas mengikut pengalaman yang ana lalui sendiri. Lihatlah betapa kreatifnya syaitan laknatullah dan betapa liciknya nafsu. Mengambil peluang dan kesempatan terhadap diri kita dalam diam tanpa kita sedari.

Untuk berlawan dengan nafsu ini bukanlah mudah kerna itu ia dikategorikan sebagai suatu jihad. Seorang pejuang Islam yang begitu tangkas dan handal di medan peperangan, belum tentu dapat mengalahkan nafsunya sepertimana dia mengalahkan musuhnya.

Kerna itu, kita perlu mendidik nafsu ini dari dia kecil sebelum menjadi semakin besar dan susah untuk dilenturkan. Ibarat seperti mendidik anak kecil. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Anak kecil yang sudah dididik untuk kenal Allah s.w.t. dan RasulNya serta diajar tentang syariat Islam sejak dari kecil akan menjadi anak yang soleh dan solehah, insyaAllah. Namun, dia perlu diperhati dan diawasi oleh ibubapanya sewaktu dia dalam tempoh kanak-kanak, remaja dan dewasa supaya tidak terjebak dengan anasir-anasir jahat.

Begitu juga dengan nafsu, untuk melentur dan mendidiknya perlu mengambil masa dan tempoh yang begitu lama. Dalam tempoh tersebut perlu berjaga-jaga supaya nafsu tidak ada peluang untuk menjauhkan kita daripada Allah s.w.t dengan cara mujahadah.

“Ketahuilah bahawa nafsu yang jahat itu apabila dikikis dan dicuci dengan sabun zikir kepada Allah taala dan diberus dengan berus tembaga mujahadah dan ikhlas kepada Allah taala serta dipandu dan dipimpin pula oleh guru yang ahli, maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat karat kejahatan nafsu…”

Ayat ini begitu ringkas namun jika direnung dan ditafsir sedalamnya, ia punya maksud yang begitu banyak. Seringkali kita mendengar orang bercakap tentang nafsu, namun berapa ramai yang benar-benar mengerti tentang “perjuangannya” yang cuba untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t..

Sabun zikrullah ini tidak dijual di mana-mana pasaran hatta di seluruh dunia sekalipun kerna setiap mereka yang bergelar Muslim memiliki sabun ini namun begitu jarang sekali digunakan. Jika kita boleh mendengar dan mendendangkan lagu, kenapa begitu sukar sekali untuk kita berzikir kepada Allah s.w.t.?

Seringkali ana tulis dalam artikel yang sebelumnya, “tepuk dada dan tanya SIAPA aku”. Tanya diri kita, kita ini siapa? Kita ini hamba kepada al-Malik, pemilik segala isi dunia dan akhirat. Lalu…kenapa kita sering menjadi hamba kepada perkara lain?

Apabila diri hanyut dalam zikrullah, hati itu terarah pada akhirat kerna dia sentiasa merasai kehadiran Yang Maha Hebat dalam dirinya. Itu dapat menggerunkan nafsu untuk bertapak dalam hatinya. Membuat kita sedar betapa banyaknya dosa yang kita buat kepada DIA.

XXXXXXXXXXXXXXX

Takkala merenung jauh ke dalam diri, muhasabah dan koreksi diri….hati bermonolog sendiri, “Ya Allah…diri ini terlalu banyak dosa kepada Mu…banyak sekali Ya Allah…namun Engkau tetap kurniakan nikmat kepada hamba ini…”

Takkala memandang isi dunia, melihat mereka ketawa dan bergurau senda tanpa mengira waktu. Hati ini menangis, “Ya Allah…aku kasihan melihat mereka yang jauh sekali dari Mu, berikanlah diri mereka hidayah dan jauhkanlah diri ini dari sikap yang lalai kepada Mu…”

Duduk di satu sudut dan jawablah pertanyaan ini kepada diri sendiri dengan seikhlasnya….“Mahu dunia atau akhirat?”.



JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus