“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus menerus perhambakan diri kepada Mu, syukran atas nikmat Iman dan Islam yang telah Engkau berikan. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui di kala ini, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Di kala ini ana menulis dalam keadaan yang amat lemah. Sebaik dapat bangun dari katil dan terasa gagah untuk meneruskan kerja yang ditangguhkan, ana lakukan sedayanya. Tekak masih terasa perit juga suhu badan yang asyik turun naik dengan darjah kepanasan.
Dua hari lepas, ana hampir pitam kerna badan sudah teramat lemah. Akhirnya ana mengalah, segala kerja diabaikan… Hajatnya mahu tunggu untuk solat isya’ namun badan tidak mampu bertahan. Terus makan ubat, minum teh herba dan letak cool fever di dahi untuk hilangkan kebah. Nikmatnya dapat baring diatas katil.
Mulut tidak berhenti menyebut nama Allah s.w.t…lantas berdoa, “Ya Allah…sembuhkanlah…aku tak nak masuk wad lagi, tak mahu abah datang ambil aku lagi seperti sebelumnya…kesian abah Ya Allah, jauh nie…”. akhirnya ana terlena dalam lenangan air mata.
Ana terjaga sekitar pukul 4 pagi, teringat amanah ku sebagai hamba belum terlaksana. Lantas cuba bangun, digagahkan juga kaki untuk melangkah ke bilik air bagi mengambil wuduk. Alhamdulillah, masih mampu berdiri untuk solat isya’. Sebaik selesai solat, hati terdetik.. “baik solat sunat taubat, manalah tahu sakit nie berkurang”. Sayangnya, sudah tidak mampu berdiri. Gagahkan juga solat secara duduk.
Alhamdulillah…selepas solat subuh, ana terasa kuat hingga boleh pergi bilik air basuh baju…(^_^)…teringat, mungkin ada dosa yang telah aku lakukan tanpa disedari. Lebam dibawah mata juga semakin menghilang, mungkin kerna dapat rehat secukupnya. Sudah lama tidak berehat seperti itu…
Selepas itu teruskan kajian tentang isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang iaitu Islamic Fashion Festivel (IFF), ana melihat dan memerhati dari jauh. Dari satu artikel ke satu artikel lain ana baca, mahu mengulas tentangnya. Dunia Fesyen semakin menjadi-jadi hingga sudah melampaui batas.
Jika ada yang mengatakan pakaian yang menutup aurat dan memenuhi piawaian syariah ini mendiskrimasi para wanita atau muslimah dalam bergaya. Pakaian rekaan ala jahiliah itulah sebenarnya yang mendiskriminasi kami.
Jangan kerna mahu dikatakan mengikut arus pemodenan, kami yang sedang istiqomah dengan “uniform” Islam ini menjadi mangsa. Mana tidaknya, begitu susah untuk mencari baju atau tudung yang betul-betul memenuhi piawaian syariah. Bila ditanya, “akak, tak de kak jubah yang macam kami pakai nie?”
“ala dik, tu jubah dulu-dulu…orang tak pakai dah sekarang, belilah yang nie…barulah dikatakan moden”.
Kain yang jarang dan nipis dengan manik-manik yang menyilaukan mata tu yang nak membaluti tubuhku? Jangan haraplah. Ana dengan kakak memang agak cerewat bab pakaian nie, teringat masa pergi beli jubah. “akak, tengok nie..cantik kan?”
Terus akak jawab, “tak mau lah…warna dia menyerlah sangat nanti menarik perhatian plak..”.
Pergi kedai lain, “warna ok dah, sulaman pun ok…tapi sayang nipis…out..”.
Pergi kedai lain lagi hinggalah jumpa dengan pakaian yang benar-benar ikut piawaian syariat Islam. Betapa susahnya nak jumpa baju yang benar-benar ikut syariat sejak kebelakangan nie. Masa zaman ana sekolah dulu, senang je nak dapat.
Nie, ana mahu tanya kepada kamu, kamu, dan kamu yang reka, menjahit, dan menjual pakaian nie. Kamu melakukan perniagaan nie untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. atau mahukan keuntungan semata-mata?
Sudah tahu pakaian itu tidak penuhi piawaian Islam, kenapa di jual juga? Mahu sama-sama dapat “saham” dengan si pemakai ke? Ana tidak salahkan orang yang mereka pakaian busana muslimah ini sepenuhnya kerna mana mungkin industry ini mampu berkembang pesat jika tidak ada permintaan dari pelanggan.
Sedarlah wahai kaum hawa, apa tujuan sebenar kamu berpakaian? Adakah mahu menutup aurat atau mahu nampak cantik semata-mata? Ya…benar…sudah menjadi fitrah seorang wanita untuk kelihatan cantik dan anggun tetapi adakah dengan beralasankan itu, syariat dibelakangkan? Renungkanlah…
Ana tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blognya. Sama-sama kita mengambil iktibar daripadanya.
XXXXXXXXXXXXXXX
Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH.
LANDSKAP 1990′AN
“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.
“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.
“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.
Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.
LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.
PENTAKRIFAN
“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…”
[al-Ahzaab 33: 33]
Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “
[Hadith riwayat Muslim]
Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.
KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR
Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my
Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.
Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.
Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.
“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.
Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.
“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”
BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.
“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).
Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
[al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!