Jumaat, 15 Oktober 2010

“Bicara Hati”


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus menerus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi kesempatan kepada hamba ini untuk terus menulis. Malam semalam, doa ana dimakbulkan oleh Allah s.w.t… tak mampu diucapkan oleh kata-kata, doa yang ku pinta awal tahun yang lalu menjadi kenyataan…Alhamdulillah…

Beberapa hari yang lepas, ada seorang sahabat seperjuangan ana memberikan mesej menyatakan ada program anjuran Kelab PERKIM UUM dengan kerjasama Sahabat Masjid Imam as-Syafie iaitu bicara hati yang akan disampaikan oleh penulis buku Travelog Haji dan Travelog Da’wah.

Ana kenal penulis buku ini hanya melalui tulisannya sahaja tetapi tidak pernah berjumpa dengannya. Sebaik sahaja khatam membaca buku hasil karyanya, ana berdoa untuk bertemu dengan penulis buku ini suatu hari nanti. Buku yang ditulisnya berjaya menyentuh jiwa ini. Dan ana memberikan sahabat-sahabat ana yang lain untuk membaca buku tersebut terutama buat mereka yang mahu berubah ke arah lebih baik.

Sejujurnya ana bagitahu, penulisan dalam “diari” kesayangan ana ini juga banyak dipengaruhi dari caranya menulis. Ana cuba untuk jadikan setiap artikel yang dicoretkan cukup sempoi, santai dan mudah dihadam oleh pembaca yang membacanya tetapi punya pengajaran dan maksud yang mendalam.

Ana masih ingat lagi, ana membeli buku ini saat sedang berjuang dengan exam finale pada semester yang lepas. Sahabat-sahabat ana semua tahu yang ana ini memang “gilakan” buku, suka membaca. Pada mulanya ana hanya mahu minda ini tidak terlalu tertekan dengan exam yang sedang dihadapi, tetapi sebaik sahaja muka surat pertama habis dibaca, ana terus baca dan terus membaca. 

Keinginan untuk tahu apa yang berlaku pada bab yang seterusnya membuatkan ana berjaya mengkhatamkan buku tersebut dalam masa yang singkat walaupun disaat yang genting. Akhirnya ana duduk disatu sudut dalam surau, muhasabah sendiri. Di kala itulah ana berdoa untuk dipertemukan dengan insan ini suatu masa nanti walaupun ana tidak tahu bila hari itu akan tiba.

Ana tidak bermaksud untuk terlalu memujinya, namun travelog kehidupannya sungguh memberi kesan kepada ana yang membacanya dan ana yakin, mereka yang sudah membaca buku tersebut juga sependapat dengan ana.

Beliau adalah Prof Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim yang merupakan Profesor Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM)  Johor.
Prof Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim
 Bait kata-kata yang keluar dari bibirnya berjaya mengetuk hati insan yang mendengarnya. Sungguh terkesan hingga ada sahabat ana yang sebak mendengarnya…Subhanallah..Malah, sewaktu ana tulis di wall facebook tentangnya. Ramai yang menyenanginya… mereka juga terkesan dengan peribadinya.

Jujur juga ana katakan, malam sehari sebelum ana mendengar ceramah beliau. Ana ada menghadiri satu lagi diskusi ilmu. Tetapi ianya tidak mampu meresap dalam jiwa ini, bait kata-kata yang dilontarkan oleh penceramah sedikit pun tidak mampu menarik minat ana. Sehingga ana rasakan untuk keluar dari dewan tersebut. Ana dapat rasakan perbezaan dari dua perkongsian ilmiah tersebut.

Jadi, bagi sesiapa yang mahu menjemputnya untuk memberikan ceramah atau berkongsi pengalaman yang beliau lalui…silakan…usah risau soal bayaran penceramah untuk beliau kerna beliau sedikit pun tidak kisah dengan duit bayaran tersebut. Cukup hanya sediakan gelas dan air mineral untuknya.

Rasailah sendiri tika berhadapan dengannya nanti. Beliau umpama satu dalam seribu…ana doakan moga Prof sentiasa dipermudahkan segala urusan dalam menyeru kearah kebaikan.

Dua buah buku yang ditulisnya iaitu “Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman” amat sesuai ditujukan kepada para da’ie, muhasabah untuk diri sendiri. Manakala “Travelog Da’wah: Meniti Hari Esok” amat sesuai ditujukan kepada para da’ie yang mahu dekat dengan mad’u kerna didalamnya diselitkan bagaimana cara beliau mengajak dan menyeru orang disekelilingnya untuk dekat dengan Allah s.w.t.

Buku Tulisan Beliau

Buku Tulisan Isteri Beliau

Ana juga jadikan dua buah buku tersebut sebagai motivasi diri. Modul motivasi dan muhasabah diri juga ana jadikan buku tersebut sebagai rujukan. Bacalah…kalian tidak akan rugi. Sekarang ana tengah mencari buku yang ditulis oleh isterinya iaitu Travelog: Cinta Abadi.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus