“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerana masih memberi peluang kepada hamba yang hina ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Tengahari semalam, ada seorang junior kesayangan ana mesej bertanya sesuatu. Katanya, “kak, macam mana kita nak lihat semua yang ada disekeliling kita dengan mata hati agar dapat lihat hikmah dan kebesaranNya…? kalau lihat dengan mata kasar mesti tak boleh tengok hikmah disebalik kejadian”
Ana tersenyum sewaktu membalas mesejnya, ana berjanji dengannya untuk menulis dalam blog dan dia bersetuju supaya pembaca juga peroleh manfaatnya. Alhamdulillah, begitulah sikapnya. Gemar berkongsi kebaikan dan manfaat dengan semua orang.
Ini teori ana sendiri berdasarkan pengalaman ana sendiri juga hasil pemikiran dengan melihat gelagat dan pengalaman orang lain.
Jika kita melihat sesuatu dengan mata kasar, mata yang akan menilai terlebih dahulu sebelum akal. Jadi, jika kita melihat dengan mata sesuatu yang buruk maka akal akan terus mentafsirnya dengan mengikut pandangan mata. Tanpa sempat memikirkan hikmahnya.
Tetapi, jika kita melihat dengan mata hati. Hati itu punya “mata” untuk menilai, membuat pertimbangan dan akal mentafsirnya. Baik hati, maka baiklah “mata hatinya”. Oleh itu, berilah makanan kepada roh dengan makanan yang halal dan suci serta diredhai Allah s.w.t.
XXXXXXXXXXXXXXX
Waktu musim peperiksaan semester lalu. Ana dan dua orang lagi sahabat pergi ke Alor Star untuk menghadiri ceramah perdana berkaitan konvoi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Yang bagusnya…..(^_^)….tiga-tiga yang pergi tak tau jalan. Hanya niat yang ikhlas untuk turut serta dan doa semoga ditunjukkan jalan olehNya. Sebelum sampai ke destinasi utama, kami singgah banyak tempat untuk membeli beberapa barang keperluan sebelum masing-masing pulang ke kampung halaman.
Dipendekkan cerita, kami tersilap masuk jalan dan akhirnya sesat. Beberapa kali ikut jalan yang sama dan banyak kali juga kami berhenti bertanya kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut. Mungkin disebabkan sudah malam dan hujan turun renyai-renyai, jadi agar sukar untuk kami pastikan jalan yang dilalui adalah jalan yang betul.
Akhirnya kami berhenti di tepi jalan dan masing-masing beristiqhfar. Masing-masing tertanya-tanya sesama sendiri kenapa begitu sukar untuk kami sampai ke tempat ceramah perdana tersebut. Ada yang bagi cadangan supaya balik ke kampus sahaja kerana kami sudah berusaha untuk ke destinasi yang dituju.
Dalam hati ana berdoa sambil berkata-kata, “sekiranya Allah s.w.t. mahu sesuatu itu berlaku, tidak kira berjuta atau berbilion halangan datang bertamu. Ianya akan tetap berlaku. TETAPI sekiranya Allah s.w.t. mahu sesuatu itu tidak berlaku, tidak kira berjuta atau berbilion yang sudi menghulurkan bantuan untuk membantu. Ianya tetap tidak akan berlaku”
“Ya Allah, sekiranya Engkau mahu kami berada di tempat tersebut maka permudahkanlah. “
Kami akhirnya sepakat untuk cuba lagi sekali mencari jalan yang telah dilakar diatas kertas. Namun tetap tidak jumpa jalan ke sana. Ana hampir ingin meluahkan kata-kata supaya pulang semula ke kampus. Sahabat ana tidak putus asa, kami berhenti di sebuah stesen minyak dan bertanya di mana lokasi ceramah tersebut.
Ana nampak dari jauh sahabat ana ketawa selepas bercakap dengan pekerja di stesen minyak tersebut. Dia pun ceritakan semula apa yang berlaku dan ayat terakhirnya, “jadi nak tau kat mana tempat ceramah tu diadakan?”
“Kat mana?”, ana tanya dengan nada kehairanan, ditambah pula melihat sahabat ana nie asyik senyum je.
“tu, kat belakang kita” katanya sambil mengangkat tangan menunjukkan arah belakang ana.
“Ya Allah….subhanallah…alhamdulillah…Allahuakbar…” tidak putus mulut ana dan sahabat memuji Allah.
Ini rupanya hikmah atau “tarbiyah” Allah s.w.t. buat hambanya. Sentiasa percaya kepadaNya dan tidak putus asa, sebaliknya tawakal serta berserah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. disamping bersangka baik kepadaNya.
Tuhanku…
Bersama Mu tidak ada jalan buntu
Dengan Mu Tuhan, berat terasa ringan
Dengan Mu Tuhan, aku punya harapan
Engkau yang memungkinkan kemustahilan
Dan Engkau jualah yang menciptakan keajaiban…..
XXXXXXXXXXXXXXX
Allah s.w.t. lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya walaupun kita merasakan hal tersebut adalah lebih baik buat kita. Ana teringat satu kisah seseorang dimana dia begitu susah untuk dapat kerja. Bila dapat kerja, tidak sesuai dengan tenaga yang dicurahkan. Gaji yang sedikit dan masa yang agak lama membuatkan badannya terasa letih, tetapi dia bersabar.
Akhirnya selepas beberapa kali cuba, dia mendapat kerja yang gajinya sepadan dengan tenaga yang dicurahkan. Tetapi, jiwanya tertekan dan cepat stress membuatkan malamnya tidak tidur lena kerana bosnya cepat panas baran. Selepas memohon petunjuk daripada Allah s.w.t., dia memutuskan untuk berhenti kerja.
Dia kembali menganggur, namun dia yakin bahawa ada sesuatu yang Allah s.w.t. mahu tunjukkan tetapi belum tiba masanya. Sudah banyak tempat dia memohon kerja tetapi satu pun tidak diperolehi. Selepas beberapa bulan, dia dipanggil untuk temuduga. Berkat kesabaran, sikap tidak putus asa dan yakin dengan Allah s.w.t. dia berjaya mendapat kerja di syarikat tersebut.
Bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana bukan sahaja persekitaran kerjanya bagus disamping punya rakan kerja yang mengerti malah gaji juga sepadan dengan keringat yang dicurahkan. Tidak disangka, ditempat kerja itu jugalah dia bertemu dengan suaminya.
Ya Allah..hebat perancanganNya. Tak terjangkau dek akal tentang semua itu.
“Berwaspada pada takdir yang tidak menyelamatkan seseorang. Namun berdoa untuk takdir yang sudah terjadi dan yang belum terjadi memberi manfaat. Oleh itu, hendaklah kalian berdoa, Wahai hamba-hamba Allah”
(Hadis riwayat Ahmad, al-Tabrani)
Bukannya Allah s.w.t. tidak sayang pada hambaNya, bukannya Allah s.w.t. tidak cinta pada kita tetapi dia mahu melihat setakat mana kita percaya dan bergantung kepadaNya. Jadi, bagaimana untuk melihat dengan “mata hati”?
Pendapat ana, pertamanya ikhlaskan hati dan redha dengan apa yang berlaku dan yang akan berlaku tidak kira hal tersebut baik atau buruk dimata kita atau di mata orang lain. Seperti yang ana katakan diawal permulaan, baik hati maka baiklah “mata hatinya”.
Selepas kita ikhlaskan hati merelakannya, barulah “mata hati” itu akan mula celik untuk melihat hikmahnya. Bayangkan sekiranya kita tidak redha dengan apa yang berlaku, mesti kita rasa marah, kecewa, sedih dan seangkatannya dengannya.
Keduanya, berikan diri itu masa untuk menerimanya, bertenang dan berfikir tentang hikmah yang berlaku. Katakan pada hati kita, “itu bukan milikku dan insyaAllah akan ada yang lebih baik dari ini”.
Allah s.w.t. itu penuh dengan keajaiban. Dia mahu memberi kejutan buat hambaNya yang yakin denganNya, cuma kita tidak tahu bila “hadiah” hasil dari keyakinan dan kesabaran kita itu akan kita perolehi. Yang pasti, yakinlah dengan Allah s.w.t., bersangka baiklah denganNya.
Ana doakan moga sahabat-sahabat sekalian akan sentiasa dirahmati Allah s.w.t. selalu…ameen.. kepada junior kesayangan ana yang bertanya, harap-harap penjelasan akak nie memberi manfaat buat dirimu dan orang lain..ameen…
Selamat beramal…(“,)
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI.....(",)