“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada insan kerdil ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam kepada kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in.
Sudah satu minggu lebih menyepikan diri, catatan “diari” Kembara Sufi Di Bumi Tuhan sudah lama tidak diupdate. Idea datang dan pergi, terlalu banyak yang ingin dinukilkan namun tidak mampu untuk meluahkan melalui tulisan.
Akal dan fikiran ini lebih banyak memikirkan tentang isu semasa yang hebat diperkatakan di seluruh dunia tentang tindakan Israel Laknatullah yang terkenal dengan ketidaksiuman mereka melakukan sesuatu. Apa pun, bukan itu yang mahu ana nukilkan pada kali ini. Mungkin dalam artikel seterusnya barangkali.
Ana tertarik dengan kata-kata Ustaz Amaluddin Mohd Napiah dalam bukunya yang bertajuk “Bawa Hatimu Kepada Tuhan”.
Katanya…“kini usiaku menjengah 40-an. Semuanya berlaku dengan cepat dan pantas sekali tanpa ada penangguhan. Bermakna seruan ke arah kematian semakin bergema kedengaran walaupun syaitan dan nafsu berhempas pulas cuba melengah-lengahkan.”
“bagi masyarakat Barat, takah usia ini adalah ‘permulaan’ hidup sebenar bagi seseorang insan. Akan tetapi dari kaca mata Islam, umur 40-an adalah umur penentu sama ada mahu terus beriltizam dan beristiqomah diatas jalan hidayah ataupun terus menerus leka meranduk kesesatan hingga tidak nampak lagi jalan pulang….”
XXXXXXXXXXXX
Diriwayatkan daripada Barzah al-Aslamiy katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak akan bergerak kaki seseorang itu (pada Hari Kiamat kelak), sehinggalah dia ditanya mengenai umurnya, ke manakah ia dihabiskan. Tentang ilmunya, bagaimanakah dia menggunakannya. Tentang hartanya, dari manakah ia diperoleh dan untuk apakah ia dibelanjakan, dan mengenai tubuhnya, untuk apakah ia digunakan.
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Ya Allah…bergetar hatiku…lembaran sirah hidupku diselak satu persatu, detik demi detik, saat demi saat dihitung dan dikira. Ibarat skrin yang dirakam dan ditayang semula dihadapan seluruh penduduk bumi dihari perhitungan kelak… segala rahsia tika hidup terbuka di hadapan Yang Maha Adil. MasyaAllah, bagaimanakah keadaanku tika disana?. Permudahkanlah Ya Allah…
Waktu adalah kehidupan manusia….
Jika digunakan untuk membaca akan menjadi sumber kebijaksanaan.
Jika digunakan untuk berfikir akan menjadi kekuatan.
Jika digunakan untuk berdoa akan menjadi keberkahan dan rahmat.
Jika digunakan untuk bekerja akan menjadi keberhasilan.
Jika digunakan untuk beramal akan menghantarkan menuju syurga.
Semua itu adalah kewajiban seorang hamba terhadap Tuhannya.Gunakanlah waktu untuk kehidupan yang sebenarnya. Sesungguhnya kewajipan-kewajipan hamba didunia lebih banyak daripada waktu yang tersedia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani. Kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan diakhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu”
(Surah al-Hadid, ayat 20)
Ayat diatas sudah cukup jelas maksudnya. Kata-kata yang mengingatkan kita supaya tidak lalai dengan kehidupan di dunia yang hanya permainan semata-mata. Lihat pula firman Allah s.w.t. dalam ayat yang seterusnya ini:
“berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya. Itulah kurniaan Allah, yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar”
(Surah al-Hadid, ayat 21)
Allah s.w.t. memberikan kita peringatan supaya tidak lalai malah menyarankan pula pada hambaNya supaya berlumba-lumba mengejar keampunanNya. Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengasih juga Maha Penyayang kepada hamba-hamba Mu.
XXXXXXXXXXXX
Lantas ku termenung mengenangkan diri ini. Apakah yang akan berlaku pada diriku 10 tahun akan datang nanti. Adakah sama seperti hari ini? Masih istiqomah dalam perjuangan da’wah atau sibuk menguruskan kehidupan seharian bersama suami dan anak-anak ataupun sudah dijemput Ilahi…
Masih tergiang di gegendang telingaku kata-kata seorang ustaz, “ukhty, perjuangan da’wah yang sebenar bagi seorang muslimah adalah selepas dia berkahwin”.
Ku mengangguk tanda bersetuju dengan pendapatnya. Moga-moga diri ini tetap istiqomah, jika terlebih dahulu dijemput Ilahi….moga ku mati dalam perjuangan da’wah ini…ameen…
Takut rasanya bila melihat para pejuang yang gugur dipersimpangan jalan dan tidak mampu untuk bangun semula. Usia yang masih diberikan dihabiskan begitu sahaja tanpa ada nilainya. Mengejar harta kekayaan, kuasa dan pangkat tanpa terdetik dihati bahawa semua itu tidak akan sekali-kali menolongnya diakhirat kelak malah mungkin kerana semua itu dia diazab nanti….Nauzubillah…
Ada seorang ustaz yang ana kenali menceritakan perihal sejarah hidup keluarganya. Berasal dari keluarga yang berada namun beliau menolak semua itu dan mencari kehidupan yang diredhai olehNya. Nenek moyangnya begitu ghairah mengejar kekayaan tanpa memikirkan suatu hari nanti mereka bakal dijemput Ilahi.
Akhirnya, selepas berjaya memperoleh semua kekayaan tersebut dengan menghabiskan umur berpuluh-puluh tahun. Mereka tidak sempat menikmati semua hasil kekayaan itu kerna meninggal dunia. Terlalu rugi rasanya sedangkan kita semua mengerti, kita semua tidak akan kembali semula ke dunia.
Masa yang tersedia juga usia yang meningkat saban tahun tidak akan berlalu begitu sahaja tanpa perhitungan dariNya.
“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu untuk bermain-main sahaja? Sedangkan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?”
(Surah Al-Mukminuun, ayat 115)
Apakah umur kita ini hanya diberikan dengan percuma tanpa dikenakan “bayarannya” diakhirat kelak??? fikir-fikirkan…..