Isnin, 30 Julai 2012

Kisah Mereka


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Subhanallah!”, kata itu terkeluar dari mulut seorang sahabat tatkala melihat sesuatu di skrin laptop ana.

Ana hanya tersenyum dengan reaksinya yang sedikit terkejut.

“ini keluarga ukhty?”, soalnya pula.

“Na’am”, jawab ana.

Kali ini, dia pula tersenyum. Mungkin itu kali pertama dia melihat seluruh keluarga ana yang mana kesemuanya bertudung labuh. Gambar tersebut diambil pada satu syawal setelah selesai solat sunat Eidulfitri dan waktu tu Amirah Fasihah belum lahir lagi…:p

Alhamdulillah, Allah kurnikan ku sebuah keluarga yang terhasil dari Baitulmuslim yang dibina oleh abah dan ummi. Maka, lahirlah kami-kami untuk meneruskan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Tidak mudah, apatah lagi dengan dunia masa kini. Tiap kali ana turun membuat operasi pencegahan maksiat, masuk ke pusat hiburan, pawagam, sarang penagih dadah dan banyak lagi, ana berdoa moga Allah jaga dan selamatkan keturunan kami dari diuji dengan semua itu.

Dibawah ini, ianya nukilan dari kakak sulung ana dan ana sendiri. Nukilan dari kakak yang memerhati dan melihat perkembangan adik-adik yang berada dibawah jagaannya. Moga hubungan ini kekal sampai syurga. Ameen.

Ditulis pada 26 Julai 2012
Oleh: Nur Sakinah Suardi

Minggu lepas saya sempat menyambut Ramadhan bersama keluarga.
Sampai di Kelantan beberapa hari sebelum Ramadhan.
Alhamdulillah. Elaun biasiswa Ph.D dah pun berjalan.

Memandangkan bulan Jun dan Julai lepas berderet hari lahir adik-adik saya (maklumla ramai adik =)) jadi bercadang nak belanja mereka makan.

Masa tu tengok Taj dan Siraj tengah main kat ruang tamu.

"Malam nie nak pergi makan kat KFC. Sape nak pergi solat cepat!".

Mula la diorang bersorak seronok.

Beberapa minit kemudian, saya keluar dan tengok Siraj dan Taj tengah solat. Yang sweetnya tengok Siraj jadi imam pada Taj. Tersenyum saya melihat dan terus cepat-cepat ambil gambar. Kalau kat rumah memang Taj ni mengikut je cakap Siraj lebih daripada kami semua yang lagi tua dari Siraj. huhu...

Seusai solat, mereka ke bilik saya. Biasa la suka benar dok menyibuk-nyibuk dalam bilik saya tiap kali saya balik ke rumah.

"Kakak dah solat ke?", tanya Taj.

"Dah", Jawab saya.

"Semua orang kena solat ke?" tanya Taj lagi.

"Mestila. Cuma dalam keadaan tertentu je tak perlu solat". Sampuk Siraj.

"Keadaan macammana? Sibuk sebab kerja ke?". Taj bertanya lagi.

Baru saya nak menjawab, Siraj terlebih dahulu menjawab. huhu..

"Ish, sibuk macammana pun kena solat jugak. Takde alasan. Kalau dekat pejabat ke bawaklah sejadah solat di pejabat. Solat di mana-mana pun boleh."

Masyaallah! Subhanallah! Sebenarnya saya terkejut dengan jawapan tu. Tak sangka Siraj punya hujah sebegitu. Alhamdulillah, tenang hati mendengar jawapan adik saya yang berusia 10 tahun ni.

Walaupun agak degil sikit dan punya kerenah sendiri, semoga dia membesar dalam suasana bi'ah solehah dan mampu membimbing adik-adiknya kelak.

Kalau kat rumah, tengok Siraj ni dah boleh jaga diri sendiri dan boleh bertanggungjawab sebagai abang. Anis Syakirin pun kadang-kadang dia yang jaga ibarat dia abang kepada Anis walaupun Anis lebih tua dari dia.
Mungkin tak begitu nampak keprihatinannya tapi saya suka memerhati tingkah laku adik saya yang ini dan saya nampak kebaikannya.

Kakak doakan semoga Siraj mampu menjadi anak yang soleh buat Ummi dan Abah. Bisa menjadi manfaat buat ummah kelak.^_^

Ya Allah, rahmatilah ibu bapaku sebagai mana mereka menjagaku dan adikku sedari kami kecil. Kuatkanlah ikatan keluarga kami dengan cinta dan kasih sayangMU


****************************

Ditulis pada 25 Julai 2012
Oleh: Asma’ Suardi

Ahmad Tajuddin masuk bilik saya dan bertanya, "kak ngah dah solat?".

Saya jawab, "belum".

"Nak solat dengan kak ngah boleh?".

Saya anggukkan kepala dan terus mengambil wuduk untuk solat maghrib. Saya minta dia iqamah. Ada yang dia tidak ingat, maka saya betulkan. Kami solat sama-sama hingga selesai.

Hati saya terdetik, "inilah peluangnya....". Saya mulakan 'usrah' dengannya. Saya minta di tunjukkan semula tatacara dan rukun dalam solat sambil betulkan bacaan yang tidak betul. Banyak lagi yang perlu diperbaiki.

"Erm...ahmad, kenapa solat?".

Dia pun menjawab, "ummi yang suruh solat...".

"Bukan ummi la, tapi Allah yang suruh solat". saya menjawab. dan saya bertanya lagi. "kenapa puasa?".

Dia pun menjawab dengan jawapan yang sama. "ummi yang suruh puasa".

Saya menjawab, "bukan ummi la, tapi Allah yang suruh puasa. Allah minta kita solat, puasa, mengaji al-quran, tunduk dan patuh padaNya."

"beriman kepada Allah kan kak ngah?", sampuknya.

"betul. Kalau ahmad sayang ummi, mesti ahmad selalu tolong ummi kan. Kalau ahmad sayang Allah, ahmad kenalah solat, puasa dan ikut apa Allah suruh". saya menjelaskan.

"siapa yang suruh solat?" saya mengujinya sekali lagi.

"Allah. Allah suruh ummi bagitahu supaya Aju solat".

Saya senyum. "siapa yang suruh puasa?", saya bertanya lagi.

"Allah. Allah suruh ummi bagitahu supaya Aju puasa".

Sekali lagi saya tersenyum. Dia pun bangun dan melipat sejadah. Sebelum keluar, dia berkata kepada saya, "orang yang cakap bohong, dia tak sayang Allah kan?".

"Betul. Kalau dia sayang Allah, mesti dia cakap benar".

---------------------------------------------------------------------

Allahu Allah. Zaman semasa kecil adalah zaman yang amat-amat penting. Semasa saya kecil, tidak ada yang bagitahu kenapa saya perlu solat, puasa, tutup aurat dan banyak lagi. Hanya sekadar suruh dan hukuman akan diberikan jika gagal laksanakan. Saya tidak mahu ianya berlaku pada adik-adik saya yang lain.

Semoga Ahmad Tajuddin bin Suardi menjadi hafiz al-Quran dalam keluarga kami. Ameen ya Allah. (kak ngah dia pun sedang berusaha ke arah itu).

Allah berfirman dalam Al-Quran "Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan ruku’lah bersama orang-orang yang ruku'". ( Surah Al-Baqarah, ayat 43)

Dan Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam hadis, "kamu dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat" (Hadis Riwayat Bukhari)


****************************

Ditulis pada 25 Julai 2012
Oleh: Asma’ Suardi

Saya teringat sesuatu. Amat-amat bagi kesan kat hati. Adik perempuan saya pergi program selama 4 hari. Jadi, Amirah Fasihah seolah-olah tercari-carinya. Satu hari, sahabat-sahabat saya datang ke rumah. Ada dalam kalangan mereka yang bertudung labuh, Amirah Fasihah mengejarnya dari belakang (mungkin ingat adik perempuan saya tu).

Setelah itu kami ke taman permainan. Bila ada seorang perempuan yang pakai tudung biasa mahu mengambilnya, dia tak mahu dan nak menangis. Tapi anehnya, bila perempuan yang bertudung labuh datang mengambilnya, pantas dia hulurkan tangan. Subhanallah...:)

Beberapa hari lepas, dia ambil tuala dan hulurkan kepada saya. Mahu dipakaikan tudung. Bila saya pakaikan, dia merangkak masuk ke bilik. Mahu tunjuk kepada ummi agaknya.

Allahu Allah... alhamdulillah, kakak-kakaknya berjaya 'mentarbiyahnya' melalui tudung labuh kami. Moga dikau menjadi Srikandi yang bakal menegakkan agama Allah nanti. Ameen~

 ******************************

Moga saham ini juga ada buat kami. wallahua'lam...(^^,)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(^^,)

Jumaat, 27 Julai 2012

Ulang Tahun Ketiga


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat dan keizinan saat ini. Syukurku pada Mu atas segala yang telah Engkau anugerahkan buat hamba yang kadang-kala leka dan lalai dalam mengingatiMu.

Tiga tahun lalu, ‘diari maya’ ini mula bernafas untuk berkongsi pengalaman dan kisah hidup yang dilalui sepanjang pengembaraan di bumi Allah kerana itu ‘diari maya’ ini dinamakan “Kembara Sufi Di Bumi Tuhan”.
 
Begitu pantas masa berlalu, banyak coretan yang ana luahkan dalam ‘diari maya’ ini. Tercatat dan tersimpan segala memori lalu untuk dihayati dan dijadikan pengajaran dalam menempuh hari-hari baru dalam hidup.

Beberapa hari lalu, ana membaca sebuah buku yang tertulis prakata dari penulis buku tersebut. MasyaAllah, insannya cukup sibuk dengan pelbagai agenda penting dalam hidup, namun masih punya waktu untuk menulis sebaris kata dan menyiapkan buku yang sedang ana baca dikala itu.

Beliau langsung tidak berharap buku yang dinukilkan itu menjadi bestseller tetapi apa yang tercatat dalam buku itu diambil ibrah dan manfaatnya untuk menjadi sebaik-baik hamba buat Allah s.w.t.

Ana koreksi diri dikala itu, “dia begitu sibuk namun mampu menghasilkan karya yang mampu membuatkan orang lain makin dekat dengan Allah s.w.t. Dan bagaimana pula dengan aku?”.

Hari itu, ana mula ilitizam untuk cuba menjadi penulis yang bermanfaat buat insan lain. Bagaimana? Iaitu cuba sentiasa menulis dengan hati dan ilmu kerana tulisan dari hati, pasti terkesan jua pada hati.

Untuk mula menulis, ianya memang mudah. Tetapi untuk istiqomah, ianya tidak semudah yang disangka. Masih ana ingat saat bergelumang dengan nota-nota akademik, kertas kerja, kuiz, program, mesyuarat dan jawatan yang menuntut diri ini berikan komitmen sepenuhnya. 

Terasa sedih dihati apabila duduk di depan laptop, namun jari jemari tidak mampu untuk menukilkan apa-apa kerana ilham tidak muncul. Itulah yang akan berlaku apabila hati ana bermasalah dan tertekan dengan pelbagai agenda dalam hidup.

Lantas, nukilan itu dibiarkan sepi tanpa sebaris kata. Itulah perjanjian yang ana buat dengan hati iaitu tidak akan dan menulis apa-apa apabila hati sedang sakit! kerana mudharatnya lebih parah apabila menulis dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Dalam sujud dan seusai solat, ana berdoa moga Allah bimbang hati ini supaya sentiasa ikhlas dalam apa-apa perkara yang dilakukan agar insan yang mendengar ana berbicara, melihat ana beraksi, dan membaca tulisan ana sentiasa merasai apa yang cuba ana sampaikan. 

Teringat kata-kata seorang penulis buku sewaktu hadir membuat bengkel dikampus, “sebenarnya, apabila seseorang itu menulis, tulisan itu sedang membimbangnya untuk melaksanakan apa yang ditulisnya. Jadi, amat bagus bagi para remaja menulis supaya tulisan itu mentarbiyahnya dalam diam.”

Walaupun ada yang tidak setuju, tetapi ana sependapat dengannya. Coretan yang ana nukilkan dalam ‘diari maya’ ini banyak membimbing ana untuk sentiasa muhasabah diri dan basuh hati supaya perbuatan ana sentiasa selari dengan apa yang ana tulis.
Ada juga yang bertanya, “bagaimana nak menulis macam ukhty ya?”.

Bagi ana sendiri, semua ini perlukan proses. Setelah direnung zaman kanak-kanak ana, rupanya ana sering menulis dan berbalas surat kepada sepupu. Dalam surat tersebut ana ceritakan kehidupan yang ana dan keluarga lalui. Tidak kurang juga mengutuskan kad apabila tiba musim perayaan atau hari kelahiran sahabat terdekat.

Semua itu berlangsung beberapa tahun. Ana sendiri suka membaca surat yang ditulis oleh sepupu yang sudi melayan surat-surat yang ana pos kepadanya. Terima kasih buat sepupuku, Ukhty Hafizah Haris yang kini menyambung pengajian di Mesir dalam bidang perubatan. Moga saham ini juga ada buat mu…(^^,)

Ana langsung tidak tahu bahawa bakat menulis ini mula diasah sejak kecil hinggalah masuk ke sekolah menengah. Ana begitu minat dengan subjek Bahasa Melayu dan Sastera, ditambah pula dengan Cikgu Norma yang sentiasa memberi dorongan dan sudi menegur kesilapan tatabahasa dan karangan yang ana tulis.

Masih ana ingat semasa di tingkatan lima. Setelah selesai peperiksaan pertengahan tahun, markah untuk subjek Bahasa Melayu cemerlang dan ada satu bahagian yang mana ana mendapat markah penuh. Jadi, Cikgu Norma minta ana pergi ke hadapan kelas dan menulis semula karangan tersebut untuk pelajar lain salin.

Allahu Allah, ketika itu terasa begitu bersemangat untuk berusaha memperbaiki mutu tulisan karangan ana apabila dihargai seperti itu. Moga saham ini juga ada buat mu wahai guru yang tidak jemu mendidikku…(^^,)

Dan buat sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan doa yang tidak putus-putus supaya ana kekal dan istiqomah dalam medan dakwah yang satu ini. Moga saham ini juga ada buat kalian…(^^,)

Ana pernah menulis satu artikel yang bertajuk, “bersenjatakan media, berpelurukan penulisan” yang mana ana dapati abad ini, media maya seperti facebook, blog, wordpress, dan lamanweb begitu berkuasa dan dapat menyebarkan maklumat dengan cepat.

“semuanya dihujung jari”

Merasai perkembangan teknologi yang terus berkembang pesat ini, pelbagai kaedah mula tercipta seperti perniagaan online, perbankan online, pembayaran dan penjelasan cukai secara online dapat dilakukan dengan mudah tanpa perlu beratur panjang dan menunggu lama.

Maka, tidak hairanlah munculnya ustaz google, youtube, video blog (v-log) dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu imu yang bermanfaat kepada orang lain dengan kreatif dan cepat. 

Isu ini dikupas dengan mendalam oleh seorang pegawai Pusat Islam dari Unversiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dengan tajuk “Tekno-Da’ie” dalam Seminar Islam Nusantara dan manfaatnya cukup besar apabila para da’ie mula gunakan media sebagai ‘senjata’ dalam menyebarkan dakwah.

Jom sahabat, kita mula menulis. Berlatihlah dengan memanfaatkan wall facebook atau twitter sebagai tempat latihan untuk mula berkarya. Ana doakan moga kalian berjaya dan istiqomah…(^^,).

“Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam, menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam. Ianya merupakan satu jihad utama”
(Kitab Fikhul Jihad karangan Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qardhawi)

27.7.2009 > 27.7.2010 > 27.7.2011 > 27.7.2012

.:: Selamat Ulang Tahun Kelahiran Yang Ketiga ::.


Wallahua’lam.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Rabu, 25 Julai 2012

Hidup Biar Bererti Untuk Insan Lain


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain”
(Shahih al-Jami’, No. 3289. Hasan)

Alhamdulillah atas nikmat Ramadhan yang pasti dinanti oleh umat Islam seluruh dunia akan kehadirannya. Satu Ramadhan yang lalu, rumah ana lebih meriah dari biasa kerana inilah kali pertama keluarga ana berpuasa dan berbuka dengan ahli baru iaitu abang ipar ana.

Suasananya juga berlainan kerana hari itu, abang ipar ana yang jadi ketua chef dan masak ikan tiga rasa buat kami sekeluarga disamping juadah yang lain. Abah dan ummi juga jemput tok ayah dan nenek dari dua-dua belah untuk berbuka bersama. Memang meriah walaupun dua orang adik ana tidak ada kerana berada di kampus masing-masing.

Ummi tanya, “nanti nak berbuka dengan air apa?”.

Ana dan adik jawab serentak, “air kelapa! hehe!”.

Maka, mulalah operasi kami mencari buah kelapa muda di belakang rumah tapi tak reti…:p . Ana pun minta nenek untuk bantu kami sebab selalunya apabila kami pergi rumah nenek dan teringin untuk minum air kelapa, pasti nenek akan kaitkan buah kelapa untuk ana dan adik-beradik minum.

Ana duduk menghadap nenek dan melihatnya membelah buah kelapa. Sekali sekala, ada pesanan yang dititipkan buat kami. Ana hanya khusyuk mendengar dan minda mula berfikir.

“Erm…macam mana air boleh ada dalam kelapa ya?”.

Tidak ada jawapan yang mampu ana berikan melainkan jawapan melalui kajian sains tetapi ada satu jawapan yang akan sentiasa betul iaitu Allah yang ciptakannya, pasti ada manfaat tersendiri. Lalu ana berfikir lebih mendalam hikmah disebalik penciptaan buah kelapa tersebut.

“Berfikir sesaat hingga terasa kebesaran Allah lebih baik daripada beribadat selama setahun”

Isi kelapa boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan penambah perasa dengan kuih atau diambil santannya. Airnya boleh diminum dan penawar kepada racun. Tempurung kelapa boleh dijadikan bahan bakar atau diproses menjadi tabung duit. Sabut kelapa boleh dijadikan berus. Daunnya boleh dianyam untuk dijadikan ketupat dan batang daun tersebut boleh dijadikan lidi.

MasyaAllah, terlalu banyak manfaatnya! Hampir kesemua yang ada pada pokok kelapa tersebut ada kegunaan yang pelbagai dan memberi manfaat kepada manusia.

Begitulah juga jika dikaitkan dengan manusia. Kita punya hati untuk luahkan rasa cinta pada pemilik yang halal. Punya akal untuk berfikir bagi kebaikan ummah. Punya iman untuk mengadili mana yang hak dan batil. Dan kita punya senjata terhebat iaitu doa.

Allah, tidak terhitung segala nikmat yang telah Engkau anugerahkan hingga martabat seorang manusia yang beriman itu lebih tinggi nilainya berbanding maklukNya yang lain.

Cuma satu, apakah kita ini bermanfaat untuk insan lain dan ummah? Apakah nafas dan nyawa yang diberikan senada dan seirama dengan fitrah Islam sebenar? Apakah kelebihan yang kita miliki digunakan sebaiknya untuk Islam?

Ana tersenyum tatkala menonton satu siaran di televisyen ketika seorang wartawan bertanya kepada artis yang bukan Islam, “awak pun puasa ke?”.

“benar, saya pun puasa. Sudah biasa, kawan-kawan saya ramai yang muslim dan puasa nie bagus untuk kesihatan. Hehe!”.

Apa beza puasa kita sebagai seorang muslim dengan bukan Islam? Cuma satu iaitu kita beriman kepada Allah s.w.t. dan puasa yang kita lakukan bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi mahu mendapatkan keredhaan Allah disamping memenuhi kewajipan dalam rukun Islam.

Muhasabahlah, apa yang telah kita lakukan untuk Islam pada hari ini?

****************************

Sedikit iklan bagi sedikit yang mampu untuk ‘saham’ kita disana.

Sila klik untuk melihat imej lebih besar...^^

UNGGAS merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang ana sertai ketika masih dikampus lagi dan mereka perlukan bantuan tenaga sukarelawan yang sudi untuk turut serta pada 3 & 4 Ogos 2012. Juga memerlukan sedikit dana kewangan untuk menjayakan misi ini. Bagi yang berada di lokasi berdekatan, boleh membantu sedaya yang mampu.


Ini pula projek yang dilakukan bagi mengumpul dana kewangan untuk diberikan kepada saudara muslim kita di kemboja yang tidak memiliki al-quran dan terjemahan dalam bahasa mereka sendiri. Maka, ada beberapa badan dan individu yang bergabung untuk menjayakan misi ini.

Jika kita tidak mampu berikan tenaga untuk turun membantu, bantulah dari segi kewangan.
Jika kita tidak mampu membantu dari segi kewangan, bantulah dengan memberikan idea dan pendapat.
Jika kita tidak mampu memberi idea dan pendapat, bantulah dengan berdoa!

Apakah kita tidak mahu untuk turut serta dan menjadi sebahagian manusia yang bermanfaat kepada insan yang lain? Itu terpulang pada kebaikan hati kalian. Moga sentiasa dalam redha Allah selalu…(^^,)


Wallahua’lam…

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Selasa, 24 Julai 2012

Keep Going!


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Keep going! Don’t quit! No Regret!”

Kata-kata tersebut masih tergiang-tergiang di telinga ana sewaktu menyertai Kursus Pengurusan Organisasi di Langkawi. Kata-kata motivasi yang diucapkan oleh seorang insan yang amat-amat ana hormati. Punya nama, pangkat dan kuasa, tetapi tunduk merendah diri sebagai 'pemimpin berjiwa hamba'.

Ada beberapa sahabat yang bertanya kepada ana berkaitan permohonan dan tawaran untuk menyambung master. Sebelum balik sebaik sahaja selesai praktikal, ana sudah menghantar permohonan menyambung master. Dalam sebulan lebih selepas praktikal, dapat pula surat tawaran untuk menyambung master daripada UUM. 

Tetapi, ana mendapat tahu dari pensyarah ana. Permohonan yang ana buat untuk menyambung pengajian dalam bidang kaunseling di tolak dan hujah paling kukuh adalah kerana degree ana daripada muamalat, terlalu jauh bezanya.

Setelah berbincang dengan pensyarah, ana segera bertolak ke Kedah sebaik sahaja selesai program di Terengganu. Pagi ana bertolak balik Kelantan untuk kemas barang dan sebelah malamnya terus bertolak ke Kedah dengan bas. Penatnya badan tak terkira, apatah lagi sakit kepala terasa mencucuk kerana tidak cukup tidur dek menguruskan program.

Ana sampai di Kedah sekitar jam 4 pagi lebih. Memang menakutkan sebab di stesen bas tersebut gelap dan langsung tidak kelihatan kelibat manusia. Ana dan pensyarah rancang untuk jumpa di Masjid Changloon sekitar jam 9 pagi. Maka, dengan segala kudrat yang ada dalam dingin pagi, ana mengangkut semua beg dan berjalan kaki menuju ke masjid seorang diri sejauh 4km.

Hanya Allah yang tahu perasaan ana ketika itu. Hanya mampu berusaha, berdoa dan tawakal kepadanya semoga ana dilindungi dari makhluk yang berniat jahat. Pada mulanya mahu mengalah kerana terasa badan teramat letih dan sudah penat berjalan dengan beg yang berat. Tapi ana pujuk hati, mesti teruskan juga. 

Ketika sampai di masjid, nafas ana tercungap-cungap dengan peluh yang mula membasahi dahi. Terasa macam baru berlari satu padang. Alhamdulillah, pak cik yang bertugas di masjid tersebut benarkan ana tumpang berteduh seketika sementara menunggu matahari memancarkan sinarnya. Allahu Allah.

Sebaik sahaja sampai di UUM, ana terus ke pejabat pensyarah dan bersiap-siap untuk bersihkan diri bagi meneruskan kerja. Kami rancang untuk buat surat permohonan dan bersemuka dengan dekan. Ana lakukan semua itu, tetapi tidak membuahkan hasil. 

Maka, ana cuba cara lain iaitu menukar pelan asal dari mengambil master dengan coursework kepada research. Ianya amat sukar sekali bagi pelajar yang langsung tidak ada asas seperti ana. Apabila proposal dihantar kepada dekan, beliau tolak dan minta untuk buat yang lain. 

Ana menarik nafas panjang saat diberitahu oleh pensyarah. Benar-benar mahu berundur dan biarkan sahaja impian ana yang satu ini. Ana sudah berkira-kira mahu pulang kerana sudah tidak ada yang mampu ana lakukan lagi saat itu.

Tetapi ada sesuatu yang buatkan ana terus berusaha. Ana pergi ke kolej, tempat dimana adik-adik usrah ana menginap untuk tumpang membasuh baju dan mandi. ketika kaki menaiki tangga satu persatu, ana melihat ada pagar besi yang menghalang laluan ana untuk sampai ke atas.

Ketika itu, ana terus berfikir negatif, “ish! patah baliklah. Entah-entah kunci.”. Ana jadi ragu-ragu dan mula berfikir untuk turun semula dan menaiki tangga yang satu lagi tanpa mencuba terlebih dahulu. 

Tiba-tiba hati terdetik, “tak salah kalau mencuba. Entah-entah tak kunci pun”. Lantas tangan mula mencapai tombol pintu besi tersebut dan cuba membukanya. Alhamdulillah pintu tidak berkunci!

Ana tersenyum sendiri kerana merasakan Allah sedang ‘mengajar’ ana suatu hikmah melalui pintu besi tersebut…(^^,)


Dalam kehidupan kita, pintu besi tersebut ibarat cabaran atau halangan yang perlu kita hadapi. Kadangkala kita terasa seolah-olah kita tidak mampu untuk hadapinya sedangkan kita belum mencubanya lagi. Kita membuat keputusan yang berat sebelah kerana tidak cabar diri untuk melangkah kehadapan, sebaliknya terus membuat keputusan untuk berundur kerana mata mentafsir dan akal mengadili dengan mengatakan kita tidak mampu!

“berhasil atau tidak, itu bukan kerja kita. Yang penting, kita cuba lakukan sesuatu”.

Maka, apabila memikirkan betapa besarnya manfaat yang bakal ana perolehi untuk ummah, ana buat semula proposal tersebut. Bersengkang mata dan cuba buat yang terbaik mengikut kemampuan dan pengetahuan cetek yang ana ada.

Setelah itu, ana hantar semula ke pejabat dekan sebelum bertolak pulang ke Kelantan. Semuanya ana serah kepada Allah s.w.t. untuk menentukan samaada jalan ini untuk ana ataupun tidak. Doakan ana juga ya…(^^,)

Hidup ini satu perjuangan. Life is a struggle …Mari berjuang untuk memperbaiki diri. Berjuang untuk mencari ilmu dan menghiaskan diri dengan akhlak dan adab. Supaya InsyaAllah kita beroleh Taqwa dan mendapat ketenangan hakiki di dalam jiwa. Tidak cukup dengan hanya menjadi seorang Muslim. Kita seharusnya berjuang sedaya upaya, untuk menjadi seorang Mu'min!”

(Wardina Safiyyah)


.:: Salam Ramadhan Kareem ::.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)