Sabtu, 7 Julai 2012

Proses Tarbiyah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

‘Apa yang dilakukan pada hari ini, ianya bermula dari masa lalu’

Saya teringat satu kisah benar yang diceritakan oleh penceramah jemputan tatkala membincangkan berkaitan isu anak-anak atau remaja dalam radio IKIM.fm. 

“Suami saya baru saja cerita kisah nie dekat saya. Dia pergi Mekah dengan seorang remaja lelaki yang umurnya dalam 18 tahun. Satu hari, suami saya nampak remaja lelaki ini berlari masuk ke lif dan segera ke bilik. Setelah itu, dia terus berlari keluar. Suami saya terus bertanya kepada remaja lelaki tersebut. ‘Saya nampak kamu berlari tadi, ada apa ya?’. Remaja ini menjawab ‘saya melihat seorang lelaki tua meminta derma. Apabila saya seluk poket, tidak ada satu sen pun duit. Saya jadi kesian dan tidak sampai hati untuk tidak memberi derma. Kerana itulah saya segera berlari dan naik ke bilik untuk mengambil duit”.

Subhanallah. Hati ana bergetar tatkala mendengar kisah ini. Apatah lagi akhlak remaja ini sepertimana akhlak Rasulullah s.a.w. Sekiranya ada tetamu yang datang ke rumah Rasulullah s.a.w. atau sesiapa yang ditemuinya dalam perjalanan yang meminta sedekah, pasti Baginda s.a.w. akan bagi sedekah walaupun Baginda s.a.w. sendiri tidak dapat menikmatinya.

Penceramah jemputan ini menyambung perkongsian beliau. “saya kagum dengan akhlak dan peribadi remaja lelaki ini tadi. Pasti hatinya sering disirami dengan kebaikan dan tarbiyah sejak dari kecil hingga dia boleh bertindak sehebat itu”.

Ana setuju dengan kata-kata penceramah tersebut. Seringkali kita dengar ayat ini, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Kenapa? Jika kita perhatikan, buluh yang masih kecil begitu senang untuk dilenturkan dan dibentuk berbanding buluh yang sudah matang atau tua.

Mungkin juga ada yang sering mendengar kata-kata ini, “mahu lihat bagaimana pemimpin kita dimasa hadapan, lihatlah remaja kita hari ini”. 

Kenapa ana ungkitkan semua itu? Kerana ini semua proses dari awal sebelum menuju kemuncak atau kematangan hidup. Setiap darinya perlukan proses dan penjaga yang menentukan bagaimana proses ini perlu diterjemahkan diperingkat permulaan.

“Jika anak bercakap kasar dengan ibu bapa, lihatlah bagaimana ibu bapa bercakap dengan anak semasa mereka kecil. Jika orang bawahan mula membuat kerja sambil lewa dan curi tulang, lihatlah bagaimana orang atasan melayan mereka sejak diambil bekerja.”

Semua ini perlukan satu tempoh masa untuk melihat adakah proses atau tarbiyah atau didikan yang diberikan berjaya menghasilkan individu muslim yang hebat peribadi dan anggun sahsiahnya atau tidak. Ianya bukan mengambil masa satu hari atau satu bulan, tetapi mengambil masa bertahun-tahun.

“muhasabah masa lalu jika ada yang tidak kena pada masa kini”

Ana teringat perkongsian yang diberikan oleh Ustaz Syaari Ab Rahman ketika dijemput untuk memberi sedikit ilmu kepada para pemimpin kampus. Katanya, “kalian tahu kenapa para Nabi, contohnya Nabi Muhammad s.a.w. mengembala kambing semasa kecil? Kenapa pilih kambing dan bukan binatang lain? Hikmahnya, Allah s.w.t. mahu memupuk sifat sabar dalam diri Rasulullah s.a.w. kerana mengembala kambing tidak mudah.”

“Perlu pastikan ‘warga’ kambing ini tidak meragut rumput orang lain. Tidak dimakan oleh serigala dan binatang buas. Tidak masuk ke kebun atau kandang orang lain kerana kambing memang terkenal dengan kedegilannya”.

Ini juga proses dan persediaan yang diatur oleh Allah s.w.t. supaya Baginda s.a.w. benar-benar bersedia untuk menggalas amanah paling berat ketika diangkat dan ditabal menjadi Nabi.

Begitu juga dengan insan lain. Apakah boleh seorang insan mampu berkata-kata di depan ratusan orang tanpa perasaan gementar atau gagap? Boleh. Cuma ianya perlukan proses dan latihan sebelum bersedia untuk berdiri dihadapan ratusan orang.

Begitu juga dengan ana. Bagaimana boleh menulis dan istiqomah sehingga ke hari ini? Ianya juga perlukan proses. Tulisan ana pada hari ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan tulisan saat mula-mula blog ini ‘bernafas’.

Dan kita. Ia…kita semua. Apa yang kita lakukan pada hari ini untuk menggapai matlamat hidup dalam tempoh 5 tahun akan datang? Amat malang sekali jika insan yang sedar akan masa yang sudah dibazirkan tetapi tidak berusaha untuk mengubahnya ke arah lebih baik. Aturlah masa kita dengan sebaiknya sebelum dijemput pulang oleh Ilahi. wallahua’lam.

“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI”
blog comments powered by Disqus