“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih yang amat-amat diri ini rindui dan cintai serta kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah masih diberi peluang kepada hamba ini untuk terus menukilkan sesuatu buat pembaca setia blog nie. Semalam, sambil menunggu masuknya waktu isya’, ana membuka siaran radio IKIM dan mendengar sesuatu yang bermanfaat.
Ada hikmahnya sebab selalunya ana akan ke ruang tamu bersama adik-adik yang lain. Kepala terasa sakit sangat hingga terasa berdenyut-denyut, mungkin kerna terlalu memikirkan ummah agaknya…(“,)
Selepas letak minyak angin dan mengurut kepala, ana pejamkan mata dan rehat diatas katil. Terasa buang masa pula, Alhamdulillah Allah s.w.t. gerakkan hati ana untuk membuka siaran radio IKIM dan dikala itu kuliah sedang berlangsung. Terasa damai dalam hati selepas mendengar kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz.
Jadi, ana coretkan dalam “diari” ini untuk tatapan pembaca semua. Moga peroleh manfaatnya ye….insyaAllah…(^_^)
XXXXXXXXXXXXX
Tajuk yang dikupaskan adalah hati yang baik. Menarik sekali perkongsian yang diberikan, ditambah pula dengan sebuah kisah yang cukup memberi pedoman buat pendengarnya. Ada tambahan sedikit dari ana ye…
Hati yang baik itu sudah semestinya akan sentiasa menyukai hal kebaikan dan membenci hal keburukan. Malah hati yang baik itu juga boleh dilihat atau dinilai melalui akhlak, peribadi dan tutur katanya.
Hati adalah tempat terpancarnya perasaan suka, duka, benci, marah, gembira, sedih dan sebagainya. Hati ibarat raja yang mengarahkan seluruh anggota tubuh untuk mengikut perintah hati. Apabila hati dikuasai oleh iman, amal yang dilahirkan adalah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai oleh nafsu, maka amal yang muncul adalah keburukan.
“sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, itulah hati”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Hati adalah umpama raja dan anggota tubuh badan sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, pengawalnya tentulah bertugas dengan baik juga. Apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, sudah tentu pengawalnya juga begitu”
(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)
XXXXXXXXXXXXXX
Ini pula kisah tersebut. Ada sebuah kerajaan yang diperintahkan oleh seorang sultan dan mempunyai seorang penasihat yang juga merupakan panglima perang. Setiap hal yang berlaku terhadap negera yang diperintahnya pasti akan ditanyakan sebabnya kepada penasihat tersebut.
Contohnya, sekiranya berlaku banjir hingga menyebabkan tanaman-tanaman rosak, musim kemarau yang melanda hingga banyak haiwan ternakan mati kebuluran, tidak kurang juga wabak penyakit yang merebak menyebabkan ramai rakyatnya mati. Setiap kejadian yang berlaku, Sultan tersebut bertanya kepada penasihatnya, “kenapa kejadian ini boleh berlaku?”.
Jawapan yang diberikan oleh penasihatnya cukup mudah, “sabarlah tuanku, pasti ada hikmahnya…”
Setiap kali ada musibah yang melanda dan setiap kali itu juga Sultan bertanya kepada penasihatnya, itulah juga jawapan penasihat kepadanya.
Suatu ketika, sedang Sultan berlatih bermain pedang dengan saudara kandungnya. Kaki baginda ditusuk pedang hingga luka. Lalu Sultan tersebut berjumpa dengan penasihatnya, dan bertanya kepadanya, “apakah pula yang berlaku ini?”.
Dan jawapan penasihat tersebut tetap sama, “sabarlah tuanku, pasti ada hikmahnya…”.
Akhirnya, Sultan tersebut marah dan murka kepadanya kerana tiap kali ditanya apa yang berlaku, hanya itu jawapannya. Lalu, penasihatnya dipenjarakan. Dua hari selepasnya, Sultan bersama dengan beberapa orang tentera bersiap untuk pergi berburu di hutan.
Sedang dalam perjalanan, Sultan dan tentera yang mengiringinya terpisah. Gerak geri Sultan tersebut yang sibuk mencari jalan keluar diperhatikan oleh sekumpulan orang asli. Akhirnya, Sultan tersebut ditangkap dan dibawa ke perkampungan orang asli.
Mereka sibuk membuat persiapan memasak untuk menjadikan Sultan tersebut sebagai hidangan mereka pada hari itu. Salah seorang dari mereka yang berpengetahuan memeriksa badan Sultan tersebut dan menjumpai kesan luka berbalut dikakinya akibat ditusuk pedang.
Orang asli itu tahu, syarat makanan yang ingin disembelih mesti sihat dan tidak boleh ada kecacatan dimana-mana bahagian. Akhirnya, Sultan tersebut dibebaskan kerna Baginda tidak cukup syarat untuk menjadi santapan mereka.
Setelah dibebaskan, Sultan segera kembali ke istana dan berjumpa dengan penasihat yang dipenjaranya lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Penasihatnya berkata kepada Baginda, “tuanku, sekiranya tuanku tidak penjarakan patik dan patik turut bersama tuanku berburu dihutan tadi, sudah semestinya patik mati dimakan oleh orang asli tersebut dan tuanku pula dibebaskan. Jadi, terima kasih tuanku kerna penjarakan patik…”
Kisah ini menunjukkan bagaimana jernihnya hati seseorang yang baik. Mungkin apabila ditimba musibah, hatinya marah, geram, sakit hati dan seangkatan dengannya kerna tiap hal yang dia mahukan berlaku sebaliknya. Namun, sekiranya hati itu baik pasti hati tersebut akan mengarahkan akal untuk berfikir tentang hikmah yang berlaku disebaliknya.
Hatinya akan sentiasa tenang, redha dan ikhlas untuk menghadapi tiap hal yang berlaku tidak kira hal tersebut adalah kesenangan atau kesukaran. insyaAllah…ameen…
“Barangsiapa yang jernih hatinya, akan diperbaiki Allah pula pada yang nyata di wajahnya”.
(Saidina Umar bin Al-Khatab)
Ana juga masih dalam proses mentarbiyah hati…ayuh sahabat-sahabat, kita muhasabah diri….(“,)
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)