“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman dan Islam dalam jiwa hamba ini. Selawat dan salam buat idola hati, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah…kali ini ana mahu berkongsi sesuatu dengan pembaca sekalian, moga-moga ianya memberi manfaat kepada sahabat sekalian…insyaAllah..
Ana baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang amat mendidik jiwa ini. Tambahan pula tokoh ini amat dikenali di seluruh dunia dan mengetarkan jiwa-jiwa musuh Islam di zamannya.
Sejak menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna, perasaan ana untuk mengetahui tentang perjalanan as-syahid ini semakin membuak-buak. Apatah lagi pemikiran dan kepimpinannya dalam menegakkan agama Allah s.w.t. dikaji untuk menemui solusi bagi masalah pada zaman ini.
Ana juga mula mencari buku-buku yang menulis tentang perjalanan hidup as-syahid ini untuk dibuat kajian. Dan tidak mudah untuk mendapatkan buku tentang beliau. Alhamdulillah…Allah s.w.t. pertemukan ana dengan buku ini.
Ana lelaki as-syahid Hasan Al-Banna iaitu Ahmad Saiful Islam menyatakan, Ayahnya adalah pemimpin yang disediakan oleh Allah s.w.t. untuk mengembalikan semula maruah Islam selepas dirobek oleh barat. Buku ini menceritakan perjalanan hidupnya sebagai seorang ayah dalam mendidik anak-anaknya. Dan as-syahid hasan al-banna bukan sebarangan ayah.
Sedikit kata-kata dari pengantar iaitu Dra. Hj. Wirianingsih, “sesungguhnya pembuat dasar pergerakan da’wah moden seperti Hasan Al-Banna telah memberi contoh bahawa yang merasakan sentuhan pertama nilai pendidikan seseorang da’ie, justeru orang terdekatnya. Jika ia seorang ayah, maka isteri dan anaklah yang merasakan sentuhan pertama. Demikian pula bila ia adalah seorang ibu”
Turut mengisahkan bagaimana perjalanan hidup as-syahid Hasan Al-Banna semasa beliau kecil sehingga menjadikan beliau seorang insan yang hebat pemikiran dan peribadinya. “bagaimana ayah begitulah anaknya”.
Cara dan kaedah yang digunakan as-syahid Hasan al-Banna dalam mendidik anak-anaknya teramat halus dan lembut. Tarbiyah yang diberikan kepada anak-anaknya boleh menjadi pedoman buat kita semua untuk mendidik anak-anak kita nanti.
Ana sarankan buku ini untuk dibaca oleh pembaca sekalian. Amat sesuai buat mereka yang bakal menjadi ayah atau yang sudah menjadi ayah.
Selepas khatam buku ini, terus terdetik di hati ana. “aku menunggu insan sehebatnya muncul untuk kembali memperjuangkan agamaNya…tetapi mengapa tidak ku sendiri yang melahirkan pejuang Allah s.w.t. sepertinya nanti….”
Moga Allah s.w.t. merahmati keluarga dan kaum kerabat as-syahid Hasan Al-Banna…ameen..
“aku ingin menyampaikan dakwah ini hingga kepada janin di perut ibunya…”
(Hasan Al-Banna)