“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman dan Islam yang telah Engkau berikan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah masih diberi keizinan dan kesempatan untuk mencoretkan sesuatu dalam diari kesayangan ana nie. Berdoa semoga terus menerus untuk istiqomah dalam menulis hatta sesibuk mana pun diri ini.
Ana mahu berkongsi satu buku dengan para pembaca sekalian. Sebelum ana jatuh sakit baru-baru ini, ana sempat menghabiskan satu buku yang cukup menyentuh hati ana. Membaca kata-kata yang terukir pada kulit buku tersebut sahaja sudah cukup memuhasabahkan diri ini
.
“Begitu sukar rupanya untuk merangkul Iman dan Islam pada sesetengah insan berbanding insan lain yang mendapatnya secara ‘terpijak’. Ironinya yang sukar itulah yang manis”
(Travelog Syahadah “Jejak Seorang Mualaf Mencari Jalan Ke Syurga”)
Kulit depan buku...(^_^) |
Buku ini menceritakan pengalaman yang dilalui oleh penulis sebelum beliau memeluk Islam. Sebuah pengembaraan dan perjalanan yang penuh dengan liku-liku yang perlu ditempuhi sebelum benar-benar nekad untuk memilih Islam sebagai agamanya.
Apa yang paling terkilan di hati ana takkala habis membaca buku ini adalah sikap sesetengah masyarakat Islam terhadap mereka yang bukan Islam. Penulis pernah pergi ke sebuah Jabatan Agama Islam untuk membuat pengistiharan sebagai seorang Muslim, namun dia dilayan dengan teruk oleh pegawai tersebut sehingga mematikan hasrat untuk memeluk Islam.
Hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku. Jangan kerana sikap kita yang begitu keterlaluan hingga menjadi penyebab kepada seseorang itu semakin jauh dengan Allah s.w.t..Nauzubillah…
Dalam buku ini juga terselit bukti-bukti keajaiban, kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. bagi insan-insan yang yakin denganNya. Penulis terus menerus mencari kebenaran dalam hidup, namun tidak ada satu pun kebenaran yang beliau temui dalam agama lain melainkan Islam.
“Jika engkau mencari ketenangan, keindahan dan kebenaran dalam hidup. Akan dikau temui dalam Islam”
Beliau nekad untuk membuat suatu keputusan dan berhijrah ke Kelantan dengan suatu misi yang cukup besar iaitu memilih antara syurga dan neraka. Akhirnya, dia mengucapkan dua kalimah syahadah setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran untuk menjadi seorang Muslim.
Kerna itu ana begitu sedih dan terkilan dengan sikap segelintir masyarakat Islam yang sudah memeluk Islam sebaik sahaja lahir ke dunia. Hanya Islam pada kad pengenalan namun tidak pada jiwa dan hatinya. Sedangkan penulis mengambil masa bertahun-tahun dalam mencari kebenaran sebelum memilih Islam sebagai agamanya.
Di kulit belakang buku ini pula menukilkan ayat dari beberapa penulis yang lain sebaik sahaja membaca buku ini.
“Membaca kisah suka duka, pahit maung insan bernama Rashidi Abdullah ini, seorang yang sejak remajanya lagi belajar di ‘universiti’ kehidupan, pernah menjadi buruh, ditahan sebagai banduan dan akhirnya tekun belajar hingga layak dipanggil ustaz ini, sesungguhnya mengimbau kembali perjalanan hidup para sahabat Rasulullah s.a.w. dalam mencari Iman”
(Ustaz Pahrol Mohamad Joul)
“Travelog Syahadah-secara tersirat- merupakan satu catatan yang telah dilalui oleh seorang insan yang secara kasih-sayangNya telah dilontarkan taufiq dan hidayah. Ia anugerah yang sangat bernilai. Sudah pasti mereka yang telah dilapangkan dadanya untuk menerima Islam bukan kerana zuriat mempunyai perilaku yang sangat berbeza. Malah perasaan dalaman nyata lebih kuat dan berpengaruh terhadap rasa cinta kepada Allah Yang Maha Agung. Keimanan yang diperolehi melalui langkah-langkah berliku nyata sangat bernilai. Ia satu anugerah istimewa”
(Prof. Muhd Kamil Ibrahim)
“Buku ini bukan sekadar catatan seorang lelaki, tetapi ia adalah silibus penting kepada pendakwah Islam untuk mendekati orang bukan Islam. kebanyakan pendakwah yang dilahirkan sebagai Muslim, tidak dapat mengenal pasti keperluan dan kehendak orang bukan Islam yang berminat dengan Islam. Tidak hairanlah terdapat sebahagian kelas pengajian mualaf menggunakan silibus KAFA. Sudah tentu silibus yang disusun kanak-kanak tidak sesuai digunakan untuk orang dewasa. Namun itu adalah mentality pendakwah ini yang beranggapan mualaf seperti kanak-kanak”
(Rohdzir Rais)
Itu adalah sedikit sebanyak yang mampu ana kongsi bersama sahabat pembaca sekalian. Jika sahabat pembaca sekalian mahu tahu lebih lanjut tentang perjalanan hidup penulis, bolehlah dapatkan buku ini, yang ditulis oleh Muhammad Rashidi Abdullah.
Wassalam…(^_^)