Selasa, 29 Mac 2011

Sayap Perjuanganku

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman dan Islam yang begitu tinggi nilainya, hanya kepada Mu daku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Sudah beberapa hari “diari” kesayangan ana nie tidak diupdate hingga ada yang menulis di shout box “tunggu entri seterusnya ^_^”. Agak kekangan masa, namun alhamdulillah kerna Allah s.w.t. mengizinkan ana mencoret sesuatu untuk tatapan para pembaca sekalian.

Sebenarnya sudah beberapa hari mahu menulis, namun perasaan itu diusir buat seketika kerna hati dan minda ana lebih fokus kepada peperiksaan pertengahan semester dan tugasan yang perlu dihantar kepada pensyarah.

Ana begitu bertuah dan beruntung kerna didampingi dan dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang begitu memahami keadaan ana. Kadang-kala mampu membuat ana terdiam dan terharu dengan mereka. Masih ana ingat peristiwa minggu lepas.

Ana mendengar kumpulan ana sibuk berbincang tarikh untuk hantar tugasan sesama mereka. “Eh, nak kena hantar assignment dah ke? Ana tak siap lagi nie, macam mana?”.

Dengan selamba sahabat ana jawab, “tak pe, kami kenal ukhty macam mana, hantar last minute pun mantap assignment, macam hari tu.”

Terus ana terdiam, hati ana memuji namaNya kerna mengurniakan sahabat yang memahami bahawa kehidupan ana penuh dengan aktiviti dan jadual padat sepanjang hari.

Begitu juga takkala ana meminta bantuan dari sahabat, “nanti nak minta tolong macam biasa ye, nak pergi cari nasi kejap. Laporr…hehe”.

“pergilah, makan bagi kenyang. Nanti kami bawa beg ukhty masuk dalam kelas”. Lantas ana berkejar ke café mencari nasi, jika punya waktu ana akan duduk dan makan di café, jika tidak sempat ana akan bungkus dan makan dalam kelas.

Tidak kurang juga ada yang sudi menemani dan memenuhi permintaan ana, “akak, hujung minggu nie free tak? Nak ajak teman pergi jahit kasut, kasut dah rosak..hehe”.

Dia hanya tersenyum, kasut yang baru kami pergi beli sama-sama beberapa minggu lepas sudah terbuka tapaknya. Lantas ana cuba mengurangkan berjalan kaki dan menaiki bas untuk ke kuliah.

Takkala ana lambat membalas mesej atau tidak menjawab panggilan telefon, mereka memahami bahawa ana mungkin sedang bermesyuarat, sedang lena dibuai mimpi, sedang ada program dan banyak lagi. Setia menunggu ana membalas mesej tersebut walaupun kadang-kala terlambat balas hingga berlarutan selama tiga hari.

Takkala ana memerlukan mereka, mereka cuba sedayanya membantu apa yang termampu. Jika ana terlupa, mereka yang mengingatkan. Subhanallah…

Mungkin bagi sesetengah orang, apa yang ana coretkan itu hanyalah simple dan kecil dimata orang yang membacanya. Namun bagi ana, itu adalah bantuan dan sokongan yang begitu besar dalam hidup dan perjuangan ana.

Bagi ana, merekalah sayap-sayap dalam perjuangan ana. Sayap yang mampu membuatkan ana pergi lebih jauh dan lebih tinggi. Sayap yang cuba memudahkan tiap langkah dan perjalanan ana dalam perjuangan.

Ana tahu diri ini tidak mampu membalas jasa-jasa mereka satu persatu, jadi ana titipkan doa buat insan yang membantu ana hatta orang tersebut membantu menjaga beg ana untuk seketika.

“Ya Allah, dia telah memudahkan kerjaku, permudahkanlah kerjanya juga. Ya Allah, berilah dia bantuan, ganjaran dan penuhilah permintaannya kerna dia telah membantu ku untuk menegakkan kalimah Mu di atas muka bumi ini”.

Mungkin ada dalam kalangan pembaca tertanya-tanya, bagaimana mahu memperoleh sahabat seperti mereka kan? Jawapan ana adalah usaha dan doa. Ana juga mencari sahabat yang boleh sama-sama “berpanaskan cahaya matahari dan berbasah kuyup dengan air hujan”.

Kemudian, semuanya ana berserah kepada Allah s.w.t. untuk memilih siapakah yang akan membantu ana dalam perjuangan menegakkan kalimahNya. lalu DIA menghantar dan mengurniakan kepada ana sahabat seperti mereka.

“Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu adalah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari”
(Saidina Ali)

Dan satu lagi, hargailah setiap orang yang berada disekeliling kalian. Berbuat baiklah dengan semua orang walaupun disakiti. Allah s.w.t. akan tunjukkan siapa yang akan tetap setia bersama kalian. Berdoa dan yakinlah kepadaNya.

Terima kasih juga buat para pembaca yang sudi membaca, memberi komen dan menyebarkan artikel yang ana tulis. Moga kalian juga mendapat habuan dan ganjaran kerna menyebarkan manfaat kepada orang lain…insyaAllah ameen.

.::SaYaP PeRJuaNGan Ku::.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
  
blog comments powered by Disqus