Semalam, aku baru sahaja menghabiskan pembacaan buku “Rindu Bau Pohon Tin” karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Rindu Bau Pohon Tin ini merupakan cacatan kembara beliau di bumi Jordan, medan beliau mengejar ilmu dan cita-cita. Satu episod kembara perjalanan di Dataran Syam, beliau di perantauan yang merakamkan pelbagai iktibar kehidupan. Beliau berkongsi cerita, memberi ‘rasa’ dalam tawa dan air mata. Jauh dari kampung halaman, kelananya sering dilanda payah dan derita. Namun kenangan yang menjenguk selepas perjalanan masa, rindu pula bertamu di jiwa. Nostalgia itulah yang memperkenalkan erti kehidupan, ukhuwah dan kasih sayang.
Walaupun jadualku makin padat minggu ini dengan beberapa exam mid-sem dan pembentangan, namun aku gagahkan juga mencuri sedikit masa studyku untuk menghabiskan pembacaanku kerana tertarik dengan kisah pengembaraanya di bumi Anbiya’. Buku ini memberi banyak motivasi dan tarbiyah untuk ku memuhasabah kembali diri ini dan memberikan aku berbagai rasa, adakalanya sebak, lucu, penguat jiwa, bermotivasi dan semangat jihad dalam menuntut ilmu melalui penulisan beliau dengan bahasa yang agak bersahaja dan santai yang berjaya menarik minatku untuk menghabiskannya dalam masa yang singkat.
Antara cacatan beliau yang membuatkan semangatku kembali kuat adalah bilamana beliau menceritakan seorang guru yang beliau sanjungi memberi nasihat sebelum beliau dan sahabat-sahabat seperjuangan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu melalui firman Allah s.w.t.:
“tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.”
(Surah al-Taubah ayat 122)
Ayat ini diturunkan sebagai peringatan kepada para sahabat semasa zaman Rasulullah s.a.w. bilamana berlakunya seruan jihad untuk turun ke medan perang, kesemua para sahabat menyertainya sehingga Baginda ditinggalkan sendirian di kota. Ayat ini memberi peringatan bahawa sebesar manapun sesuatu misi, adalah tidak wajar untuk kaum Mukminin itu keluar semua sekali untuk memenuhi seruan tersebut. Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu mestilah beriringan sedarjat.
Gurunya menyatakan bahawa “ayat ini adalah mahkota penuntut ilmu di jalan Allah s.w.t., ke mana sahaja kamu pergi, junjunglah ayat ini”. Ayat ini adalah bicara Allah s.w.t. kepada kita dan Allah s.w.t. bercakap secara khusus kepada kita supaya menyahut seruan_NYA dan ia juga merupakan suatu jihad fi sabilillah. Di meja studyku, aku letakkan satu kata-kata yang ku dengar sewaktu mendengar kuliah agama tetapi lupa siapa menyatakannya, iaitu “pena seorang ulama’ adalah sama seperti darah seorang syuhada yang mati syahid di jalan Allah s.w.t”.
Sewaktu dimatrikulasi dulu, aku pernah ditanya oleh seorang sahabat. “lepas habis ijazah nanti nak sambung master ke?”. Aku menjawab tanpa berfikir sedalamnya “tak dah kot, tak larat dah nak mengadap buku. Masuk matrik pun rasa dan tak mampu nak bawak, ambik ijazah nanti tak tahu la macam mana”. Tetapi lain pula yang berlaku apabila aku memulakan pengajian di Universiti, tambahan pula bidang yang ku ambil tersasar dari bidang asal iaitu dari jurusan Perakaunan yang telah ku ambil sejak tingkatan 4 sehingga matrikulasi ke bidang Pentadbiran Muamalat. Namun ada hikmah yang Allah s.w.t. tunjukkan, aku kembali berada dalam suasana Islam yang telah ku dambakan sejak 3 tahun lamanya. Alhamdulillah…
Akhirnya aku memutuskan untuk menyambung Master dan seterusnya PHD dalam bidang Muamalat selepas menamatkan ijazah nanti. InsyaALLAH dengan izin dari_NYA. Minatku dalam bidang Muamalat melebihi minatku terhadap Perakaunan yang merupakan matlamatku sejak di bangku sekolah lagi kerana aku merasakan aku diperlukan untuk mengembalikan sistem ekonomi Islam yang pernah diamalkan sewaktu zaman pemerintahan Islam dahulu.
Buku ini banyak memberi pengajaran dan teladan kepada pembacanya. Oleh itu, aku mengsyorkan kepada sahabat-sahabat untuk turut membaca buku tersebut sebagai makanan roh dan jiwa kita.
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(“,)
salam ziarah...cukup hebat dalam penulisan enti, nanti blh ganti ust hasrizal tulis novel la plak.mabruk....Setiap perjalanan pasti terdapat liku2 yang akan menguji kesabaran, terkadang merudum jiwa menangisi peristiwa, tetapi ingatlah wahai sahabatku dalam pengorbanan pasti ada kebahgiaan..
BalasPadam