“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah, sudah hampir 1 minggu umat islam di seluruh dunia berpuasa termasuk juga diriku dan hari-hari yang berlalu itu dihiasi dengan berbagai ibadah kepada Allah s.w.t. Kepada pembaca yang masih sudi membaca coretan di blog ini, ku mohon maaf kerana sudah lama tidak menulis kerana kesibukan masa mencari peluang untuk “berdating” denganNYA serta aktiviti-aktiviti seharian yang agak padat pada bulan yang barakah ini. Alhamdulillah, Allah s.w.t. memberi kesempatan padaku untuk menulis lagi.
Sepertimana yang kita ketahui, pada bulan Ramadhan inilah pahala amalan kita berlipat ganda daripada sebelumnya sepertimana hadis ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Segala amalan kebajikan anak adam itu dilipatgandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda.”
(Riwayat Abu Hurairah)
Rebutlah peluang yang terbentang luas ini, pelihara dan tunaikanlah solat dengan sesuci dan seikhlas rasa, baik sunat mahupun fardhu. Ini kerana, orang yang solat pada bulan Ramadhan, pada setiap kali sujud dikurniakan 1300 kebajikan dan dibinakan mahligai di dalam syurga dari permata. Sesiapa yang kekal berjemaah pada bulan ini, didirikan padanya kota yang bercahaya indah cemerlang. Demikian sabda Rasul. Dari itu, janganlah kita tinggalkan solat fardhu dan sunat terutama solat tarawih yang khusus hanya pada bulan Ramadhan. Pertahankanlah solat sunat tarawih daripada ditinggalkan sehingga berakhirnya Ramadhan kali ini. insyaALLAH…
Selain pahala yang berlipatganda, Allah s.w.t. juga kurniakan kegembiraan kepada hambaNYA. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.
“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, dapat bertemu Allah s.w.t. di akhirat nanti”
(Riwayat At-Tirmizi)
Didunia Allah s.w.t kurniakan kegembiraan tika berbuka puasa dan diakhirat kita dapat bertemu Allah s.w.t. Besarnya nikamat dan kegembiraan yang Allah s.w.t. kurniakan kepada mereka yang berpuasa. Alhamdulillah…
Didunia lagi kita sudah diberi kegembiraan tika berbuka puasa oleh Allah s.w.t. Jika ditanya kepada orang lain, mereka juga merasai kegembiraan tersebut termasuk juga diriku. Di kampus tempat ku menimba ilmu, Pusat Islam menganjurkan majlis berbuka puasa di Masjid tiap hari Ahad sehingga Khamis dengan makanan yang diagihkan secara percuma kepada orang ramai. Bermula pada tengahari, staf Pusat Islam dengan kerjasama daripada pensyarah dan pelajar bertungkus lumus memasak bubur lambuk yang sememangnya dijadikan hidangan wajib sewaktu berbuka puasa dan diagihkan pada sebelah petang bersama dengan hidangan berat kepada orang ramai.
Kegembiraan yang diberitahu dalam hadis tersebut bukan sahaja tika berbuka tapi sebelum berbuka lagi bilamana wujud ikatan silaturrahim diantara staf Pusat Islam, pensyarah dan pelajar. Masing-masing menceritakan pengalaman Ramadhan yang lalu dan kehidupan yang dilalui kini serta bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu. Bagi mereka yang dahulunya tidak pernah bertegur sapa walaupun berada di bumbung yang sama kini menjadi sahabat baik dan yang bertambah erat bagi mereka yang sudah rapat.
Aku juga tidak berkecuali bilamana pada sebelah petangnya, sahabat-sahabat seperjuanganku berduyun-duyun datang ke Masjid . Jika difikirkan, terlalu sukar untuk kami bertentang mata bertanya khabar dan bertukar fikiran kerana masing-masing sibuk dengan amanah sebagai pelajar juga pejuang yang seharian bergelumang dengan assigman dan program kerohanian. Tapi dibulan Ramadhan ini, kami berkumpul beramai-ramai dan berkerjasama membantu Pusat Islam mengagihkan juadah berbuka puasa kepada orang ramai. Kami berpelukan dan masing-masing bertanya khabar mengenai kehidupan seharian apabila sudah lama tidak bertemu. Bermula sewaktu mengagihkan juadah berbuka, berbuka puasa, bertadarus,dan tarawih bersama-sama adalah suatu saat yang sukar untuk dicari pada bulan lain. Masing-masing berberikan kata-kata semangat antara satu sama lain supaya terus berada dalam redha Allah s.w.t. Ikatan silaturrahim yang ikhlas kerana Allah s.w.t. akan sentiasa subur walaupun berjauhan dan ini juga suatu kegembiraan yang dikurniakan pada bulan yang penuh barakah ini.
Bila dirumah pula, kegembiraan itu juga dirasai seisi keluarga. Bermula pada waktu sahur lagi, masing-masing bangun untuk menunaikan ibadah fardhu bagi setiap umat Islam. Tiba masuk waktu berbuka puasa yang akan menjelma beberapa jam lagi, seisi keluarga bertungkus lumus menyiapkan juadah berbuka puasa. Diisi dengan berbagai cerita, jenaka, gelak ketawa dan nasihat sewaktu menyiapkan juadah mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan yang sebelum ini renggang dek kerana kesibukan ibubapa mencari nafkah dan anak-anak dengan pelajaran mereka.
Ku teringat 1 Ramadhan yang lalu, Ramadhan pertama dirumah dan malamnya aku bertolak balik ke kampus untuk meneruskan pengajianku. Adik lelakiku yang ke-3 tidak bersama kami pada 1 Ramadhan kali ini kerana berada di Matrik UIAM dan itu merupakan pengalaman pertamanya berpuasa jauh dari keluarga. Walaupun adikku tidak bersama kami, tetapi kerinduan terubat bilamana datuk dan nenek serta adik beradik sebelah abah dari Pahang bersama kami untuk sama-sama menunaikan ibadah puasa walaupun hanya beberapa hari. Ditambah pula dengan gelagat adik lelakiku yang ke-8 meneruskan latihan puasanya pada Ramadhan kali ini bagi menambahkan lagi bilangan puasanya berbanding tahun lepas yang hanya berjaya dua hari. Kakak dan diriku yang jarang pulang ke rumah kerana menyambung pengajian yang jauh nun di utara mengambil kesempatan kali ini untuk sama-sama mengambil berkat Ramadhan bersama keluarga dengan sahur, menyiapkan juadah, berbuka puasa dan tarawih bersama. Moga-moga satu saat nanti kami masih bersatu sebagai satu keluarga di tempat abadi di syurga nanti…amen..insyaALLAH…
Jadi, marilah kita sama-sama merebut peluang yang datang hanya setahun sekali ini. Janganlah dipersiakan semua keberkatan dan rahmat Ramadhan yang Allah s.w.t. kurniakan pada umat Muhammad yang mulia. Perbanyakkan ibadat terutama pada waktu malam agar kita dipertemukan malam keramat, malam penuh kemuliaan dan keberkatan, iaitu malam Lailatulqadar yang amat dirindui dan dicari oleh setiap muslim sejati yang bertakwa. Semoga diperkuatkan iman. Diperteguhkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dalam menghadapi ujian pada bulan mulia ini. Berdoalah semoga dipanjangkan usia, semoga pada tahun hadapan Ramadhan al-Mubarak akan menjadi teman yang paling istimewa, dirindui dan dinanti. insyaALLAH…
“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat,aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...”
(Ustaz Asri Rabbani)
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(“,)
Salam ziarah.. http://doadalamsujud.blogspot.com
BalasPadam