Jumaat, 4 September 2009

ANGAH, ADA UBAT RAJIN STUDY X?

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Selepas menunaikan solat sunat terawih semalam, aku menerima satu mesej daripada adik perempuanku yang dihantar sebelum isya’ dan dia bertanya kepadaku “salam, angah. Ada ubat biar rajin study tak?” nak tergelak juga bila membacanya, namun adikku mengerti yang kakaknya punya “ubat” itu. Aku membalasnya selepas menunaikan solat sunat terawih, aku membalas mesej dia dengan soalan “baca tak artikel yang aku tulis dalam blog?”, adikku membalas kembali, “baca, mu ada letak gambar umi dan abah. Mu pun cite jugak Sirajuddin belajar nak puasa”. Jawapan yang dia berikan agak mengecewakanku, namun aku cepat-cepat berfikir positif dan menyedapkan hati, “sekurang-kurangnya dia buka blog aku dan baca apa yang aku tulis, daripada tak baca langsung”.

Aku kecewa dengan jawapan yang diberikan itu disebabkan adikku hanya memandang artikel yang ku tulis hanya untuk seronok dibaca dan blog yang ku isikan dengan berbagai hiasan hanya untuk nampak cantik dipandang sahaja. Tetapi tidak berfikir disebaliknya, apa yang aku ingin sampaikan melalui penulisanku dan juga hiasan yang terdapat dalam blog. Apa yang aku lihat dan merasai dalam mengembara di bumi Allah s.w.t. bermain diminda dan aku terjemahkan serta meluahkan melalui penulisanku supaya orang yang membacanya mendapat iktibar, manfaat dan pedoman daripadanya untuk mempertingkatkan diri mencari bekalan ke “destinasi” yang pasti. Itu yang aku harapkan dan itu yang aku doakan tiap kali aku menulis, kerna itu aku mulakan tiap penulisanku dengan menyebut nama Allah s.w.t. supaya beroleh keberkatan. Renungkanlah kembali, adakah kita melihat sesuatu dan berfikir hikmah disebalik sesuatu kejadian?

Adik perempuanku akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini dan masanya akan menjelma tidak lama lagi, jadi tak hairanlah sekiranya perasaan malas meresap ke dalam dirinya dan itu adalah ujian yang paling hebat bagi tiap insan termasuk dirinya. Kerana malas bisa menghancurkan apa sahaja sekiranya tidak di “ubati”. Sudah banyak kali dia meminta aku memberikan kata-kata semangat kepadanya supaya tekun belajar. Tetapi hanya dia yang boleh mengubahnya.

Adikku, “ubat” itu sebenarnya terletak pada dirimu sendiri. Hanya kamu yang boleh menghasilkan “ubat” itu supaya tekun dan rajin belajar. Tapi bagaimana untuk menghasilkan “ubat” itu??? Ya, bagaimana…???

Aku mengenang kembali sewaktu di zaman persekolah dulu. Aku juga sepertinya, malas! Malas nak mengadap buku yang bertimbun, malas nak siapkan homework yang diberikan oleh guru, malas nak pergi kelas tambahan dan semuanya malas! Satu “penyakit” yang terdapat pada setiap insan, namun hanya diri sendiri yang mampu “mengubatinya”. Sepertiman firman Allah s.w.t:

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya”

Akibat daripada perasaan malas itulah, aku tidak mendapat keputusan yang baik dalam UPSR, PMRU, mahupun PMR. Bukannya, aku tidak pernah “dibasuh” oleh abah dan umi dan bukan juga aku tidak pernah “dipaksa rela” oleh pihak pentadbiran sekolah untuk menghadiri kem motivasi. Namun semua itu ibarat “mencurah air ke daun keladi” kerana bila aku bersemangat untuk tekun belajar, datanglah berbagai ujian. “rajinnya baca buku, mesti dapat markah tinggi dalam kelas kan”, “jom kita gi main nak?”, “malam nie ada cerita best, rugi tak tengok”. Kata-kata itu terus mematikan semangatku tadi dan akhirnya aku mengambil sikap sambil lewa semasa belajar dan mengamalkan sikap study last minute pabila peperiksaan tinggal beberapa minggu lagi. Hasilnya, keputusan yang aku dapat hanya cukup-cukup makan sahaja.

Namun, semua sikap itu mula terhakis bilamana abahku mengambil keputusan untuk menghantar aku ke sekolah biasa selepas mendapat keputusan PMR dan bukan menghabiskan pembelajaran di sekolah agama sehingga SPM. Aku marah bila mendengar keputusan tersebut sehingga aku berkata kepada umiku “angah nie bodoh sangat ke sampai nak suruh gi blaja kat sekolah biasa?”. Umiku menjawab, “bukan gitu, umi ngan abah nak angah tumpu betul-betul masa belajar. Lagipun tu sekolah tempat abah belajar dulu dan ramai kawan-kawan abah yang mengajar kat situ, jadi boleh tengok-tengokkan angah”. Aku juga mendapat tahu yang abahku pernah menjadi best student di sekolah tersebut dulu. Aku menerima sahaja keputusan abahku, bukannya aku tidak mahu ke sekolah biasa tapi bila memikirkan bagaimana pula dengan imanku? Adakah aku akan berubah daripada pakai tudung labuh ke freehair? Mana tidaknya, sejak dari berumur 5 tahun lagi umi dan abahku sudah menghantar aku dan kakak ke sekolah yang punya aliran agama sehinggalah aku diminta ke sekolah biasa. Aku juga memikirkan, adakah abah mahu pertaruhkan iman anaknya semata-mata untuk melihat masa depan anaknya penuh gemilang? Semua persoalan tidak terjawab waktu itu.

Januari 2005, bermulalah lembaran baru dalam hidupku. Sebuah kembara dan perjalanan yang berjaya mengubah hidupku kearah yang lebih baik membuatkan aku mengenal erti kehidupan juga berjaya mematangkan diri dan pemikiranku. Disitulah aku terdidik dengan dunia keilmuan, kepimpinan, dan perjuangan da’wah. Tika aku melangkah masuk ke sekolah tersebut, aku merasakan diri ini terlalu asing. Mana tidaknya, jika di Maahad kami diasingkan daripada bercampur muslimin dan muslimat bukan sahaja dalam kelas tapi juga di kantin, koperasi, dan perpustakaan serta semua pelajarnya berkopiah dan bertudung labuh, pergaulan dijaga serta baik tutur katanya.

Tapi di sekolah ini, lain pula suasananya. Namun aku gagahkan juga meneruskan persekolah di dunia baru yang ku gelarnya sebagai “dunia kegelapan” iaitu gelap daripada cahaya ilmu hadis, tasawuf, tafsir Quran, sirahnabawiyah dan seangkatan dengannya. Satu minggu berada di sekolah tersebut, aku menjadi insan yang cukup tegas dan garang dengan lelaki. Pantang ada lelaki yang cuba duduk disebelahku atau duduk berhampiran denganku pasti mendapat “hadiah” daripadaku. Sehinggalah aku menamatkan pengajian di tingkatan 5, tidak ada sorang pun lelaki yang berani duduk disebelahku dek peristiwa seorang lelaki yang pernah ditengking olehku kerana duduk disebelahku. Kelakar juga bila memikirkan…(“,)

Walaupun berada dalam “dunia kegelapan”, aku bersyukur kerana dapat mempelajari ilmu baru iaitu ilmu pengiraan atau angka dan inilah permulaanya aku mula meminati subjek perakaunan, matematik moden dan matematik tambahan. Aku bagaikan “gila” dengan angka, pantang ada soalan yang berkaitan dengan pengiraan pasti aku akan menjawabnya. Namun, untuk mempelajari ilmu itu dengan guru bukan sesuatu yang mudah sepertimana di Maahad. Aku berkata begitu kerana sikap beberapa kawan sekelasku yang kurang ajar dan biadap terhadap guru yang mengajar kami. Itulah dugaan yang perlu aku hadapi, aku bimbang dan takut sekiranya tidak mendapat keberkatan dan cikgu tidak redha dengan ilmu yang diajarnya natijah daripada perbuatan kawan sekelasku yang membuat cikgu kami terasa hati. Bukan seorang dua cikgu yang terasa, lebih kurang empat orang cikgu yang berkecil hati. Mereka bersorak sekiranya cikgu membatalkan kelas kerana masih terluka dek perbuatan anak muridnya. Masyaallah….

Tiap kali ada cikgu yang terasa hati dengan perbuatan kawan sekelasku, aku dan beberapa sahabat yang lain pergi ke biliknya untuk meminta maaf diatas apa yang berlaku dan menebalkan muka terus menerus memohon maaf dan meminta cikgu tersebut masuk ke kelas dan mengajar semula kami sekiranya ada cikgu yang hilang mood untuk masuk ke kelas kami kerana tidak tahan dengan kerenah anak didiknya. Pada mulanya, aku dapat bersabar dengan situasi yang berlaku. Lama-kelamaan, kesabaranku sampai ke kemuncak tiap kali melihat sikap tidak beradap kawan sekelasku terhadap cikgu.

Teringat peristiwa yang memuncakkan kesabaranku, waktu itu subjek matematik moden. Cikgu masuk dengan membawa kertas soalan tahun-tahun lepas untuk diulangkaji bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Dengan susah payah cikgu tersebut mengangkat kertas yang banyak dari biliknya ke kelas kami dan ada suara dari seseorang yang menghilangkan mood cikgu tersebut untuk mengajar, “masuk kelas je, wat latihan. Masuk kelas je, wat latihan. Tak de benda lain ke nak buat, boring la!”, aku cukup kenal dengan suara itu, suara yang sudah banyak kali menyakitkan hati cikgu-cikgu kesayanganku. Dan aku sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku selepas ini. Seperti yang di jangka, cikgu tersebut memandang kearah suara tersebut dan terus berlalu keluar tanpa berkata apa-apa dan terus menghilang dari pandangan kami.

Kesabaranku hilang pagi itu, aku bangun dari tempat dudukku dan ke depan kelas dengan muka yang marah sambil berkata, “puas hati engkau sekarang?! Bersorak la, macam yang selalu engkau buat sebelum nie!” Dia bangun dan bersorak seolah-olah mengejekku, tapi kali ini tidak seperti selalunya kerana “geng-geng” dia tidak turut serta bersorak. Melihat keadaan itu, dia terus duduk. Mungkin hilang keberanian kerana tidak ada pengikut yang menyokong ditambah pula dengan mukaku seperti singa yang mahu menerkamnya. Aku berkata dengan nada yang sinis, “nape duduk, takut?!”. Dia mahu menjawab, tapi terdiam bila melihat aku merenung tajam ke arahnya. “mata kalian semua buta?!, akal kalian semua beku?! Hati kalian semua mati?!” aku bertanya dengan suara yang lantang. “mata kalian tak nampak, cikgu susah payah bawak kertas soalan yang banyak ke sini. Akal kalian tak fikir, cikgu sanggup bersusah payah demi masa depan kita semua. Hati kalian tak rasa terharu diatas pengorbanan yang cikgu curahkan kepada kita. Dan ini balasan kita terhadapnya?!”. Aku menambah lagi.

“engkau!”, aku menuding jari kearah orang yang melukakan hati cikgu tadi. Semua pelajar memandangku, menunggu ayat seterusnya yang bakal keluar dari mulutku. “nie last engkau buat cikgu kelas kita terasa hati, sekali lagi engkau buat. Aku tak kan teragak-agak halau engkau keluar dari kelas nie!”. Kali ini, suaraku lebih kuat dari tadi. Dia diam seribu bahasa. Penolong kelasku bangun dan mengajakku ke bilik cikgu tersebut untuk meminta maaf dan meminta supaya menyambung kembali pembelajaran dek kerana peristiwa tadi.

Semasa dalam perjalanan ke biliknya, aku melihat cikgu duduk di lorong ilmu. Tempat yang dipenuhi maklumat berkaitan universiti yang terdapat di Malaysia serta risalah berkaitan dengan kerjaya tertampal di dinding lorong. “cikgu” aku memanggilnya. Tapi tiada sahutan, mungkin masih “panas” dengan peristiwa tadi. Aku meminta penolong kelasku kembali ke kelas supaya aku dapat bersendirian untuk memujuknya. “cikgu, saya minta maaf atas sikap biadap Lat (bukan nama sebenar) tadi”, juga tiada sahutan. Aku mula rasa serba salah. “cikgu, saya tahu cikgu dah hilang sabar dengan perangai dia. “Kalau cikgu yang hanya masuk bila masa kelas boleh terasa hati dengan dia, kami yang hari-hari terpaksa bersabar dengan kerenahnya lagilah”. Suaraku mula bergetar menahan air mata yang bertakung bila melihat tiada juga respon dari cikgu kesayanganku. “cikgu, kalau cikgu benci dan tak suka dengan dia. Janganlah cikgu biarkan saya dan sahabat yang lain turut menerima “hukuman” nie. Kalau cikgu tak nak ajar dia, ajar kami yang dahagakan ilmu dari cikgu. Kalau cikgu tak suka tengok muka dia, cikgu pandang la muka kami yang penuh harapan untuk berjaya nie cikgu”. “cikgu masuk mengajar kami balik ye”, aku cuba memujuk lagi. “ saya nak belajar dengan cikgu, sahabat-sahabat saya pun ramai yang nak belajar dengan cikgu, cikgu masuk mengajar ye”. Aku sudah kehilangan kata bila melihatkan cikgu tetap tidak respon kata-kataku, air mataku mula mengalir di pipi. “tak pe lah cikgu, saya pergi dulu. kalau cikgu rasa nak mengajar kami. Cikgu masuklah, kami tunggu”. Aku terus berlalu ke tandas dan menangis sepuas-puasnya.

Hatiku berkata,“Ya, Allah. Ujian apa yang engkau berikan padaku ini. Engkau letakkan aku di kalangan mereka yang mempermainkan agamamu, engkau memadamkan cahaya ilmu agamamu ke atasku, engkau menduga imanku dengan melihat berbagai maksiat disini, engkau juga menguji kesabaranku dengan berbagai ragam dan kerenah manusia disini.” “Ya, Allah. Aku tidak kuat menghadapi semua ini sendirian ya Allah”. Air mataku semakin laju mengalir membasahkan tudung yang ku pakai. Inikah balasan ke atasku akibat tidak menghargai ilmu yang engkau berikan dulu? Inikah balasan ke atasku diatas sikap leka dan lalaiku sehingga engkau menarik nikmat ilmu keatasku?

“Ya Allah, baru sekarang aku sedar hikmah engkau mentakdirkan aku bersekolah disini. Jauh dari suasana Islam, jauh dari ilmu-ilmu agama, jauh dari nasihat-nasihat ustaz, ustazah dan sahabat-sahabatku. Supaya aku sedar dan memuhasabah diri sendiri diatas “pembaziran” waktu yang aku lalui sewaktu di sekolah agama dan Maahad dulu. Hanya belajar ilmu agama tetapi tidak menghargai dan mempraktikkannya serta membiarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa manfaat.”

Akhirnya aku sedar hikmah disebalik apa yang aku lalui. Bermula saat itu, aku berjanji pada diri untuk tekun belajar dan menebus masa yang lalu. Aku membasuh muka dan terus masuk ke kelas, beberapa minit selepas itu. Cikgu masuk kembali ke kelas dan meneruskan pembelajaran walaupun hanya tinggal 30 minit lagi. Alhamdulillah…ku panjatkan syukur. Pengalaman yang aku lalui inilah yang memberikan aku kekuatan untuk terus menuntut dan menghargai ilmu yang dipelajari. Selepas keputusan peperiksaan pertengahan tahun diumumkan, aku mendapat tempat yang kedua bagi keseluruhan kelas Perakaunan. Alhamdulillah….aku balik ke rumah dan mengkhabarkan berita gembira kepada umi. Terukir senyuman dibibirnya bila melihat buku rekodku, teruja agaknya kerana inilah kali pertama aku mendapat keputusan yang cemerlang…Alhamdulillah…. Aku teringin melihat umi dan abahku senyum lagi seperti itu. Jadi, aku berusaha untuk mengekalkan keputusan peperiksaanku sehingga ke SPM supaya aku dapat melihat lagi senyuman kegembiraan itu.

Selepas itu, aku turut melakar sejarah dalam perjalanan hidupku. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan diterima masuk ke matrikulasi. Walaupun aku tidak terpilih sebagai best student sepertimana abah dan kakakku kerana ada subjek yang aku dapat C tapi aku berjaya membuka mata pihak pentadbiran sekolah dan pelajar aliran sains bahawa pelajar yang mengambil jurusan perakaunan juga mampu ke matrikulasi dan setaraf dengan pelajar aliran sains bukan second class! Kerana di sekolah itu, sesetengah pelajar sains tidak sudi berkawan dengan kami kerana menganggap kami bodoh dan lemah dalam pelajaran. Tapi aku berjaya membuktikan tanggapan mereka salah. Cikgu memberitahu, sudah beberapa tahun tidak ada seorang pun pelajar jurusan perakaunan dapat ke matrikulasi. Tahun itu, hanya aku seorang sahaja yang berjaya ke matrikulasi dalam bidang perakaunan. Alhamdulillah…selepas pada tahunku, makin ramai yang berjaya masuk ke matrikulasi kerana pihak pentadbiran mula memberi perhatian kepada pelajar perakaunan.

Aku dapat melihat lagi senyuman kegembiraan yang terukir dibibir umi dan abah takkala mendengar keputusan SPM ku. Aku suka melihat senyuman itu, jadi aku berusaha keras untuk melihat lagi senyuman itu. Umi memberikan hadiah duit RM50 kepadaku dengan ini:

Walaupun sampul duit dibuat hanya daripada kertas yang sudah diguna, aku tidak kisah. Yang penting kata-kata ini. Sudah 3 tahun aku menyimpannya, inilah salah satu “ubatku” tika terasa malas belajar.

Adikku, kakakmu ini menceritakan semua pengalaman yang diri ini lalui dulu bukan hanya untuk seronok didengar dan dibaca. Tapi untuk kamu berfikir dan menilai sendiri bagaimana untuk menghasilkan “ubatmu” sendiri. Menambahkan kekuatan dan semangat dirimu sebagai “antibody” untuk melawan “penyakit” malas.

“ingin melihat senyuman kegembiraan umi dan abah, ingin membuktikan kepada dunia bahawa Islam masih punya pewaris ilmuan Islam, pengalaman silam, kata-kata semangat dari orang sekeliling, juga motivasi adalah “ubatku” untuk membuatku rajin belajar. Kamu pula bagaimana? Adakah kamu mahu mengalami kesusahan dulu seperti Nik Nor Madihah baru kamu akan tekun belajar? Adakah kamu mahu mengalami pengalaman sepertiku baru kamu mahu tekun belajar? Fikir-fikirkanlah adikku…

Hanya kamu yang boleh menghasilkan “ubat” rajin itu….semoga berjaya adikku… juga kepada semua pelajar Maahad Muhammadi Tumpat, Kelantan. Ukhti ucapkan selamat berjuang dalam peperiksaan PMRU, PMR, SMU, SPM, STAM, dan STPM. Maafkan ukhti kerana tidak dapat membuat program yang seterusnya kerana kekangan masa. Moga mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. dalam melalui bahtera ilmu. Buktikan pada dunia bahawa pewaris ilmuan Islam masih ada. Semoga berjaya dalam hidup, insyaALLAH….

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(“,)

4 ulasan:

  1. salaam,

    moga segalanya selepas ini bermanfaat..amen..

    BalasPadam
  2. assalamualaikum wbt..

    panjang sungguh cerita awk, hehehe...namun ape pn hakikat perjelasan tu sungguh tertarik bg diri sy untuk mengenangkan kisah silam yang perjalanannya hampir sama, dr sekolah agama, keluar mencari kematangan dunia di sekolah aliran yang bertopengkan agama, hakikatnya penuh dengan kegelapan...Yang penting niat kena ikhlas keluar melangkah kaki pengembaraan ke bumi yang gelap adalah untuk membawa sinarnya, bukan terjun bersama ke lembah kegelapan....

    Syukran...

    BalasPadam
  3. waalaikummussalam w.b.t.-Rozlan Daud

    erm..panjang la jugak...(",). sekadar perkongsian dan sya th kita punya p'galaman yang sama..
    btl kata awk,"Yang penting niat kena ikhlas keluar melangkah kaki pengembaraan ke bumi yang gelap adalah untuk membawa sinarnya, bukan terjun bersama ke lembah kegelapan...."

    apa yg sya lihat, ramai yg ikut terjun bersama dari membawa sinarnya...

    BalasPadam
  4. assalamualaikum..artikel yag sangat bagus dan mantap.. artikel yang bisa membuatkan air mata akak jatuh... betul cakap asma'. kesedaran tu mesti datang dan lahir dari hati sendiri bukan dari orang lain.. kita yang menentukan corak masa depan kita.. moga Allah sentiasa merahmatimu adikku sayang.. moga Allah juga memberikan kekuatan untuk kita dalam usaha untuk berpesan-pesan kearah kebenaran n kesabaran..salam jihad dari akak..

    BalasPadam