“Dengan Nama
Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه
وسلم
Ana
teringat satu status facebook dari sahabat kenalan semasa di universiti dulu,“dalam
proses untuk mencari kerja baru, doa-doakanlah moga Allah murahkan rezeki”.
Ana
senyum sambil menaip kata-kata buatnya, “menjemput rezeki lebih mudah
daripada mencari rezeki. Bagaimana caranya? Solat sunat dhuha, membaca
surah al-waqiah, sentiasa beristighfar, perbanyakkan sedekah, menjauhi maksiat
dan banyak lagi”.
Mungkin
ramai yang tidak tahu perihal ini tetapi itulah hakikatnya, menjemput rezeki
lebih mudah berbanding mencari rezeki.
Rezeki, Allah yang pegang.
Minta dengan Dia dulu,
baru usaha yang selebihnya.
Konsep
rezeki bukan sahaja pada duit, dikurniakan kesihatan yang baik, anak-anak dan
pasangan yang soleh dan solehah juga adalah rezeki dari Allah. Ada orang
mungkin nampak miskin, namun Allah ‘kayakan’ dia dengan anak-anak yang ramai
dan berjaya.
Ana
membuka perniagaan melalui online dan menerima tempahan daripada pelanggan.
Apabila bekerja sendiri dan bukan kerja makan gaji, ana sangat yakin rezeki itu ada pada Allah. Cuma diri
sendiri kena pandai untuk ‘jemput’ rezeki itu hadir menghampiri kita.
Ajaibnya sedekah
“Perumpamaan (nafkah yang
dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah
seperti dengan sebiji / sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai (butir),
pada tiap-tiap tangkai pula ada seratus biji. Allah melipat gandakan
(ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi
Maha Mengetahui”.
[Surah al-Baqarah ayat 261]
Allah
s.w.t. memberi perumpamaan yang sangat jelas dalam al-quran berkaitan sedekah.
Contoh mudah daripada perumpamaan ini adalah kita menderma duit untuk pembinaan
masjid di kampung.
Selesai
pembinaan tersebut, para jemaah masjid sentiasa menggunakan masjid tersebut
bukan setakat untuk solat, malah digunakan untuk majlis ilmu, mesyuarat
berkaitan permasalahan ummah, tempat mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf dan
banyak lagi.
Semua
perihal kebaikan yang dilakukan di masjid tersebut, pahala itu terus mengalir
kepada kita bertahun-tahun selagimana masjid itu masih berdiri kukuh walaupun
kita sudah meninggal.
Sekiranya
‘kalkulator pahala’ mampu kita lihat dan membuat pengiraan pahala, sudah pasti
kita menjadi jutawan akhirat. Hanya menderma RM5 untuk pembinaan masjid, namun
ianya ‘membiak’ melalui program-program dakwah dan kebajikan yang dilakukan.
Allahu Allah.
Bantuan tambahan
Daripada Abu Hurairah bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka
terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang
dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya”.
[Hadis Muslim, Kitab al-Wasiyyah,
Bab Ma Yalhaq al-Insan Min al-Thawab]
Perkara
pertama yang disebut dalam hadis ini adalah sedekah jariah iaitu sedekah yang
berterusan dan berkekalan manfaatnya untuk masyarakat umum. Semasa hidup di
dunia, si mati melakukan amalan tertentu yang mana pahala tersebut tetap
mengalir padanya walaupun sudah meninggal dunia.
Apabila
sudah meninggal dunia, pastinya kita sudah tidak dapat untuk kembali semula di
dunia dan ketika itu tidak ada satu pun amalan yang mampu membantu kita di alam
barzah, maka pahala sedekah ini datang menghampiri dan membantu kita ketika
bersendirian melalui perjalanan di alam barzah.
Mungkin
juga ketika di dunia, ada individu yang tidak sempat untuk berkahwin dan tidak
mempunyai anak yang soleh, maka pahala bersedekah inilah yang akan membantunya
untuk melalui kehidupan selepas mati.
Jutawan Akhirat
“sedekah
tidak pernah membuatkan kita miskin”
Ana
sangat gemar dengan kata-kata ini. Sangat tepat dan benar sepertimana yang
dijanjikan oleh Allah s.w.t. buat para dermawan yang ikhlas mendermakan
hartanya pada jalan Allah.
“Siapakah yang mahu memberi
pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan
Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat
ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan
kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”
[Surah Al-Baqarah, ayat 245]
Apa yang kita sedekahkan itulah sebenarnya ‘saham’
atau ‘harta’ milik kita ketika diakhirat dan apa yang ada dalam poket atau bank
atau dalam tangan kita, itu belum lagi milik kita.
Ana teringat kisah benar yang dilalui oleh
sahabat ana sendiri. Ana pernah menulis berkaitan kesusahan yang dialami oleh
Kak Yah sekeluarga dalam blog ini dan beliau membacanya.
Ketika itu beliau dan keluarga juga dalam
kesempitan wang, namun hatinya yang begitu mahu membantu Kak Yah membuatkan
beliau menderma sebanyak RM50. Tidak lama selepas itu, duit RM50 ‘dikembalikan’
semula kepadanya hasil daripada keuntungan jualan barang.
Beliau pernah bertanya kepada suaminya,
apakah perlu minta izin dari suaminya apabila mahu menderma atau memberi
sedekah kepada insan yang memerlukan? Suaminya memberitahu, dermakan sahaja
tanpa perlu minta izin daripadanya.
Lalu kisah beliau mendermakan duit kepada Kak
Yah diceritakan kepada suaminya yang ketika itu sedang terbaring kerana jatuh
sakit. Apabila diberitahu duit yang didermakan itu ‘dikembalikan’ semula
melalui keuntungan jualan yang diperolehi membuatkan suaminya mengalirkan air
mata.
Itu membuatkan beliau sekeluarga bertambah
yakin terhadap ‘kuasa sedekah’. Walaupun mereka sendiri dalam kesempitan wang,
tetapi disebabkan keinginan dihati yang mahu turut membantu membuatkan beliau
nekad untuk sedekah walaupun nampak kecil dimata manusia, namun besar ‘dimata’
Allah s.w.t..
Jika tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk
kewangan, boleh sedekah melalui sumbangan tenaga pada jalan Allah. Jika tidak
mampu, senyumlah ketika menemui insan sekeliling.
Senyum,
ibadah tanpa kos! [^^,]
Sesungguhnya
Allah lebih mengetahui…
JOM KITA
MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)