Isnin, 20 Mei 2013

Allah, Sandaran Hati.



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Ketika ini, baru sahaja mendapat khabar dari seorang sahabat mengatakan beliau berada dalam wad. Anaknya demam panas dan diserang sawan. Ana hilang kata. 

Hanya nama Allah yang mampu ana sebutkan buatnya.

Allahu Allah.
Hasbunallah Wa Ni’mal Wakil…

Dalam seminggu dua ini, inbox facebook dan mesej di telefon bimbit dihujani dengan pelbagai soalan kehidupan. 

Kadang-kala ana duduk termenung sambil hati bermonolog sendiri. “Ramai yang datang kepadaku dan meluahkan masalah sendiri. Namun, apakah terdetik juga dihati mereka bahawa hidupku jua sering diuji?”.

Dalam diam, ana akui kebenaran kata-kata seorang pak kiyai yang diceritakan oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam segmen Usrati di Ikim.fm.

“Ada seorang pak Kiyai (guru pondok di Indonesia), ramai yang bertanya soalan kepadanya. Ada yang tanya berkaitan masalah dengan suami atau isteri, masalah dengan teman sekuliah, masalah kewangan dan banyak lagi. Soalan yang banyak itu dijawab dengan satu jawapan sahaja.”.

“Apabila seorang manusia belum sempurna imannya, dia akan sering merungut dengan aturan Allah. Sering mempersoalkan apa yang berlaku dalam hidupnya. Namun, jika imannya sempurna dan yakin dengan Allah, dia akan sering berlapang dada dan menjalani hidupnya dengan tenang”.

Ana teringat kata-kata seorang ustaz ketika dalam kuliah ilmu berkaitan rukun iman. 

“Kalian tahu kenapa percaya kepada qada’ dan qadar itu diletakkan dibawah sekali?”, tanya beliau.

Ramai menggelengkan kepala termasuk ana sendiri.

“Ini kerana, itulah rukun yang paling susah untuk diimani oleh manusia. Kita mampu beriman kepada Allah, namun belum tentu mampu beriman kepada qada’ dan qadar. Tak percaya? Cuba tanya pada diri sendiri, apakah kita mudah untuk redha dengan perkara yang berlaku dalam hidup?”.

Ana diam. Kena tepat pada batang hidung sendiri.

Pedoman diri

Apabila berbicara soal ini, ana jadi rindu pada Rasulullah s.a.w.

Kerana apa? Kerana Baginda s.a.w. adalah sebaik-baik pedoman dan tauladan buat umat manusia. Tiada manusia lain yang lebih baik darinya.

Baginda s.a.w. adalah manusia yang sangat redha dengan aturan Allah. Ketika masih kecil, sudah bergelar yatim. Dalam usia muda, perlu berdikari sendiri. Hidupnya penuh dengan cabaran.

Saat membaca sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w., hati terasa sangat dekat dengan Allah. Ini kerana, Baginda s.a.w. menjadikan Allah s.w.t. sebagai matlamat utama dalam hidupnya, tiada yang lain.

Baginda s.a.w. sangat bersangka baik dan yakin dengan Allah s.w.t… Aturan hidupnya sentiasa dalam dakapan kasih sayang Allah. Dalam duka, pasti terselit bahagia.

Kembali Pada Allah s.w.t.

“Jika kita ingin mengubah dunia, kita perlu mengubah manusia yang berada didalamnya. Jika kita ingin mengubah manusia, kita perlu mengubah hati yang berada didalamnya. Dan jika kita mahu mengubah hati yang berada dalam manusia, kembalilah pada Allah s.w.t…”.

Apabila ada individu yang mengadu berkaitan masalahnya, ana cuba bawa dia kembali mendekati Allah s.w.t… Tiada yang lain, hanya Dia yang mampu berikan solusi dan ketenangan hidup.

Manusia tiada kuasa,
               tapi Allah Maha Kuasa.           


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus