Ahad, 24 September 2017

SELESA 'MERENCATKAN' KESEDARAN (Part 2)

Semasa di tingkatan 2 awal bulan Februari, saya dapat panggilan telefon daripada abah mengatakan abah dan ummi dapat pindah sekolah ke Kelantan selepas berpuluh kali percubaan dibuat untuk pertukaran sekolah. Sebelum ini, abah dapat kelulusan pindah sekolah, tetapi ummi tidak. Jika ummi yang dapat kelulusan pindah sekolah, abah pula tidak. Maka, hasrat itu terpendam selama 8 tahun sehinggalah saya berada di tingkatan 2.

Waktu tu memang kelam kabut la sebab adik beradik saya sudah 8 orang dan 6 daripadanya sudah pun bersekolah. Abah dan ummi sibuk sangat-sangat dengan urusan perpindahan nie termasuklah cari rumah sewa baru di Kelantan.

Seingat saya, hampir seminggu jugalah tak datang sekolah asbab berpindah dari Pahang ke Kelantan. Bila tiba di Kelantan, sudah jumpa rumah sewa yang sesuai berdekatan dengan sekolah, kami 6 beradik terus daftar masuk sekolah.

Tetapi sayang, saya susah nak serasi dengan sekolah baru. Antara faktornya adalah selalu lupa hari (Kelantan cuti minggu hari Jumaat dan Sabtu, sedangkan Pahang cuti minggu hari Sabtu dan Ahad), bahasa loghat Kelantan yang kadang-kala saya susah nak faham bila terlalu pekat πŸ˜…. Tetapi faktor paling besar adalah saya susah untuk serasi dengan subjek yang terlalu banyak (akademik + agama) hingga perlu ambil berpuluh subjek ketika itu.

Dulu pelajar Maahad perlu ambil peralihan iaitu satu tahun digunakan untuk belajar basic arab dan subjek agama yang lain sedangkan sekolah agama saya dulu just ajar bahasa arab komunikasi saja dan elektif, bukan subjek teras. Pun tiada subjek hafalan untuk Peperiksaan Menengah Rendah Ugama (PMRU). Masa tu, rasa sangat-sangat stress disamping semua kawan-kawan saya lebih tua dari saya 😌.

Sudahlah sedih terpaksa berpindah sekolah dan berpisah dengan kawan serta cikgu yang sudah rapat dengan saya, terpaksa pula hadapi semua secara tiba-tiba. Akibatnya saya hilang minat untuk belajar. Sudah la banyak main sebelum nie, ditambah pula hilang terus minat nak belajar.

Jadi, saya pergi sekolah setakat penuhi rutin harian saja. Pagi bersiap pergi sekolah, tengahari balik, malam tidur. Begitulah setiap hari sampai tiba waktu peperiksaan, banyak subjek hafazan yang fail. Saya jadi selesa dan tak kisah pun dengan apa yang berlaku di sekeliling. Ada family, ada duit poket yang parents bagi, cukup makan pakai dan tempat tinggal, ditambah pula dengan ada ustaz dan ustazah yang sering ajar subjek agama, jadi saya sangka Malaysia ini aman damai sejahtera saja 😌.

Jika difikir semula, membazirnya hidup saya dulu. Lambat sangat kesedaran tu tiba sebab saya SELESA dengan semua yang saya ada. Allahu Allah. Hinggalah tiba satu hari dimana saya ambil result PMR sewaktu di tingkatan 3. Result sangat teruk dan saya terus menerus kecewakan abah dan ummi yang mahu melihat anaknya berjaya dalam akademik.

Semasa penghujung tahun di tingkatan 3, rumah yang abah bina atas tanah sendiri siap dibina dan kami berpindah sekali lagi. Sehingga sekarang, kami sekeluarga tinggal di sana. Bila pindah rumah, terpaksalah pindah sekolah sekali lagi sebab sekolah Maahad saya dulu sangat jauh dari rumah sebab berlainan daerah / jajahan di Kelantan.

Abah membuat keputusan nak hantar saya ke Sekolah menengah harian biasa dan bukan lagi ke Sekolah maahad selepas saya gagal dalam subjek bahasa Arab. Mulanya saya memberontak dan marah pada abah.

Tapi akhirnya saya melihat hikmahnya. Satu persatu Allah buka dan tunjuk jalan pada saya yang merubah saya menjadi seperti yang kalian lihat hari ini. Jika bukan asbab pindah sekolah dan keluar dari zon selesa, saya takkan sedar dan tahu betapa teruknya dunia di luar sana yang sedang kita hadapi dengan pelbagai masalah gejala sosial melanda anak muda belia dan remaja.

Semuanya kerana saya masuk ke Sekolah Menengah harian biasa dan duduk di kelas hujung sekali asbab result PMR lepas yang teruk. Dari situ, saya jumpa TIGA BUDAK SERANGKAI yang sangat dasyat kehidupan mereka. Itulah detik permulaan yang menyedarkan saya betapa perlunya ilmu dan asas agama yang cukup dalam diri.


Allah Lebih Tahu πŸ’—
blog comments powered by Disqus