Khamis, 20 September 2012

Hidup Adalah Anugerah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukrillah Ya Allah atas nafas yang masih berbaki ini. Terasa sedikit kekok saat jari jemari menari-nari diatas papan kekunci laptop kerana sudah hampir dua minggu tidak menulis apa-apa artikel dalam ‘diari maya’ nie. 

Walaupun tidak ada artikel yang terbaru dimuatkan dalam ‘diari maya’ nie, tetap ada pengunjung yang singgah. Ana ucapkan terima kasih bagi yang sudi membacanya dan mohon maaf buat sahabat pembaca yang ternanti-nanti…(^^,)

Bermula dari minggu lepas, ana semakin sibuk menjahit dan menyiapkan tempahan para pelanggan ‘Bidadari Solehah Enterprise’ hingga mengabaikan sedikit permintaan hati untuk terus melakarkan sesuatu dalam ‘diari maya’ nie.

Tatkala tempahan banyak masuk dan ada pelanggan yang meminta tempahannya disiapkan segera kerana begitu memerlukan, ana mengerah keringat yang ada untuk cuba penuhi permintaannya walaupun perlu berjaga malam. 

Alhamdulillah, hasil ‘didikan’ semasa dikampus lagi, ana sudah biasa dengan kesibukan begini walaupun kadang-kala demam datang menyinggah sambil memberi isyarat supaya badan direhatkan sebentar…(^^,)

Mungkin ada yang tertanya bagaimana ana membahagikan masa untuk diri sendiri? Ada sesetengah orang, dia sering bahagiakan hati orang lain hingga tidak sedar hatinya terluka. Ada sesetengah orang, dia mahu membuatkan orang lain tersenyum hingga tidak sedar hatinya sedang bersedih.

Tekanan hidup sentiasa akan ada. Masalah juga sering datang bertamu tanpa diundang. Iman pula kadang-kala kecundang dengan emosi apabila diri terlalu letih. Kerja mula jadi tidak tersusun dan kecuaian mudah berlaku saat hati mula terhakis rasa bahagia dan keseronokan dalam diri.

Jadi, apa yang ana buat? Mencipta kebahagian dalam kesedihan. Mencipta kemenangan dalam kekalahan. Mencipta keberanian dalam ketakutan. Kerana apa? kerana hidup ini adalah anugerah dan bahagia itu adalah pilihan kita sendiri…(^^,)

Apabila dikatakan anugerah, pastilah ianya cukup bernilai dan berharga dalam hidup. Mana mungkin seseorang yang tidak reti menghargai diri sendiri dapat menghargai orang lain. Maka, jadikanlah hari-hari yang kita lalui itu sebagai hari istimewa dalam hidup.

Teringat perkongsian yang ana berikan semasa dalam slot motivasi. Ana bertanya kepada para peserta, “pernah tak kalian hadiahkan sesuatu buat diri apabila berjaya melepasi halangan dan cabaran yang perlu dilalui?”.

Ada yang mendiamkan diri tanpa sebarang kata. Ada yang menggelengkan kepala dan ada juga yang berkata tidak. Ana hanya tersenyum memandang wajah-wajah mereka.

“kasihan kamu semua. Kita mahu orang lain fahami dan hargai apa yang kita lakukan tetapi sayangnya kalian tidak pernah hargai apa yang diri sendiri buat. Cubalah ‘hadiah’kan sesuatu untuk diri sendiri apabila berjaya melaksanakan sesuatu yang dirasakan sukar dan mencabar kerana ianya mampu untuk memotivasikan diri kita untuk terus bahagia dalam hidup”, jelas ana.

Itulah yang ana lakukan ketika ini. Saban hari, perlu menjaga adik-adik yang sememangnya ramai dan punya kerenah yang tersendiri, menjadi pendengar setia saat insan lain datang mengadu apa yang terbuku dihati, memberi perhatian supaya perjalanan operasi perniagaan berjalan lancar dan sebagainya.

Semua ini pasti memberi tekanan dalam diri ana. Ada masanya kita memang perlukan waktu untuk diri sendiri. Untuk apa? Supaya dapat stabilkan semula emosi kita, merasionalkan semula pemikiran kita, koreksi hati dengan muhasabah diri, dan merenung semula apakah sepanjang perjalanan hidup kita ketika ini ianya memberi kebaikan atau keburukan pada diri sendiri.

Saat paling indah...(^^,)

Gambar yang diambil ketika bersarapan tatkala adik-adik mula ke sekolah dua hari yang lalu. Saat yang cukup menyenangkan hati apabila mata melihat ‘pemandangan bergerak’ dan telinga mendengar ‘alam berbicara’. Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar…(^^,)

Ianya mudah dan simple sahaja, namun mampu mengembalikan semula kekuatan yang hilang dan menutup langkah yang lompang apabila hati sentiasa tenang dalam mengingati Allah.

Cubalah beri sesuatu yang bernilai buat diri, kerana hidup adalah anugerah. Wallahua’lam.


 JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus