Jumaat, 21 September 2012

4 Tahun Di Medan



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar.

tekan untuk tumbesaran...:p

Beberapa hari yang lalu, ada satu pesanan yang masuk dalam inbox facebook dan bertanya tentang sesuatu serta berkongsi rasa. Saat membacanya buat kali pertama, ana hanya tersenyum dan meneruskan kerja yang tersedia sambil akal ligat memikirkan bagaimana untuk menjawabnya.

Ana nyatakan hasrat untuk menulisnya dalam blog supaya insan lain yang membacanya juga turut memperoleh manfaat dan siapa tahu persoalan yang bermain di minda muslimat lain turut terjawab…(^^,)

Baiklah, bagi sahabat sekampus yang sezaman dengan ana pasti mengetahui bahawa ana mula istiqomah sepenuh masa berniqab adalah semasa di tahun akhir iaitu semester 7 walaupun sudah memakainya secara ‘on off’ pada semester 2. Ana ada ceritakan sedikit dalam artikel fatwa hati yang lalu.

Ana pernah luahkan langkah yang ana ambil sebaik sahaja selesai mendaftarkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada adik-adik junior.

“perkara pertama yang saya buat sebaik sahaja selesai mendaftarkan diri adalah mencari seorang kakak senior yang juga fasilitator orientasi ketika itu yang bertudung labuh dan bertanya kepada beliau apakah ada Persatuan Islam dalam kampus ini. Beliau mengatakan ada Persatuan Islam dan beliau salah seorang yang menganggotai persatuan tersebut”.

Program pertama yang ana sertai pula adalah ‘Perkampung Sintok’ khusus buat pelajar semester satu ketika itu (sekarang diberi nama Kem Muqarrabin) yang dianjurkan oleh Rakan Masjid Sultan Badlishah, ianya merupakan siri pertama dan mempunyai misi tersirat iaitu mahu mencari pelapis baru yang bakal menggantikan senior yang bakal tamat belajar.

Tidak cukup dengan itu, semasa pembukaan Hari Organisasi Pelajar (Hope Day’s) yang merupakan acara tahunan bagi mencari keahlian baru, ana isi borang keahlian beberapa kelab bagi menambahkan ilmu dan kemahiran yang pelbagai, antaranya Kolokium Pusat Islam, Kelab Memanah, Kelab PERKIM, Kelab Pentadbiran Muamalat, dan banyak lagi.

Sebaik sahaja mendaftarkan diri dalam beberapa kelab dan persatuan, jadual seharian ana mula diisi dengan pelbagai program yang bermanfaat seperti kelas pengajian kitab, usrah, ceramah, diskusi ilmu, latihan memanah dan sebagainya. 

Langkah pertama ana dalam gerak kerja dakwah di kampus bermula secara aktif adalah semasa diberi amanah dalam barisan kepimpinan Rakan Masjid Sultan Badlishah setelah dua minggu bergelar mahasiswi. 

Pada mulanya ana cuba menolak kerana terasa tidak kuat setelah melalui betapa peritnya ‘dunia itu’ semasa di matrikulasi apatah lagi diberi jawatan sebagai Timbalan Exco Dakwah dan Tarbiyah, Rakan Masjid Sultan Badlishah. 

Ketika itu cuba berdalih dengan kakak senior. “kak, saya nie pun tak tertabiyah lagi, macam mana nak tarbiyah orang kak? Mesti ada orang lain yang lebih layak berbanding budak hingusan macam saya nie kak. Cari orang lain ya, saya……”, belum habis berikan ‘alasan’, dapat khutbah free!

Ana diamkan saja tetapi hati nekad ketika itu untuk menolaknya. Namun percaturan Allah tetap terbaik, ada peristiwa yang berlaku membuatkan ana terima amanah tersebut. 

‘Dunia itu’ ana tempuhi sekali lagi. Ana sudah melalui hari-hari sibuk dan padat dengan pelbagai aktiviti ketika berada di semester pertama, tahun satu pengajian di UUM. 

Pernah ada seorang kakak senior di tahun akhir menyapa ketika kami sedang persiapkan keperluan untuk program, “dik, semester berapa nie?”.
 
Ana membalas, “baru semester pertama kak…”.

“Oh…bagusnya, baru semester satu tapi sudah aktif buat program dakwah”. Ana hanya senyum tanpa berkata apa-apa. Bila direnung semula, apabila ana jadi Urusetia program, ana la yang paling muda dan sering dipanggil ‘adik’. Bila sudah di tahun akhir, para junior panggil ana ‘super senior’ sebab hanya ana dan beberapa orang saja lagi yang masih setia berprogram. Eloklah…(=_=”)

Jadi, tips pertama adalah sertailah mana-mana kelab yang mampu berikan ilmu bermanfaat dengan mendaftarkan diri dalam kelab tersebut. Sebabnya apabila ada apa-apa program, maklumat cepat sampai kepada ahli yang berdaftar. 

Selalunya akan ada yang membuka keahlian bagi ahli biasa yang mahu menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) atau urusetia program. Maka, cubalah bagi komitmen dan rajinlah bertanya kepada senior yang berpengalaman bagaimana untuk melaksanakan tugas sebagai AJK atau biro terbabit.

Sebaiknya, cubalah pelbagaikan kemahiran dengan tidak hanya berada dalam satu AJK. Ada sesetengah insan yang suka pegang AJK makanan sahaja dari awal hingga akhir semester sebab dia minat dan ‘pakar’ bab tu.

 Tetapi, apabila diangkat naik menjadi pengarah atau timbalan pengarah dan orang bawahan bertanya tentang tugas sebagai AJK protokal, AJK promosi, AJK Teknikal, dan sebagainya, mulalah terngaga nak menjawab. Bagaimana mahu terangkan tugas tersebut jika diri sendiri tidak merasa?. Bermulalah dari bawah dengan mengambil tugas AJK yang pelbagai.

“jiwa yang merasai, pasti memahami”

Pamerkan kesungguhan dan kesediaan kalian untuk belajar serta cuba asah bakat untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Apabila timbul sesuatu masalah atau ada cabaran, kalian sudah siapkan diri dengan pelan yang baru dan dapat membuat keputusan dengan cepat dan tepat, bukannya cari salah siapa.

Tips kedua, bergaullah dengan mereka yang ‘kaki program’. Bila sebut ayat tu, ana tersenyum sendiri sebab ada junior yang cakap ana workaholics. “akak, kawan saya cakap. Bila dia pergi program je, mesti akak ada. Bila tengok poster program, mesti nama akak ada”.

“adeh! Yelah, bila akak dah habis belajar nanti, korang tak jumpa akak dah”. Ana pun pelik, bila ada program je, mesti jemput ana untuk sertai sekali. Bila ada yang jemput ana, mestilah ana jemput sahabat-sahabat ana yang lain untuk sertainya juga. Takkan nak ‘kaut’ ilmu dan pahala sorang-sorang kan?

Apabila ada yang selesa bekerjasama dengan kita, mesti dia akan ajak kita lagi untuk sama-sama membuat program dengannya. Ketika inilah akhlak peribadi dan pemikiran mula terbentuk dan diasah sedikit demi sedikit.

Tidak mudah untuk sabar dengan pelbagai kerenah manusia bermula dari sahabat seprogram yang punya pendapat sendiri, kerenah birokrasi dan kemahuan orang atasan, dan peserta program yang sentiasa mahu ‘selesa’. Fuh~ telan air liur bila ingat semula…:p

Tetapi, demi tugas, amanah, ilmu, pengalaman, dan ummah, segala cabaran dan masalah ditempuhi dengan senyuman yang cuba dibuat-buat walaupun hati sudah tidak tertahan. Itulah gunanya konsep ini.

“pura-pura tabah, lama-lama best berprogram. hehe!”.

Itulah dua tips paling kuat yang boleh ana kongsi mengikut pengalaman sendiri sebagai permulaan. Bagaimana untuk istiqomah dengan seimbangkan masa antara akademik dan program, boleh baca artikel 'Coretan Harian' nie.

Bila sudah melangkah dan tunjukkan diri pada umum, mesti ada benteng pertahanan kan? Ada dua tips paling asas dan utuh yang boleh ana kongsi dengan pembaca sekalian.

Tips pertama, ‘Khalifah hati’ mesti dijaga dengan rapi. Kenapa ana katakan sedemikian? Apabila seorang muslimin atau muslimat tampil beraksi di medan, pastilah dia menjadi perhatian dan membuatkan ramai yang tertarik.

Ingat, tempat pertama yang Allah pandang adalah hati. Jika hati mula diusik dengan perkara maksiat samaada kita sedar atau tidak, mungkin Allah tidak pilih kita lagi untuk berjuang bagi agamaNya.

Kalau ada yang kata best punya ramai peminat dan menjadi perhatian, ana hanya akan diamkan diri dan buat kerja sendiri. Malas nak dengar bila ada insan bercerita bahawa ada yang ingin melamarnya, mahu berkenalan dengan lebih mendalam dan sebagainya. Masih ada banyak kerja yang mesti dibuat. Geli kot ~

Hati yang riak dengan jawatan yang ada boleh dibasuh dan diasuh perlahan-lahan. Nafsu yang suka bermegah dengan program yang dilaksanakan dapat di didik untuk tunduk pada iman sedikit demi sedikit. Tetapi apabila terjebak dengan ‘couple’ dan ‘terjatuh cinta’ dengan rakan setugas, amatlah sukar untuk diubat. 

Na’am! mata ini sudah melihat betapa ramai aktivis dakwah dan para da’ie yang kecundang dibuai ‘cinta palsu’. Sayangnya mereka bukan ‘syahid’ di medan tempur, tapi kematian imannya! Untuk patah balik teramatlah sukar dan perit. Jadi, jangan sesekali dekatnya. Ana pernah menulis satu tips untuk mecegahnya, boleh baca artikel 'Tiada Langkah Kedua' nie ya.

“mencegah lebih baik dari merawat”

Tips kedua, cari pembimbing dan tambahkan ilmu agama. Sejujurnya ana khabarkan, ana hanya istiqomah berusrah semasa di semester pertama sahaja dan ‘terputus’ sebaik sahaja senior ana tamat belajar disamping kesibukan yang teramat sangat dengan program (alasan je, padahal tak reti bahagikan masa waktu tu…:p ). 

Syukur pada Allah kerana diizinkan untuk merasai tarbiyah dari para ustaz dan ustazah di Pusat Islam UUM. Untuk pengetahuan sahabat pembaca, Rakan Masjid merupakan secretariat atau sukarelawan yang berada di bawah Pusat Islam UUM dan melaksanakan kesemua program dibawahnya.

Ana diasuh dengan ‘acuan’ mereka secara langsung. Apabila hati terasa sudah tidak mampu bertahan dengan mehnah dan tribulasi yang hadir, apabila air mata sukar untuk dihentikan, apabila badan terlalu letih dengan emosi yang tidak stabil.

 Ana akan pergi ziarah ke Pusat Islam walaupun jauh dari dewan kuliah semata-mata mahu melihat dan berbual dengan mereka. Tiap butir kata yang terluah, pasti ada mutiara yang dapat mendamaikan hati. Kerana itu ana berani katakan, selalulah datang ke Pusat Islam, ana salah seorang ‘produk’ yang telah mereka lahirkan.

Mungkin ada yang tertanya-tanya dimana ana belajar dan perolehi ilmu sedangkan setiap kali ada ceramah agama, ana akan hadiri mesyuarat kelab atau persatuan. Itu ana perolehi dengan membuat kelas pengajian kitab dengan para ustaz dan ustazah di Pusat Islam disamping tadah ilmu di pondok setiap pagi sabtu.

Imam as-syafie pernah berkata, ‘apabila anak mudah menjadi pemimpin, maka akan kontang dan keringlah ilmu”. Hal ini kerana mereka disibukkan dengan urusan kepimpinan.

********************************************
Baiklah, masuk pula bab uniform Islam. Ketika ana pergi menziarahi guru sekolah dan ana memberitahu program terdekat, beliau berkata “eh, boleh pula awak masuk team diaorang ya? Masa zaman saya, jangan haraplah”. Ana hanya senyum. 

Sebab itu ana selalu berpesan pada para junior supaya cari ilmu dan kemahiran. Ilmu bukan setakat dalam buku dan dewan kuliah semata-mata, tetapi turut hadir semasa kita bergaul dengan masyarakat yang pelbagai ragam melalui program yang disertai.

Satu hal yang memang ana tidak dapat lupakan semasa di semester 8. Dijemput untuk menjadi salah seorang ahli panel forum ‘Fesyen Menurut Acuan Allah s.w.t.”. Berada dihadapan umum tetapi tetap ‘tertutup’ indah. 

Saat dikhabarkan jemputan itu, hati bergetar kerana takut dan bimbang dengan ilmu yang masih sedikit disamping tidak pernah ada pengalaman sebelum ini. Ana hanya punya waktu dua hari sahaja untuk persiapkan diri. Maka, ana membuat sedikit diskusi dengan para ustaz dan ustazah disamping merujuk beberapa kitab di perpustakaan masjid.

Apa yang mahu dikongsi adalah apabila seseorang itu punya ilmu, kemahiran, pengalaman yang orang lain jarang ada, pergilah kemana pun, pasti akan ada insan lain yang perlukannya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan inspirasi kepada insan lain. wallahua’lam.

semasa forum bermula...(^^,)
Siapa kata Doktor tidak pernah jatuh sakit,
Siapa kata Pakar Kaunseling tidak pernah ada masalah,
Siapa kata Cikgu tidak pernah buat silap,
Siapa kata Pakar Kewangan tidak pernah hadapi masalah kewangan,
Dan siapa kata manusia tidak pernah buat dosa...:)

Kita tetap punya nilai disisi Allah s.w.t. hatta banyak mana sekalipun dosa yang telah kita buat kerna kasih sayang Allah melebihi kemurkaanNya. Dan kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Maka, bertaubatlah dari dosa lalu dan jadilah hamba yang soleh & solehah.

Kempen Ayuh Menutup Aurat (KATA). 24 April 2012.
Forum "Fesyen Menurut Acuan Allah s.w.t."
blog comments powered by Disqus