Rabu, 26 Januari 2011

Allah Kan Ada…(。◕‿◕。)


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman & Islam, hanya redha Mu yang daku harapkan. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang teramat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Saat menulis artikel ini, terdengar bait-bait ini dialunkan dari IKIMfm secara online. Semakin damai dan tenang hati ini…Alhamdulillah…
Bukalah hatimu wahai insani
Ikhlaskan jiwamu setulus murni
Pasrahkan dirimu pada ilahi
Moga hidupmu diberkati

Ingatlah selalu pada yang satu
Di kala gembira di kala sendu
Amalkan bersyukur setiap waktu
Sematkanlah keredhaanmu

Lantas ana teringat kata-kata yang pernah ana tulis pada artikel yang lalu.
“Hitunglah kesyukuranmu, bukan kesukaranmu…besarkan nikmat kita pada Allah, kecilkan rasa ujian yang ditimpa ke atas kita.”
Seingat ana, kata-kata ini diambil dari majalah solusi. Sebuah majalah yang sentiasa punya solusi bagi mereka yang mencari jalan kebenaran juga jalan kepada mereka yang punya masalah…insyaAllah…
Tersenyum seketika mengenangkan peristiwa minggu lepas. Minggu yang penuh dengan ujian, menuntut kesabaran, menguji ketahanan fizikal dan mental. Saat getir buat ana dan beberapa sahabat lain yang berada di penghujung tahun pengajian.
Akhirnya segala urusan sudah selesai, ramai sahabat ana yang sudah demam, batuk, selesama dan seangkatan dengannya setelah bertahan dari jatuh sakit untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi minggu lepas.
Itulah episod perjalanan seorang insan di dunia, sentiasa dihiasi dengan berbagai warna kehidupan. Sahabat-sahabat berkongsi cerita suka dan duka, lantas saling menguatkan antara satu sama lain. Terasa indah sekali ukhuwah itu.
Takkala ada yang jatuh dan menangis sendu, ada sahabat yang sanggup meminjamkan bahu untuk melegakan apa dirasa. Takkala melihat ada yang sudah tidak gagah untuk melangkah, ada sahabat yang sanggup menghulurkan tangan untuk berjalan seiringan…Alhamdulillah…
Ana juga merasainya. Pilu melihat sahabat yang dalam kesusahan, cuba yang terbaik untuk memberikan kata-kata semangat kerna diri ini tahu hanya itu yang termampu untuk dilakukan. Berkata pada diri, “Imej bidadari besi mesti dijaga, sehebat mana ujian yang kamu lalui…ukirlah senyuman pada sahabatmu…”
Benar…siapa yang tahu ana juga sedang mengalami masalah jika diri sendiri tidak meluahkannya kecuali DIA yang Maha Mendengar setiap bisikan hati hambaNya.
“Jika tidak mampu untuk menghilangkan kedukaan sahabatmu, janganlah menambahkan lagi kedukaanya….”
XXXXXXXXXXXXXXXXX
Siapa menyangka, orang yang sentiasa senyum dan mengajak orang lain untuk senyum juga banyak masalah. Bak kata seseorang, “orang yang tidak ada masalah itulah sebenarnya bermasalah….” ana gelak sahaja mendengar kata-katanya…Hehe….
Itulah hebatnya kuasa senyum. Mampu mencairkan hati-hati insan yang dalam kedukaan, mampu menenangkan jiwa insan yang memandangnya. Tidak perlu kata apa-apa, just
smile… (◕‿◕)
Ada sahabat yang bercanda dengan ana, “Hai…dah macam mak nujum, semua benda boleh tahu…”
Ana gelak sambil respon kata-katanya, “tak tahu macam mana kalau dalam sehari 5 orang hantar mesej minta pandangan dan pendapat…hehe”
Ana suka melihat dan merenung gelagat manusia, sungguh unik dengan berbagai ragam. Kadang-kala ana duduk di satu sudut dan melihat perlakuan insan-insan yang berada dihadapan ana, menilai manusia sebagai suatu seni dalam kehidupan. Layan jelah…hehe
Melalui pengalaman merekalah ana jadikan panduan dan penyelesaian takkala ada insan yang meminta pandangan dan pendapat dari ana. Cuba seikhlasnya membantu mereka. Jika tidak tahu dan tidak pasti, terus bertanya kepada yang ahli.
XXXXXXXXXXXXXXXXX
Masalah itu akan sentiasa ada. Tanyalah sesiapa pun, pasti dia akan ada masalah tidak kira kecil mahupun besar termasuklah ana sendiri. Tapi adakah kita memberi ruang kepada diri kita untuk bersangka baik dan berlapang dada dengan Allah s.w.t.?
Ana terbaca status seorang sahabat di facebook. Sebaik sahaja membacanya, hati ana bergetar. Simple sahaja kata-katanya, namun mampu membuatkan ana muhasabah sendiri.
Sejuk hati bila nampak seorang budak lelaki tengah berusaha untuk mendaki bukit sambil kayuh basikal kat tepi rumah…menjerit “Dengan Nama Allah Yang Maha Berkuasa!!!” anak siapalah…mesti bangga mak ayah dia..hehe…
Apa yang kalian rasa pabila membaca ayat tersebut? Bagi ana sendiri, ana sedar tentang sesuatu. Adakah kita lebih suka mengharapkan bantuan dan pertolongan dari manusia berbanding Allah s.w.t.?
Seperti budak lelaki ini, ana pasti yang dia sudah keletihan mendaki bukit. Pasti dia memerlukan kekuatan untuk sampai ke destinasi yng dituju. Lalu dia menjerit, Dengan Nama Allah Yang Maha Berkuasa! Adakah ada diantara kita yang berbuat sedemikian?
Dia sedar yang tidak ada kuasa yang paling hebat dan unggul melainkan Allah s.w.t….  Lantas ana teringat perbualan ana dan sahabat-sahabat sewaktu bermesyuarat untuk menyelesaikan sesuatu program yang besar.
“boleh ke macam nie? Kalau tak lulus macam mana?”, kata salah seorang sahabat.
“Cuba la dulu, belum cuba dah nak mengalah” ana membalas kata-katanya.
“bukan mengalah, cuma takut tak lulus je sebab projek nie lain dari yang lain” kata sahabat ana lagi.
Ana senyum,“walaupun dia yang bakal luluskan projek nie, tapi ada yang Maha Kuasa yang akan tentukan samaada ia akan luluskan atau tidak”.
Itulah keyakinan yang ana pegang selama ini. Ianya terdidik saat ana membaca kisah-kisah para sahabat terdahulu. Betapa keyakinan mereka begitu mendalam kepada Allah s.w.t…
Ana tertarik dengan kisah Khalid al-Walid dimana dia berjaya menyakinkan seorang pemuda yang ketika itu belum Islam dengan menyatakan “racun yang bakal aku minum ini tidak akan memudaratkan atau membunuhku selagi mana Allah s.w.t. menyatakan tidak”.
Pemuda itu tidak percaya dengan kata-kata Khalid al-Walid, lalu dia memberikan racun yang paling berbisa kepada Khalid al-Walid. Sebelum Khalid al-Walid minum racun tersebut, dia memanjatkan doa dan meminta pertolongan kepada Allah s.w.t.
Setelah itu, barulah dia meneguk racun tersebut. Dan ternyata, racun tersebut tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Pemuda itu yang begitu terpegun akhirnya memeluk Islam dan mengajak kaumnya untuk turut sama memeluk Islam.
Begitulah hebatnya keyakinan yang dipegang oleh Khalid al-Walid hingga mampu mengalirkan keyakinan itu kepada orang lain bahawa tiada kuasa yang lebih hebat melainkan Allah s.w.t..
Lalu, bagaimana pula dengan kita? Masih mengharapkan bantuan manusia lebih dari mengharapkan bantuan dari Allah s.w.t? Setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa izin dariNya.
XXXXXXXXXXXXXXXXX
Maka didiklah hati kita untuk lebih mengharapkan Allah s.w.t. berbanding manusia. Keyakinan itulah membuatkan generasi umat Islam terdahulu menjadi begitu hebat kerna jiwa-jiwa mereka sudah ada dalam genggamanNya.
“usah katakan…Ya Allah, aku ada masalah. Tapi katakanlah…masalah, aku ada Allah”
Jadi, senyumlah. Usah bersedih, pujuklah hati itu supaya sentiasa tenang dan ikhlas dengan apa yang berlaku. Teguhkan keyakinan padaNya, supaya kalian tidak gerun pada masalah…
Allah kan ada…senyum…(◕‿◕)

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus