Ahad, 10 Julai 2011

Asam garam kehidupan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Islam, Iman & Ihsan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Subhanallah…Alhamdulillah…Allahuakbar… hamba ini benar-benar bersyukur kerna dipilih untuk bergelar Muslim dan bertuhankan Mu Ya Allah. Terasa diri begitu kerdil dan hina dihadapan Mu. Terlalu banyak nikmat yang telah Engkau berikan yang kadang-kala hamba terlupa dan lalai tentangnya…(T_T)

Ketika sedang menjahit, sempat koreksi diri. Satu persatu perjalanan yang telah dilalui sepanjang hidup ini diselak. Persoalan hanya satu iaitu, “bagaimana aku boleh menjadi sekuat ini, sehingga digelar sebagai bidadari_besi?”.

Dan ternyata, ku temui satu jawapan, “kerna Dia yang mahukan aku menjadi sebegini…”

Sekiranya dulu, ana sering menyalahkan takdir kerna telah menempatkan ana dalam keadaan yang sering berduka, disakiti, dihina, dicaci, dipandang rendah, dan juga dikianati.

Sehingga kini, ana masih merasai semua itu dan ianya dapat dihadam dan ditelan dengan mudah. Persoalannya, bagaimana ana boleh melalui semua itu sekiranya tidak dilatih oleh Allah s.w.t…

Bagaimana latihan itu boleh berlaku? Ianya dengan aturan dari Allah s.w.t… Mungkin saja kita melihat bahawa kita sering menemui orang yang salah. Orang yang sering meyakiti hati, membuatkan hidup kita tidak selesa dengan kehadirannya.

Namun, sedarkah kita bahawa sebenarnya orang tersebut telah melatih kita untuk sabar, bertenang dan bertindak dengan rasional ketika berhadapan dengan kerenahnya. 

Makanya, adakah Allah s.w.t. mahu menzalimi hambaNya dengan mengizinkan semua itu berlaku? Sudah pasti jawapannya adalah tidak. Kerna Dia mahu mengajar kita supaya mendidik dan mentarbiyah hati yang ikhlas dan redha dengan ketetapanNya.

Ibarat sang pendekar dan pahlawan, masakan mungkin mahir dalam seni bela diri tanpa dilatih atau berlatih tentang teknik untuk bertempur, bertahan dan juga menyerang. Makin berlatih, makin kukuh posisinya. Makin berlatih, makin sukar untuk mengalahkannya.

Begitu juga kita semua. Musibah, dugaan, dan ujian yang kita lalui sehari-hari sebenarnya mematangkan kita untuk bertindak lebih rasional di masa hadapan yang sememangnya lebih mencabar dari sebelumnya. 

Semakin meningkat usia kita, semakin banyak lagi cabarannya. Adakah kita mahu hanya duduk berpeluk tubuh dan menunggu bantuan atau pertolongan yang hadir dari orang lain tanpa mengusahakannya terlebih dahulu?


Dan sudah pasti setiap perjalanan dalam kehidupan, akan ada jalan yang perlu kita pilih. Ana masih ingat coretan dalam artikel yang lepas. Ana ada menulis tentang satu subjek yang agak susah untuk dapat, dan ana memilih untuk berada dalam kuliah tersebut walaupun belum kenal bagaimana pensyarah tersebut.

Dan ana juga pernah katakan bahawa ana akan hadapi apa sahaja yang berlaku asalkan dapat mengambil subjek tersebut. Sebaik sahaja masuk, pensyarah tersebut tidak seperti pensyarah yang lain. 

Ketegasannya membuatkan ramai pelajar takut dengannya. Setiap peraturan dan kemahuannya mesti dituruti dari segi etika pemakaian, suasana belajar dalam kelas, tugasan yang mesti disiapkan, pembentangan dan banyak lagi.

Dan sekiranya tidak menepati piawaiaan dan kemahuannya, pasti ada habuan yang menanti hingga ada pelajar yang sudah dihalau olehnya dari kuliah, dimarahi dan ditengking dalam kelas, serta diberi surat amaran.

Ana tersenyum sendiri melihat semua itu sepanjang berada dalam tempoh pembelajaran tersebut. Walaupun ana tidak suka dengan sikapnya yang mudah naik angin dan cepat melatah, ana tetap hadapinya.

Kerna apa? kerna ana yang membuat pilihan untuk berada dalam kuliah tersebut. Makanya, ana “mengharamkan” hati dan mulut ini dari merungut tentang apa yang perlu ana lalui sepanjang berada dalam kuliahnya. Dan alhamdulillah ana berjaya lakukannya.

Begitu juga dalam kehidupan kita, ana sudah melihat berapa ramai insan yang merungut, mengeluh dan bersungut dengan apa yang mereka perlu lalui sehari-hari sedangkan jalan itu mereka sendiri yang pilih.

Sekiranya setiap pilihan yang kalian lakukan itu demi untuk Allah s.w.t. dan agamaNya. Pasti kalian akan tetap bertahan hingga ke akhirnya. Dan motivasi diri untuk berjaya disamping melepasi halangan yang ada dihadapan akan hadir dengan kekuatan yang luar biasa. wallahua’lam…

Siapalah aku tanpaNya…. 


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus