“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
“Alhamdulillah Ya Allah…akhirnya amanah ku selesai juga…,”bisik hatinya sambil bibirnya mengukir senyuman.
Hatinya terasa lega sebaik sahaja semuanya tamat. Di jemput oleh pihak pentadbiran sekolah pada saat-saat akhir kerana penceramah yang asal tidak dapat hadir atas sebab tertentu. Hatinya puas dapat laksanakan amanah ini walaupun kepenatan masih terasa dengan program sebelumnya.
“Terima kasih diucapkan kepada Ukhty Miftahul Jannah diatas penyampaian ceramah motivasi yang disampaikan sebentar tadi. Sebagai penghargaan dari pihak kami, saya menjemput pengetua sekolah untuk naik ke pentas bagi menyampaikan sedikit cenderahati kepada Ukhty Miftahul Jannah. Dengan segala hormatnya dipersilakan”, ucap pengerusi majlis program motivasi “See U Di IPT”.
Puan Mawaddah berjalan naik ke pentas. Seketika kemudian, Jannah naik ke pentas untuk mengambil cenderahati sebagai tanda penghargaan buat dirinya walaupun pada mulanya dia menolak.
Setelah itu, mereka berjalan beriringan diikuti beberapa lagi guru lain dan ahli jawatankuasa program ke kantin sekolah untuk menjamu jamuan ringan.
“Bagus penyampaian kamu tadi ya, saya suka. Gaya penyampaian dan isi di dalamnya cukup bernas dan membakar semangat sampai saya pun jadi termotivasi bila dengar…hehe…”, puji Puan Mawaddah sambil memegang bahu Jannah.
“Alhamdulillah…semuanya dari Allah s.w.t… masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki puan,” Jannah mengukir senyuman, cuba untuk merendahkan diri.