Ahad, 15 April 2018

Berubah, untuk mengubah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Bila post gambar family, mesti ada yang terdetik dalam hati, "bestnya kalau dapat jadi macam family dia. Sejuk je mata memandang. Semua tutup aurat dengan sempurna".

Ramai yang teringin nak family yang hidup berlandaskan syariat. Tapi, hanya kata kosong je ke, usaha tiada? Begitu..?

Family kami bermula bilamana abah dan ummi saya sendiri berubah kembali pada Allah. Dulu-dulu, faham jelah macam mana kan. Kalau kita tengok cerita dulu-dulu yang gambar hitam putih tu, seksinya pelakon wanita berpakaian, kalah artis wanita zaman sekarang. Cuma kita je tak nampak sebab gambar hitam putih.

Parents saya pun pernah bagitahu, ustazah dulu-dulu pun datang mengajar agama pakai tudung nampak telinga, leher, dan jambul rambut terkeluar kat depan. Nak jumpa ustazah yang pakai tudung labuh macam sekarang nie susah sebab tu cara berpakaian orang dulu-dulu.

Tapi, bila kita mencari hidayah dan kebenaran dalam beragama, kita akan jumpa apa yang kita cari. InsyaAllah.

Kedua-dua family abah dan ummi saya bukan asal dari family yang berlatar belakang agama. Semuanya bermula bilamana abah dan ummi join usrah, ikut jemaah dan pergi belajar agama. Masing-masing dalami ilmu agama dan mengamalkannya sampai sekarang.

Jadi, bila keduanya sudah berubah dan mahu berkahwin, pasti pasangan yang dicari adalah yang beragama dulu untuk bentuk family yang diidamkan oleh kebanyakkan orang. Bila anak lahir, acuan Islam itu mula diterapkan dari kecil lagi. Cara berpakaian, pendidikan, pergaulan, pemakanan dan semua aspek kehidupan berlandaskan Islam.

Bila anak-anak yang di didik oleh acuan Islam ini sudah dewasa, mereka pula akan cari pasangan beragama dan bentuk pula zuriat yang lahir dengan acuan Islam. Begitulah proses seterusnya. Proses ini tidak berlaku dalam setahun dua, tetapi berpuluh tahun bermula dengan kita pilih siapa pasangan kita dulu yang bakal jadi ayah/ibu kepada anak-anak kita.

Tetapi perlu kita sedar, hidayah itu milik Allah. Iman tak dapat diwarisi oleh ayah/ibu yang bertaqwa. Dalam 5 orang anak, mungkin ada yang terselit, hanyut dengan duniawi. Nauzubillahiminzalik... Cuma saya yakin, hanyut macam mana pun seseorang tu, jika dia datang dari family yang bertaqwa, dia akan kembali semula pada Allah sebelum hayatnya tiada. InsyaAllah.

Tak perlu sedih, tak perlu terkilan jika kita datang dari family penagih dadah atau pelacur atau yang dah rosak sebab tiap orang ada peluang yang sama untuk bentuk family yang soleh/solehah. Saya percaya itu, jika kita nekad. InsyaAllah, Allah akan bantu sebab saya melihat sendiri bagaimana bekas penghuni rumah akhlak wanita berubah kembali pada Allah dan berkahwin dengan lelaki yang baik, anak-anaknya semua terbentuk elok, hidup berlandaskan syariat Islam. Subhanallah...

Jika kita nak ubah pemimpin kerajaan yang amanah, bertanggungjawab dan berbelas kasihan pada rakyat demi keselesaan anak dan cucu kita nanti. Kita juga perlu ubah diri kita ke arah lebih baik untuk lahirkan anak dan cucu yang hidup berlandaskan syariat Islam. InsyaAllah 😊.

#AllahLebihTahu



Ahad, 1 Oktober 2017

Dunia Baru (Part 3)

Masa pendaftaran untuk kemasukkan sekolah menengah harian biasa di tingkatan 4, saya daftar seminggu lewat sebab jatuh sakit. Jadi, agak lewat dari pelajar lain. saya masuk ke pejabat untuk pendaftaran, ada seorang cikgu yang buat penilaian dan uruskan untuk kemasukkan pelajar ke aliran yang mana, samaada sains atau akaun.

Bila cikgu tersebut tengok result PMR saya, beliau tanya pada saya.


"Nak masuk kelas sains atau akaun ya? Kalau tengok dari result nie, dapat ambil aliran sains pun mungkin kelas yang ke-4 iaitu kelas akhir sekali".


" Saya nak ambil aliran akaun ".


Cikgu tu terkejut dengar jawapan saya. Mungkin kebanyakkan ibu bapa atau pelajar sendiri mahu sangat ambil aliran sains sebab kata mereka ada peluang cerah untuk masa depan. Tapi saya sebaliknya. Saya tak minat sains dan gila dengan angka.

Bila selesai berbincang, cikgu tersebut letakkan saya di kelas pertama untuk aliran akaun. Di sekolah tu, ada 3 aliran iaitu sains (4 kelas), akaun (2 kelas) dan sastera (2 kelas). Jadi, kelas saya di belakang bangunan kelas pelajar yang ambil aliran sains dan terpaksa bergaul dengan pelajar nakal yang merimaskan para cikgu untuk masuk mengajar.

Ketika saya berjalan masuk ke kelas baru, ramai mata yang memandang ke arah saya. Yelah, pelik kot sebab saya bertudung labuh. Hari pertama berjalan seperti biasa tapi bila tiba waktu rehat ada sesuatu yang berlaku dan terus mengubah persepsi semua orang dalam kelas tu.

Masa tu ada seorang lelaki duduk di sebelah saya, dia sekadar nak berkenalan dan bergurau dengan saya. Tapi saya tak selesa sebab semasa di Maahad, kelas diasingkan antara lelaki dan perempuan. Bukan itu saja, bangunan perpustakaan, kantin, padang, kelas, dewan peperiksaan juga diasingkan dan saya jarang sekali bertembung dengan pelajar lelaki.

Dia tanya, saya diam. Lepas tu gelak-gelak mengusik saya. Hilang sabar, saya berdiri dan tengking dia sekuat hati.


" Kau pergi duduk tempat lain! Pergi duduk kat sana! Aku tak suka pelajar lelaki duduk sebelah aku! Kau pergi sekarang! ".


Kelas yang bising dengan gelak ketawa dia dan pelajar lain mengusik saya, terus jadi sunyi sepi. Sejak dari hari tu, tiada seorang pun pelajar lelaki yang berani duduk sebelah saya apatah lagi mengusik saya. Garang kan 😅. Kelakar plak bila ingat balik. Hahahaha 😂.

Hari seterusnya ada minggu orientasi untuk pelajar tingkatan 4 saja. Tujuan orientasi tu untuk dedahkan kepada semua pelajar tentang silibus yang bakal pelajar ambil mengikut aliran masing-masing dan juga peluang untuk melanjutkan pelajaran samaada ambil STPM, ke Matrik atau Diploma di Universiti yang terpilih.

Bila tiba part untuk penerangan kod etika pakaian sekolah, saya terdiam bila ada seorang cikgu mengatakan pihak sekolah tidak menggalakkan pelajar perempuan bertudung labuh sebab nak seragamkan tudung semua pelajar. Masa nie, banyak mata memandang ke arah saya, ada yang pandang dengan mata mengejek.

Sedih sangat masa tu. Sudahlah saya tidak lagi dapat dengar ayat al-Quran, tafsir, tasawuf, sirah dan banyak lagi meniti di bibir para ustaz dan ustazah kecuali sewaktu subjek pendidikan Islam saja, pun tiada lagi sahabat yang akan tegur dan nasihat saya ke arah lebih baik, kini tudung pula jadi isu yang satu-satunya yang saya ada untuk jaga kehormatan diri. Allahu Allah 😩.

Dunia baru yang saya hadapi ketika itu seolah-olah melorong saya ke arah yang gelap. Tiada siapa pun yang sanggup backup saya ketika itu. Tapi saya berkata pada diri, hatta kena denda sekalipun asbab pakai tudung labuh, saya takkan sesekali tukar tudung nie. InsyaAllah.

Bila orientasi tamat, semua pelajar mulakan kelas mengikut silibus masing-masing untuk mengejar SPM. Tapi kebanyakkan mentaliti pelajar ketika itu, tingkatan 4 la waktu nak enjoy selepas berhempas pulas berjuang untuk PMR. Nanti dah masuk ke tingkatan 5, baru pulun habis habisan. Tapi saya tidak, SPM saja yang saya ada untuk buktikan yang saya bukan bodoh!

Ketika pelajar lain bermain-main dalam kelas dan tidak fokus dengan apa yang cikgu ajar, saya dan pelajar yang masih ada minat nak belajar terus berjuang tingkatkan ilmu dan penguasaan dalam subjek yang diajar. Masa ini, tiga budak serangkai baru saja nak bercambah dan mula buat perangai.

Tiap kali cikgu perempuan masuk mengajar, ketiganya akan duduk di belakang kelas dan berborak sesama sendiri. Bila cikgu tegur, mereka mengejek cikgu tersebut. Tak keterlaluan saya katakan, ada cikgu yang sudah tidak ada hati lagi nak masuk mengajar di kelas saya asbab tiga budak nie.

Sering ponteng kelas, kacau pelajar lain, tak hormat guru dan kadang-kala bergaduh dengan pelajar junior. Allahu Allah, dunia apa yang saya hadapi ketika itu pun saya tak tahu kerana di Maahad paling teruk masalah pun hanya couple saja, tiada isu lain kerana pelajar masih boleh di didik dan dengar kata para ustaz dan ustazah.

Balik rumah, saya jadi murung dan banyak muhasabah diri. Bila saya sedar dan mahu fokus belajar, seolah-olah ilmu itu sangat susah untuk dapat. Apakah ini hukuman dan balasan yang Allah beri atas keangkuhan diri yang tidak hargai ilmu dulu?


Allah Lebih Tahu 💗

Ahad, 24 September 2017

SELESA 'MERENCATKAN' KESEDARAN (Part 2)

Semasa di tingkatan 2 awal bulan Februari, saya dapat panggilan telefon daripada abah mengatakan abah dan ummi dapat pindah sekolah ke Kelantan selepas berpuluh kali percubaan dibuat untuk pertukaran sekolah. Sebelum ini, abah dapat kelulusan pindah sekolah, tetapi ummi tidak. Jika ummi yang dapat kelulusan pindah sekolah, abah pula tidak. Maka, hasrat itu terpendam selama 8 tahun sehinggalah saya berada di tingkatan 2.

Waktu tu memang kelam kabut la sebab adik beradik saya sudah 8 orang dan 6 daripadanya sudah pun bersekolah. Abah dan ummi sibuk sangat-sangat dengan urusan perpindahan nie termasuklah cari rumah sewa baru di Kelantan.

Seingat saya, hampir seminggu jugalah tak datang sekolah asbab berpindah dari Pahang ke Kelantan. Bila tiba di Kelantan, sudah jumpa rumah sewa yang sesuai berdekatan dengan sekolah, kami 6 beradik terus daftar masuk sekolah.

Tetapi sayang, saya susah nak serasi dengan sekolah baru. Antara faktornya adalah selalu lupa hari (Kelantan cuti minggu hari Jumaat dan Sabtu, sedangkan Pahang cuti minggu hari Sabtu dan Ahad), bahasa loghat Kelantan yang kadang-kala saya susah nak faham bila terlalu pekat 😅. Tetapi faktor paling besar adalah saya susah untuk serasi dengan subjek yang terlalu banyak (akademik + agama) hingga perlu ambil berpuluh subjek ketika itu.

Dulu pelajar Maahad perlu ambil peralihan iaitu satu tahun digunakan untuk belajar basic arab dan subjek agama yang lain sedangkan sekolah agama saya dulu just ajar bahasa arab komunikasi saja dan elektif, bukan subjek teras. Pun tiada subjek hafalan untuk Peperiksaan Menengah Rendah Ugama (PMRU). Masa tu, rasa sangat-sangat stress disamping semua kawan-kawan saya lebih tua dari saya 😌.

Sudahlah sedih terpaksa berpindah sekolah dan berpisah dengan kawan serta cikgu yang sudah rapat dengan saya, terpaksa pula hadapi semua secara tiba-tiba. Akibatnya saya hilang minat untuk belajar. Sudah la banyak main sebelum nie, ditambah pula hilang terus minat nak belajar.

Jadi, saya pergi sekolah setakat penuhi rutin harian saja. Pagi bersiap pergi sekolah, tengahari balik, malam tidur. Begitulah setiap hari sampai tiba waktu peperiksaan, banyak subjek hafazan yang fail. Saya jadi selesa dan tak kisah pun dengan apa yang berlaku di sekeliling. Ada family, ada duit poket yang parents bagi, cukup makan pakai dan tempat tinggal, ditambah pula dengan ada ustaz dan ustazah yang sering ajar subjek agama, jadi saya sangka Malaysia ini aman damai sejahtera saja 😌.

Jika difikir semula, membazirnya hidup saya dulu. Lambat sangat kesedaran tu tiba sebab saya SELESA dengan semua yang saya ada. Allahu Allah. Hinggalah tiba satu hari dimana saya ambil result PMR sewaktu di tingkatan 3. Result sangat teruk dan saya terus menerus kecewakan abah dan ummi yang mahu melihat anaknya berjaya dalam akademik.

Semasa penghujung tahun di tingkatan 3, rumah yang abah bina atas tanah sendiri siap dibina dan kami berpindah sekali lagi. Sehingga sekarang, kami sekeluarga tinggal di sana. Bila pindah rumah, terpaksalah pindah sekolah sekali lagi sebab sekolah Maahad saya dulu sangat jauh dari rumah sebab berlainan daerah / jajahan di Kelantan.

Abah membuat keputusan nak hantar saya ke Sekolah menengah harian biasa dan bukan lagi ke Sekolah maahad selepas saya gagal dalam subjek bahasa Arab. Mulanya saya memberontak dan marah pada abah.

Tapi akhirnya saya melihat hikmahnya. Satu persatu Allah buka dan tunjuk jalan pada saya yang merubah saya menjadi seperti yang kalian lihat hari ini. Jika bukan asbab pindah sekolah dan keluar dari zon selesa, saya takkan sedar dan tahu betapa teruknya dunia di luar sana yang sedang kita hadapi dengan pelbagai masalah gejala sosial melanda anak muda belia dan remaja.

Semuanya kerana saya masuk ke Sekolah Menengah harian biasa dan duduk di kelas hujung sekali asbab result PMR lepas yang teruk. Dari situ, saya jumpa TIGA BUDAK SERANGKAI yang sangat dasyat kehidupan mereka. Itulah detik permulaan yang menyedarkan saya betapa perlunya ilmu dan asas agama yang cukup dalam diri.


Allah Lebih Tahu 💗

Rabu, 20 September 2017

Asas Pendidikan Agama Anak-Anak, Tanggungjawab Ibu Ayah (Part 1)

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Seingat saya dulu, sebaik saja habis peperiksaan UPSR, saya pergi temuduga bertulis dan lisan untuk permohonan kemasukkan Sekolah Menengah Agama (berasrama) di Pelangai, Bentong, Pahang. Mengikuti jejak langkah kakak sulung yang juga belajar di situ.

Bila keluar result UPSR, saya dapat keputusan yang teruk. Abah dan ummi risau jika saya tidak terpilih untuk masuk dan bersedia nak buat permohonan rayuan. Tetapi ternyata, saya terpilih untuk masuk ke sekolah tersebut melalui temuduga. Katannya bacaan al-Quran saya bagus, boleh baca dan tulis jawi serta tahu berkaitan Fardhu Ain.

Maka, bermulalah perpisahan antara saya, ummi, abah dan adik beradik yang lain. Homesick tu tak payah nak cakap la. Hari-hari rindu rumah. huhu... Yelah, baru umur 13 tahun kan masa tu. Kecil halus je 😂. Tapi kakak sulung ada untuk jaga saya. Duk bergaduh sokmo 🙈.

Oh ya. Saya anak kelahiran Kelantan Darul Naim tapi saya membesar di Pahang Darul Makmur selama 8 tahun sebab ikut abah dan ummi pindah sekolah. Jadi, jangan pelik la kenapa loghat Kelantan saya tak pekat macam orang lain 😅.

Perjalanan dari rumah saya ke sekolah asrama ambil masa sekitar 2 atau 3 jam kalau tak silap. Jalan dia MasyaAllah, bengkang bengkok macam ular. Confirm pening + muntah tiap kali nak balik rumah atau datang asrama semula. huhu...

Setiap pelajar dapat pulang ke rumah sebulan sekali iaitu Sabtu dan Ahad. Kalau cuti sekolah, dapat la cuti lama. Saya balik rumah dari asrama dengan naik bas dua kali dan abah akan datang ambil di perhentian bas. Bila balik semula ke asrama, abah yang akan hantar.

Saya masih ingat lagi bila balik cuti ke rumah, abah singgah sekolah ummi untuk ambil ummi sebab masa tu ummi ada kelas tambahan. Bila dah nak balik tu, saya terdengar perbualan antara ummi dan kawan.


"Kenapa tak hantar je anak sekolah kat sini? Kan senang, tak payah ulang alik, pun tak perlu berpisah dengan anak".

Ummi senyum je dan jawab, " Takpalah, nak bagi dia pendidikan agama".


Kakak sulung pernah cerita kat saya yang dia pernah tanya ummi kenapa sanggup hantar anak jauh gi sekolah agama. Ummi bagitahu yang dia nak anak-anak belajar agama, belajar al-Quran. Nanti balik rumah, boleh ajar ummi pula. Sebak saya dengar ummi kata gitu 😢.

Betul, kami 10 beradik memang jarang dapat pendidikan agama di rumah melainkan abah yang selalu ajar mengaji dan tafsir al-Quran, selebihnya memang belajar sendiri di sekolah dan universiti atau usaha hadir kuliah agama. Ummi abah memang sibuk mengajar anak orang lain di sekolah, tetapi mereka tetap berharap orang lain pun sudi ajar anak-anaknya.

Dari saya sekolah rendah, sebelah pagi belajar subjek akademik macam biasa, sebelah petang akan masuk sekolah rendah agama. Masuk sekolah menengah pun macam tu. Cuma sampai tingkatan 3 je sebab tingkatan 4 saya masuk sekolah menengah harian biasa. Bermula dari situlah, hidup saya berubah 360 darjah.





Allah Lebih Tahu 💗

Selasa, 4 Julai 2017

PETANDA

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Hari nie dah tak ingat hari keberapa tak sihat.
Tapi rasa macam seminggu dah 😂.

Sebelum jatuh sakit nie, memang muncul beberapa petanda yang saya bakal jatuh sakit. Cuma malas nak fikir dan tak kisah sangat memandangkan masih berbaki tiga hari lagi Ramadan.

Antara petanda tu, gusi bengkak. Bila gosok gigi, akan mula berdarah. Berlarutan dalam tiga hari juga la macam tu sampai rasa tak nak gosok gigi, Huhuhu… 1 syawal baru rasa okey sikit dan mula banyak minum air kosong. Bila gusi bengkak dan berdarah, 1 je saya fikir bakal berlaku nanti iaitu demam panas. Bila badan panas dan suhu tiba-tiba naik, memang gusi akan bengkak dan berdarah.

Ais memang saya elak dan minum air kosong je bila pergi beraya rumah saudara mara. Tapi 5 syawal, rasa terliur sangat. Ditambah plak cuaca panas, minta husband beli ice mocha. Malam esoknya dah mula rasa tak sedap badan. Pagi esok tu demam selsema. Malam, husband pergi ambil ubat homeopaty. Alhamdulillah dah makin surut demam. Senyum sampai telinga 😁.

Saya sangat yakin, tiap apa yang berlaku, Allah mesti cipta sesuatu untuk bagi ‘signal’ pada kita. Maksudnya asbab atau petanda sebelum sesuatu tu berlaku. Selalunya bila kita dengar khabar ada orang meninggal, mesti ada yang tertanya-tanya kenapa? Sakit apa? Walaupun kita tahu ajal itu di tangan Allah, Malaikat Izrail melakukan tugas tanpa tertangguh walau sesaat, pasti ada asbab yang menyebabkan berlaku kematian.

Sama juga macam apa yang berlaku pada saya.
Dah ada petanda / punca nak demam. Layan juga nafsu nak minum ais. Sekarang, merasalah padahnya sendiri. Huhuhu…

Begitulah juga berlaku pada arwah tok ayah saya Januari tahun lepas. Abah bagitahu, arwah tok abah asyik sesak nafas dan keluar masuk hospital, pergi sedut oksigen. Lepas tu, kena tahan dalam wad sebab doktor nak check darah. Rupanya, paru-paru arwah tok ayah sudah dijangkiti kuman dan sedang merebak menuju ke organ lain. Masa melawat arwah tok ayah, saya nampak tanda yang menunjukkan arwah tok ayah bakal pergi menemui Allah.

Masih saya ingat senyuman arwah tok ayah waktu melawat di hospital. Dari jauh, raut wajahnya yang sudah tua, tersenyum lebar memandang ke arah saya dan suami. Tangannya terus dihulur untuk bersalam sebaik saja kami sampai. Senyuman itu terus melekat dalam ingatan saya. Hanya itu satu-satunya kenangan manis terakhir yang saya ada bersamanya 💗.

Dua minggu selepas keluar masuk hospital, kuman sudah merebak hampir ke seluruh organ. Sudah cuba pelbagai cara tetapi tetap melalui jalan buntu. Akhirnya, kuman menyerang otak membuatkan arwah tok ayah koma. Jantung masih berdegup dan bergantung pada mesin penyokong hayat.

Doktor bagitahu sudah tiada apa yang boleh dilakukan sebagai kudrat seorang manusia perubatan, hanya keajaiban dari Allah saja yang mampu menyembuhkannnya. Tanda akhir kematian sudah jelas nampak pada arwah tok ayah. Kaki, hidung, telinga semuanya sudah luruh atau jatuh ke bawah. Dua hari lepas koma, arwah tok ayah pergi untuk selamanya. Wajahnya bersih sangat, seperti sedang tidur pun ada. Tersenyum manis seolah-olah sudah tahu apa yang bakal diterimanya. MasyaAllah…

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه
(Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihii wa'fu'anhu)


"Ya Allah, ampunilah dia, dan kasihanilah dia dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia"


Allah Lebih Tahu 😊

Sabtu, 31 Disember 2016

PMR to PT3

Zaman saya dulu, exam untuk pelajar tingkatan 3 adalah PMR sebelum ditukar ke PT3. Masih segar diingatan, abah hantar saya ke sekolah Maahad Muhammadi Pasir Mas untuk ambil result PMR. Bila abah call tanya result, saya cakap nanti la bagitahu bila abah sampai.

Petang, abah datang ambil. Masuk dalam 'perut' van, abah tanya lagi. Malu nak bagitahu abah sebab saya dapat 2D + 5C + 1B + 1A. Dah la duduk kelas hujung sekali, dapat plak result teruk. D tu adalah bahasa arab & English. Disebabkan result teruk tu, abah decide untuk saya pindah ke Sek. Men. harian biasa dan bukan lagi Maahad.

Saya memberontak dan marah dengan abah sampai saya cakap kat Ummi. "Angah nie bodoh sangat ke sampai nak angah tukar sekolah?". Ummi pujuk, bagitahu bukan macam tu maksud abah. " Angah tak boleh bawa subjek Arab, jadi abah risau effect pengajian angah". Lama saya tak bercakap dengan abah sebab nak marah 😔.

Bila saya masuk tingkatan 4 di Sek. Men. Keb. Tumpat, saya pilih untuk masuk kelas aliran akaun walaupun saya boleh masuk kelas aliran sains. Abah suruh ambil kelas sains, saya buat bodoh je (sebab masih lagi rasa nak marah). Lama kelamaan, rasa marah tu hilang bila saya mula dapat hikmah atas tiap takdir yang Allah aturkan.

Rupanya, saya lebih HARGAI ILMU berbanding ketika di Maahad dulu. Selesa + hanyut + banyak main dari belajar bila duduk dalam kalangan 'orang baik-baik'. Nak dapat ilmu masa di Sek. Men. Keb. Tumpat sangat la sukar sebab cikgu-cikgu benci nak masuk kelas saya sebab ada rakan sekelas yang sangat kurang ajar dengan guru sampai saya menangis di bilik guru asbab pujuk cikgu supaya masuk kelas, mengajar 😭.

Asbab dari kisah ini, hati saya mula ditarbiyah secara tidak langsung. Saya mula sedar tentang KEPENTINGAN ILMU dan kenapa saya dihidupkan di dunia. Tak sangka, tempat yang saya 'benci' berjaya mendidik saya. Benarlah orang kata, bila Allah nak bagi hidayah, tiada siapa yang mampu halang walaupun orang tu tengah menari dalam kelab disko.


Bermula saat itu, saya terus dahagakan ilmu.
Rindu bau buku.
Bercinta dengan buku.

Siapa sangka, budak yang dulunya dianggap bodoh, akhirnya berubah. Dan sekarang tengah berjuang untuk habiskan pengajian Master. Abah, bila ada orang tanya beliau, saya tengah kerja apa sekarang? Abah akan jawab dengan penuh bangga, anak saya tengah sambung master sambil buat bisnes. Sebak saya dengar abah jawab macam tu 😭.

Ibu bapa, kadang-kala tahu apa yang terbaik untuk anaknya.
Cuma kita jarang mengerti kecuali bila tiba masa yang sesuai untuk kita faham.


Allah Jua Lebih Tahu 💝

Rabu, 11 Mei 2016

Master Student

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Semalam kawan baik dari zaman Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) mesej kat inbox facebook dan tanya berkaitan pengajian Master iaitu berapa yuran untuk keseluruhan semester. Tetapi meleret panjang sampai la ke sesi luahan perasaan ‘stress’ masing-masing. That why I love her. Jujur untuk berkata apa saja. Hahaha…

Sebenarnya plan untuk sambung master adalah 3 tahun lalu iaitu sebaik saja saya habiskan pengajian degree, tapi Allah belum izin kerana DIA tahu apa yang terbaik untuk saya. Sepanjang 3 tahun tu, Allah tunaikan satu impian saya iaitu membina empayar perniagaan Legasi Bidadari Solehah Sdn. Bhd. Syukur atas izin Allah. Jika saya sambung master 3 tahun lalu, mungkin empayar itu tidak mampu berkembang seperti sekarang. See, perancangan Allah tetap terbaik buat kita sebagai hambanya (^^,).

Butik Bidadari Solehah di Kota Bharu, Kelantan.

Plan untuk sambung master dipersetujui oleh En.Tunang (now dah jadi husband saya, Alhamdulillah) dan dia yang bantu hantar borang master saya ke UUM sampai sesat tak jumpa fakulti yang dicari. Maklumlah, UUM memang sangat-sangat besar. Huhu…

Bila borang semua dah selesai dan permohonan saya diterima (hujung bulan Januari 2015), surat tawaran sampai ke rumah saya iaitu 3 minggu sebelum majlis akad nikah saya. Ketika itu juga saya baru selesai penuhi jemputan talk di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), agak-agak ummi dan abah saya cakap apa masa nie? (fikir sendiri..hehe)

Surat Tawaran Master

Pendaftaran Master 9 hari sebelum majlis akad nikah saya. Syukur Tok Mek sudi masakkan hidangan untuk majlis tu. Kalau semua nak tahu, majlis akad nikah saya sepatutnya dibuat sekali dengan majlis walimah saya iaitu pada hari yang sama pada bulan Mac tetapi diawalkan 3 minggu iaitu pada 20 Februari 2015 atas sebab tertentu dan dipersetujui oleh kedua-dua belah keluarga.

Kad Kahwin yang dibuat sendiri (^^,)

Saya pergi ke UUM selepas tu dan tumpang tidur di rumah kakak sulung di Penang. Maka berulang-alik la saya dari Penang ke UUM, UUM ke Penang selama dua hari. Badan tak yah cakap la, tersangat letih dengan mata rabak. Huhu..

Selesai je, saya terus balik Kelantan untuk prepare apa yang patut. Baju kahwin saya, staf Bidadari Solehah yang jahit. Tudung labuh + niqab saya jahit sendiri 3 hari sebelum majlis baru gi cari kain. Pelamin saya buat sendiri dengan adik perempuan setakat yang sempat. Husband sampai sebelum subuh pada hari majlis akad nikah kami dan pakai jubah abah dia. Huhu…

Pagi majlis akad nikah tu, tetiba kakak sulung panggil ummi (rujuk gambar).



20 Februari 2015. 
Selepas solat Jumaat. 
Saya sah jadi isteri dia. 
Alhamdulillah...(^^,)

Syukur atas izin Allah.

Lepas majlis akad nikah tengahari tu, malamnya saya teman kakak sulung di hospital sebab dia kena tahan dalam wad. Hidup saya penuh dengan kejutan kan…? (^^,)

Dua hari lepas tu saya kembali ke Kedah sebab kuliah akan bermula pada keesokannya harinya. Tersangat letih, tapi sangat bahagia sebab saya dapat dua hadiah dari Allah. Dapat sambung master + suami. Lengkap dua pakej. Huhu..

Now dah 1 tahun lebih saya sambung master, sudah 3 semester. Perasaan bercampur baur. Tak tahu nak rasa happy ke sedih sebab sambung master tak semudah yang dilihat. Dan sekali lagi, kalau saya sambung master 3 tahun lalu, mungkin saya dah berhenti dan tak habiskan pengajian nie.

Perancangan Allah tetap terbaik kan? Sebab Allah aturkan suami terbaik untuk saya yang sentiasa menguatkan. Bukan saya seorang sambung master, tetapi suami saya juga turut serta. Suami la yang sudi dengar bebelan isteri dia bila susah nak hadap assignment dan presentation. Huhu…

Saya tinggalkan kedua-dua keluarga (parents saya & husband), Bisnes dan Team Bidadari Solehah, kerja-kerja lapangan kebajikan dan dakwah. Banyak yang perlu dikorbankan, tetapi saya tetap perlu tamatkan apa yang sudah saya mulakan tanpa menoleh ke belakang lagi. Saya akan cuba habiskan master mengikut tempoh masa yang ditetapkan. InsyaAllah.. Doakan saya ya semua (^^,) .



Allah Jua Maha Tahu.

Selasa, 10 Mei 2016

Nikmat Cinta Allah

Catatan Kuliah Usrati (IKIM)
Oleh: Ustazah Norhafizah Musa


“sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
Surah as-syam (ayat 9 & 10)

“…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”
Surah al-Baqarah (ayat 222)

Kenapa perlu bersihkan hati?
Kerana ianya menjadi wadah (jalan) untuk mendapatkan nikmat cinta. Apabila hati bersih, hidayah Allah mudah masuk, fikiran pun jadi jernih, hidup jadi tenang dan ucapan juga penuh dengan hikmah.

Apabila hati bersih, kita mengundang para Malaikat bersama kita, firasat jadi tajam, doa kita mustajab sehingga sampai satu tahap yang disebut oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Anfal ayat 2,

“Orang-orang yang beriman itu adalah orang-orang yang apabila disebutkan nama Allah maka bergetarlah hati mereka. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya maka bertambahlah keimanan mereka. Dan mereka hanya bertawakal kepada Rabb mereka.”

Syeikh Muhammad bin Shalih al Munajjid pernah menyebut dalam kitab beliau yang mana ada seorang sahabatnya, ketika mana tentera Rusia masuk ke dalam rumah untuk bunuh semua orang Islam. Dia panik untuk sembunyikan diri dan apabila dia terlihat lubang kecil disebalik almari, dia terus bersembunyi di dalam lubang tersebut.

Ketika itu, dia mendengar betapa kerasnya tentera rusia tersebut membunuh orang Islam dengan bunyi tembakan dan hayunan pedang. Dia terasa sangat takut sehinggalah ada salah seorang tentera Rusia tu berkata, “cuba alihkan almari tu dan tengok jika ada lagi orang Islam bersembunyi dibelakang almari”.

Apabila dia mendengar tentera Rusia berkata sedemikian pastilah dia berasa sangat takut. Jika almari dialihkan, pastilah akan nampak dia bersembunyi di dalam lubang tersebut. Ketika itu dia terus teringat sejarah yang telah berlaku pada Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Rasulullah s.a.w.. Dia teringat nikmat tawakal dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. ketika itu.

Dalam keadaan mata dipejam, dia terdengar bunyi tapak kaki menuju ke arahnya. apabila dia buka mata, ternampak kasut tentera Rusia didepan matanya. Dia dan tentera Rusia saling berpandangan. Ketika itu, dia terus membaca surah Al-Anfal ayat 2 sampai habis. Lalu tentera Rusia itu berkata, “tiada orang disini, tuan. Lubang ini kosong”.

Sebaik sahaja tentera Rusia itu pergi, dia terus sujud syukur kerana tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan nikmat yang telah dia perolehi. Nikmat yang masuk ke dalam hatinya, bergetar jiwanya, bertambah keimanan dan keyakinannya kepada Allah s.w.t.

Cinta Allah, ia adalah kehidupan.
Siapa yang hilangkannya, maka ia termasuk orang yang mati.

Cinta Allah adalah cahaya,
Siapa yang hilangkan sinarnya, maka ia berada dalam kegelapan samudera.

Cinta Allah adalah ubat.
Siapa yang tidak menelannya, maka hatinya akan tertimpa dengan pelbagai ragam penyakit.

Cinta Allah adalah kenikmatan yang luar biasa.
Siapa yang tidak memperolehinya, maka seluruh kehidupannya adalah kegelisahan dan derita.

Cinta Allah adalah rohnya Iman.
Cinta Allah adalah rohnya Aman.
Cinta Allah adalah rohnya Perilaku.
Ketika kita terlepas dari cintanya, maka jasad kita tanpa jiwa dan nyawa.



Allah Jua Maha Tahu (^^,)

Khamis, 10 September 2015

Teringin

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Rutin harian saya, pasti saya akan buka facebook dan instagram. Gemar melihat gambar dan membaca status yang dikongsi oleh rakan yang lain. Seronok melihat kehidupan individu lain.

Ada yang dulunya gigih berjuang dalam bidang akademik, sudah pun mendapat PhD dan bergelar Prof. Madya.

Ada juga yang dulunya begitu susah hidupnya, tetapi gigih berusaha dalam perniagaan dan akhirnya berjaya menjadi jutawan muda.

Ada pula yang pernah putus tunang berkali-kali, tetapi selepas beberapa tahun, bertemu jua dengan cinta halalnya yang sangat setia dan bahagia senantiasa.

Apabila kita melihat dan membaca status mereka yang berkongsi untuk tatapan umum, akan timbul satu rasa keinginan. Hati mula bermonolog sendiri.

“Bestnya la kalau aku dapat jadi macam dia."
“Syoknya kalau aku dapat sambung belajar macam dia”.
“Untungnya dia dapat pasangan yang sweet dan caring macam tu”.

Diri mula terasa serba kekurangan.
Terasa serba tidak cukup dengan apa yang dimiliki.

Jika ada orang mempunyai rumah mewah dua tingkat, kita juga teringin memilikinya. Jika ada orang mempunyai kereta besar seperti BMW, Audi dan sebagainya, kita juga mahu memilikinya.

Itulah hati manusia, tidak pernah terasa puas. Mahukan lebih lagi, dan lebih lagi.

Dia kaya, tetapi sibuk dan tidak punya waktu yang banyak untuk sentiasa bersama dengan keluarga.

Dia dapat sambung belajar, tetapi kurang waktu untuk bersosial dan bermasyarakat dengan ramai orang.

Tidak perlu ‘seksa’ hidup kita dengan asyik memikirkan kekurangan diri dan apa yang kita tiada dengan melihat kelebihan orang lain. Tetapi latihlah hati supaya melihat kekurangan orang lain dengan sentiasa merasa syukur dan cukup dengan apa yang kita ada.

Ada orang, tidak mempunyai anggota tangan. Tetapi kreatif dalam melukis dengan menggunakan kaki.

Ada orang pula, tidak mempunyai kaki dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak tetapi mampu memotivasikan ribuan orang dengan semangatnya.




*******************

Benar. Dia kaya, berpelajaran, solehah, berkerjaya dan banyak lagi. Serba serbi lengkap dengan pelbagai pakej. Sedangkan kita pula sebaliknya, hanya biasa-biasa saja.

Pernah kita berfikir, sudah berapa banyak masa yang dia korbankan untuk berada tahap itu?
Sudah berapa banyak duit yang habis untuk berada pada tahap itu?
Sudah berapa banyak air mata, kesulitan dan kesusahan yang dia perlu tanggung untuk berada pada tahap itu?

Jika kita tahu untuk berada tahap itu perlu melalui penderitan, pengorbanan, tidur yang tak pernah cukup, cabaran dan ujian datang bertimpa-timpa, adakah kita sanggup bertukar tempat dengannya?

Saya rasa, pasti ramai yang akan berkata TIDAK!

Dia tahu dia perlu bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Dia tahu dia perlu mengorbankan banyak benda untuk mengapai impiannya, tetapi dia tetap mahu teruskan juga.

Mengapa? Kerana dia punya tujuan dan misi hidup.

Dia mahu menjadi kaya, kerana mahu membantu asnaf fakir miskin lain walaupun sebelum ini sudah banyak kali dia kerugian dan ditipu sebelum menjadi jutawan.

Dia mahu mendapatkan PhD, kerana dia mahu menjadi pensyarah dan mendidik lebih ramai lagi anak bangsa untuk kemajuan sesebuah Negara disamping menjadikan ilmu itu sebagai asset akhirat walaupun pengajian itu mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja ribuan tinggit.

Teringin itu biasa.
Setiap orang punya keinginan.
Tetapi pastikan keinginan itu punya tujuan hidup.

Kita mahu menjadi kaya sepertinya, tetapi pastikan punya tujuan iaitu mahu mengubah ekonomi keluarga dan membantu orang lain yang memerlukan.

Biarpun kita gagal untuk penuhi impian yang pernah kita lakar dulu, pastinya kita merasa puas hati apabila sudah pernah mencuba sekuat hati. Tetap ada bahagian bagi individu yang sentiasa berusaha.

“Man jadda, wa jadda”
(siapa berusaha, dia akan mendapat hasilnya)



Jika kita melihat ada orang soleh dan solehah, hafiz dan hafizah al-Quran, menguasai pelbagai cabang ilmu agama dan punya peribadi serta akhlak yang baik, adakah kita turut berkeinginan untuk mengikuti jejaknya?

Allah lebih tahu.

Selasa, 1 September 2015

Terlalu Muda

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Terlalu muda…”.

Ramai yang berkata sedemikian kepada saya apabila mereka tahu usia saya baru 26 tahun ketika ini.

Terlalu muda untuk mempunyai perniagaan sendiri iaitu Butik pakaian Muslimah (Bidadari Solehah Enterprise) dengan mengeluarkan reka bentuk sendiri.

Terlalu muda untuk mempunyai Skuad Kebajikan sendiri yang turun lapangan menjejaki golongan asnaf fakir miskin dan mengaturkan pelan terbaik untuk membantu mereka.

Terlalu muda untuk dijemput memberikan ceramah dan perkongsian kepada masyarakat. Mungkin sering digandingkan dengan ahli panel yang jauh lebih tua daripada saya.



Apabila mereka berkata sedemikian. Telinga saya seolah-olah masih jelas mendengar kata-kata dari murobbi saya yang menjadi salah satu asbab yang membuatkan saya istiqomah dengan kerja kebajikan dan dakwah sampai kini.

“Awak memang muda. Nampak matang dan berfikiran jauh berbanding orang lain yang sama usia dengan awak. Ustaz ada seorang sahabat seperti awak. Muda dari kami semua tetapi jasanya kepada dunia dakwah terlalu banyak berbanding kami yang lebih tua darinya”.

“Kat mana dia sekarang, ustaz?”, Tanya saya.

Ustaz senyum.

“Dia sudah meninggal dunia. Pun pada usia yang sangat muda. Sampai sekarang kami tak pernah lupa padanya. Mati memang tak kenal usia”.


********************

Ya. Orang kata saya terlalu muda untuk semua itu tetapi mereka tidak tahu apa yang sudah saya lalui untuk mendapatkan semua itu. Terlalu banyak ujian dan cabaran yang perlu saya hadapi dan ujian itu tidak setanding dengan usia saya yang terlalu muda.

Mungkin saya muda pada usia, tetapi ujian demi ujian membuatkan saya tua pada pengalaman yang ada berbanding individu yang seusia dengan saya.

Aturan Allah.

Saya sedar hidup ini hanya sementara, kita semua akan mati.
Saya sedar saya perlu menyumbang sesuatu kepada ummah sebelum saya mati.
Saya sedar ilmu dan amal itu sangat diperlukan dalam setiap langkah kehidupan.

Ketika saya menyedari semua ini, usia saya sudah mencecah 17 tahun. Pada pandangan saya, usia itu sudah terlewat untuk mengatur perjalanan hidup yang lebih baik. Sudah 17 tahun saya bazirkan masa dengan kehidupan yang bersenang lenang tanpa matlamat hidup yang jelas.

Apabila tersedar, saya tidak berpaling ke belakang lagi. Saya meneruskan kehidupan dengan membuat misi hidup dan cuba sedaya upaya berada pada landasan tersebut.

“Manusia yang punya matlamat hidup yang jelas, langkahnya akan terus terarah pada jalan tersebut”.

Hidup ini sentiasa ada pilihan. Samaada mahu terus menderita atau mencari jalan untuk bahagia. Samaada mahu berada di tempat sama atau berdepan dengan risiko untuk maju ke depan. Setiap pilihan yang dibuat, akan ada sesuatu yang menanti di hadapan.

Ujian demi ujian yang kita perolehi sepanjang perjalanan itulah sebenarnya mematangkan fikiran. Matang dari segi akal fikiran dan tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah, cabaran dan ujian yang ada.

Jika kita tidak berani untuk mengambil risiko untuk maju ke depan, bagaimana kita akan tahu setakat mana kemampuan diri?

Kita muda, tak bermakna kita tak mampu untuk membuat keputusan sendiri. Yakinlah dengan kemampuan diri dan keputusan yang di buat.

“walau sehebat mana pun kita nanti. Walau sejauh mana pun kita pergi. Jangan pernah jauh dari Allah. Kerana tanpa Dia, kita ini bukan siapa-siapa”.

Allah lebih tahu.

Khamis, 20 Ogos 2015

Kisah Wanita Berniqab 2

"Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani"

Ini saya.
Nama diberi adalah Asma'.
Asma' Suardi ^^
Gambar: Misi Bantuan Banjir 2014



Saya dah mula try pakai niqab waktu awal umur 20 tahun secara on off. Sebab? Ada kekangan dan tekanan yang sangat berat membuatkan saya tidak mampu istiqomah.

Tapi waktu nie, saya bukan bersedih, merungut dan kecewa dengan kekangan dan tekanan yang diterima. Sebaliknya saya gantikan rasa tu dengan terus menerus mencari gali ilmu berkaitan niqab. Pendapat dan khilaf antara ulama' serta pandangan dunia tentang pemakaian niqab.

Pada hujung tahun sewaktu umur 22 tahun. Saya nekad untuk istiqomah berniqab. Wah! ujian yang diterima bertubi-tubi datang menyerang sehingga saya dipanggil oleh Pengetua Kolej Penginapan Pelajar semasa dikampus. Penerimaan sahabat sekeliling juga ada yang positif dan juga negatif.

Adakah saya mengalah?
Adakah saya berundur?
Adakah saya tanggal semula niqab yang dipakai?

Jawapannya, TIDAK!
Sebab apa? Sebab saya tahu saya pakai niqab kerana apa. Sebab saya tahu untuk berhujah balas dengan mereka yang tidak memahami. Sebab saya tahu bagaimana untuk meraikan pendapat orang sekeliling yang tidak suka dengan wanita berniqab.

Pakai niqab perlukan ilmu.
Bukan atas dasar suka-suka.
Bukan atas dasar mahu cuba-cuba.

Niqab boleh buatkan orang yang dulu free hair, rasa aman dan damai dengan memakai pakaian menutup aurat berserta niqab.

Niqab juga boleh buatkan orang yang dulu free hair terasa riak dan ujub dengan pakaian menutup aurat dan niqab yang dipakai.

Niqab juga boleh buatkan orang makin jauh dan lalai dari mengingati Allah kerana terlalu mahu orang mengaguminya dan digelar solehah hanya dengan niqab.

Jika dulu dia pakai niqab tetapi tidak lagi.
Jika dulu dia hanya pakai pakaian menutup aurat, tetapi kini sudah berniqab.

Tidak perlu kata apa-apa.
senyum dan doakan saja.
Moga semuanya baik-baik belaka.

Semuanya berkaitan dengan hati dan niat.
Kalian pakai kerana siapa?
Pakai dengan tujuan apa?

Jika pakai kerana Allah,
maka teguhlah juga kerana Allah.

Umur saya sudah 26 tahun sekarang. Pengalaman 4 tahun ini banyak melihat jatuh bangun seorang niqabis. Dan masih jauh perjalanan saya. Moga Allah izin untuk saya terus istiqomah dengan niqab.

Allah lebih tahu ^^

Selasa, 18 Ogos 2015

Hajat & Janji

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Hari nie pergi ziarah sebuah rumah. Hantar bekalan makanan keperluan asas. Beliau pernah kami bantu kira-kira dua tahun lalu dengan membaiki sebelah rumah beliau (jadi rumahnya separuh batu & separuh kayu).

Sekarang masih dalam proses untuk membaiki sebelah lagi yang kayu disebabkan sudah teruk dimakan anai-anai dan reput. Dana sudah dapat kelulusan daripada pihak MAIK.

Saya ke sana dengan ditemani suami. Saya pergi bukan setakat menyampaikan bantuan makanan asas tetapi juga tunaikan hajat dan satu janji yang pernah saya katakan dulu sebelum berkahwin lagi.
Hajat saya, mahu solat di rumah beliau. Selalunya setiap kali saya ke sana. Memang tidak sempat untuk duduk lama, apatah lagi mahu tumpang untuk solat. Setakat bertanya khabar dan menghantar bekalan makanan saja. Tetapi hari ini, hajat itu tertunai apabila saya dan suami solat zohor disini. Merasai sendiri suasana rumah beliau. Alhamdulillah semakin selesa, tetapi masih ada yang perlu dibaiki.

Janji saya mahu bawa beliau makan di Restoran Spilla, Wakaf Bharu, Kelantan. Beliau pernah cerita yang mana anak lelakinya bekerja disitu dulu sebagai pelayan Restoran. Makannya enak, layannya mesra dan tempatnya selesa. Katanya, bawa pergi minum air saja pun sudah cukup. Cuma mahu singgah tempat anaknya bekerja. Mahu pergi sendiri, tiada duit.

Beliau masih berjuang untuk hidup. Dengan gaji yang hanya RM650 sebulan di zaman sesak ini, belum cukup untuk menyara keluarga kerana beliau 'ibu berdikari'. Kadang kala, bil air dan api pun tidak mampu dibayar. Makan pun ala kadar saja.

Alhamdulillah, syukur atas izin Allah untuk rezeki ini. Berkongsi apa yang kami ada dengan orang lain. Melihat beliau tersenyum, itu sudah lebih dari cukup (^^,). InsyaAllah esok ada lagi sebuah rumah yang akan saya singgah untuk hantar bekalan makanan.

Jadi, bagi yang ingin menyumbang dana kewangan / bersedekah. Bolehlah salurkan ke akaun berikut:

Maybank
5530-9200-3765
Bidadari Solehah Enterprise
Emel: bidadari.collection@yahoo.com.



Moga Allah redha ^^,

Ahad, 15 Jun 2014

14/6/2014 Tanah Merah, Kelantan.

"Dengan nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani"

Dua minggu sebelum 14 Jun 2014

“Asma’ buat lagi ke program bantuan macam baiki rumah semua tu macam yang dibuat sebelum tu?”, sapa seorang staf di situ.

“Ia kak, buat lagi. Cuma tak ‘update’ sangat dekat facebook sebab projek dalam proses perlaksanaan. Kenapa kak?”.

Dia pun menceritakan sesuatu yang buatkan saya terdiam seketika.

“Ada sebuah keluarga susah, hidup banyak mengharapkan bantuan orang ramai. Dulu keluarga nie sewa sebuah rumah tapi dah kena halau sebab tak mampu nak bayar duit sewa rumah. Lepas kena halau tu, sehari mereka menumpang di masjid sebelum orang ramai bantu carikan rumah sewa lain. Sekarang mereka berada di Tanah Merah, akak pun tak gi tengok lagi”. Jelas akak tu.

“Baik akak. Nanti kita cari dorang kat sana. Saya bagitahu bila nak gi dan akak bawa saya ke sana”.

Hari itu tiba…

Kami buatkan sedikit bihun goreng dan kek coklat sebagai buah tangan untuk mereka dan bertolak ke destinasi yang dituju pada awal pagi.

Hanya berbekalkan sedikit maklumat yang diberi oleh keluarga tersebut, kami mencari lokasi yang dimaksudkan. Terlepas sedikit dari jalan disebabkan tidak perasan kedudukan rumah mereka kerana terlalu kecil dan sempit dari pandangan luar.

Ibarat pondok buruk!



Namun itulah rumah yang mereka duduki sekarang setelah dihalau dari rumah yang disewa sebelum ini.

Ketika dihalau, tuan punya rumah atau pemberi sewa cakap, "mereka bukan ahli keluarga saya, kalau ahli keluarga saya mungkin saya bagi mereka tinggal lagi dekat sini. Saya tergamak untuk halau sebab dorang bukan ahli keluarga saya".

Rupanya masih ada yang belum faham apa yang Rasulullah s.a.w. sebut yang semua umat Islam itu bersaudara. Siapa yang tidak mengasihi, usah berharap untuk dikasihi!

Kami masuk ke rumah disambut oleh lima beranak. Dua orang dewasa (suami dan isteri) dan tiga orang remaja (seorang lelaki dan dua orang perempuan).



Si isteri atau ibu ini terus menerus mengalirkan air mata semasa menceritakan keadaan sebenar yang dialami oleh mereka. Sepasang suami isteri yang kedua-duanya mengidap penyakit kronik dan sentiasa perlukan rawatan dengan anak-anak yang perlukan bantuan untuk teruskan persekolahan. Saya diam tidak terkata.

Apa yang mereka makan sehari-hari, usah disebut lagi. Jika sewa rumah dan bil utility tidak mampu dibayar, kita sudah dapat bayangkan sendiri apa yang menjadi hidangan mereka sehari-hari. Nasi putih berlaukkan telur atau berlapar untuk hari itu.





Pelbagai jenis surat beliau tunjukkan kepada saya dari pelbagai jabatan agensi termasuk NGO sendiri untuk meminta bantuan. Janji mahu dibantu dan sediakan kemudahan yang mereka perlukan, tetapi hingga kini tiada apa yang menjadi realiti!

Beliau berkata sampai satu tahap mahu pergi ke Kuala Lumpur dan minta bantuan dengan orang di sana pula.

Tahu apa yang bermain di minda saya selepas mengetahui keadaan mereka sebenar?

Aset yang perlu dibina untuk ummah iaitu tiga orang anak yang berada di hadapan saya.

Katanya, ketiga-tiga orang anak ini walaupun susah dan serba kekurangan, keputusan peperiksaan anak-anaknya sangat cemerlang dan menjadi harapan pihak sekolah.

Itu menjadi ‘penambah perasa’ yang buatkan saya nekad untuk membantu mereka walaupun saya tahu ianya mengambil masa yang agak lama untuk jadikan impian mereka menjadi kenyataan.

Apa yang mereka impikan?

Mereka mahu bina sebuah rumah di tanah pusaka milik si ayah/suami. Mahu tinggal dirumah sendiri dan bina keluarga disitu.

Projek ini akan mengambil masa sekitar satu hingga dua tahun untuk ditunaikan dan saya perlukan masa untuk mencari dana kewangan sekitar RM30 hingga RM40 ribu.

Dari mana saya mahu dapatkan dan sebanyak itu? Saya sendiri masa fikirkan jalannya dan berharap Allah bukakan jalan untuk kami.

Setelah gambar diambil dari semua sudut dan keseluruhan rumah, saya minta izin untuk beransur pulang.

Si isteri atau mak ini bersuara, “surat-surat semua nie tak nak ke?”.

Saya senyum memandang ke arahnya.

“Saya tak perlukan surat nie sebab saya bukan dari mana-mana NGO atau agensi kerajaan dan kebajikan tetapi atas nama persendirian dan saya mewakili orang ramai di luar sana. Saya akan usahakan dan saya perlukan masa untuk buat semua ini. InsyaAllah..”.

Kenapa saya berkata begitu?

Kerana saya yakin masih ramai diluar sana yang punya hati seperti saya. Hati yang ingin membantu individu dan keluarga seperti mereka.

Saya yakin!

Bagi yang ingin menyumbang dana kewangan, kalian boleh salurkan terus pada Akaun rasmi Skuad Kebajikan Bidadari Solehah Enterprise.

Maybank:
5530-9200-3765
(Bidadari Solehah Enterprise)

bidadari.collection@yahoo.com