“Dengan
Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
‘Selama mana
kalian berada dalam pengajian ilmu, selama itulah kalian berhutang masa dengan
ummah’.
Empat
tahun berada dalam pengajian ijazah sarjana muda pentadbiran muamalat, saya
masih ingat bagaimana saya boleh tahu tentang bidang ini.
Ianya
bermula apabila seorang pensyarah matapelajaran perniagaan semasa masih berada
di matrikulasi memberitahu bahawa bidang ini semakin berkembang dan memerlukan
individu yang punya asas agama untuk berada di dalamnya.
Pensyarah
tersebut menyatakan satu sistem yang berada dalam muamalat iaitu pinjaman al-Qard al-Hassan yang mana pinjaman ini langsung tidak di kenakan apa-apa faedah, yang ada hanyalah caj perkhidmatan yang sangat minimum upahnya.
Namun,
kata pensyarah tadi, sistem ini semakin kurang dilaksanakan kerana peminjam
tidak membayar semula wang yang dipinjam dan ada juga yang dikira sebagai ‘dihalalkan’
saja sebab kebanyakan yang membuat pinjaman adalah individu yang tergolong
dalam golongan asnaf (yang layak terima zakat).
Sebaik
sahaja saya mendapat tahu tentang kewujudan bidang ini, saya mencari maklumat
lebih dan universiti mana yang tawarkan bidang ini. Salah satunya adalah
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tanpa
berlengah, saya mengisi borang UPU fasa pertama dengan meletakkan bidang
pentadbiran muamalat di UUM sebagai pilihan pertama dan seterusnya barulah
bidang perakaunan kerana ketika itu, niat saya mahu membantu lebih ramai
individu yang memerlukan.
Itulah
sedikit permulaan bagaimana saya boleh jatuh hati pada bidang ini walaupun pada
hakikatnya saya langsung tidak dapat menjawab pertanyaan ahli keluarga dan
kawan-kawan apabila mereka bertanya tentang muamalat.
Apa
yang saya tahu ketika itu, muamalat adalah jual beli secara Islam. Itu saja.
Kini,
saya sudah bergelar graduan setelah berjuang dalam bidang ini selama 4 tahun di
UUM dan ianya bukan satu tempoh yang mudah bagi saya kerana saya bermula dengan
kosong.
Sekolah
terakhir saya sebelum saya menyambung pengajian ke matrikulasi adalah Sekolah
Menengah Kebangsaan, Tumpat. Pasti ianya mencabar diri saya kerana asas bahasa
arab tidak saya kuasai sepenuhnya walaupun merupakan bekas pelajar sekolah
menengah agama (arab) dan maahad muhammadi.
Saya
betul-betul bermula dengan kosong jika dibandingkan dengan sahabat lain yang
kebanyakkan bekas pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang mana mereka
sudah pelajari ilmu muamalat semasa STAM.
Saya
masih ingat dan ianya akan sentiasa kekal dalam ingatan, InsyaAllah. Saya
telefon ummi sambil menangis disebabkan saya tidak mampu menjawab satu pun
soalan ujian pertengahan semester pertama subjek asas bahasa arab dalam
muamalat.
Saya
menangis bak anak kecil, langsung saya tidak peduli pandangan orang lain yang
memandang saya ketika itu. Ianya tersangat susah bagi saya. Ketika itu terasa
mahu menukar bidang yang diambil sebab ianya subjek yang paling lemah untuk
saya kuasai sejak di sekolah menengah lagi.
Tetapi,
apabila diingat semula bagaimana saya boleh jatuh hati dengan bidang ini dipermulaannya,
saya teguhkan hati untuk teruskan juga.
Saya
cari kakak senior yang boleh mengajar saya subjek ini. Kami sama-sama mengulangkaji
pelajaran di Masjid. Beliau mengajar saya satu persatu dari mula sampai habis
dengan penuh sabar. Maklumlah, saya memang langsung tidak tahu apa-apa dan
tidak faham apa yang diajar semasa dalam kuliah.
Berkat
usaha gigih dan doa dari kedua orang tua, saya lulus subjek ini dan bersedia
untuk melangkah masuk ke semester seterusnya yang saya tahu ianya pasti
mencabar buat individu yang tidak punya asas seperti saya.
Semakin
naik semester, semakin saya jatuh cinta dengan bidang ini. Bukan setakat saya
dapat cedok ilmu daripada pensyarah yang sangat dalam ilmunya, malah saya juga dapat
belajar teknik-teknik perniagaan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat.
MasyaAllah.
Terasa sangat-sangat bersyukur dipilih oleh Allah untuk berada dalam bidang
ini.
Masih
tergiang-giang pesanan pensyarah, “kalian
belajar bidang ini bukan setakat mahu lulus peperiksaan, tetapi di bahu kalian
terpikul amanah. Ilmu ini mesti disebarkan kepada masyarakat. Masyarakat mesti
tahu cara untuk bermuamalat dengan betul dan benar”.
Aktiviti Persatuan dan Kelab.
“Ilmu, bukan
setakat dalam dewan kuliah”
Ungkapan
yang sering diucapkan oleh individu yang sangat aktif berpersatuan dan kelab
dan saya membenarkan kata-kata ini.
Jika
ilmu sangat diperlukan untuk memandu akal dalam membezakan antara yang haq dan
batil, pengalaman pula sangat diperlukan untuk menjadikan diri sebagai aset terpenting
kepada sesebuah organisasi . keduanya adalah guru terbaik dalam mengajar kita
erti sebuah kehidupan.
Melalui
sendiri kehidupan yang sangat sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti
kampus, ianya menjadikan diri semakin yakin melangkah ke hadapan. Belajar
menguruskan sesebuah program, seolah-olah sedang melatih diri menguruskan hidup
sendiri.
Teringat
kata-kata Ustaz Syaari Ab. Rahman dalam ceramah beliau, “sebelum saya terlibat dengan persatuan dan kelab, saya seorang yang
sukar untuk membuat keputusan dengan cepat. Ambil masa dalam dua hingga tiga
hari untuk membuat satu keputusan yang tepat. Melalui proses dalam aktiviti
persatuan dan kelab membuatkan saya dapat menilai dan membuat keputusan pada
masa itu juga”.
Saya
juga membenarkan kata-kata beliau. Sangat betul. Proses yang dilalui dalam
aktiviti berpersatuan sangat penting. Kita perlu belajar bagaimana untuk
membuat kertas kerja, mengendalikan mesyuarat, menguruskan program, berurusan
dengan pihak atasan, berhadapan dengan peserta program, cara berkomunikasi
dengan orang ramai dan banyak lagi.
Semua
ini tidak akan dapat hanya sekadar dalam buku dan dewan kuliah. Ianya hanya
akan diperolehi ketika kita menjadi ahli jawatankuasa dalam sebuah program atau
aktiviti. Kampus pengajian adalah tempat yang sesuai untuk kita dapat semua ini.
Aktiviti
berpersatuan bukan setakat mengajar kita untuk menguruskan program, malah turut
mengajar kita untuk menguruskan masa dengan baik. Seimbang antara akademik dan
kokurikulum.
Tamat Pengajian Empat Tahun.
Semasa
masih dalam pengajian, saya sering berharap dapat menjadi aset yang diperlukan
oleh ummah. Disebabkan itu saya berusaha semampunya untuk pelajari sebanyak
mungkin ilmu, pengalaman dan kemahiran sepanjang berada dalam tempoh pengajian.
Tatkala
itu saya sering katakan, mahu kembali segera ke tanah kelahiran sendiri dan
berjuang di tempat sendiri. Allah izinkan apa yang saya hajatkan dan itulah
yang sedang saya lalui sekarang setelah empat tahun berlalu.
Saya
membuat keputusan untuk bekerja sendiri supaya masa dapat diseimbangkan dengan
masyarakat. Bermula dari bawah dengan perniagaan yang diusahakan sendiri di
rumah dan secara online, kini perniagaan berkembang dengan mempunyai beberapa
orang staf dan butik sendiri. Alhamdulillah.
Bidadari
Solehah Enterprise (BSE) telah didaftarkan secara rasmi pada bulan September
dua tahun lepas. Dibawah BSE ditubuhkan pula satu skuad kebajikan yang cuba
menyalurkan bantuan dengan kadar segera melalui keuntungan dari perniagaan BSE
dan juga sumbangan orang ramai.
BSE
juga membuat usrah secara online iaitu Resepi Cinta Usrah yang mana usrah ini khusus
untuk wanita sahaja dan dilaksanakan sekali dalam satu minggu dengan mengupas
isu berkaitan wanita dan semasa.
Hampir
keseluruhan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang dipelajari dalam tempoh pengajian
dicurahkan atas apa yang saya lakukan kini dengan izin Allah s.w.t. dan inilah
hasil yang boleh dilihat depan mata atas apa yang saya usahakan selama dalam
tempoh pengajian.
Ada
yang pernah bertanya kepada saya, “Untuk
apa ijazah dan sijil kokurikulum yang diperolehi jika hanya disimpan dalam
fail?”.
Saya
senyum sambil berkata. “Ijazah dan sijil
kokurikulum yang saya ada sudah saya terjemahkan melalui Bidadari Solehah
Enterprise, Skuad Kebajikan dan Resepi Cinta Usrah”.
Sepanjang
tempoh empat tahun, masa dan tidur saya selalu tidak cukup. Terlalu banyak air
mata yang mengalir untuk tamatkan apa yang telah dimulakan. Sudah pelbagai rasa
yang dialami untuk berada pada keadaan sekarang.
Jika
kalian terasa lelah dan letih dengan apa yang bakal dihadapi sepanjang tempoh
pengajian ilmu di pusat pengajian, hasil ‘kelelahan’ itulah yang akan dihadapi
selepas tamat pengajian.
Apa
yang kita usahakan, itulah yang akan kita akan dapat. Tidak akan pernah rugi
manusia yang berusaha. Usaha tanpa doa, tempang. Doa tanpa usaha, lompang.
Jadi,
jangan pernah terfikir untuk mengalah dan berhenti dengan apa yang dilalui
kini. Setiap daripada kita ada peranan dan tanggungjawab untuk ummah.
Jangan
berhenti ketika berputus asa,
Tetapi berhentilah
ketika semuanya sudah selesai.
Jadilah aset
terpenting untuk ummah,
Supaya ummah
terasa ketiadaanmu nanti.
Allah Lebih
Tahu :)