Jumaat, 17 September 2010

Pengalaman PLKN


“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba Mu ini untuk terus menghirup udara Mu walaupun kadang-kala diri ini alpa dan lalai dalam mengingati Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Tetiba je teringat kenangan hampir 4 tahun yang lalu, iaitu pengalaman ana sewaktu menjalani Latihan Khidmat Negara di Kem Karisma, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Jadi teringat sebab ana tengok cerita sekumpulan remaja yang menjalani kehidupan sebagai pelatih PLKN pagi tadi.

Pabila melihat latihan yang mereka jalani, pembelajaran yang mereka pelajari dan kehidupan yang mereka lalui, ana jadi rindu. Mula teringat cikgu, jurulatih, komandor, dan sahabat-sahabat. Sesuatu pengalaman yang tidak mungkin dapat ana lupakan hingga kini.

Sewaktu PLKN mula diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak setuju. Ditambah pula dengan isu-isu yang sering dipaparkan di dada akhbar. Tapi, ana tetap teringin untuk jadi insan “terpilih” untuk menjalani latihan tersebut pabila sedikit sebanyak kehidupan di PLKN di siarkan di kaca televisyen.

Alhamdulillah…sebaik sahaja nama-nama pelatih yang bakal mengikuti PLKN di umumkan, nama ana tersenarai. Teringat lagi kata-kata umie ana waktu ana kata, “bestnya kalau dapat ikut…”, terus umie ana menyampuk, “tak payah nak berdoalah”. Hehehe….alih-alih dapat juga. rezeki ana sebab setiap satu keluarga, hanya seorang yang akan terpilih untuk ikutinya.

Abah agak keberatan pada mulanya memandangkan kesihatan ana juga tidak berapa mengizinkan dikala itu. Ditambah pula terlalu jauh, ana pula perempuan, dan tiada kawan yang dapat tempat yang sama dengan ana. Tapi ana nekad untuk pergi juga.

XXXXXXXXXXXXXXX

Segala persiapan untuk ke sana dibuat. Hari yang dinanti tiba, terasa sedih juga untuk tinggalkan keluarga. Maklumlah, 3 bulan disana tanpa ada waktu untuk pulang. Abah hantar ana ke tempat semua pelatih berkumpul mengikut lokasi yang ditetapkan.

Masih segar diingatan ana kala itu, ana pergi dengan memakai tudung labuh pink dan jubah warna maron. Ana tengok sekeliling, ana sorang je yang berbungkus macam tu….hehehe… Yang lain semua pakai seluar dan pakaian yang agak tidak menutup aurat. Ana buat tak tahu je walaupun ada mata yang memandang sinis…huhuhu.

Ana tiba di Kem Karisma sebelum subuh, semakin teruja pabila melihat beberapa orang askar lengkap berpakaian seragam tentera. Maklumlah, cita-cita zaman kecik-kecik dulu nak jadi tentera…hehehe… tak dapat jadi tentera pun tak pe, dah rasa sedikit kehidupan sebagai tentera….^_^

Selepas pendaftaran dibuat, kami semua dibahagikan kumpulan. Ana ditempatkan di company Bravo, ada cikgu yang bercanda. “waaa, ustazah….nanti ada kuliah subuh, kitaorang jemput ustazah la bagi tazkirah ye….”. Dengan selamba ana jawab, “boleh je….” (biarpun waktu tu mengeletar lutut…huhuhu)

Keesokan paginya, kami semua diberi pakaian beruniform. Sebaik keluar barisan untuk pergi makan, jurulatih yang menjaga kumpulan ana memanggil ana. Dia cakap,“saya nak bagitahu awak siap-siap, kat sini tudung kena masuk dalam baju dan kesemua latihan kat sini lasak-lasak…jadi, faham-fahamlah ye…”. Ana dah senyum dah, “cikgu, saya dah biasa…jangan risau…”

Dia pun balas balik, “owh…ya ka..bukan apa, dulu ada seorang yang macam awak. Pakai tudung labuh, tak boleh masuk tudung dalam baju, lepas tu tak boleh buat itu dan ini…” lagi ana nak tergelak.

Ana pun jawab balik, “tak pe cikgu, insyaAllah saya semua boleh…” ana tak cerita pun yang ana nie pernah join banyak kali perkhemahan waktu sekolah rendah, join pertandingan kawad kaki, dah banyak kali masuk hutan, malah umie dan abah ana penasihat Kadet Polis kat sekolah.

XXXXXXXXXXXXXXX

Memang benar, pergaulan amat bebas dimana-mana kem. Alhamdulillah, kat kem ana, Islam masih utuh walaupun ada jurulatih tidak memakai tudung. Ana takut juga iman dalam jiwa nie tak mampu bertahan. Alhamdulillah….keadaan lebih terjaga bilamana ana dilantik untuk menjadi AJK surau atau Ustazah bagi company Bravo.

Ana semakin seoronok menjalani latihan walaupun pada mulanya agak berat. Bangun seawal jam 5 pagi, sudah bersiap membersihkan diri dan solat subuh berjemaah di surau. Sebaik jam 6.30 pagi, kami berkumpul di padang kawad untuk mengambil laporan bagi setiap company, iaitu Alfa, Bravo, Charlie, dan Delta.

Terus terang ana cakap, ana memang sukakan pakaian seragam. Ana lebih gemar memakai baju celoreng (warna biru) berbanding baju lain walaupun kasut but tu berat…huhuhu.


Berbagai ilmu yang ana dapat. Pada waktu pagi, kami diberi latihan mental dan dikehendaki mengikuti kelas kenegaraan. Di situlah terpupuk semangat kerjasama antara kumpulan, mengasah bakat memimpin, menanam keyakinan diri dan tak kurang juga menyemai semangat cinta akan tanah air sendiri.

Pada sebelah petang pula, kami diberi latihan mental. Latihan kawad kaki, merentas halangan, berkayak, menembak, cara-cara untuk baca kompas dan persiapan untuk masuk hutan serta banyak lagi. Dalam masa yang sama, setiap minggu akan ada pertandingan bagi setiap company yang menguji kekreatifan mental iaitu berfikir untuk menyelesaikan tugasan juga ketahanan mental untuk menguji stamina.

Pernah satu ketika, kami semua diminta untuk berlari sejauh 2 @ 3 km dengan memakai kasut but. Semua tercengang waktu tu, tapi arahan telah dikeluarkan dan kami wajib melaksanakan. Mereka yang sakit dan ada penyakit diberi pelepasan tapi ana tetap teruskan sebab nak uji setakat mana kemampuan diri.

Terkejut juga, sebaik tamat berlari. Ana orang pertama yang sampai ke garisan penamat, tetapi ana duduk di tempat orang sakit berehat. Jadi, ana fikir tak siapa tahu ana sampai dulu.

Waktu nak masuk barisan semula, ada seorang kawan berbangsa India mengucapkan tahniah kepada ana. ana tanya kenapa, dan dia jawab, “sebab awak orang pertama yang sampai”. Ana hanya tersenyum. Kalaulah dia tahu yang ana pernah menang banyak kali pertandingan merentas desa, mesti dia tak ucap tahniah…hehehe

Bukan tak mau mengaku…tapi kalau mengaku, diminta pula join banyak pertandingan lain…huhu…

XXXXXXXXXXXXXXX

Cikgu yang pada mulanya tak yakin dengan ana sebab melihat penampilan ana tika kali pertama mendaftar sebagai pelatih PLKN mula menyokong dan sedaya upaya menjaga ana supaya tidak terjebak dengan hal yang tidak baik. Ada satu kes yang pernah terjadi di kem tu dulu bilamana ada seorang pelatih lelaki masuk ke penginapan perempuan dan tidur bersama tanpa disedari oleh rakan-rakan yang lain.

Sebab itu, tempat penginapan perempuan dipagar dengan zink dan dawai. Tapi ada jugak manusia yang korek tanah kat bawah zink untuk menyeludup masuk. Akhirnya berjaya ditangkap oleh jurulatih dan dihukum. Tiap kali ana mahu tidur, alunan ayat suci al-Quran meniti dibibir. Malah al-Quran menemani ana tidur, ana letakkan disebelah kepala. Memohon moga tiap saat dan ketika dilindungi oleh Allah s.w.t. dari  makhluk-makhluk yang berniat jahat terhadapku tidak kira yang nampak atau tak.

Ada satu kisah yang buat ana nak tergelak bila teringat. Hehehe…ada seorang sahabat berbangsa cina tanya ana, “you tak de rambut ke? Sebab I tak pernah nampak rambut you…”. Ana dah tergelak time tu. Tak pelik kalau dia beranggapan macam tu sebab hanya ana dan beberapa orang sahabat lain yang masih menjaga aurat dengan non-muslim.

Ada yang berkata itu adalah darurat. Tapi ana pula menganggap itu adalah ujian keimanan. Walaupun satu bilik dengan non-muslim, tudung tetap ana pakai termasuk waktu nak tidur. Paling mudah, ana pakai kain tuala. Memang pada mulanya agak sukar, tapi ana cuba dan hasilnya…Alhamdulillah…

Itu jugaklah membuatkan cikgu yang tidak yakin dengan ana pada mulanya bagitahu ana, “saya semakin kagum dengan kamu, tak sangka orang seperti kamu lebih hebat dan menonjol dari yang lain. Hampir kesemua pertandingan kamu masuk, juga tetap istiqomah dengan apa yang kamu pegang”.

Jujur ana katakan, usah kerna mahu ikut keadaan semasa, kita menggadai kepercayaan dan pegangan kita. Usah kerna tidak mahu kita diejek, dihina, dan dikritik, kita meninggalkan kesemua atau sebahagian syariat Islam. Usah kerna mahu menghiburkan atau menyenangkan hati orang lain atau mengikut undang-undang yang tidak mengikut syariat Islam kita pertaruhkan dan menggadaikan agama kita..!

XXXXXXXXXXXXXXX

Ana tidak sempat menamatkan latihan mengikut tarikh yang ditetapkan kerna mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat Matrikulasi. Ana tidak sempat masuk hutan seperti yang lain. Tapi bersyukur kerna berpeluang untuk belajar menembak. Kali pertama menyentuh senjata asli iaitu M-16 seberat 2.5kg juga peluru hidup.

Sebaik tamat latihan menembak di kem tentera. Kesemua pelatih pulang, keesokkannya bahu masing-masing lebam termasuk ana…hehehe… Mana taknya, senjata tu berat. Tiap kali das tembakan dilepaskan, bahu yang akan menahan dibelakangnya. Bukan sekali, berkali-kali. Dah namanya perempuan, lembut sangat…hehehe.

Ana letak gambar ana pegang senjata M-16 dan lengkap berpakaian seragam celoreng dalam frame. Macam tentera pulak…hehehe, gelaran wirawati diabadikan dalam kenangan. Ada seorang pak sedara ana tanya, “kak ngah, gambar dalam frame tu kak ngah ke?”

Ana jawab, “a’aa..kenape?”.

Dia sambung lagi, “senjata betul ke tu?”

Ana tersenyum, “yup…”. Dalam hati ana cakap,“ingat orang pakai tudung labuh duk kat masjid je ka…huhuhu”

XXXXXXXXXXXXXXX

Selepas ana tamat latihan dan tahun berikutnya. Beberapa orang sepupu ana turut diwajibkan mengikuti PLKN. Pak dan mak sedara ana risau kat anak-anak dia. Ana pun cakaplah, “berilah dia peluang untuk menguji setakat mana kekuatan iman yang dimilikinya juga untuk melihat bagaimana hasil didikkan yang diberikan selama ini. insyaAllah banyak manfaatnya sebab kak ngah dah laluinya….”

Jadi….kepada adik-adik yang bakal mengikuti PLKN atau teringin untuk merasai pengalaman PLKN. Ingatlah Allah s.w.t. selalu…bahawa….Dia Maha Melihat. Kekuatan mu bukan terletak pada fizikal dan mentalmu tetapi terletak pada keimanan dan ketakwaan dalam jiwa mu kepada Allah s.w.t.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)
blog comments powered by Disqus