Ahad, 22 Mei 2011

Jaga Diri, Hiasi Peribadi

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini, hanya padamu ku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat ku rindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi kesempatan kepada hamba ini untuk terus istiqomah dalam menulis. Akhirnya hari itu tiba untuk ku ukirkan coretan maya ini buat “mereka”, insan yang hadir bersama-sama mengukir pelangi dalam hidupku. Sudah lama ana pendam hasrat untuk menulis tentang “mereka” dan hari itu tiba jua.

Kami dipertemukan dengan penuh hikmah dan yang pastinya dengan izin dari Allah s.w.t…Masih ana ingat saat kali pertama kami bertemu. Selesai solat berjemaah dan sedikit santapan rohani, ana berjalan ke pintu surau seperti kebiasaan. Takkala memegang tombol dan mahu keluar, terdengar suara dari arah belakang.

Lalu ana berpaling dan menghadap mereka, “erm…akak ada masa tak? Boleh ajar kami mengaji al-Quran?”. Allahuakbar, terkedu seketika dan seperti selalu, ana tersenyum dan berkata, “InsyaAllah boleh dik, nanti akak bagitahu kemudian bila nak buat ye…”.

Maka bermulalah episod perjalanan hidup ana dan adik-adik usrah pada semester ini. Ku ajar mereka mengenali Allah s.w.t., mengaji al-quran, tentang solat, fiqh wanita, tentang rukun usrah, dan ilmu kehidupan disamping mendengar luahan hati mereka.

Sejujurnya, ana seringkali memanjatkan doa kepada Allah s.w.t. supaya diberi pengganti yang bakal menyambung perjuanganku di sini. Sebelum ini ana sudah ada adik-adik usrah tetapi tidak kekal lama kerna ana tidak mampu untuk istiqomah dalam menyentuh hati-hati mereka dan berhenti sekerat jalan.

Tetapi mereka hadir tanpa ana cari dan minta mereka untuk datang kerna mereka sendiri yang mencari ana. Alhamdulillah adik-adik faham kakaknya ini bagaimana, kadang-kala ana lupa dan sibuk dengan urusan akdemik dan da’wah.

Akan ada dikalangan mereka yang mengetuk pintu bilikku dan bertanya, “akak, hari nie ada usrah tak?”. Terus ku mengetap bibir dan bermonolog sendiri, “aishh…lupa lagi…”. Lalu ku katakan kepada mereka, “InsyaAllah ada dik, bagitahu yang lain juga ye…”.

Tidak kurang juga ada yang bertanya melalui mesej di telefon atau bertanya melalui facebook. Allahuakbar…takkala solat berjemaah dengan mereka, dalam sujudku dan sebelum salam, ku berdoa moga Allah jaga mereka, beri mereka kekuatan untuk berhijrah kerna ana takut tidak amanah seperti yang terjadi kepada adik-adik usrah sebelum nie yang diamanahkan oleh Pusat Islam UUM.

Dek terlalu sibuk dengan urusan akademik dan da’wah kampus, ana lupa untuk mengisi masa mereka semua…maafkan akak, adik-adik. Dan Alhamdulillah Allah hadirkan mereka pula untuk bersama-sama denganku. Ku berdoa moga dipertemu dengan adik-adik yang mencari ana dan bukan ana yang mencari adik-adik.

Kerna bagi ana, orang yang mencari akan kekal lama berbanding dengan menunggu dicari, begitulah prinsip hidup ana. Dan adik-adik usrah ana kini adalah insan yang mencari. Mereka mengerti yang kakaknya ini begitu sibuk dengan urusan lain dan tidak lekat di bilik, jika ada pun pasti sudah “pengsan” kerna keletihan.

Yang membuatkan ana sebak bilamana sedang berusrah dengan mereka, ada salah seorang yang berkata, “akak…bila akak dah habis belajar nanti, siapa yang nak jaga kami plak…”. katanya sambil air matanya sudah bertakung di kelopak mata.

Ana terkedu sambil menahan sebak. Ana mengerti mereka takut hanyut dan terpaut dengan nikmat duniawi semata-mata, takut sekiranya nafsu menguasai diri dan lupa kepada yang Maha Pencipta. “tak mengapa dik, pasti akan ada pengganti akak…Allah s.w.t. kan ada, mohonlah padaNya..”.

Ia…semester depan adalah semester akhir ana jika DIA izinkan, insyaAllah. Dan juga semester akhir ana untuk sama-sama berusrah dengan mereka. Kerna itu ana mula buatkan mereka kenal Pusat Islam, pengawai dan staf Pusat Islam disamping program-program yang dianjurkan.

Ana mampu menjaga diri dan istiqomah hingga kini kerna sentiasa berada dalam biah solehah dan pantauan oleh ustaz dan ustazah di Pusat Islam yang sentiasa memberi tazkirah dan nasihat. Ana juga mahu mereka merasai semua itu. InsyaAllah…

Sewaktu keluar dari kampus, ana singgah di pusat beli belah. Terdetik dihati untuk membeli sesuatu untuk adik-adik. Murah dan simple sahaja, dan alhamdulillah…syukur padaNya. Hadiah tersebut menjadi begitu mahal dan berharga di mata mereka. Terharu ana dibuatnya.



Sebaik sahaja keronsang berbentuk bunga berada di tangan mereka, ana pun berkata, “jagalah baik-baik bunga nie, ianya diibaratkan seperti kita iaitu seorang wanita yang terjaga maruah dan kehormatannya. Usah biarkan tangan-tangan kotor menyentuhnya melainkan insan terpilih sahaja yang dapat memegangnya…”

Setelah itu ada yang berkata, “kalau macam tu, saya nak letak dalam bekas kacalah…tak pun letak dalam plastik dan simpan baik-baik dalam almari…”. Ana tersenyum mendengarnya kerna mereka mengerti maksud di sebalik pemberian ana buat mereka.

Takkala ada adik lain yang memegang bunga selain dari miliknya, tangannya ditampar oleh pemilik bunga tersebut, “aipp…mana boleh sentuh, tangan tu kotor…hehe”. Akhirnya kami sama-sama ketawa dengan keletah masing-masing.

Semalam, ada yang sudah berangkat pulang ke rumah dan ku titipkan pesanan yang cukup ringkas sahaja buatnya, “jaga bunga tu baik-baik ye…(“,)”. Lalu dia membalasnya, “ia kak…jaga sokmo..hehe”.

Cuti semester yang begitu lama dan panjang nanti, pasti ana akan merindui mereka semua. Apa pun, lakukanlah aktiviti yang berfaedah. Jika dipanjangkan umur dan masih ada waktu, InsyaAllah kita akan bertemu lagi di semester hadapan. Maka, akak titipkan pesanan buat kalian semua…

.::JaGa DiRi, HiaSi PeRiBaDi::.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus