Khamis, 24 Februari 2011

Da’wah Selembut Air

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi hamba ini peluang dan kesempatan untuk menghirup udara Mu. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menulis. Mungkin ini adalah artikel terakhir untuk bulan ini dan diari ini mungkin juga tidak akan diupdate untuk beberapa ketika kerna ana ada program di luar kampus dan acara di peringkat Universiti.  Doakan semoga segala urusan ana dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Sudah lama hati berniat untuk menulis artikel ini, namun ditangguhkan sehingga jamuan bersama aktivis da’wah yang turun ke lapangan pada tempoh hari berlalu. Ana mahu mendengar pengalaman dari aktivis yang baru pertama kali berdepan dengan masyarakat dan juga nasihat dari penasihat program.

Dua hari lepas, sebelum jamuan makan malam bermula, beberapa perkongsian dari ustaz dan sahabat membuka lagi minda ana tentang da’wah. Ana tertarik dengan kata-kata ustaz takkala beliau memberikan ucapan.

“untuk berda’wah perlu ada seni.  Orang yang sudah biasa turun bersama masyarakat sekeliling akan memperolehi seni dalam berda’wah”

Ana akui kebenarannya. Seni inilah yang membuatkan mad’u atau sasaran yang kita temui terasa selesa dengan kita dan bukan terasa marah dengan kata-kata kita. Takkala ana berkata ana tahu dan boleh memberi pandangan kepada mereka yang memerlukan bantuan, tidak bermaksud ana hebat. Tapi kerna ana sudah biasa dengan situasi tersebut. Bahasa mudahnya adalah pengalaman.

Tidak semua orang boleh menerima nasihat”. Kata seorang sahabat suatu ketika dahulu. Hati terdetik dan akal berfikir,“benar, namun adakah kita fikir seni dan kaedah supaya orang yang ingin kita nasihati itu dengar dan terima teguran kita?”.

Persoalan yang sering bermain di fikiran ana, “bagaimana untuk membuatkan aku begitu mudah untuk masuk dengan kelompok tertentu dan mereka menerima cara aku memberi nasihat kepada mereka?”

Lalu ana teringat kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat, “akak respect dengan pendekatan dia terhadap mad’u. Masa keluar pergi beli barang hari tu, dia nampak beberapa budak lelaki yang tengah melepak depan 7 Eleven. Dia pun pergi dekat dengannya dan bertanya, “err…dik, jam pukul berapa ye?”. Walaupun kat tangan dia sudah ada jam tangan. Selepas itu, dengan mudah dia dapat bergaul mesra dengan kelompok tu.”

Tidak kurang juga ada yang terus menghentam dan menghukum mad’u secara terus tanpa menggunakan teknik dan pendekatan yang betul. Dalam keadaan salam dan senyuman tidak dihulurkan terlebih dahulu, kemungkinan da’ie tadi bakal diherdik kembali atau kita akan jadi penyebab kepada mereka untuk semakin jauh dengan Allah s.w.t…Nauzubillah..

Keadaan seperti itu dikongsi sendiri oleh seorang aktivis yang turun lapangan pada operasi tempoh hari,“kumpulan ana mendekati beberapa individu namun mereka seolah-olah membenci kami sebab sebelum kumpulan ana sampai, kumpulan yang lain sudah pun mendekati mereka dan seolah-oleh memarahi mereka dengan bahasa yang agak kasar”
 
Alhamdulillah, setelah aktivis dan beberapa orang sahabat tadi berlembut dan menggunakan kaedah yang dipelajari, mereka menjadi tenang dan mesra dengan aktivis tersebut.

Ana tersenyum takkala mendengar perkongsian darinya. “takkala hati timbul perasaan riak, itulah yang terjadi.” . Tiada keikhlasan dalam menegur, terasa diri sudah cukup bagus dan baik sehingga memandang orang lain itu begitu hina dimatanya.

“Begitu riak sekali hatimu, begitu angkuh sekali berbicara dalam menegur orang lain. Berda’wahlah dengan penuh hikmah, usah mencaci dan mengutuk perilakunya. Takkala Allah s.w.t. menarik kembali nikmat hidayah dan dirimu berada dalam keadaan iman yang lemah, baru dirimu mengerti akan kesilapanmu”

Kebanyakan mereka yang ana bawa turun, sudah ana titipkan pesanan sebelum masing-masing bergerak ke destinasi yang dituju. “ana mahu ingatkan kepada sahabat-sahabat sekalian, takkala bertemu dengan mereka-mereka ini. Tegurlah kerna kamu sayang kepadanya dan usahlah menegur kerna kamu punya ilmu”

Kenapa ana berpesan sedemikian? Pengalaman ana takkala melihat aktivis yang baru pertama kali turun ke lapangan, mereka akan terus menghukum berdasarkan ilmu yang mereka ada “eh, engkau tahu tak duduk berdua-duaan macam nie haram!”.

Tetapi sekiranya kita sayang kepadanya dan kita tidak mahu dia terus bergelumang dengan maksiat, kita akan menasihatinya dengan selembut air seperti kita menegur ibu bapa kita yang melakukan kesilapan. Cuba renungkan, adakah sahabat mahu ditegur atau dinasihati dengan selembut air atau diherdik dengan sekeras batu?

Fitrah manusia sukakan kelembutan. Jadi, berlembutlah…kita tidak rugi apa pun sekiranya berlembut. Gunalah pendekatan dan kaedah yang bagaimana, pastikan ianya dalam keadaan lembut dan berhikmah serta di susuli dengan hati yang penuh keikhlasan kepada Allah s.w.t.

Ana katakan da’wah selembut air kerna ana tertarik dengan pendekatan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sewaktu beliau menggendalikan Kem Hijri 1431 anjuran SaifulIslam Training & Consultancy. Dalam kem tersebut beliau menerang konsep “Kuasa Air” dalam artikelnya Batu Berlaga Air.

“Air adalah juara ke atas batu. Kepala batu, hati batu, batu api, segala benda keras yang dikaitkan dengan batu, kalah dengan air. Malah batu tenggelam kepada air.

Hebatnya kuasa air, malah air diperlukan begitu banyak dalam badan manusia. Cuba kalian menghentak tangan di atas permukaan air, pasti air itu akan berkocak kan? Tetapi air itu akan kembali tenang dan terus melangkah seolah-olah cacian atau makian yang diberikan tidak memberi kesan kepada sang da’ie.

Jika kita meletak tangan didalam air, kita akan merasai kelembutannya yang meresap ke dalam badan kita dan membuatkan kita merasai ketenangan. Takkala berdepan dengan mad’u, dahulukan salam dan senyuman. Takkala berbicara dahulukan kemanisan dan ganjaran pahala sebelum azab dari Allah s.w.t.

Tidak semua orang mampu laksanakan gerak kerja da’wah ini. Namun, cubalah laksanakan sebaik mungkin…Kerna Kita Bersaudara.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)

Isnin, 21 Februari 2011

Sabun Zikrullah

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman & Islam yang tidak terbanding dengan segala isi dunia. Moga Engkau redha diri ini menjadi hamba Mu. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerna masih memberikan keizinan kepada hamba ini untuk terus menulis, moga segala nukilan yang dipaparkan dalam diari ini memberi manfaat buat kita bersama…insyaAllah…

Mungkin ada dikalangan pembaca sudah dapat mengagak apa yang mahu ana kongsikan setelah membaca tajuk yang disiarkan. Sekadar untuk muhasabah bersama, semoga dengan apa yang ana nukilkan ini, mampu mendekatkan kita kepada Yang Maha Agung.

 “usah berlagak hebat sekiranya nafsu mu sendiri tidak mampu ditundukkan”

Kata-kata yang terbit dari lubuk hati untuk muhasabah dan koreksi diri. Nafsu itu ada pada setiap manusia. Tidak mampu dilihat, di dengar, di pegang…namun dapat dirasai kehadirannya.

Takkala melihat insan lain berada lebih kehadapan dari kita. Hati dilanda cemburu, maka mulalah nafsu memulakan langkahnya. Bisikan demi bisikan kedengaran di cuping telinga kita, mencuba sedayanya untuk menimbulkan rasa dengki dan iri hati kepada insan tersebut.

Lalu, berlakulah sesuatu yang membuatkan syaitan laknatullah bertepuk tangan dan bersorak riang. Ukhuwah yang dibina atas dasar akidah dicemari dengan mengumpat dan mencaci maki antara satu sama lain. Hanya dengan membasuh dan mencuci hati dengan sabun zikrullah mampu membersihkan “kotoran” bisikan nafsu tersebut.

“mata yang tidak ditunduk pandangannya, hatinya tiada nilai”

Mata yang tidak dijaga penglihatannya dari melihat perkara-perkara maksiat akan membuatkan hatinya tidak keruan. Hal ini kerna bayangan perkara-perkara itu disukai oleh nafsu. Maka dengan mudah, nafsu menjalankan misinya untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t….

Takkala memejam mata, bayangan tersebut datang menjelma hingga membuatkan diri kita tidak senang duduk. Namun, kotoran-kotoran bayangan tersebut dapat dibasuh dan dicuci dengan sabun zikrullah.

“Dengan mengingati Allah, hati itu akan menjadi tenang…”

Hati yang sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t. akan sentiasa dalam keadaan tenang. Takkala ditimpa musibah, bencana, ujian dan dugaan hidup, zikrullah adalah penenangnya. Itulah hebatnya Islam, sentiasa ada solusi dan jalan buat umatnya.

XXXXXXXXXXXXXXX

Itu adalah sedikit perumpamaan yang dapat ana kupas mengikut pengalaman yang ana lalui sendiri. Lihatlah betapa kreatifnya syaitan laknatullah dan betapa liciknya nafsu. Mengambil peluang dan kesempatan terhadap diri kita dalam diam tanpa kita sedari.

Untuk berlawan dengan nafsu ini bukanlah mudah kerna itu ia dikategorikan sebagai suatu jihad. Seorang pejuang Islam yang begitu tangkas dan handal di medan peperangan, belum tentu dapat mengalahkan nafsunya sepertimana dia mengalahkan musuhnya.

Kerna itu, kita perlu mendidik nafsu ini dari dia kecil sebelum menjadi semakin besar dan susah untuk dilenturkan. Ibarat seperti mendidik anak kecil. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Anak kecil yang sudah dididik untuk kenal Allah s.w.t. dan RasulNya serta diajar tentang syariat Islam sejak dari kecil akan menjadi anak yang soleh dan solehah, insyaAllah. Namun, dia perlu diperhati dan diawasi oleh ibubapanya sewaktu dia dalam tempoh kanak-kanak, remaja dan dewasa supaya tidak terjebak dengan anasir-anasir jahat.

Begitu juga dengan nafsu, untuk melentur dan mendidiknya perlu mengambil masa dan tempoh yang begitu lama. Dalam tempoh tersebut perlu berjaga-jaga supaya nafsu tidak ada peluang untuk menjauhkan kita daripada Allah s.w.t dengan cara mujahadah.

“Ketahuilah bahawa nafsu yang jahat itu apabila dikikis dan dicuci dengan sabun zikir kepada Allah taala dan diberus dengan berus tembaga mujahadah dan ikhlas kepada Allah taala serta dipandu dan dipimpin pula oleh guru yang ahli, maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat karat kejahatan nafsu…”

Ayat ini begitu ringkas namun jika direnung dan ditafsir sedalamnya, ia punya maksud yang begitu banyak. Seringkali kita mendengar orang bercakap tentang nafsu, namun berapa ramai yang benar-benar mengerti tentang “perjuangannya” yang cuba untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t..

Sabun zikrullah ini tidak dijual di mana-mana pasaran hatta di seluruh dunia sekalipun kerna setiap mereka yang bergelar Muslim memiliki sabun ini namun begitu jarang sekali digunakan. Jika kita boleh mendengar dan mendendangkan lagu, kenapa begitu sukar sekali untuk kita berzikir kepada Allah s.w.t.?

Seringkali ana tulis dalam artikel yang sebelumnya, “tepuk dada dan tanya SIAPA aku”. Tanya diri kita, kita ini siapa? Kita ini hamba kepada al-Malik, pemilik segala isi dunia dan akhirat. Lalu…kenapa kita sering menjadi hamba kepada perkara lain?

Apabila diri hanyut dalam zikrullah, hati itu terarah pada akhirat kerna dia sentiasa merasai kehadiran Yang Maha Hebat dalam dirinya. Itu dapat menggerunkan nafsu untuk bertapak dalam hatinya. Membuat kita sedar betapa banyaknya dosa yang kita buat kepada DIA.

XXXXXXXXXXXXXXX

Takkala merenung jauh ke dalam diri, muhasabah dan koreksi diri….hati bermonolog sendiri, “Ya Allah…diri ini terlalu banyak dosa kepada Mu…banyak sekali Ya Allah…namun Engkau tetap kurniakan nikmat kepada hamba ini…”

Takkala memandang isi dunia, melihat mereka ketawa dan bergurau senda tanpa mengira waktu. Hati ini menangis, “Ya Allah…aku kasihan melihat mereka yang jauh sekali dari Mu, berikanlah diri mereka hidayah dan jauhkanlah diri ini dari sikap yang lalai kepada Mu…”

Duduk di satu sudut dan jawablah pertanyaan ini kepada diri sendiri dengan seikhlasnya….“Mahu dunia atau akhirat?”.



JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)

Jumaat, 18 Februari 2011

Dunia Blogger

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”


Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini, hanya kepada Mu daku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang teramat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah…akhirnya punya waktu dan kesempatan untuk menulis. Moga diri ini sentiasa di beri kekuatan dan istiqomah untuk menulis…insyaAllah…

Perkongsian yang berbentuk santai sahaja buat para pembaca sekalian. Mungkin ada pembaca yang sudah dapat meneka apa yang bakal ana nukilkan dalam artikel kali ini takkala membaca tajuk artikel kali ini…(^_^)

Hampir satu tahun lebih ana mengenali dunia blogger, itupun setelah ana punya blog sendiri. Keinginan untuk punya blog sendiri hadir membuak-buak setelah melihat ada sahabat-sahabat ana punya blog sendiri. Namun, setelah punya blog sendiri. Ianya tidak semudah yang digambarkan.

Ana teringat kata-kata adik junior, “kak…lepas saya ada blog sendiri, baru saya tahu betapa sukarnya untuk menulis. Sebab untuk menulis perlukan ilmu dan rujukan.”

Ana akui kebenarannya. Kerna itu ana begitu kagum dengan blogger yang mampu istiqomah dan menulis hasil dari ideanya yang asli tanpa dicedok atau dicopy and paste dari orang lain. Sebab ianya bukan mudah. Namun, ana hargai blogger yang cuba sedayanya untuk mengumpul bahan-bahan dari orang lain dan berkongsi di blog sendiri.

Semalam, sedang asyik menunggu pegawai dan staf kolej datang membuat pemeriksaan di setiap bilik, ana TERlena akibat terlalu letih..hehe… sebaik sahaja sedar, keinginan untuk menziarahi blog orang lain datang menjelma.

Selalunya ana punya waktu untuk mengembara ke blog orang lain. Samaada yang ada terpapar di sisi blog ana atau orang lain. Satu persatu ana selak dan baca, follow dan tinggalkan komen. Kadang-kala ana tersenyum sendiri, tidak kurang juga diri di muhasabah selepas membaca penulisan orang lain.

Ana panjatkan doa kepada Allah s.w.t. supaya blogger yang ana lawati terus istiqomah dalam menulis. Ana akui, penulis blog Islamic begitu banyak ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Namun, berapa ramai yang mampu istiqomah?

Takkala menziarahi blog yang sudah ditinggalkan berbulan-bulan, hati bermonolog sendiri,“Ya Allah…berilah diri ini kekuatan untuk terus istiqomah dalam menulis”.

Melihatkan jadual harian, mingguan dan bulanan. Mungkin ana tidak akan punya ruang dan waktu untuk menulis seperti sebelumnya. Namun, takkala melihat pengunjung yang makin meningkat dan ada pula yang memberi mesej supaya segera diupdate, hati tidak sanggup membiarkan blog ini sepi tanpa apa-apa artikel.

Ana begitu menghargai pengunjung yang sudi meluangkan masa dan membaca coretan yang tidak seberapa ini. Kadang-kala hati begitu teringin untuk kenal dengan pembaca yang membaca nukilan yang ana coretkan. Ana tahu ada silent reader yang sentiasa ikuti setiap artikel yang dipost dalam diari nie.

Sewaktu cuti sempena Tahun Baru Cina baru-baru nie, ana mahu buat satu artikel dan program khas untuk pembaca. Namun, takut tidak mampu untuk teruskan perancangan tersebut, ana tangguh dahulu niat tersebut. Moga Allah s.w.t. izinkan dan permudahkan urusan tersebut setelah ana cuti akhir semester nanti. Doa-doakan ye…(^_^).

Bukan apa…apabila ana sudah pulang ke kampus, amanah dan kepercayaan yang telah diberikan membuatkan ana tidak punya banyak waktu untuk diri sendiri. Kadang-kala ada sahabat yang tegur dan bagi nasihat walaupun nasihat tersebut ibarat mencurah air ke daun keladi…hehe

“kerja, kerja jugak…kesihatan tu kena jaga…” . Respon ana hanya senyum sahaja…macam nie…(◕‿◕)hehe…

Seperti yang ana nukilkan dalam artikel “diari kehidupanku”, terlalu banyak hikmah yang ana perolehi takkala mula berjinak-jinak dengan dunia blogger. Antara yang paling ana hargai adalah punya ramai teman maya. Walaupun tidak pernah bersua, namun mampu melahirkan rasa ukhuwah sesama Islam.

Ada juga yang meminta nombor telefon untuk kenal ana dengan lebih dekat. Ana berikan sahaja setelah memberitahu hal yang sebenarnya, “kalau lambat balas tu, faham-fahamlah ye…hehe”. Ana jadikan blog dan Facebook sebagai medan untuk bersosial dengan masyarakat yang lain, manakala HP pula ana jadikan sebagai medan untuk urusan program da’wah dan akademik.

Lagipun ana lebih gemar berbual dengan rakan maya melalui facebook atau YM sebab ianya kekal. Tetapi HP pula, ana terpaksa delete mesej tersebut supaya mesej yang lain dapat masuk. Alhamdulillah kebanyakannya mengerti…syukur pada Allah s.w.t…(^_^)

Terus terang ana katakan, kadang-kala umie ana sendiri pun kecil hati sebab ana jarang telefon. Bukan tidak ingat, cuma kadang-kala pabila sudah terlalu sibuk, jadi terlupa. Sempat juga umie ana menyindir, “telefon nie sebab bagitahu nak exam la tu…kalau tak, tak telefon…” maaf ye umie sayang, ingat sokmo…cuma kadang-kala terlupa…hehe

Ana juga mahu mohon maaf sekiranya ada komen yang lambat balas atau tidak berkesempatan untuk ziarah kembali blog yang meninggalkan komen di shoutbox. Ana akan ziarah dan balas komen tersebut, insyaAllah…Cuma samaada cepat atau lambat sahaja.

Jadi, sudi-sudilah tinggalkan komen di mana-mana artikel dan shoutbox serta tinggalkan link untuk ana ziarah kembali ye. Bagi yang tidak punya blog juga boleh komen kerna ana sudah mengubah system di blog nie supaya yang tidak punya blog juga boleh komen dimana-mana artikel…(^_^).

Wassalam…•● Ƹ̵̡Óœ̵̨̄Æ·



JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,) 

Selasa, 15 Februari 2011

Operasi Sayangi Remaja (Valentine Day 2011)

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman dan Islam ini, hanya kepada Mu daku bersujud. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam yang teramat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, di pagi yang cukup tenang. Ana dan sahabat baru sahaja pulang dari menyertai Operasi Sayangi Remaja (Valentine Day 2010) di Penang anjuran Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS). Malam yang  mengingatkan detik kelahiran Manusia Agung pada tanggal 12 Rabiulawal. Subhanallah…

Namun, di kala itu ada krisis antara dunia dan akhirat (Valentine Day VS Maulidur Rasul). Jadi, kami mengambil inisiatif untuk turun lapangan mendekati masyarakat awam dengan membawa kaedah dan cara untuk menyedarkan dan mengembalikan mereka ke jalan kebenaran.

Hari Valentine Day adalah hari yang sememangnya kita tahu sebagai hari kekasih buat pasangan bercinta, namun Majlis Fatwa Kebangsaaan telah menetapkan bahawa haram menyambut hari tersebut.

Ia juga merupakan salah satu hari “mengawan” selain Malam Tahun Baru dan Malam Kemerdekaan kerna kajian telah dibuat menunjukkan bahawa setelah 9 bulan kemudian, pasti akan ada kes pembuangan bayi di merata-rata tempat.


Kami bertolak dari UUM ke Penang selepas asar dan sampai setelah waktu isya’. Sedikit demi sedikit aktivis da’wah mula memenuhi Surau Taman Tun Dr. Awang. Takkala taklimat berkaitan operasi berlangsung, hujan rahmat dari Allah s.w.t. membasahi bumi.

Ketika Pendaftaran & Taklimat Operasi

Namun itu tidak sedikit pun mematahkan semangat kami untuk tetap turun ke lapangan.  Setelah hampir dua jam lebih berkongsi ilmu, pengalaman dan teknik untuk mendekati masyarakat yang disampaikan oleh urusetia, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Antara keratan akhbar yang dikumpul oleh Kaunselor

Kebanyakan aktivis da’wah yang hadir adalah dari kalangan Mahasiswa/siswi IPTA sekitar Utara Malaysia seperti USM, UUM, IPG Penang, dan Kolej Insaniah. Antara yang membuat ana terkesan di hati adalah takkala melihat insan ini memberi ucapan.

Beliau Meningatkan ana pada Sheikh Ahmed Yassin

Insan yang berkerusi roda namun punya jiwa yang kental. Beliau sudah banyak kali turun ke lapangan mendekati masyarakat.  Walaupun berkerus roda, itu bukan penghalang buatnya. Namun, bagaimana pula dengan kita yang masih punya kudrat dan upaya?

Dia menyatakan statistic pembuangan bayi, penzinaan, khalwat, rempit dan banyak lagi yang semakin meningkat setiap detik, waktu, saat dan ketika. “lihatlah, statistic ini akan terus meningkat sekiranya tidak ada inisiatif dari umat Islam untuk turun ke lapangan mendekati masyarakat yang semakin jauh dari kehidupan Islam yang sebenar”.

Beliau menamatkan ucapannya dengan laungan Takbir. Setelah bacaan doa dialunkan, kami memulakan misi dan operasi dengan menuju ke kawasan yang sudah ditetapkan. Kumpulan ana bergerak di tepi pantai dan berjalan menuju ke R&R.

Di tepi pantai, kelihatan ada orang sedang memancing ikan.

Kebanyakan yang ada di sekitar pantai adalah kaki pancing yang suka memancing ikan. Sempat juga ana berbual dengan sebuah keluarga yang turut memancing di situ. “selalunya malam hujung minggu ramailah orang dekat sini, penuh kawasan nie dengan orang yang datang untuk memancing ikan . Lepas tu ada la juga muda mudi yang dating dengan pasangan. Semalam ada buat operasi dekat sini, ada la beberapa orang yang kena tangkap”.

Selepas meminta diri, kami meneruskan perjalanan. Tugas kami adalah untuk memberi nasihat, pesanan dan peringatan. Bukan untuk menangkap atau menghukum seseorang walaupun ketika itu dia sedang melakukan maksiat.

Sedang dalam perjalanan, ana terjumpa sebotol arak. Seperti sudah lama ditinggalkan, lalu ana tunjukkan kepada beberapa aktivis yang baru kali pertama turun ke lapangan untuk kenalpasti jenis arak yang selalu di minum oleh orang Melayu.

Botol arak yang ditemui

Arak ini berjenama MARTIN dan mengandungi 40% alcohol. Tidak tertulis pula di mana arak ini dibuat. Ini kali pertama ana jumpa botol arak jenama MARTIN, agak berbeza dari yang pernah ana jumpa sewaktu turun lapangan di sekitar kedah.

Dan ana juga tidak pasti samaada arak ini diminum oleh bangsa mana. Aktivis da’wah yang turun ke lapangan selalunya akan mencatat segala barang atau benda yang dijumpai untuk membuat kajian. Ana pernah jumpa botol arak yang masih baru dan masih ada isi di dalamnya. Baunya memang agak masam dan kuat.

Setelah itu, kami sampai di sekitar R&R. Begitu ramai sekali pengunjung yang datang walaupun baru lepas hujan. Ana melihat gelagat dan perwatakan pengunjung yang ada di situ. Kadang-kala bunyi bising motor yang datang dari golongan rempit
.
Kami mula mencari mad’u (sasaran) untuk di dekati. Walaupun sudah banyak kali turun ke lapangan, pengalaman yang diperolehi tetap berbeza. Ana tersenyum sendiri melihat aktivis da’wah yang “malu-malu” untuk mendekati mad’u…hehe

Ana juga begitu takkala turun buat kali pertama dua tahun yang lalu. “ramai la kat situ, jom la pergi sekali…malu la…hehe”. Ana gelak, namun itu adalah perkara biasa. Akhirnya, ana melihat aktivis yang malu pada mulanya sudah boleh mendekati mad’u dan masuk ke kelompok tertentu dengan mudah. Dia pula yang teruja untuk dekat dengan mereka. Alhamdulillah…

Hikmah yang begitu hebat dari Yang Maha Agung. Kami mendekati seorang perempuan yang lebih selesa dipanggil angah. Rupanya dia punya masalah tersendiri. Takkala kami mendekatinya, dia takut-takut dan menyangka kami ini dari Jabatan Penguatkuasa yang datang membuat operasi tangkapan.

Namun, setelah menggunakan kaedah dan teknik yang di pelajari, dia mula selesa dengan kami. Malah menceritakan masalah yang dihadapi sehingga dia menitiskan air mata. Itu mengambarkan bahawa dia sememangnya memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan dan masalah yang sedang dihadapi.

Bersama dengan angah, mendengar luahan hatinya.

Sebaik sahaja dia tenang. Dia bertanya kepada ana, “asma’…ada tak apa-apa doa untuk atasi masalah nie?”. Ana mula tersenyum. Angah sememangnya mencari jalan yang penuh dengan cahaya Islam cuma tidak tahu bagaimana caranya. Dia juga ada menyatakan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerna dipertemukan dengan kami.

Setelah di khabarkan bahawa urusetia ada menyediakan khidmat kaunseling secara percuma, dia begitu teruja untuk mendapatkan khidmat tersebut. Lalu kami membawa angah berjumpa kaunselor untuk membantunya menyelesaikan semampu yang boleh.

Dia meluahkan apa yang terbuku di hati. Sekali-sekala dia menyapu air mata yang mengalir di pipi. Ana terdiam takkala dia bagitahu, “umur angah dah 28 tahun tapi tak kahwin lagi. Orang lain yang seusia dengan angah pun dah ada anak, yang tak kahwin lagi ada yang sambung belajar. Angah plak apa yang ada, dunia pun tak dapat, akhirat lagi la tak dapat…”.

Hati ana berdoa moga Allah s.w.t. membimbangnya, membuka jalan dan pintu hidayah  buatnya. Ana juga terkejut takkala dia bagitahu yang dia kenal pelatih-pelatih kami. Rupanya dia sudah berjumpa dengan beberapa orang ustaz dan ustazah yang menerajui UNGGAS dan Raudah.

Alhamdulillah….moga selepas ini, dia juga akan turut serta dalam gerak kerja da’wah dan turun lapangan seperti kami. Ana sempat berkata kepadanya sebelum meminta diri, “angah, apa yang berlaku malam ini adalah hikmah dari Allah s.w.t…”. semoga dia terus kuat untuk teruskan kehidupan dengan disinari cahaya Islam…amen.

Sekitar jam 2 pagi lebih, kami mula bergerak pulang ke surau. Ana bertanya kepada aktivis da’wah yang baru kali pertama turun ke lapangan. Berbagai pengalaman yang mereka dapat. Ada yang memberi kerjasama, ada yang menghalau dan memaki hamun mereka. Namun itulah lumrah bagi para da’ie, inilah keadaan sebenar apabila keluar berdepan dengan masyarakat.

Moga selepas ini, semakin ramai para da’ie yang keluar dari zon selesa dan turun ke lapangan untuk mendekati mad’u. Bagi mereka yang mahu mengetahui aktiviti yang UNGGAS dan LANDAS jalankan, bolehlah melayari laman web ini UNGGAS & LANDAS

Akhir kalam dari ana, SaLaM MauLiDuR RaSuL.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)

Ahad, 13 Februari 2011

Sentuhan Tarbiyah

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang teramat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah masih diberi keizinan dan kesempatan untuk menulis walaupun agak kesempitan waktu. Apabila sudah pulang ke kampus, amanah dan tugas yang ada membuatkan ana kena membahagikan masa sebaiknya supaya tidak ada mana-mana bahagian pun yang lompang…insyaAllah…

Ana merasa bahagia sekali takkala berdamping dengan mereka yang soleh dan solehah, terasa diri dan iman terjaga kerna sentiasa diberi peringatan, pesanan dan nasihat. Perasaan yang cukup berharga buat ana.

Berada jauh dengan keluarga membuatkan ana terasa kehilangan. Namun apabila sudah berada di Utara Malaysia, kehilangan itu seolah-olah terubat dengan hadirnya sentuhan tarbiyah yang diperolehi di sini.

Mungkin ada yang tidak nampak dan tidak tahu apa yang ana rasakan. Bagi ana, inilah bumi tarbiyah. Teringat kata-kata seorang kakak senior yang menyambung master disini setelah habis kelas pengajian kitab, “inilah sebabnya kenapa begitu sayang untuk tinggalkan Kedah”.

Inilah lubuk tarbiyah buat ana. Tempat ana menadah ilmu, pengalaman, kemahiran, pengetahuan dan banyak lagi. Itulah yang membuatkan ana begitu sayang untuk meninggalkan bumi Sintok kerna ana mendapat sentuhan tarbiyah di sini.

Masih tergiang-giang kata-kata tok guru,“Ketahuilah bahawa nafsu yang jahat itu apabila digosok dan di cuci dengan sabun zikir kepada Allah s.w.t. dan diberus dengan berus tembaga mujahadah dan ikhlas kepada Allah s.w.t. serta dipandu dan di pimpin pula oleh guru yang ahli maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat karat kejahatan nafsu tadi…..”

Untuk mendidik nafsu bukanlah suatu hal yang mudah. Ianya perlukan jalan mujahadah yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya dan pastinya dipandu dan dipimpin oleh guru yang ahli.

Di sini, ana memperoleh ramai guru dan murobbi. Berada disamping mereka adalah suatu peluang keemasan yang tidak mungkin ana lupakan. Ana begitu rapat dengan staf dan Pegawai Pusat Islam di sini sejak berada di semester satu lagi.

Tengahari tadi, sebaik sahaja habis kelas dan solat zohor, ana terus ke Pusat Islam. Menyiapkan kerja yang masih berbaki. Hati jadi rindu untuk bertemu dengan staf dan pegawai Pusat Islam. Hampir kesemua staf sudah berpindah ke bangunan Pusat Islam yang baru. Alhamdulillah, bangunan tersebut siap jugak akhirnya.

Setelah selesai segala urusan berkaitan kertas kerja dan program yang bakal dilaksanakan, ana sempat mengutip sedikit ilmu dari ustaz dan ustazah. Sesekali berpaling ke belakang melihat gelagat staf dan pegawai Pusat Islam yang sedang menjamu selera. Indah sekali ukhuwah mereka.

Ana bagitahu seorang staf Pusat Islam, “kak, best la duduk kat sini sebab semua staf berkumpul kat sini. Makin erat ukhuwah”. Staf tersebut senyum kepada ana sambil menganggukkan kepala.

Sedang berborak dengannya, ada ustazah panggil ana untuk minta tolong, “ukhty, tolong ambil pisang goreng boleh tak? Hehe”.

“Boleh je ustazah…” ana katakan padanya sambil tangan mengangkat bakul yang berisi pisang goreng ke pejabatnya.

“macam nie la bagus, ambil berkat tok guru…hehe” ana tersenyum mendengar kata-katanya.

Hati ana bermonolog sendiri, “Alhamdulillah Ya Allah di pertemukan dengan mereka”.Tersangat bersyukur berada dengan mereka. Merasakan seolah-olah diri ini terkena “tempias” tarbiyah dari mereka secara tak langsung.

Masakan tidak merasa sentuhan tarbiyah dari mereka, ketika sedang makan, berbual, menyiapkan kertas kerja program, dan sebagainya. Ada sahaja pesanan, nasihat dan peringatan yang ana terima. subhanallah…

Suatu ketika dulu, ukhuwah ini di uji oleh Allah s.w.t. dengan suatu peristiwa yang tidak mungkin ana lupakan. Alhamdulillah, setelah itu…ana merasakan ukhuwah ini semakin erat. Senang sekali berdamping dengan mereka.

Sempat juga ana bercanda, “kak, saya buat praktikal kat sinilah…boleh? Hehe…”.

“haaa…boleh-boleh, nanti cubalah minta. Manalah tahu dapat…”

Ana senyum sahaja mendengar kata-katanya. Perancangan asal ana untuk buat praktikal di Mesir, namun keadaan disana masih tidak stabil. Ana rasakan mustahil pihak pentadbiran universiti benarkan pelajarnya untuk buat praktikal di sana.

Pabila melihat semua ini, ana rasa begitu sayang sekali untuk tinggalkan bumi tarbiyah ini. Mahu sahaja ana praktikal dan sambung master di sini, supaya dapat menghabiskan pengajian kitab yang dipelajari. Ana senyum sendiri mengingatkan soalan yang di ajukan oleh seorang ustaz kepada ana tengahari tadi.

“Haa…ukhty, nak kawen? Ke dah ada calon?”

Dapat soalan nie dengan tiba-tiba membuatkan ana kaku seketika, tak tahu nak jawab macam mana. Ustaz tersebut agen mencari jodoh untuk baitul muslim agaknya. “Err…tunggu sampai saya habis master dululah ustaz…hehe”.

Kebetulan waktu itu baru sahaja mendapat undangan walimah dari mantan pimpinan Rakan Masjid yang lepas. Terus aja di sapa dengan soalan cepumas…hehe. Niatku mahu tamatkan pengajian kitab dan master disini sebelum menikah supaya mendapat ilmu yang secukupnya. Namun, perancangan DIA lagi hebat…(^_^)

Berada dalam kalangan mereka yang berilmu membuatkan ana begitu dahagakan ilmu. Makin di teguk ilmunya, makin dahaga. Tambahan pula di sini punya guru yang ahli dalam ilmu agama walaupun tidak seramai di universiti Islam yang ada di Malaysia. Moga Allah s.w.t. memilih diri ini untuk sentiasa istiqomah dalam menuntut ilmu.

Diri yang dhaif ini sentiasa berharap semoga sentuhan tarbiyah yang diterima disini membuatkan diri mampu menghadapi dugaan dan cabaran kehidupan di luar sana yang pastinya lebih mencabar. Wassalam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,) 

Khamis, 10 Februari 2011

Diari Kehidupanku

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau berikan kepada hamba ini, semoga hamba ini sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih hati yang tidak mungkin diri ini lupakan, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, akhirnya jari ini menari-nari juga di papan keyboard laptop yang banyak berjasa kepada ana. Akal mencari ilham untuk menulis, namun hati yang memandu untuk mencoretkannya.

Ana teringat kata-kata seseorang,“untuk mengetahui diri dan keadaan seseorang, lihatlah pada tulisannya”. Kalau tulisannya cantik, itu bermakna dirinya dalam keadaan tenang. Kalau tulisannya agak comot dan buruk, bermakna dia ada masalah. Benarkah? Wallahhu’alam…

Apa yang ana tahu, ana mahu tiap tulisan dan coretan yang dipaparkan dalam diari ini hadir dari sebentuk hati yang tulus dan ikhlas untuk berkongsi dengan orang lain.

“hati yang ikhlas mampu mencairkan hati yang keras”

Mungkin ada di kalangan pembaca punya diari sendiri kan? Ana juga ada, segala rasa dan perjalanan yang dilalui dalam kehidupan sehari-hari tercatat dalam diari tersebut. Diari itulah menjadi luahan hati bagi pemiliknya. Blog inilah diari ana.

 Ia…diari kehidupan ana. Walaupun tidak mencatat secara keseluruhan apa yang ana lalui dalam kehidupan seharian. Namun, ia mampu membuatkan ana tersenyum sendiri takkala membacanya.

Kadang-kala hati ini bermonolog sendiri,“akukah yang menulis semua ini?” . “macam-mana aku boleh menulis semua artikel nie?”. Bertubi-tubi persoalan muncul di minda. Ditambah pula ada yang meminta supaya diari ini segera diupdate walaupun baru sahaja post artikel terbaru.

Tidak kurang juga ada yang memuji dan sebaliknya. Ana mencari hikmah tersirat setelah diari ini mula “bernyawa”. Banyak sekali hikmahnya, ana dapat ramai sahabat dari pelbagai latar belakang di alam maya, ilmu makin bertambah kerna untuk menulis sesuatu perlukan rujukan, mengajar ana supaya berdisplin dan istiqomah pabila memulakan sesuatu.

Dan yang paling utama adalah ana terasa dekat denganNya. Sebelum memulakan penulisan, asma’ Nya yang ana sebut dan selawat kepada Nabi s.a.w. meniti dibibir. Merasai kehadiran DIA dalam tiap penulisan ana adalah kekuatan untuk terus istiqomah.

Minda pula di set bahawa diri ini tidak punya kekuatan untuk mengangkat senjata menyahut perjuangan di medan tempur. Sememangnya diri ini mengerti bahawa badan ini tidak mungkin dapat bertahan lama sekiranya turun ke medan tempur.

Tapi diri ini punya kekuatan untuk mengangkat pena dan mencoret sesuatu dengan menulis dan menyentuh hati-hati yang membaca supaya turut merasai kehadiran DIA. Jika DIA izinkan, moga insan yang membacanya diberi hidayah untuk berubah ke arah yang lebih baik, insyaAllah…

Ada sahabat yang berkata,“rajin sungguh menulis”. Ana hanya senyum tanpa menjawab sepatah apa pun. Merasai kehadiran DIA takkala menulis adalah suatu perasaan yang cukup indah, mana mungkin ana lepaskan peluang tersebut.

DIA….cinta pertamaku….

Ana dapat mengesan jika iman dalam keadaan lemah iaitu tidak dapat ilham untuk menulis. Jadi, ana berusaha mentarbiyah diri dan membersihkan hati supaya dapat kembali menulis serta merasai kehadiran DIA.

Ada juga yang menyapa, “seseorang yang tercoret dalam blog nie, enti ke?”. Tidak semua adalah cerita dan perjalanan hidup ana kerna apa yang ana lihat, dengar, dan rasa serta sesuai untuk dipaparkan pada umum, ana akan menulisnya untuk menjadi pengajaran dan pedoman kepada mereka yang membacanya.

“orang yang bijak adalah orang yang belajar dari pengalaman diri sendiri, tetapi orang yang lebih bijak adalah orang yang belajar dari pengalaman orang lain”

Ana mengakui kebenaran kata-kata ini. Jika orang lain sudah tersilap langkah, itu menjadi pengajaran buat insan lain supaya tidak turut terjebak. Jika orang lain berjaya, itu menjadi kekuatan semangat untuk turut berjaya mengikut jalan yang dilaluinya.

Ana juga banyak belajar dari orang lain. Apa yang baik dan berpotensi untuk berjaya, ana amal dan aplikasikan dalam hidup. Apa yang buruk dan merugikan diri, ana jauhkan dan cuba buang sejauhnya. Itulah hikmah kembara.

Semakin hari, semakin banyak yang ana belajar melalui penulisan dalam diari nie. Kerna itu ana begitu menyayangi diari nie. Masih ingat di awal diari ini “bernyawa”, terlalu mentah dengan segala system yang ada pada blog. Just try and error.

Ada juga yang bertanya, macam mana ana buat blog nie jadi begitu cantik dan bermanfaat untuk tatapan pembaca. Ana tidak tahu macam mana untuk menjawabnya. Apa yang ana tahu, jangan pernah berhenti dari mencuba. Jika tak dapat yang diinginkan, cuba lagi.

Ibarat seperti bayi yang baru lahir, mana mungkin dapat berjalan dan berlari tanpa melalui proses meniarap dan merangkak terlebih dahulu. Begitu juga dengan ana, mana mungin punya diari seperti ini tanpa melalui proses permulaan terlebih dahulu.

Mahu kenal ana lebih dekat? Bacalah diari kehidupan ana nie dari awal sampai akhir. Moga iman dan hati ini sentiasa dalam kondisi yang mumtaz selalu, supaya terus diberi hidayah untuk sentiasa istiqomah dalam menulis….ameen

.:: KeMBaRa SuFi Di BuMi TuHaN::.
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)