Khamis, 24 Februari 2011

Da’wah Selembut Air

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi hamba ini peluang dan kesempatan untuk menghirup udara Mu. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menulis. Mungkin ini adalah artikel terakhir untuk bulan ini dan diari ini mungkin juga tidak akan diupdate untuk beberapa ketika kerna ana ada program di luar kampus dan acara di peringkat Universiti.  Doakan semoga segala urusan ana dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Sudah lama hati berniat untuk menulis artikel ini, namun ditangguhkan sehingga jamuan bersama aktivis da’wah yang turun ke lapangan pada tempoh hari berlalu. Ana mahu mendengar pengalaman dari aktivis yang baru pertama kali berdepan dengan masyarakat dan juga nasihat dari penasihat program.

Dua hari lepas, sebelum jamuan makan malam bermula, beberapa perkongsian dari ustaz dan sahabat membuka lagi minda ana tentang da’wah. Ana tertarik dengan kata-kata ustaz takkala beliau memberikan ucapan.

“untuk berda’wah perlu ada seni.  Orang yang sudah biasa turun bersama masyarakat sekeliling akan memperolehi seni dalam berda’wah”

Ana akui kebenarannya. Seni inilah yang membuatkan mad’u atau sasaran yang kita temui terasa selesa dengan kita dan bukan terasa marah dengan kata-kata kita. Takkala ana berkata ana tahu dan boleh memberi pandangan kepada mereka yang memerlukan bantuan, tidak bermaksud ana hebat. Tapi kerna ana sudah biasa dengan situasi tersebut. Bahasa mudahnya adalah pengalaman.

Tidak semua orang boleh menerima nasihat”. Kata seorang sahabat suatu ketika dahulu. Hati terdetik dan akal berfikir,“benar, namun adakah kita fikir seni dan kaedah supaya orang yang ingin kita nasihati itu dengar dan terima teguran kita?”.

Persoalan yang sering bermain di fikiran ana, “bagaimana untuk membuatkan aku begitu mudah untuk masuk dengan kelompok tertentu dan mereka menerima cara aku memberi nasihat kepada mereka?”

Lalu ana teringat kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat, “akak respect dengan pendekatan dia terhadap mad’u. Masa keluar pergi beli barang hari tu, dia nampak beberapa budak lelaki yang tengah melepak depan 7 Eleven. Dia pun pergi dekat dengannya dan bertanya, “err…dik, jam pukul berapa ye?”. Walaupun kat tangan dia sudah ada jam tangan. Selepas itu, dengan mudah dia dapat bergaul mesra dengan kelompok tu.”

Tidak kurang juga ada yang terus menghentam dan menghukum mad’u secara terus tanpa menggunakan teknik dan pendekatan yang betul. Dalam keadaan salam dan senyuman tidak dihulurkan terlebih dahulu, kemungkinan da’ie tadi bakal diherdik kembali atau kita akan jadi penyebab kepada mereka untuk semakin jauh dengan Allah s.w.t…Nauzubillah..

Keadaan seperti itu dikongsi sendiri oleh seorang aktivis yang turun lapangan pada operasi tempoh hari,“kumpulan ana mendekati beberapa individu namun mereka seolah-olah membenci kami sebab sebelum kumpulan ana sampai, kumpulan yang lain sudah pun mendekati mereka dan seolah-oleh memarahi mereka dengan bahasa yang agak kasar”
 
Alhamdulillah, setelah aktivis dan beberapa orang sahabat tadi berlembut dan menggunakan kaedah yang dipelajari, mereka menjadi tenang dan mesra dengan aktivis tersebut.

Ana tersenyum takkala mendengar perkongsian darinya. “takkala hati timbul perasaan riak, itulah yang terjadi.” . Tiada keikhlasan dalam menegur, terasa diri sudah cukup bagus dan baik sehingga memandang orang lain itu begitu hina dimatanya.

“Begitu riak sekali hatimu, begitu angkuh sekali berbicara dalam menegur orang lain. Berda’wahlah dengan penuh hikmah, usah mencaci dan mengutuk perilakunya. Takkala Allah s.w.t. menarik kembali nikmat hidayah dan dirimu berada dalam keadaan iman yang lemah, baru dirimu mengerti akan kesilapanmu”

Kebanyakan mereka yang ana bawa turun, sudah ana titipkan pesanan sebelum masing-masing bergerak ke destinasi yang dituju. “ana mahu ingatkan kepada sahabat-sahabat sekalian, takkala bertemu dengan mereka-mereka ini. Tegurlah kerna kamu sayang kepadanya dan usahlah menegur kerna kamu punya ilmu”

Kenapa ana berpesan sedemikian? Pengalaman ana takkala melihat aktivis yang baru pertama kali turun ke lapangan, mereka akan terus menghukum berdasarkan ilmu yang mereka ada “eh, engkau tahu tak duduk berdua-duaan macam nie haram!”.

Tetapi sekiranya kita sayang kepadanya dan kita tidak mahu dia terus bergelumang dengan maksiat, kita akan menasihatinya dengan selembut air seperti kita menegur ibu bapa kita yang melakukan kesilapan. Cuba renungkan, adakah sahabat mahu ditegur atau dinasihati dengan selembut air atau diherdik dengan sekeras batu?

Fitrah manusia sukakan kelembutan. Jadi, berlembutlah…kita tidak rugi apa pun sekiranya berlembut. Gunalah pendekatan dan kaedah yang bagaimana, pastikan ianya dalam keadaan lembut dan berhikmah serta di susuli dengan hati yang penuh keikhlasan kepada Allah s.w.t.

Ana katakan da’wah selembut air kerna ana tertarik dengan pendekatan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sewaktu beliau menggendalikan Kem Hijri 1431 anjuran SaifulIslam Training & Consultancy. Dalam kem tersebut beliau menerang konsep “Kuasa Air” dalam artikelnya Batu Berlaga Air.

“Air adalah juara ke atas batu. Kepala batu, hati batu, batu api, segala benda keras yang dikaitkan dengan batu, kalah dengan air. Malah batu tenggelam kepada air.

Hebatnya kuasa air, malah air diperlukan begitu banyak dalam badan manusia. Cuba kalian menghentak tangan di atas permukaan air, pasti air itu akan berkocak kan? Tetapi air itu akan kembali tenang dan terus melangkah seolah-olah cacian atau makian yang diberikan tidak memberi kesan kepada sang da’ie.

Jika kita meletak tangan didalam air, kita akan merasai kelembutannya yang meresap ke dalam badan kita dan membuatkan kita merasai ketenangan. Takkala berdepan dengan mad’u, dahulukan salam dan senyuman. Takkala berbicara dahulukan kemanisan dan ganjaran pahala sebelum azab dari Allah s.w.t.

Tidak semua orang mampu laksanakan gerak kerja da’wah ini. Namun, cubalah laksanakan sebaik mungkin…Kerna Kita Bersaudara.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)

blog comments powered by Disqus