Jumaat, 4 Mac 2011

Ibrah Suatu Pengembaraan

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman & Islam yang telah Engkau kurniakan kepada hamba ini. Moga hamba ini sentiasa rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang teramat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Hampir satu minggu ana biarkan diari ini tidak diupdate dengan apa-apa artikel, kadang-kala hampir terlupa bahawa ana punya diari “Kembara Sufi Di Bumi Tuhan”. Minggu ini benar-benar sibuk dengan pelbagai kerja yang perlu diselesaikan. Syukur pada Allah s.w.t. kerna diberi keizinan dan kekuatan untuk terus menulis. Alhamdulillah…

Ana tersenyum sendiri takkala ada yang memberi komen pada status facebook ana “wah…jelous tengok kesibukannya dengan kerja-kerja yang bermanfaat”., ana bersyukur sangat dipilih oleh Allah s.w.t. untuk teruskan gerak kerja da’wah. Bagi ana, ianya suatu nikmat yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Alhamdulillah.

Seperti yang dikhabarkan dalam artikel yang lepas, ana punya acara di luar kampus. Berada di Kuala Kangsar, Perak selama tiga hari kerna menghadiri Kursus Kepimpinan Pembangunan Mahasiswa. Mendapat ilmu dan pengalaman yang baru takkala berada disana.

Pada mulanya, ana berbelah bagi untuk menghadiri kursus tersebut kerna masih banyak lagi kerja yang belum diselesaikan dan terpaksa “ponteng” kuliah yang ana minat walaupun mendapat surat pelepasan kuliah. Namun, ana katakan pada diri,“aku korbankan ilmu dalam kelas untuk mendapat ilmu dari pengalaman, jadi bila aku balik nanti aku mesti dapat ilmu baru”.

Niat untuk ke sana sudah di set dalam minda. Setelah sampai disana, kejutan demi kejutan ana terima. Akhirnya ana tersenyum sendiri takkala berada di penghujung kursus. Malah hati ini melahirkan rasa bersyukur kepada Allah s.w.t. kerna memilih ana untuk mengikuti kursus ini walaupun pada mulanya ana tidak tahu kenapa diri ini yang tersenarai untuk menghadiri kursus tersebut.

Dengan rasa rendah diri, ana ucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM kerna sudi menjemput ana menghadiri kursus ini walaupun diri ini ibarat dipaksa rela pada mulanya…(^_^)

Takkala berada di sana, kami semua tidur dalam khemah yang dipasang sendiri setelah diajar oleh jurulatih. Kem tersebut amat sederhana seperti berada di kampung yang tidak punya banyak kemudahan. Yang membuatkan ana teruja sebab sudah lama tidak pergi berkhemah, hari itu dapat merasa lagi tidur dalam khemah.

Ana pernah ajak umie untuk berkhemah kat tepi Pantai Sri Tujuh sebab dah lama sangat tidak berkhemah. Perasaan teruja nak pergi berkhemah hadir bila anak didik umie berkhemah baru-baru nie. Untuk pengetahuan semua, ana dan adik beradik yang lain sudah biasa dengan aktiviti berkhemah kerna sejak dari kecil lagi abah dan umie bawa kami ke tempat anak didiknya berkhemah.

Kebetulan pula abah dan umie ana merupakan penasihat Kadet Polis dan Pengakap. Jadi, ana dan adik beradik yang lain sudah biasa masuk hutan. Tapi ana still takut dan geli dengan pacat…hehe.

Minda ana dibasuh dengan pelbagai ilmu baru yang membuatkan ana berfikir. Jujur ana katakan, modul yang pihak urusetia gunakan ketika kursus belum pernah ana lalui seperti kebanyakan kursus dan program yang selalu menggunakan modul yang sama.

Pendapat ana, modul yang digunakan seperti membina kerajaan yang baru dengan menggunakan pendapat kami sendiri. Mana tidaknya, sebaik sahaja kami tiba, kami tidak disambut oleh sesiapa dan urusetia langsung tidak menyapa kami,tetapi kami diberi suatu tugasan dalam sampul surat ketika dalam bas.

Masing-masing bingung dan tidak tahu apa yang ingin dibuat ketika sampai. Sehinggalah ada seorang dikalangan kami bangun dan bersuara serta membentuk ahli jawatankuasa sepanjang program seperti yang diminta. Setelah itu, barulah urusetia datang kepada kami dan memberikan tugasan yang seterusnya.

Di akhir program, urusetia menerangkan tujuan mereka berbuat demikian. “Kita sering merungut itu dan ini kepada kerajaan atau pihak pentadbiran di tempat kita tinggal, namun takkala kita diberi peluang untuk mentadbir sendiri, baru kita tahu ianya tidak mudah seperti yang kita ucapkan.”

Pada sebelah malam pula, setelah habis ceramah. Kami diberi penerangan tentang cara-cara untuk mengikat rakit. Masing-masing merungut takkala kami diminta oleh urusetia untuk mengikat sendiri rakit kerna untuk mengikat rakit ianya mengambil masa yang lama dan mesti diikat dengan teliti. “urusetia yang sudah mahir pun ikat rakit hampir satu jam, kita yang tak reti nie tiga jam agaknya. Dah pukul 12 nie, mesti tidur lewat.”

Ana melihat urusetia ikat rakit sampai berpeluh-peluh. Nak ke tak nak, kami terpaksa turuti kemahuan mereka dengan berat hati. Sebaik sahaja kumpulan ana mahu mengambil buluh, kami bertembung dengan kumpulan yang sudah ada buluh ditangan mereka. Akhirnya ana dan sahabat-sahabat ketawa..hehe..

Dalam hati ana bermonolog,“adeh la…pandai betul urusetia nie psiko kitaorang…hehe”. Mana tidaknya, kumpulan yang kami bertembung tu mengambil buluh yang sudah siap diikat..hehe..

Urusetia sengaja berbuat demikian. Tujuannya adalah supaya kita positif dan bersangka baik kerna mungkin apa yang bakal kita lalui itu tidak seburuk yang disangka walaupun di mata kita mentafsir suatu yang buruk pada mulanya.

Keesokkan harinya setelah membuat senaman, kami diminta untuk membuat water confident untuk melihat samaada life jacket berfungsi dengan baik, sesuai dengan individu yang memakainya. Namun, bagi ana sendiri. Ianya membuatkan ana mampu mengusir perasaan fobia terhadap air kerna ana pernah sesak nafas dan hampir lemas ketika membuat latihan di PLKN dahulu.

Perasaan takut terhadap air semakin hilang selepas berada diatas rakit, membuatkan ana begitu yakin untuk berakit sejauh 15Km di atas sungai. Memang jauh kami berakit, tidak terfikir dek akal kami mampu berakit sejauh itu. Ada suatu kejadian yang berlaku ketika itu, rakit kumpulan ana berlanggar dengan suatu mesin pelantar yang berada dalam air.

Kami cuba mengelak namun tidak berjaya kerna arus yang deras menarik rakit kami ke arahnya. Keadaan agak cemas ketika itu kerna ada tali yang dibuat dari besi tertanam di dasar sungai. Seperti yang kita tahu, tali tersebut boleh menjadi setajam pisau yang mampu memotong anggota badan kita ketika kita meluncur laju ke arahnya.

Ana dan seorang sahabat yang berada di hadapan secara automatic terus tunduk untuk mengelak tetapi sahabat ana yang berada di belakang tersepit kaki antara rakit dan tali besi tersebut. Alhamdulillah jurulatih tiba tepat pada masanya setelah membuat isyarat kecemasan kepada mereka.

Pengalaman itu membuatkan ukhuwah diantara ana dan ahli kumpulan semakin utuh sebab masing-masing risau tentang keselamatan antara satu sama lain. Ada ahli kumpulan ana yang luka kecil ketika pelanggaran tersebut, namun tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan apatah lagi fobia untuk berakit lagi.

Sebaik tiba di checkpoint yang ditetapkan oleh urusetia, kami berhenti rehat seketika untuk makan dan solat. Makan tengahari, kami yang masak sendiri. Memang cukup sederhana, masak ditengah hutan. Walaupun menu tengahari hanya nasi putih, berlaukkan ayam goreng dan berkuahkan sayur, kami merasakan masakan itu enak sekali.

Mana tidaknya, badan yang kepenatan dan basah kuyup setelah hampir 3 atau 4 jam berakit pasti perlukan tenaga untuk teruskan perjalanan ke checkpoint seterusnya. Ketika itu, ana muhasabah sendiri pabila urusetia bagitahu. “bila sudah berada dalam serba kekurangan, boleh pula kita terima keadaan tu dan bersyukur dengan apa yang ada. Kenapa tidak diaplikasikan semua itu dalam hidup kita, bersyukur dengan apa yang kita miliki walaupun melihat orang lain lebih mewah dari kita”.

Setelah selesai, kami turun semula ke sungai dan merakit menuju ke checkpoint terakhir. Ramai yang merungut sebab tertukar rakit. Ada yang berkata,“saat naik rakit orang lain, rasa lemah sangat sebab dah tak de perasaan kat rakit tu. Sudah tidak rasa perasaan ikat rakit tengah malam semalam, perasaan tu dah tak sama masa mula-mula berakit sebelum berhenti rehat.”

Ana juga merasakan sedemikian.Takkala menghayun alat pendayung ke dalam air, terasa berat sangat pendayung tu. Ana give up pada mulanya. Alat pendayung tu begitu berat untuk diangkat, apatah lagi untuk mengayuh. Ana berhenti mengayuh, merungut dalam hati.

Lalu diri termuhasabah,“aku diberi amanah untuk berada diposisi hadapan, sahabat-sahabat juga memainkan peranan, mereka juga keletihan. Adakah aku mahu pentingkan diri sendiri dan biarkan mereka mengayuh sedangkan aku pula hanya berpeluk tubuh”. Akhirnya, setelah ana menukar pendayung dengan orang belakang dan menarik nafas sedalamnya.

Ana mengayuh kembali, semangat dan energy ana kembali membuatkan ana tidak berhenti rehat walaupun diminta untuk tukar dengan orang lain beberapa kali. Keadaan itu mengajar ana supaya tidak berundur walau dalam keadaan apa sekalipun tetapi berhenti seketika untuk mengumpul semula semangat dan mencari solusi supaya masalah dapat diselesaikan dan teruskan melangkah.

Akhirnya, kami semua sampai dengan selamat di daratan. Tidak cukup dengan itu, kami terpaksa berjalan sejauh 4 atau 5 Kilometer dalam keadaan hujan menuju ke jalan besar kerna bas tidak dapat masuk ke jalan kecil yang jauh di pedalaman. Walaupun begitu penat berakit, ana tidak putus asa kerna semangat ketika di air dibawa ke darat.

Setelah tiba di jalan besar dan menaik bas menuju ke kem, ramai yang terlena  sebaik sahaja duduk di atas kerusi bas kerna terlalu dan amat-amat penat. Hampir satu jam kemudian, barulah kami sampai ke kem. Pada sebelah malamnya, pihak urusetia mengadakan jamuan BBQ untuk meraikan komitmen dan kesungguhan kami menyelesaikan tugasan yang mencabar pada hari itu.

Keesokan harinya ketika majlis penutup berlangsung, seorang demi seorang diminta untuk berucap. Berbagai pengalaman dikongsi bersama, kadang-kala dewan bergema dengan gelak tawa kami.

Bagi ana sendiri, pengalaman menghadiri kursus ini begitu berharga dan tidak mampu dibeli di mana-mana. Ianya banyak mengajar ana supaya tidak mudah berprasangka buruk, tidak berputus asa dan berundur dengan begitu mudah, yakin dengan kemampuan diri, berani untuk menyahut cabaran dan yang paling penting, teguhkan pendirian bahawa Allah s.w.t. ada untuk membantu kita.

Maafkan ana kerna tidak dapat memaparkan gambar dalam artikel kali nie sebab ana belum berkesempatan untuk mengambil gambar dari kamera orang lain yang diambil sepanjang kursus tersebut. Apa pun, moga pengalaman yang ana coretkan dalam diari ini memberi manfaat buat para pembaca sekalian…insyaAllah…

Wassalam (◕‿◕)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus