Isnin, 27 Disember 2010

Positif

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada hamba ini, tidak terhitung nilainya. Hanya kepada Mu ku bersujud. Selawat dan salam buat idola hatiku yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah masih punya kesempatan untuk menulis. Tahun baru masihi bakal kunjung tiba tidak lama lagi. Memori kehidupan yang dilalui sepanjang tahun ini berputar kembali, dan akhirnya ku tersenyum sendiri…(^_^)

Semakin bertambah usia, semakin banyak pengalaman. Semakin banyak perjalanan, semakin banyak pengetahuan. Itu yang ana rasai. Mencari kelebihan dalam diri untuk ditingkatkan dan diasah bakatnya. Mencari kelemahan dalam diri untuk diperbaiki dan cuba sedayanya ke arah lebih baik.

Ada sesuatu yang mahu ana kongsikan kepada sahabat pembaca sekalian. Suatu pengalaman yang tidak mungkin ana lupakan. Selama tiga tahun dan sebanyak tiga kali berturut-turut ana laluinya. Iaitu menjadi Fasilitator dan Ahli Jawatan Kuasa Orientasi Minggu Pengurusan Pelajar Baru (AJKO MPPB) dari tahun 2008 hingga kini.

Disinilah paling banyak ana belajar meningkatkan kemahiran dan memperbaiki kelemahan yang ada. Sanggup mengorbankan cuti hampir 2 minggu untuk berkhidmat kepada Kolej Matrikulasi Perlis, tempat ana belajar sebelum masuk ke Universiti.

Sebaik finale exam tamat, ana terus ke Perlis Indera Kayangan tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu walaupun kerinduan terhadap keluarga sudah tidak dapat dibendung lagi. Namun, itulah pengorbanan.

Ia…pengorbanan untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang amat sukar untuk diperoleh dengan mudah.


XXXXXXXXXXXXX

Kali pertama menjadi AJKO, debaran terasa dihati. Apatah lagi inilah kali pertama berkerjasama dengan abang dan kakak senior yang sudah pun menjadi mahasiswa/siswi universiti. Diberi tugas untuk menjadi anggota trafik yang mengawal lalu lintas dalam kampus sewaktu pendaftaran kemasukan pelajar baru. Dan menjadi AJK kerohanian untuk pengisian rohani adik-adik sepanjang minggu orientasi.

Bukan itu sahaja, beberapa fasilitator akan ditempatkan disetiap blok penginapan pelajar untuk menjaga segala keperluan dan kebajikan adik-adik. Di kala ini, ana lebih banyak melihat dan menurut arahan yang diberikan oleh ketua bagi setiap unit jawatankuasa yang dibentuk dan diuruskan oleh senior yang berpengalaman.

Terjadi satu peristiwa yang membuatkan ana terasa mahu mengalah dan kecewa yang teramat dengan diri sendiri. Ana dipersalahkan atas suatu kejadian yang menimpa seorang adik perempuan, nama ajko yang lain tercemar dimata seorang pensyarah yang juga felo asrama merangkap pentadbir kolej.

Tanpa mengetahui hal sebenar dan mendengar dari sebelah pihak, ana menjadi mangsa keadaan. Terima dengan hati yang redha. Alhamdulillah ada akak senior yang sanggup memberi dorongan dan kata-kata semangat dikala orang lain memperlekehkan diri ini.

Ana merenung hikmah disebaliknya, Alhamdulillah Allah s.w.t. mahu ana lebih peka dan cekap serta lebih bertanggungjawab sewaktu menjalankan tugas.

XXXXXXXXXXXXX

Kali kedua terpilih. Bayangan peristiwa lepas menerjah fikiran ana. Kerna takut melakukan kesilapan lagi, ana hampir menarik diri disaat akhir. Namun, ana cuba menjadi positif person. Akhirnya ana tetap melangkah ke Perlis Indera Kayangan.

Menerima seadanya apa yang telah berlaku dan bakal berlaku serta mahu cuba yang terbaik kali ini. Dilantik untuk menjaga kaunter semakan sewaktu pendaftaran dan diserap masuk menjadi AJK bagi unit protocol.

Kesilapan terus berlaku. Terjadi perselisihan kecil antara kami sewaktu bekerjasama. Namun cuba diselesaikan sebaiknya walaupun hati ana terluka dengan sikapnya. Cuba juga untuk terus tersenyum dan menjadi positif.

Setelah itu, kerna menangguhkan kerja yang diminta oleh ketua unit. Terjadi kekalutan di hari terakhir orientasi yang juga merupakan hari terpenting. Tambahan pula itu adalah majlis rasmi dan dihadiri oleh semua warga kolej termasuk pengarah kolej sendiri.

Ana terduduk seketika merenung apa yang berlaku. Kesilapan demi kesilapan ana lakukan, tertanya juga kenapa diri ini menerimanya dan bukan orang lain. Positif dan terus cuba menjadi positif person. Menerima seadanya, mengerti yang diri ini masih berada di tahap rendah dan biasa. Kesilapan yang berlaku membuat ana sedar, masih banyak kekurangan diri yang perlu diperbaiki.

XXXXXXXXXXXXX

Kali ketiga terpilih iaitu tahun ini. Bayangan peristiwa masa lalu yang dilalui terus menerjah fikiran ana. Apa pun, persiapan telah ana lakukan kali ini. Mental dan fizikal lebih bersedia jika mahu dibandingkan sebelumnya. Kemahiran serta pengalaman menguruskan program di kampus, ana gunakan untuk selesaikan misi dan amanah kali ini.

Banner menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru...(",)
Diberi amanah yang cukup berat. Saat diberitahu oleh ketua AJKO untuk menguruskan unit ini, ana terpaku seketika. Bayangan kesilapan lepas bermain di minda dikala itu. Hati terdetik, “mampukah aku?”. Akhirnya ana menganggukkan kepala sebagai tanda setuju.

Positif dan terus positif. Jika tidak sanggup menerima dan melakukan kesilapan serta kegagalan. Sampai bila diri ini akan terus maju ke hadapan. Setiap perkara yang dilakukan atau pilihan yang dibuat dalam kehidupan seharian pasti ada risikonya.

Dilantik menjadi ketua bagi unit protocol. Diberi 9 orang anak buah untuk turut sama membantu ana menguruskan unit ini. Cuba sedayanya untuk tidak lakukan kesilapan yang sama. Ana sering bertanya kepada yang pernah menguruskan unit ini. Membaca dokumen yang ditinggalkan oleh senior yang lepas.

Ana senaraikan tugas yang perlu dibuat. Menyediakan jadual sepanjang satu minggu orientasi untuk sahabat AJKO dan adik-adik termasuk apa yang perlu dilakukan dari segi pakaian, masa, tempat dan lain-lain. Perlu mencari pengerusi majlis, menyediakan teks ucapan buatnya dan mengajarnya bagaimana untuk bercakap dengan nada yang betul.

Hampir kesemua pengerusi majlis adalah adik-adik baru yang menjadi AJKO. Ana risau sekiranya mereka tidak dapat lakukan yang terbaik. Namun ana cuba menjadi positif, meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka. Ana sedar, melakukan kesilapan memang memalukan tapi ia punya suatu kekuatan iaitu untuk bangkit dan belajar darinya untuk tidak lagi mengulanginya.

Setelah itu persiapkan dewan dengan mengubah pentas mengikut kemahuan pensyarah yang menguruskan bahagian pentas. Semua unit protocol bertungkus lumus mempersiapkan dewan, kerusi disusun satu persatu hampir 2500 buah kerusi, hiasan dewan dipinjam dari berbagai tempat termasuk dipinjam dari perpustakaan kolej, lantai disapu dengan sebersihnya.

Alhamdulillah…walaupun terasa letih, tidak cukup tidur dan makan yang tidak teratur, ana puas…(“,)

Cabaran bermula sewaktu adik-adik baru masuk. Mengejutkan kerana tahun ini paling ramai yang mendaftar masuk. Jumlahnya lebih kurang 1635 pelajar, sedangkan AJKO yang ada seramai 60 orang sahaja.

Ramaikan...(",)

150 pensyarah dan pegawai kampus + 60 orang AJKO + 1635 pelajar baru = hati, kerenah, dan ragam yang perlu ana jaga. Tidak mudah untuk laksanakannya, percayalah…ianya bukan mudah.

Bagi mereka yang pernah melalui orientasi, pasti ada yang berkata ianya saat yang amat tertekan, stress, tension dan seangkatan dengannya kerna ana juga melalui saat tersebut.

Hari pertama, pelajar-pelajar sudah memulakan ragamnya. Ana tidak sengaja meninggikan suara kepada seorang pelajar lelaki. Setelah itu ana beristighfar dan hati terdetik, “apa yang aku buat nie…”. Ana rasa ada sesuatu yang tidak kena sewaktu lakukannya kerna terasa mendengar bisikan syaitan yang cuba menaikkan api kemarahan ana.

Perjalanan program sepanjang orientasi bermula. Kerenah demi kerenah ana dapat lihat. Terbit rasa geram dalam hati. Ada sahabat AJKO yang berkata, “macam manalah diaorang nie boleh terpilih untuk masuk matrikulasi, benda simple macam nie pun tak boleh buat”.

Ana tersenyum dengan kata-katanya. Setelah itu ada seorang abag senior jumpa ana. Dia berkata sesuatu yang membuatkan ana mengubah cara dan mula menggunakan kaedah “selembut air” dalam menguruskan adik-adik yang punya kerenah 1001 ragam nie.

“Maaflah kalau saya cakap. Tidak sepatutnya awak turut serta bertegas dengan adik-adik tu, sepatutnya awak meneutralkan keadaan. Biarlah orang lain menjadi api, tapi awak kena menjadi air untuk mengimbanginya. Awak tengokkan macam mana mantan ketua AJKO yang lepas memimpin barisan AJKO. Tidak pernah sekali pun dia marah atau tinggikan suara. Namun orang lain hormat dia.”

Tambahan pula ada yang mencabar ana untuk tidak marah atau tinggikan suara. Ana hanya tersenyum mendengarnya. Mungkin mendengar suara ana yang agak lantang bersuara dan terus menganggap ana marah…hehe..

Ana duduk dan memikirkan strateginya. Pengalaman yang ana kumpul sewaktu dikampus, ana gunakan. Ana mengerti kenapa adik-adik menjadi tidak hormat kepada kami, mengingkari arahan yang telah kami berikan, tidak bersemangat untuk melalui orientasi, malah ada yang tidur sewaktu taklimat diberikan.

Kerna mereka tertekan. Apatah lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga demi mengejar cita-cita dan masa depan. Tambahan pula,  ini kali pertama mereka lalui orientasi seberat ini yang perlu menghadam segala peraturan kolej dan asrama.

Ana mulakan langkah. Sebelum ana lepaskan adik-adik rehat, ana janjikan ganjaran bagi mereka yang masuk dewan lebih awal sebelum taklimat seterusnya bermula. Ana menayangkan suatu video motivasi  kepada adik-adik. Berbagai gelagat dapat ana lihat dan dengar. Setelah video itu tamat, dewan bergema dengan tepukan gemuruh dari adik-adik.

Ana tersenyum sambil hati mengucapkan syukur kerna berjaya menaikkan semangat dan motivasi adik-adik. Begitulah seterusnya. Setelah itu, terjadi suatu peristiwa yang membuatkan ana betul-betul geram. Cuba untuk tenang, hendak menegur suatu sikap adik-adik yang tidak patut dilakukan. Ana memikirkan kaedah untuk menguruskannya.

Ana mengangkat tong sampah. Ada sahabat yang melihat tindakan ana, dia bertanya “nak bawa pergi mana tong sampah tu?” ana pun menjawab, “nak letak kat depan dewan”. Tanpa bertanya sebabnya, dia mengambil tong sampah dari tangan ana dan berjalan menuju ke depan dewan. Sebaik tiba, dia menghempas tong sampah tu sekuatnya.

Ana tergelak melihat reaksinya. Adik-adik terkejut dengan gelagatnya. Ana bermonolog sendiri dalam hati, “pandai juga dia berlakon”. Saat ana berada di hadapan dewan dan disebelah tong sampah, dewan senyap seketika. Mungkin menunggu apa yang bakal ana lakukan.

“Baik…sekarang akak nak adik-adik tengok dekat bawah kerusi, ada sampahkan. Adik tahu tak, kami semua tidur hampir pukul tiga lebih pagi semalam sebab membersihkan dewan nie. Satu dewan kami sapu, kerusi kami susun satu persatu mengikut petak yang ada dilantai. Tapi ini yang adik balas kepada kami dengan mengotorkan dewan? Langsung tidak ada ucapan terima kasih…”

Belum sempat ana habiskan kata-kata, dewan bergema dengan ucapan terima kasih dari adik-adik. Terus ana ketawa, tak jadi meneruskan kata-kata….hehe…

“ok…akak tak jadi marah, hehe…sekarang, ambil sampah dan buang dalam tong nie.” Dewan sekali lagi bergema dengan ketawa adik-adik, lucu barangkali melihat gelagat ana. Seorang demi seorang datang ke depan dewan dengan membawa sisa plastik makanan. Setelah itu, ana mengherat tong sampah ke belakang dewan.

Alhamdulillah…teknik berjaya lagi. Setelah peristiwa itu, dewan agak bersih dan tidak perlu lagi dibersihkan hari-hari. Adik-adik juga menyusun sendiri kerusi yang mereka duduk setelah bangun meninggalkan dewan.

XXXXXXXXXXXXX

Itulah sedikit sebanyak pengalaman yang ana lalui buat kali ketiga menjadi AJKO. Apa yang lebih mengejutkan dan membuatkan ana tergamam adalah satu tepukan gemuruh yang diberikan oleh adik-adik sebelum ana memulakan ucapan dan kata-kata terakhir pada majlis perpisahan.

Tidak menyangka mereka betul-betul terkesan dengan cara yang ana lakukan. Di situlah ana mula sedar. Berlembut lebih baik dari bertegas walaupun kadang-kala terbit rasa geram dalam hati. Ana tekankan konsep “penghormatan itu diberi dan bukan diminta” dalam diri. Dan ana berjaya lakukannya, tidak perlu memarahi atau menengking untuk meminta orang hormat kita.

Alhamdulillah, ana juga laksanakan konsep “jadilah KETUA dan bukannya TUAN” dalam memimpin unit protocol. Kami dari unit protocol berjaya melaksanakan misi Minggu Pengurusan Pelajar baru…(“,)

“ketua memberi inspirasi kepada orang bawahan, tuan mengerah orang bawahannya”
“ketua mencerna kemesraan, tuan membangkitkan ketakutan”
“ketua menunjukkan apa yang salah, tuan menunjukkan siapa yang bersalah”
“ketua diberi penghormatan, tuan menuntut penghormatan”

Barisan AJKO seramai 60 orang...(",)
Setelah tamat majlis perpisahan, sekali lagi ana terkejut. Adik-adik mengerumi ana, merekabersalam dengan ana. Mahu bergambar bersama dengan ana, tidak kurang juga ada yang meminta nombor telefon, alamat, e-mel dan facebook. MasyaAllah…terharu dibuatnya.

Terasa kepenatan yang dilalui hilang begitu sahaja. Badan yang kadang-kala terketar-ketar dan perut yang diserang gasrik akibat tidak sempat makan. Mata yang tidak cukup tidur serta terasa mahu rebah ketika bertugas seolah-olah berbaloi. Alhamdulillah…

Gambar "curi"...macam artis yang lari dari wartawan...hehe
Tidak kurang juga kata-kata yang sahabat AJKO titipkan kepada ana. Takkala membaca kembali kata-kata ini, ana tersenyum sendiri. Kesilapan berjaya ditebus. Kesabaran membuahkan hasil. Keupayaan dan kemampuan diri berjaya ditingkatkan. Jika dua tahun atau dua kali ana terima kegagalan, kali ini. Ana pulang dengan kejayaan. Alhamdulillah…(^_^)

kata-kata yang membangkitkan semangat...(",)

Ana juga tersenyum dan terdiam apabila seorang yang ana hormati iaitu yang menguruskan kebajikan kami sebagai AJKO ini berkata kepada ana. Hanya satu ayat yang keluar dari mulutnya, “saya suka dengan cara awak uruskan dewan”. Tidak putus-putus ana mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t.

Bestkan menjadi positif. Semua yang dilalui menaikkan semangat untuk terus membuat yang terbaik. Tiada lagi bayangan kegagalan yang menerjah di fikiran setelah diiringi dengan kejayaan…(“,)

Jangan pernah takut untuk melakukan kesilapan walaupun kadang-kala ia mengaibkan. Tapi percayalah, kehebatan diri juga bermula dari situ pabila kita menerima kegagalan dan kesilapan tersebut. Juga semangat yang tidak pernah mengalah.

adik-adik pelajar baru... sungguh ramai...hehe

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)
blog comments powered by Disqus