Jumaat, 24 Disember 2010

Cerpen: Kerana Kita Bersaudara

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Tombol pintu dipulas kasar, muncul seorang wanita bertudung litup disebalik pintu. Wajahnya kemerah-merahan, seolah-olah sedang menahan marah. Setelah itu, dia berjalan ke ruang rehat di pejabat lalu mengambil sebotol air mineral dan meneguknya.

Dia berjalan ke mejanya tanpa bertegur sapa dengan rakan sepejabatnya seperti selalu, tidak juga menghiraukan mata-mata yang sedang memerhatinya dari tadi.

“Hurm…apa kena dengan Nur tu? Selalunya ceria je…”,tanya Naurah kepada teman sepejabatnya, Balqis.

Balqis mengangkat bahunya menandakan dia juga tidak tahu apa yang berlaku kepada Nur. Sementara itu, muncul seorang wanita bertudung labuh lalu mendekati meja Balqis.

“Balqis, mana fail laporan yang ana minta tolong siapkan semalam?”

“Ada ukhty, sebentar ya ana cari”, Balqis membelek beberapa fail yang berada di atas mejanya.

“Ini dia ukhty…”, kata Balqis sambil menghulurkan fail berwarna maroon yang mengandungi laporan Operasi Pencegahan Maksiat bulan ini.

Setelah itu, Puan Nurul Insyirah memerhati gelagat Nur yang termenung seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Lantas dia ke dapur pejabat, membuat secawan coklat panas lalu diletakkan di atas meja Nur.

“Untuk Nur…” kata Insyirah sambil senyuman terukir di bibirnya.

“Eh…ukhty, tak perlu susah-susah. Apa pun….terima kasih” serba salah Nur dibuatnya. Bertuah dia punya ketua yang begitu prihatin terhadap orang dibawahannya.


“Mahu kongsi dengan ana?”

“Err…kongsi apa tu ukhty?” Nur menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Insyirah tetap mengukir senyuman seperti tadi. Nur jua tersenyum melihat reaksi ketuanya, itu menandakan yang ketuanya bersedia untuk menjadi pendengar setia. Begitulah selalunya, selalu ada ketika mana orang bawahannya ditimpa masalah ataupun musibah.

Nur meneguk secawan coklat panas sebelum memulakan perbicaraannya.

“Tadi, lepas selesai urusan dekat pejabat pos. Perut rasa lapar, risau pula kena gasrik nanti. Singgah dekat R&W Corner untuk beli sarapan, belum masuk kedai dah nampak beberapa pasangan yang sedang bermesra. Ana pergilah kat diaorang untuk tegur. Belum buka mulut lagi, si lelaki sudah herdik dan keluarkan kata-kata kesat dekat ana.”

“ana senyum dan cuba sehikmah yang boleh tapi makin teruk ana kena maki hamun. Lelaki tu ugut ana untuk malukan ana di khayalak ramai kalau ana tak beredar dari situ.”

“Lepas tu Nur pergilah?” Tanya Naurah dengan penuh minat untuk mengetahui apa yang terjadi.

Nur menganggukkan kepala seraya berkata,“ana pergi lepas bagitahu apa yang perlu”

Insyirah memegang bahu Nur dan menggosok belakangnya. Setelah itu dia berkata,“tenanglah…kita semua ini berurusan dengan manusia, bukannya malaikat”

“Pasti kalian masih ingat perjuangan da’wah Baginda s.a.w… Bukan sahaja dimaki hamun, dicaci, diherdik, tapi Baginda turut dipukul dan dibaling dengan batu. Malah ada yang ingin membunuh Baginda s.a.w….dan akhirnya lihatlah…kita semua kini menganut Islam.”

Nur memandang wajah ketuanya. Akhirnya dia tenang dan tersenyum jua.

“Begitulah…kerja yang kita pilih ini bukan semata-mata kerna gaji untuk menyara hidup dengan rezeki yang halal sahaja tapi lebih dari itu. Kita menyambung perjuangan yang telah Baginda s.a.w. dan para sahabat wariskan buat kita.”

“Oleh itu, lengkapkan diri dengan iman & taqwa. Contohilah sifat sabar Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi kerenah dan ragam manusia ketika berda’wah di Taif. Sifat pemaaf Baginda s.a.w dalam memaafkan segala perbuatan kaum Quraisy sewaktu pembukaan Kota Mekah.”

“Kalau ana kat tempat Nur tadi, mahu saja ana balas kata-katanya. Kubur masing-masingkan, kubur dia yang kena seksa nanti bukan kubur ana. Berani ingkar larangan Allah, tanggunglah akibatnya” Balqis yang diam dari tadi tiba-tiba bersuara. Nadanya berbaur emosi.

Insyirah menggelengkan kepala menandakan dia tidak setuju dengan kata-kata Balqis,“tak baik cakap macam tu Balqis”

“Dah tu ukhty…orang tegur dan bagitahu benda yang betul disisi Islam, kita pula yang kena marah”

“Kerna mereka saudara kita Balqis”. Kata-kata Insyirah membuatkan Balqis terdiam, yang lain juga tersentak seketika. Barangkali lupa tentang itu.

Insyirah tiba-tiba terdiam. Mindanya terkenangkan sesuatu yang telah berlalu hampir 8 tahun yang lalu. Melihat reaksi Insyirah yang diam itu membuatkan Balqis serba salah. Mungkin dia tersilap cakap barangkali.

“Err…ukhty, maaflah kalau ana tersilap cakap. Ana akui emosi tadi” Balqis bersuara akhirnya.

Insyirah yang tersedar dari lamunan terus tersenyum seraya berkata, “tak mengapa Balqis, ana cuma teringat kisah yang berlaku hampir 8 tahun yang lalu”

“Kisah apa tu ukhty? Boleh share dengan kami?” Nur pula bersuara.

Insyirah melihat jaket yang dipakainya. Kisah itu masih segar di ingatannya. Tidak pernah sekalipun dia lupa apa yang telah berlaku. Itulah permulaanya bagaimana dia boleh berhijrah menjadi muslimah solehah seperti hari ini.

“Ana begitu sayangkan jaket nie sebab ianya pemberian dari seseorang yang membawa cahaya dalam hidup ana.”

“Owh…patutlah ana selalu  nampak ukhty pakai jaket nie, ada kisah disebalik rupanya. Ceritalah ukhty…” Naurah tiba-tiba bersuara setelah diam dari tadi.

“Jika sahabat semua mahu tahu, ana dahulunya hidup dalam keadaan yang jahil dan jauh sekali dari Allah s.w.t… selalu menganggap syariat Islam menyekat kebebasan ana untuk melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsu. Ana tidak menutup aurat, solat tidak pernah cukup dalam sehari, selalu keluar dengan teman lelaki dan macam-macam lagi.”

“Sehinggalah datang seorang srikandi yang benar-benar mengubah persepsi ana tentang Islam yang ana anuti. Ana sering melihat dia dan kawan-kawan datang ke tempat ana melepak, menyampaikan risalah yang ada pengisian tentang keindahan Islam. Cuba bergaul mesra dengan kami dan tidak pernah sekalipun dia menghina atau meninggikan suara memarahi kami yang mengejeknya.”

“Pada malam tahun baru, ana keluar dengan teman lelaki dan kawan-kawan yang lain untuk bersukaria dan meraikan kedatangan tahun baru. Sedang berseronok, ada beberapa kumpulan pegawai Jabatan Agama Islam datang ke tempat kami. Mereka melakukan operasi pencegahan maksiat secara besar-besaran.”

“Srikandi ini tadi termasuk dalam golongan sukarelawan yang membantu Jabatan Agama Islam membuat operasi. Ana diminta untuk masuk ke surau dan diberi kaunseling. Hati yang begitu hitam dikala itu memberontak dan terasa marah sekali apabila diminta berbuat demikian”

“Setelah sesi kaunseling tamat, ana terus berlari keluar menuju ke kereta. Sedang berlari, ana terdengar ada suara menjerit memberitahu ada kereta sedang meluncur laju ke arah ana. Tidak sempat berbuat apa-apa, ana merasakan diri ditolak dengan kuat hingga tersungkur di bahu jalan. Dalam masa yang sama ana mendengar dentuman yang kuat dari arah belakang.”

“Sebaik sahaja berpaling ke belakang, ana melihat sekujur tubuh kaku yang berlumuran darah terbaring di atas jalan. Dia telah menyelamatkan ana. Ana kaget, jantung berdegup laju dikala itu. Ana menghampirinya perlahan-lahan, sahabat-sahabatnya mula mengeruminya. Ana terus memeluknya erat-erat, air mata meluncur laju”

“Dia membuka mata perlahan-lahan dan tersenyum kepada ana. Ana bertanya kepadanya, kenapa selamatkan saya? Kenapa tidak dibiarkan saya tadi?”

“Kalian tahu apa jawapannya?” Insyirah tiba-tiba bertanya kepada sahabat yang berada dihadapannya. Naurah, Balqis dan Nur dengan serentak menggelengkan kepala.

“Dia menjawab, kerna akak adalah saudara seIslam saya. Saya akan selamatkan akak tidak kira dalam situasi apa pun termasuklah selamatkan akak dari dunia yang penuh dengan maksiat. Saya mahu bawa akak dan pimpin tangan akak menuju syurga Allah s.w.t…”

“Setelah mengucapkan syahadah, arwah meninggal ditempat kejadian kerna luka yang parah. Ana meraung sekuatnya. Tidak menyangka hatinya begitu mulia untuk melihat saudara seIslamnya kembali kepada fitrah Islam yang sebenar-benarnya. Jaket ini sahabat baiknya yang berikan sebab arwah pernah berpesan, orang terakhir yang memegangnya sewaktu dijemput ilahi akan dihadiahkan jaket ini”

“Sahabatnya juga bagitahu yang arwah sayangkan jaket nie dan selalu memakainya ke mana sahaja beliau pergi dan berharap orang yang menerima jaket ini akan meneruskan perjuangan arwah.”

Insyirah mengambil tisu yang berada di atas meja Nur dan menyapu air matanya.  Dia bersyukur kepada Allah s.w.t. kerna telah memberikan hidayah kepadanya dan berhijrah ke arah lebih baik.

“Semangat arwah Nurul Huda ada dalam diri ana. Ana terasa dia disisi takkala memakai jaket nie dan ana memenuhi harapan dan harat arwah untuk meneruskan perjuangannya dengan kerelaan hati.”

“Setiap kali kita keluar menjalankan operasi pencegahan maksiat atau berjumpa dengan mana-mana insan  yang melakukan maksiat, pasti ana teringatkan kisah silam. Ana cuba mencontohi sikap arwah yang berlembut dan bersabar tika turun lapangan. Kata-katanya benar-benar menusuk hati. Kerana kita bersaudara…..”

“Dia benar-benar berharap agar dapat berpimpin tangan dengan saudara seIslamnya menuju redhaNya dan dipilih masuk ke syurga Allah s.w.t…tidak sanggup melihat mana-mana saudara seIslamnya terus menerus berada dalam keadaan kegelapan yang penuh dengan dosa.”

“Mulia hatinya ukhty. Keikhlasan hatinya telah membawa cahaya petunjuk kepada orang lain yang didekatinya. Pasti sukar untuk mencari srikandi sepertinya. Sanggup berkorban untuk melihat saudara seIslamnya kembali pada fitrah Islam” Nur bersuara. Hatinya terkesan setelah mendengar cerita dari ketuanya.

“Betul tu Nur. Kerna itu bersabarlah dengan kerenah mereka. Kita bantulah mereka untuk kembali pada fitrah Islam sebenarnya. Walaupun mereka bukan ada pertalian darah atau dari keturunan kita. Kita tetap punya talian persaudaraan sesama Islam. Pasti kita tidak sanggup melihat saudara kita diazab atau diseksa diakhirat kelak” Insyirah pula bersuara.

“Jika tidak ada apa-apa lagi. Ayuh sambung kerja kita. Berjuang demi ummah dan Islam. Ikhlaskan hati dan niat kerna Allah s.w.t. agar dipermudahkan segala gerak kerja kita” Insyirah berkata-kata sebelum beredar dari situ dan menuju ke biliknya.

“InsyaAllah ukhty” kata mereka bertiga dengan serentak.

“Nurul Huda…ana mahu jadi sepertimu dan teringin bertemu dengan mu diakhirat nanti. Akan ana pimpin tangan-tangan mereka diluar sana dengan penuh hikmah dan bijaksana walaupun mereka menyakiti hati ini. Kerana kita bersaudara….” Nur bermonolog sendiri lantas menghabiskan coklat panas yang dibuat oleh Insyirah.

Ditambah dengan ramuan mawaddah wa rahmah...(^_^)
-The End-
blog comments powered by Disqus