Rabu, 22 Disember 2010

Ayat-ayat Cinta

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat yang telah Engkau berikan kepada hamba yang kerdil ini. Maha suci Mu, hanya pada Mu ku bersujud dan mengabdikan diri. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih diberi kesempatan untuk menulis. Terasa ingin menukilkan sesesuatu dalam diari ini. Moga ianya memberi manfaat untuk kita bersama…insyaAllah.

Kisahnya bermula sewaktu ana cuti pertengahan semester baru-baru nie. Ana dan seorang adik lagi pergi ke klinik ditemani abah. Dalam perjalanan pulang, abah menceritakan perihal dirinya sewaktu bergelar graduan Universiti.

Abah ana merupakan anak sulung dari 16 orang adik beradik. Jadi, mestilah tekun belajar dan dapatkan kerja yang bagus untuk bantu ayah tok dan nenek. Cukup membanggakan bilamana nenek bagitahu abah merupakan best student di sekolah.

Abah cerita yang beliau tidak fasih berbahasa Inggeris sejak dibangku sekolah lagi sehinggalah masuk ke alam universiti.

“Abah masa tahun akhir kena buat tesis, semua buku dalam bahasa inggeris. Sebelum masuk semester baru, abah translate buku-buku yang dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Jadi, semua kerja jadi mudah termasuk sewaktu nak siapkan tesis walaupun kena buat tesis dalam bahasa Inggeris.”

Hasilnya, abah dapat gred A dalam tesisnya. Setelah bergelar graduan Univerisiti, ramai pegawai dari berbagai syarikat memanggil abah untuk ditemuduga. Abah menceritakan pengalamannya sewaktu menghadiri temuduga.

“Masa temuduga tu, semua panel cakap dalam bahasa Inggeris. Tanya itu ini dalam bahasa Inggeris. Abah pun jawab jelah dalam Bahasa Melayu. Abah bukan tak faham bahasa Inggeris cuma tak reti nak cakap”.


Setelah ditemuduga, abah tidak diterima untuk bekerja dengan syarikat tersebut. Selepas itu, beberapa panggilan temuduga diterima dan situasinya tetap sama seperti tadi. Panel bertanya dan bercakap dalam bahasa Inggeris, abah tetap jawab pertanyaan yang diajukan dalam bahasa Melayu.

Namun, tetap juga tidak diterima untuk berkerja kerana abah tidak boleh berbahasa Inggeris. Setelah beberapa ketika, syarikat yang memanggil abah temuduga di permulaan memanggilnya untuk kali yang kedua.

“Panel tu bagitahu abah, saya tak nak dengar apa-apa tentang diri kamu sebab saya dah dengar semuanya waktu temuduga pertama. Syarikat akan berikan kamu sebuah rumah dan sebiji kereta serta gaji yang lumayan. Syaratnya hanya satu, saya nak dengar kamu bercakap dalam bahasa Inggeris.”

Ana teruja bila dengar. Mana taknya, semua keperluan tempat tinggal dan kenderaan disediakan. Tambahan pula syarikat tersebut adalah syarikat dari luar negara yang beroperasi di Malaysia.

“abah pun bagitahulah panel tu, saya bukan tak faham orang cakap bahasa Inggeris cuma saya tak reti nak cakap”

Akhirnya bukan rezeki abah untuk berkerja disyarikat tersebut. Setelah itu, abah memilih profesion perguruan dan menjadi guru seperti ayah tok. Alhamdulillah, walaupun abah tidak fasih berbahasa Inggeris dan menyebabkan beliau tidak dapat kerja yang bagus dipermulaannya, kami tetap hidup dengan selesa.

Mesti ada yang tertanya-tanya, apa kena cerita yang ana coretkan dengan tajuk artikel kali nie ye? (^__^)

XXXXXXXXXXXXXXX

Kebanyakan insan lebih gemar untuk mempelajari dan fasih berbahasa Inggeris sehingga ada ibu bapa yang sanggup menghabiskan ratusan wang ringgit untuk menghantar anaknya ke kelas intensif bagi membolehkan anak-anak mereka fasih berbahasa Inggeris.

Tapi sayangnya, semua itu tidak berlaku kepada bahasa al-Quran. Ramai anak-anak dan remaja, mungkin golongan tua juga barangkali yang tidak reti dan tidak tahu baca al-Quran. Lebih malang lagi apabila huruf-hurufnya juga tidak kenali.

Jika masyarakat hari ini bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa yang menjadi komunikasi masyarakat antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Kenapa bahasa komunikasi para penghuni syurga tidak turut dipelajari dengan bersungguh-sungguh seperti bahasa Inggeris?

Ana teringat kata-kata seorang kakak senior sewaktu tazkirah maghrib di surau.

“Dunia hari ini semakin di ambang kegelapan, maksiat disana sini, jenayah semakin menjadi-jadi, dan gejala social semakin kritikal. Salah satunya adalah kerna masyarakat tidak kenal, tidak tahu dan tidak reti untuk baca al-Quran. Kerana apa? Solat mereka tidak diterima dan tidak diangkat naik ke langit. Bukankah solat itu mencegah perkara keji dan mungkar?”

“Bagaimana mahu solat diterima jika bacaan al-fatihah tidak betul, rukun-rukun dalam solat tidak dipelajari dengan mendalam malah tiap bacaan yang wajib seperti tahiyat juga tidak kena. Inilah salah satu sebab kenapa masyarakat gagal untuk membendung gejala sosial yang semakin kritikal”

Ana termenung seketika mendengar kata-katanya. Ada benarnya…jika kita dengar maksud laungan azan iaitu marilah tunaikan solat, marilah tuju kejayaan. Pasti kita tahu, solat bukan sekadar ibadah wajib tetapi ia punya kekuatan dan tujuan tersendiri.

Setelah itu kami duduk berbincang untuk mengajar al-Quran di surau. Alhamdulillah Pusat Islam di kampus sudah menggerakkannya di awal semester dengan mengajar adik-adik baru untuk kenal dan fasih membaca al-Quran melalui fasilitator yang punya ilmu.

Al-Quran ini sungguh luar biasa dan unik kerna ia datang dari Allah s.w.t. dan bukan ciptaan manusia malah setiap hurufnya ada seorang malaikat yang menjaganya. Tidakkah kita terfikir kenapa kita tidak jemu takkala membaca ayat-ayat al-Quran walaupun ayatnya sering diulang-diulang? Contohnya surah al-fatihah ketika solat. Itulah yang diulang setiap hari.

Jadi, kenapa kita tidak menyentuh atau membacanya lagi setelah khatam al-Quran ketika kecil? Adakah al-Quran dibaca hanya ketika ada kematian, acara keagamaan atau sebagainya? Dan al-Quran bukan untuk dipertandingkan semata-mata tetapi ianya mahu untuk difahami isinya dan diamalkan apa yang ada didalamnya.

Ana tersenyum sendiri takkala mendengar pengisian yang diberikan oleh Ustaz Zahazan dalam tafsir al-Quran di IKIM. Ustaz ada menyebut, jika boleh pastikan surah al-fatihah kita yang ajar kepada anak-anak. Sebab apa? Banyak pahalanya jika mahu dihitung. Bayangkan anak-anak kita baca dalam solat sehari-hari dari kecil hinggalah dia meninggal dunia. Subhanallah, tidak terhitung banyaknya pahala.

Bayangkanlah pula jika guru-guru agama mengajar al-Quran kepada orang lain. Masyaallah…saat orang lain membaca al-Quran, mengalir pahala kepada orang yang mengajarnya. Oleh itu, jika tak dapat ajar orang lain. Ajarlah ahli keluarga kita untuk fasih dan reti membaca al-Quran.

Ana dan adik-beradik yang lain juga abah sendiri yang ajarkan. Masih terkenang diwaktu kecil, dimarahi kerna tersilap menyebut huruf dan tajwidnya walaupun sudah diulang beberapa kali…hehe

Sematkan cita-cita dalam jiwa untuk menjadi hafiz dan hafizah dalam al-Quran. Menjadi al-Quran bergerak yang ada dalam dada masing-masing. Al-Quran yang akan menjadi teman kita di kubur nanti sewaktu dunia dan isinya melangkah pergi dan tinggalkan kita.

XXXXXXXXXXXXXXX

Kita tidak akan rugi jika tidak fasih berbahasa Inggeris. Abah ana adalah buktinya. Tapi percayalah, kita akan rugi bukan sahaja di dunia malah juga diakhirat jika tidak tahu dan tidak reti untuk membaca al-Quran.

Sebaiknya, kita gabungkan ia. Bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris tetapi juga mantap bacaan dan bagus pengetahuannya tentang al-Quran serta mahir dalam pelbagai bidang. Menjadi Muslim professional yang dipandang hebat pada pandangan masyarakat.

Ana suka katakan ayat-ayat al-Quran ini sebagai ayat-ayat cinta kerna bahasanya cukup indah dan menggetarkan jiwa takkala membacanya. Lagipula, ianya datang dari cinta pertama ana…(^_^)

Ayuh sahabat, kita menjadi generasi acuan al-Quran…(“,)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus