Isnin, 13 Disember 2010

Mencari Kesembuhan…(“,)


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan Iman dan Islam, hanya pada Mu ku bersujud. Selawat dan salam buat idola hatiku yang amat-amat diri ini cintai dan rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah…akhirnya diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk mencoretkan sesuatu dalam diari ana ini walaupun terpaksa menulisnya dalam keadaan bersandar di bahu katil. Kondisi badan ana tidak berapa bagus di kala ini, di uji dengan kesakitan…

Hampir empat hari terlantar atas katil, kadangkala mencari kekuatan untuk bangun sendiri walaupun badan begitu lemah. Mesej yang tidak berbalas, call yang tidak diangkat juga pesanan yang ditinggalkan tidak dijawab. Maaf sahabat-sahabat semua, kali ini ana perlu waktu untuk diri sendiri. Harap kalian mengerti ya…(“,)

Ana berharap coretan ini dapat menjawab segala persoalan yang sedang bermain di minda sahabat-sahabat semua…insyaAllah…

Ana mengalami kerosakan gigi yang teruk kerna sering menangguhkan temujanji yang dibuat dengan Dr. Gigi. Bukannya ana sengaja melakukan itu. Seingat ana, awal semester ini temujanji itu dibuat, namun asyik menangguhkannya kerna punya urusan yang lebih penting.

Dek kerana temujanji yang dibuat bertembung dengan program, seminar, kem juga urusan da’wah lain membuatkan ana mengabaikan temujanji itu seketika sehinggalah kesakitan itu berlarutan iaitu di kala ini.

Ia…pernah ana merasakan kesakitan yang amat dalam tempoh tersebut tetapi hanya menahan sahaja demi urusan kerja da’wah. Jika dibaca pada coretan artikel-artikel yang telah disiarkan dalam diari ini, berbagai dugaan, cobaan jua musibah yang telah ana lalui membuatkan ana terlupa seketika tentang “sakit” itu.

Gigi yang rosak ini mengakibatkan ana tidak mampu untuk tidur lena apatah lagi makan. Perut terasa lapar namun tidak dapat masuk ke mulut akibat sakit yang amat. Urat leher ana juga bengkak menyebabkan ana sukar untuk bercakap. Kerna makanan yang tidak dapat melepasi mulut membuatkan ana tidak punya tenaga untuk berjalan. Hanya kekuatan semangat memampukan ana bangun dan bergerak.

Ujian kesakitan ini membuatkan ana tersenyum sendiri…(^_^)…kerna dipilih untuk melalui semua ini. Buat apa ana merungut kerna seringkali dihinggap musibah yang tidak diundang sama sekali. Buat apa ana mengeluh diuji dengan kesakitan ini. Sebaiknya ana redha dan ikhlas menerimanya dengan berlapang dada…(“,)

Masakan seorang hamba itu dikatakan beriman selagi mana dia tidak diuji. 

Jika para pembaca mahu tahu, cerpen kanta hikmah itu ana coretkan tika mana kesakitan ini mula menyerang sehingga membuatkan badan ini lumpuh seketika. Alhamdulillah ana berjaya siapkan walaupun menulisnya dalam keadaan mengerang kesakitan.

Apatah lagi setelah itu, diuji pula laptop kesayangan ana rosak sehingga terpaksa dihantar ke klinik untuk dibaiki. Segala kajian yang telah ana lakukan, tulisan-tulisan yang ana muatkan di desktop juga beberapa dokumen penting pasti musnah begitu sahaja. Apa pun ana redha dan ikhlaskan hati menerima semua itu dengan hati yang terbuka…(“,)

Usah sahabat pembaca semua khuatir, “kanta hikmah” ana berfungsi dengan sebaiknya…(“,) iaitu melihat imej hikmah yang sebesarnya. Perut yang kelaparan ini membuatkan nafsu begitu mudah ditundukkan, laptop yang rosak membuatkan ana meneruskan pembacaan dengan buku-buku terpilih yang ana bawa balik dari kampus. Dan yang pasti, ana merasakan Allah s.w.t. merasa dekat sekali dengan ana…(“,) Alhamdulillah…

InsyaAllah ana akan sembuh jika DIA izinkan dan kembali menulis seperti biasa cuma tidak tahu bila masanya akan tiba. Tiap musibah itu hadir bersama hikmah, tiap kesakitan itu hadir bersama ubatnya, tiap masalah itu akan hadir penyelesaiannya. Dia tidak pernah sekalipun menyakiti hambaNya…(“,)

Lapangkan dada, luaskan fikiran, tenangkan hati dan carilah hikmahnya. Doakan ana ye sahabat-sahabat semua, ana amat-amat memerlukan doa dari kalian semua untuk cepat sembuh supaya dapat segera kembali ke lapangan da’wah….ameen ya robb…

Terbang mencari kesembuhan…(^_^)
blog comments powered by Disqus