“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Iman dan Islam ini, tidak terhitung nilainya Ya Allah…Selawat dan salam buat idola hati ku yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah…masa ku untuk kembali ke Utara Malaysia bakal tiba pada penghujungnya. Malam ini ana akan berangkat pulang untuk meneruskan medan perjuangan yang telah ku tinggal beberapa hari.
Terasa ingin menulis tentang seseorang sebelum ana meninggalkannya lagi malam ini. Insan yang paling istimewa dalam keluarga kami. Insan yang paling banyak mengajar kami semua erti kesabaran, pengorbanan, kebahagiaan dan segalanya. Dialah Anis Syakirin, anak ke tujuh dari sembilan orang adik beradik.
Masih terbayang kerenah adik perempuan ana sebaik tiba di rumah. Dek kerana tidak boleh tidur dalam bas, ana tertidur di sofa ruang tamu. Adik ana memujuk kakaknya ini untuk bermain dengannya. Sudah berapa kali dia mengoncang badan ana namun tiada respon, lantas dia cuba pula membuka kelopak mata ana. Terkejut dibuatnya, lantas dia tersenyum pabila ana senyum padanya.
Rindu barangkali…bisik hati ku.
Ana sering menziarahi blog para ibu yang punya anak istimewa. Mereka menceritakan kehidupan bersama dengan anak istimewa. Lalu ana berkenalan dengan salah seorang dari mereka. Terdetik di hati untuk menceritakan pengalaman kami sekeluarga sewaktu di awal perjuangan untuk cuba sedayanya memulihkan Anis.
Sewaktu Anis lahir, ada sedikit masalah. Kata Umie, anis lemas di saat doktor cuba keluarkannya. Pada mulanya kami menyangka ia tidak ada apa-apa padanya. Kami mula menyedari apabila usianya satu tahun tetapi masih tidak mampu untuk meniarap apatah lagi merangkak. Sebaik usianya dua tahun, dia masih tetap begitu.
Di saat itulah, abah dan umie berusaha sedayanya untuk memulihkannya. sudah banyak doktor pakar kami temui namun tiada hasil. Perubatan secara moden mahupun tradisional juga tidak membuahkan hasil.
Anis sering sakit, mungkin kerna antibody badannya tidak kuat. Alhamdulillah hanya sakit biasa-biasa. Masa terus berlalu, tahun demi tahun hinggalah kami sekeluarga berpindah dari Pahang ke Kelantan. Anis tetap begitu. Kata doktor, pertumbuhannya lambat. Jika umurnya sudah 7 tahun, seolah-olah dia baru sahaja berumur 3 tahun.
Sehingga kini, dia masih tidak boleh bercakap. Hanya boleh sebut abah sahaja. Jalannya juga tidak teratur seperti yang lain. Sebaik berpindah rumah, ada sebuah tempat pemulihan yang mengajar kanak-kanak istimewa. Ana masih ingat sewaktu menunggu panggilan untuk menyambung pelajaran ke Matrikulasi. Cuti beberapa bulan ana manfaatkannya, ana menemani anis ke Pusat Kegiatan Pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya.
Disitulah tempat yang banyak memberi pengajaran kepada ana. Betapa bertuahnya menjadi insan yang normal. Jika mereka-mereka yang istimewa dipandang pelik ketika bergaul dengan yang normal, begitu juga dengan ana sewaktu menemani Anis ke situ. Terasa diri ini pula yang pelik.
Di situ ana melihat pengorbanan seorang ibu yang tetap setia untuk membesarkan anak-anak mereka. Tidak sedikit pun keluhan keluar dari mulut mereka menyesali takdir yang telah ditentukan buat mereka. Subhanallah..
Di situ jualah ana melihat insan istimewa ini berjuang untuk kehidupan mereka. Berjuang untuk hidup berdikari. Berjuang sedayanya untuk tidak menyusahkan kedua ibu bapa mereka. Alhamdulillah, sudah banyak peningkatan yang dapat ana lihat selepas Anis mengikuti kelas yang disediakan buat kanak-kanak kurang upaya.
Masih tergiang-giang kata gurunya, “kanak-kanak kurang upaya nie kena diberi latihan dari awal, jangan kerna kasihan dibiarkan sahaja duduk di rumah. Mereka perlu didik, mampu berdikari untuk menguruskan kehidupan seharian pun sudah cukup”.
Ada benarnya kata-kata guru tersebut. Ana melihat seorang remaja yang sudah berusia 19 tahun tetapi baru sahaja dihantar ke Pusat tersebut. Agak sukar untuk mendidiknya berbanding mereka yang masih kecil.
Di rumah pula, anis masih diberi latihan oleh kami adik beradik. Kanak-kanak kurang upaya ini mudah tertarik dengan sesuatu yang warna warni. Anis punya kelebihan iaitu mudah ikut apa yang orang lain buat, tidak mudah jemu, dan suka apa sahaja yang mampu membuatnya ketawa.
Pernah dulu, dia cuba membuka sendiri plastic yang berisi roti untuk dia makan bersama dengan air milo. Mungkin sering memerhati orang lain menggunakan pisau membukanya. Akibatnya, jarinya luka. Ana tidak tahu, sebaik sahaja melihat darah yang keluar tidak henti-henti, ana berlalu ke bilik untuk mengambil tuala bagi menghentikan pendarahan.
Yang tak tahannya, dia boleh gelak lagi. Ana nie dah tak boleh nak senyum sebab pendarahannya teruk. Deria rasanya tidak seperti orang lain. Dia susah untuk menangis tapi bila dah nangis, susah nak berhenti..hehe…
Apabila ana sudah menjadi mahasiswi UUM, Anis akhinya sudah boleh pergi ke sekolah. Itupun tika usianya 9 tahun. Anis begitu teruja untuk ke sekolah, apatah lagi setelah melihat adiknya pergi ke tadika. Umie cuba berurusan dengan pihak tadika supaya Anis juga boleh ditempatkan disitu.
Permulaan, semuanya berjalan dengan lancar. Selepas beberapa hari cikgu tadika tersebut memberitahu pihak pentadbirannya tidak sanggup untuk menjaganya. Kami memahami kerna tika itu Anis masih tidak mampu menjaga dirinya, selalu buang air kecil dan besar di mana sahaja kerna deria rasanya tidak seperti yang lain.
Akhirnya Anis kembali ke rumah pengasuh. Di saat umie memberitahu Anis diterima masuk ke sekolah rendah bagi orang kurang upaya, hati ana sebak. Doa kami sekeluarga dimakbulkan oleh Allah s.w.t… jika kami berkumpul sekeluarga, abah akan ajak kami semua solat hajat untuk Anis.
Sebaik ana pulang ke rumah, melihat kali pertama Anis lengkap berpakaian uniform sekolah. Ana menangis sebab betapa dia begitu teringin ke sekolah seperti kanak-kanak sebayanya.
Alhamdulillah, kedua-dua adik lelaki dibawahnya memahami dirinya. kalau kami berpesan, jaga kak anis ye… Mereka mengerti tanpa banyak soal. Malah tidak menyisihkan kakaknya. Tidak juga bersoal banyak kenapa kakaknya begitu dan begini.
Anis begitu sukakan buku. Kadang-kadang ketika kami sibuk mengulang kaji pelajaran. Dia datang meminta pen atau pensil untuk dia turut menulis. Terdengar juga bebelan keluar dari mulutnya namun langsung tidak dapat kami sekeluarga fahami.
Anis mencipta bahasa isyaratnya sendiri apabila berkomunikasi dengan kami. Jika di mahu makan, diambilnya pinggan dan dihulurkan kepada kami, itu tandanya dia mahu makan nasi. Kami sekeluarga kadang-kadang tidak faham apa yang dibagitahu tetapi dia mengerti apa yang kami bagitahu. Itu kelebihannya dan kadang-kala juga dia dapat meneka apa yang perlu dibuat tanpa dipinta.
XXXXXXXXXXXXX
Semalam, ana bawa dia jalan-jalan ke sekolah lama ana. Kami melihat gelagat manusia yang normal, kelakar juga…hehe… sebab Anis suka memerhati gelagat orang.
Dia menarik tangan ana, ana ikut sahaja ke mana kakinya melangkah pergi. Tiba di satu kelas, ada yang pelik dengannya. Pabila ana berlalu, ana terdengar suara orang ketawa. Ana hanya tersenyum.
Kami sekeluarga tidak malu membawanya ke tempat awam walaupun kadang-kala ada mata yang memerhati. Malah jika boleh, ana mahu khabarkan satu dunia. Ini adik kandung ana, dia juga salah satu sumber kekuatan buat diri ini.
Kerna dia paling kuat antara kami semua. Kuat memperjuangkan hidupnya, untuk masa depannya. Tidak peduli apa tanggapan orang tentangnnya, walaupun tidak mampu berkomunikasi dengan orang lain, dia tetap mahu bergaul dengan orang lain. Ana benar-benar berharap dapat mendengar dia memanggil kak ngah suatu hari nanti…
Tiap kali ana memandangnya, hati ana tenang. Hati ana sering berbisik, “kuatnya jiwa mu anis, masih tersenyum dan bergelak ketawa hatta diri mu tidak seperti insan lain. Uniknya ciptaan Allah s.w.t…”
Akhirnya ana jumpa juga hikmah ana pulang ke kampung halaman. Kekuatan…(^_^)… melalui Anis Syakirin.
Hati ana bermonolog sendiri takkala dia sedang bercanda dengan ana saat ana sedang menulis artikel ini. “normalnya aku ini ada harganya, anugerah ini bukan percuma dari Yang Maha Esa. Ada “harga”, aku perlu membayarnya dengan berbakti pada masyarakat, terutama insan yang kurang upaya sepertinya…”
Subhanallah…
Buat ibu-ibu, bapa-bapa, kakak-kakak, abang-abang, adik-adik yang punya insan istimewa….bersyukurlah kerna ia adalah anugerah paling-paling istimewa. Kesabaran kalian di dunia akan dibalas olehNYA di akhirat sana kerna yang masuk syurga adalah semuanya insan normal…(“,)