“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas segala nikmat yang telah Engkau berikan, hamba ini bersyukur atas segala pemberian Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Badan terasa kepenatan yang teramat sangat, namun hati mahu menukilkan sesuatu. Digagahkan juga mencapai laptop dan bersandar di bahu katil. Apa pun, alhamdulillah masih diizinkan untuk menulis…[^_^]
Ingatan peristiwa beberapa hari yang lalu masih tersemat kukuh diingatan, apatah lagi melihat gambar yang diambil tempoh hari. Dan baru ku sedar sesuatu, ana amat-amat memerlukan kamera sendiri untuk merakam apa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Moga-moga diizinkan untuk memilikinya satu masa nanti..ameen.
Tiga hari lepas, semasa menghantar sahabat ana ke stesen bas untuk balik ke rumahnya setelah bermalam di rumah ana beberapa hari, mata ana terpandang sesuatu semasa kami sedang berbual.
Mungkin dia tidak perasan yang ana perhatikannya dari awal hinggalah dia hilang dari pandangan mata ana. Apa yang kalian dapat tafsir takkala melihat gambar ini?
Mungkin saja dalam kalangan kalian ada yang terdetik di hati mengatakan, “ianya hanyalah sekeping gambar yang menunjukkan seorang lelaki yang sedang membersihkan kawasan tersebut”.
Ia…itu benar kerna ditangan kiri dan kanannya sedang memegang penyapu dan penyodok disamping sedang menolak troli yang berisi sampah.
Gambar ini diambil setelah pak cik ini selesai membersihkan sampah-sampah yang ada di sekitar stesen bas tersebut. Dan ana perasan, tidak seorang pun insan yang turut menunggu bas di situ merasa kehadiran pak cik ini.
Ana melihat dia tekun membersihkan sampah yang ada di sekitarnya, dijenguk satu persatu sekiranya masih ada sampah yang tertinggal di celah-celah tempat duduk.
Sekiranya ada botol plastik atau kaca, tin dan barang-barang yang boleh dikitar semula, akan diasingnya terlebih dahulu. Langsung tiada rungutan yang keluar dari mulutnya seperti yang selalu ana temui sebelum ini…subhanallah..
Hati ana dimuhasabah sendiri takkala melihat pak cik ini tekun menyiapkan kerjanya. Rupanya masih ada insan seperti pak cik ini yang masih sanggup melakukan kerja sebegini demi mencari rezeki yang halal berbanding mereka yang mengambil jalan pintas dengan meragut, merompak, dan mencuri harta benda orang lain kerna mahu cepat kaya.
Masih ana ingat kata-kata seorang sahabat, “boleh jadi, penoreh getah itu lebih ikhlas dalam mencari rezeki dan kebergantungannya kepada Allah s.w.t. berbanding dengan pegawai-pegawai yang makan gaji”
“sebab apa ana katakan sedemikian? sekiranya hari itu hujan, pasti hari itu tiada hasilnya kerna mereka tidak dapat menoreh di kala hujan. Tekun dan bersabar dalam menjalankan urusan mereka, jika curi tulang pasti rezeki mereka sikit pada hari tersebut”
“sedangkan pegawai-pegawai yang makan gaji, buat kerja sambil lewa ke, curi tulang ke, lebih banyak bersembang dan seangkatan dengannya, pasti setiap hujung bulan gaji akan tetap masuk…”
Maka, tidak hairanlah sekiranya ada yang tidak yakin bahawa rezeki itu datang dari Allah s.w.t. kerna semua itu sudah dihidangkan depan mata melainkan Dia menarik nikmat kesihatan yang telah Dia anugerahkan.
Dan tiada lagi istilah pekerjaan itu adalah suatu ibadah dan tidak mustahil rezeki yang kita dapat hasil curi tulang tersebut menjadi haram kerna tidak amanah dalam melaksanakan kerja.
Pak cik tadi langsung tidak merungut dengan pekerjaan yang dia perolehi, malah mungkin bersyukur dengan apa yang ada dan dimiliknya kini. Tiada yang lebih berharga melainkan sentiasa dalam keredhaan Allah s.w.t.
“orang yang paling kaya di dunia ini adalah bilamana dia merasa cukup dengan apa yang dimiliknya…”
Itulah dia kehidupan. Setiap orang pasti punya watak dan karakter yang mesti di lakonkan di pentas dunia. Punya jalan cerita, sinopsis dan rentak yang berbeza, namun matlamat yang satu iaitu menuju kehidupan yang kekal abadi.
Jika terpesong wataknya yang diberikan oleh “pengarah Agung”, akan ada habuannya. Mungkin barangkali “dibuang kerja”. Dan yang pasti, watak-watak pelakon yang berlakon di pentas dunia, sudah pun diketahui bakat dan kelebihannya. Cuma terserah kepada pelakon tersebut untuk memainkan wataknya…wallahua’lam
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)