Catatan 13/7/2011
“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi kesempatan kepada hamba ini untuk menghirup udara malam. Selawat dan salam buat utusan teragung, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah…hari ini, terlakar sesuatu dalam kanvas kehidupan ana. Semalam, ana menerima mesej daripada mak saudara yang mahu menjemput ana memberi motivasi kepada anak-anak didik di sekolahnya seperti yang dilakukan pada tahun lepas.
Ana lafazkan kesyukuran saat menerima berita tersebut, akhirnya doa ana dimakbulkan iaitu mahu turun berbakti kepada masyarakat di kala cuti yang terlalu panjang. Akhirnya terubat juga kerinduan ana untuk turun lapangan setelah membatalkan beberapa program yang telah dirancang sebelum cuti…alhamdulillah…
Seawal pagi, ana sudah memecutkan motor ke sana. Dalam keadaan embun yang masih terasa dan tiada lesen motor, ditambah pula itulah kali pertama ana menaiki motor seorang diri sejauh itu. Ketakutan itu pasti terasa dengan pelbagai kemungkinan seperti kemalangan, disaman polis atau apa sahaja.
Namun, ana cabar diri sendiri untuk lakukannya juga walaupun pada mulanya abah melarang. Reaksi umie yang seolah-olah mengizinkan anaknya pergi membuatkan ana termotivasi sendiri. Dan sememangnya umie kenal anaknya ini, apabila sudah nekad membuat keputusan, tiada siapa yang dapat mengubahnya…(^_^)
Tangan umie ana cium sebelum pergi dan pesanan yang dititipkan, “bawa motor molek…”. Ana teruskan langkah walaupun badan terasa kepenatan kerna tidak tidur semalaman menyiapkan tempahan tudung labuh & niqob.
Sebaik sahaja tiba, ana dan beberapa bekas pelajar sekolah tersebut dibawa ke auditorium untuk bersama dengan calon-calon STPM pada tahun ini. Sebelum masuk, cikgu pengiring menyatakan kebimbangan melihat anak didiknya saban hari seolah-olah sudah hilang semangat untuk belajar.
Kerna itulah kami berada disitu, iaitu menaikkan semula motivasi adik-adik untuk berjuang demi masa depan mereka sendiri. Ana juga pernah melalui zaman seperti mereka, pernah juga merasai jatuh bangun sebagai pelajar sekolah.
Takkala berada di hadapan adik-adik, kenangan semasa belajar di sekolah menerjah diminda. Kerna kegagalan demi kegagalan yang ana alami, menjadikan ana seperti yang kalian fikirkan setiap kali membaca artikel yang ana tulis. Masakan mungkin ana mampu menulis artikel-artikel motivasi kalau diri sendiri tidak bermotivasi.
“Mereka yang tidak pernah merasai pahitnya kegagalan, tidak akan pernah merasai manisnya kejayaan”
Ia….itulah kebenarannya. Sememangnya pahit untuk menelan kegagalan yang kita alami, apatah lagi takkala kita begitu berharap untuk berjaya. Namun, sedarkah kita…kerna kegagalan itulah yang membuatkan kita kukuh berdiri seperti hari ini.
Pengalaman yang ana lalui sepanjang bergelar pelajar sekolah, ana kongsi bersama adik-adik. Di saat sahabat yang lain berucap, adik-adik masih dengan dunianya. Bergelak ketawa dan bergurau senda seolah-olah hidup ini hanya untuk suka-suka tanpa ada matlamat hidup!
Ana jadi tidak senang duduk melihat suasana tersebut. Di saat mikrofon berada di tangan, bermulalah sesi “basuh membasuh”. Mereka mesti di sedarkan, peluang sudah terbentang luas, apatah lagi menjadi calon STPM adalah peluang kedua setelah terkandas semasa SPM.
Mereka terasa sudah hilang semangat untuk belajar di awal masuk tingkatan 6 lagi disaat melihat teman-teman mereka sudah punya hala hidup sendiri. Ada yang berada di matrikulasi, kolej komuniti, diploma dan banyak lagi. Sedangkan mereka pula masih berpakaian seragam sekolah!
Di tambah pula ibubapa ada yang kecewa dengan kegagalan mereka, disisihkan oleh adik beradik yang lain, saudara mara pula asyik memperli dan memperlekehkan mereka. Maka, bagaimana motivasi untuk terus belajar itu akan timbul sekiranya KITA yang menjadi penyumbang kepada kegagalan mereka!
Itu adalah realitinya. Berapa ramai antara kita yang lupa kepada sahabat-sahabat yang tidak dapat masuk ke universiti? Berapa ramai antara kita yang sanggup pergi ke sekolah takkala cuti semester untuk berjumpa dengan sahabat mereka dan memberi mereka motivasi untuk terus berjaya?
Nampak remeh dan mudah sahaja kan? Tapi kesannya cukup besar. Kerna ana pernah merasai bagaimana pahitnya kegagalan, tiap kali cuti semester semasa di matrikulasi, ana akan pergi ke sekolah bertemu sahabat-sahabat lama yang berada di tingkatan 6.
Ana berkongsi cerita betapa seronoknya belajar di sana dan kata-kata yang seringkali ana titipkan sebelum pulang, “saya tunggu kalian di univerisiti ye…”. Dan takkala melihat kelibat sahabat-sahabat yang berada satu kampus dengan ana, ana tersenyum sendiri…alhamdulillah.
Takkala ana bertanya kepada adik-adik, “adakah ini pilihan adik-adik? berada di tingkatan 6 dan bukan di universiti?”. Hampir kesemua mengatakan tidak dan ada juga yang menggelengkan kepala.
Siapa yang mahu gagal? Tanyalah kepada sesiapa pun, tiada seorang pun yang mahukannya termasuklah ana sendiri. Dan kegagalan itu juga bukan pilihan kita. Namun, adakah kegagalan itu penamat untuk segalanya?
Tetapi, kita punya pilihan dan boleh memilih untuk berjaya. Kerna tidak ada seorang pun atas muka bumi ini yang punya hak untuk halang kita dari mengecapi kejayaan kecuali tanpa izin dari Allah s.w.t..
Setiap orang punya hak untuk berjaya, diri itu sendiri yang mesti sedar dan bangun dari lena yang panjang serta melihat peluang yang sudah terbuka luas di depan mata.
Matlamat hidup mesti jelas dan jalan-jalan untuk mencapai kejayaan mesti disusun dengan teratur. Saat tersalah langkah, berhentilah seketika untuk melihat dimana lompangnya disamping mencari solusinya. Masalah yang ada mesti kita selesaikan dan bukan lari padanya.
“orang yang bijak adalah bilamana dia belajar dari pengalaman hidupnya sendiri. Dan orang yang lebih bijak adalah bilamana dia belajar dari pengalaman hidup orang lain…”
Di saat mendengar perkongsian dari sahabat yang lain semasa program, ditambah pula pengalaman hidup seorang cikgu pengiring dan luahan hati adik-adik, ana tersenyum sendiri.
Pengalaman hidup sememangnya berbeza, keadaan kita hari inilah yang menentukan kita dimasa hadapan. Dan untuk menjadi orang yang hebat, pastinya dia juga akan diuji dengan hebat.
Orang disekeliling hanya mampu untuk memberi nasihat, dorongan dan semangat sahaja. Yang menentukan hala tuju hidup kita adalah diri kita sendiri. Orang lain memperlekehkan kita macam mana sekalipun, tetapi sekiranya kita yakin yang kita boleh lakukan, tiada apa yang mampu menghalangnya. Mohonlah keizinan dari Allah s.w.t…
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)