Sabtu, 25 Jun 2011

Langkah Pertama

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau berikan, moga hamba ini menjadi hamba yang bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih diberi kesempatan dan keizinan untuk terus menulis, moga-moga diri ini sentiasa istiqomah untuk menulis. Mendapat ilham, cuma menunggu masa  untuk minda dan badan ini betul-betul bersedia kerna terasa keletihan yang amat…(^_^)

Bagi pembaca yang masih belum membaca cerpen yang ana tulis pada post yang lepas, ana sarankan supaya kalian baca terlebih dahulu dan buatlah penilaian kerna artikel kali ini ada kaitan dengannya.

Sebaik sahaja cerpen “Makna Hidup Untuk Memberi” siap dan ana letak di pautan Facebook untuk tatapan sahabat di Facebook, alhamdulillah mendapat respon yang baik. Syukur ku padaNya dan terus berdoa moga ianya sentiasa memberi manfaat buat yang membacanya.

Cerpen tersebut merupakan cerpen ke-4 yang pernah ana tulis dan sememangnya cerpen-cerpen sebelum ini ditulis dengan punya kaitan dengan ana cuma jalan ceritanya sahaja tidak serupa namun punya motif yang sama kerna hati ini yang berbicara, akal yang mentafsir dan tangan menterjemahkan melalui penulisan…(^_^)

Apa yang mahu ana katakan disini, tiap insan punya peluang untuk cuba menulis atau menukilkan sesuatu samaada menulis sajak, puisi, kata-kata hikmah, kritikan, cerita dan apa-apa sahaja dan orang lain tidak punya hak untuk menghalang melainkan Allah s.w.t..

Maka, katakan pada diri…“aku juga boleh lakukan…”


Yakinlah pada keupayaan diri. Begitu juga dalam hal yang benar-benar kita mahu dan impikan. Setiap orang punya matlamat dan impian dalam hidup bukan? walaupun ianya hanya nampak kecil dan remeh di mata orang lain. Bohonglah sekiranya ada diantara kita tidak punya impian, matlamat mahupun cita-cita.

Ia…mungkin ada diantara kita masih ragu-ragu untuk laksanakannya kerna takut sekiranya mengalami kegagalan ataupun berhenti sekerat jalan. Namun, bagaimana kita tahu sesuatu itu akan jadi sebegitu jika kita tidak pernah sekali-kali untuk mencuba.

Keupayaan setiap insan berbeza, mungkin ada sahabat kita yang pandai dalam bidang kedoktoran mahupun perniagaan, tetapi kita pula hanya tahu untuk melukis. Usah khuatir kerna Allah s.w.t. itu tidak pernah menzalimi kerna Dia tahu keupayaan dan kekuatan hambaNya.

Cuma…keupayaan dan kelebihan itu mesti kita keluarkan dan didik supaya ianya sentiasa diperbaiki dari semasa juga semasa. Ana juga mengalami proses itu. Sejak dari kecil, apa yang ana lakukan lebih banyak temui kegagalan berbanding kejayaan.

“ku juga merasai peritnya kegagalan…Namun, ku mahu jadi umat yang kuat & kental daripada hanya menangis tanpa apa-apa usaha kerna dunia ini terlalu banyak ruang dan peluang untuk senyum kembali dan mengukir sejarah kegemilangan… Yakinlah dengan keupayaan diri mu…” 

Maka, mesti berani untuk mulakan langkah pertama. Cabar keupayaan diri kalian untuk terus maju ke hadapan. Asah hati dan jiwa supaya tidak pernah kenal erti putus asa dan kecewa kerna setiap insan punya peluang yang sama rata. Jadi, gunakan ia dengan sebaik mungkin.

Melaksanakan sesuatu dengan rela hati dan penuh minat pasti mengundang kepuasan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata dan hasil yang cukup lumayan. Juga melatih diri untuk ikhlas. Senyumlah walau apa pun cabaran di hadapan…

Langkah pertama…ia, tiap insan punya peluang dan harapan untuk berjaya dalam sesuatu perkara yang diimpikan, semuanya terpulang pada kita samaada mahu mencabar keupayaan diri atau masih duduk di tempat yang sama. Gagal itu lumrah, namun ana respect kepada insan yang dapat bangkit semula dari kegagalan.

Ayuh, mulakan langkah! (。◕‿◕。)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus