Jumaat, 10 Jun 2011

Dunia Ladang Akhirat


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih mengizinkan hamba ini untuk terus istiqomah dalam menulis. Diari kesayangan ditinggalkan beberapa hari tanpa diupdate dengan apa-apa artikel. Hanya Allah s.w.t. yang tahu betapa rindu sekali diri ini untuk mencoret sesuatu disini. Akhirnya Dia izinkan jua…alhamdulillah…(^_^)

Kesibukan yang melanda diri, badan juga tidak sempat untuk direhatkan secukupnya. Sudah hampir 5 hari umie masuk hospital dan ditahan dalam wad. Dan Baru sahaja tadi abah telefon dan memberitahu umie selamat melahirkan bayi perempuan. Ana pula masih dalam proses mendapatkan lesen kereta juga perniagaan yang sudah beroperasi hampir satu minggu.

Masa yang tidak mengizinkan ditambah pula ilham yang tidak muncul membuatkan diari ini dibiarkan sepi. Kerinduan untuk turun ke lapangan da’wah terubat jua takkala dapat menemani umie dan menjaga adik-adik. Walaupun penat, hati terasa begitu puas sekali. Alhamdulillah…

Semalam, sewaktu dalam perjalanan ke bengkel untuk kelas memandu, diri ini dimuhasabah sendiri. Dek kerna keletihan menjaga umie seharian dari pagi sampai malam, ana hanya berdiam diri sambil mata memandang ke luar tingkap kereta. Tiada perasaan untuk berbual dengan rakan disebelah.

Melihat manusia yang begitu ramai di atas jalan raya. Masing-masing punya tujuan dan destinasi. Ada yang mahu pergi kerja, pulang semula ke rumah setelah beberapa hari bercuti di kampung, tidak kurang juga ada yang keluar untuk beli sarapan pagi.

Terdetik dihati ana,“ke mana sebenarnya aku mahu pergi nie?”. Hati bermonolog sendiri sambil mata asyik melihat gelagat manusia yang berada di sekeliling ana. Jalan yang begitu sesak kerna ramainya manusia yang berlumba-lumba mahu segera sampai ke destinasi yang mahu dituju.

Lalu ku renung hikmah disebalik semua itu. Saban hari, manusia bangun dari tidur, bersiap-siap untuk mencari rezeki bagi yang bekerja dan bagi yang masih belajar pula bersiap-siap untuk menuntut ilmu, setelah tamat waktu berkerja dan sesi pembelajaran, pulang semula ke rumah untuk bersama dengan keluarga. 

Sebelah malamnya pula tidur semula untuk beristirehat bagi mengembalikan tenaga untuk menempuh kehidupan pada keesokan harinya jika Dia izinkan. Itulah rutin kehidupan manusia yang sering ana temui. Melalui hari, kerja, dan rutin yang sama saban hari. Jika ada masa terluang, hanya penuhi masa dengan menonton television, berhibur dengan rakan dan keluarga, pergi melancong dan bercuti.

Menghabiskan masa begitu sahaja tanpa ada masa untuk melaksanakan sesuatu untuk ummah. Ana melihat seolah-olah insan sebegitu tiada arah tujuan sebenar dia diciptakan. Seolah-olah terlupa bahawa dunia hanya tempat persinggahan sementara dan perkampungan akhirat yang kekal abadi.

“setiap inci di muka bumi ini adalah tempat yang paling subur untuk menanam benih syurga”
(Prof Dr. Yusuf Al-Qardawi)

Amat rugi sekali sekiranya melalui satu hari dalam hidup kita tanpa beribadat kepada Allah s.w.t. sedangkan kita semua mengetahui dunia ini adalah ladang akhirat. Tempat untuk kita bercucuk tanaman amal dan hasilnya akan dituai di akhirat kelak.

Masakan dapat hasilnya jika tiada benih untuk ditanam. Benih itu pula mesti dijaga dengan rapi, mesti diberi baja, cahaya matahari dan air yang cukup disamping terlindung dari dimakan oleh haiwan perosak seperti siput babi dan ulat yang bakal merosakkan tanaman kita.

Begitu jugalah dengan kita sebagai hambaNya. Ibadat sering dilakukan tetapi masih gemar melakukan maksiat samaada secara sedar atau tidak. Pasti akan ada pahala kita yang bakal “dimakan” oleh “maksiat perosak” pahala. 

Sia-sia sahaja apa yang dilakukan, maka bertaubatlah dengan taubat nasuha serta doa supaya diberi kekuatan untuk mendidik hawa nafsu. Usah menjadi hamba kepada dunia, yang hanya tempat untuk bermain-main.

Matlamat utama kita adalah untuk menggapai keredhaan Allah s.w.t. dan mencari bekalan ke destinasi abadi sebagai persediaan ketika disana. Entah bagaimana keadaan kita disaat Malaikat sakaratul maut datang mencabut nyawa kita. Moga kita semua dijemput ilahi dalam keadaan husnul khotimah..ameen ya robb… Wallahua’lam.

.::MeLiHaT DuNia DaRi JeNDeLa aKHiRaT::.

 
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus